Sunday, August 16, 2009

Siapa Wanita Ahli Syurga?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Wanita ibarat bunga…cantik pada pandangan mata hanya sementara. Mereka yang kekal cantik bukan pada wajah tetapi cantik pada akhlak yang mulia, kerana akhlak adalah bunga diri. Tiada gunanya berwajah cantik tetapi mempunyai akhlak yang buruk. Tiada guna berwajah cantik tetapi hati kosong daripada iman, ilmu dan amal.

Wanita mempunyai pilihan samaada ingin menempatkan diri ditempat yang mulia yang diredai Allah atau ditempat yang hina yang disukai iblis laknatullah. Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu umat banyak terletak di tangan wanita yang menghayun buai.

Wanita solehah adalah wanita yang menempah tempat duduknya di dalam syurga, tetapi bukanlah mudah untuk memasuki syurga Allah SWT.Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi ketika hidup didunia ini. Oleh itu sebagai anak , dia mahu menjadi anak yang mentaati dan menghormati kedua ibu bapanya. Sebagai anak muda dia mahu menjadi gadis yang berhemah dan akhlak mulia. Sebagai isteri, dia mahu menjadi isteri yang menyenangkan dan mententeramkan hati suaminya. Sebagai ibu, dia akan mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Dan pasti sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya.

Allah SWT menawarkan jalan mudah untuk wanita memasuki syurga Allah. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Seorang wanita yang mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadan), memelihara kemaluannya serta taat kepada suaminya maka pasti dia akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dikehendakinya.” (Hadis Riwayat Abu Nuaim)

Terdapat empat syarat sahaja tawaran Allah SWT. khusus untuk para wanita untuk memasuki syurga Allah SWT. seluas langit dan bumi, malahan mereka boleh memilih mana-mana pintu yang ia kehendaki. Sedangkan kaum lelaki tidak mendapat peluang keemasan ini kerana banyak lagi syarat-syarat lain yang mesti dipenuhi barulah ia layak memasuki syurga Allah SWT.

Abdul Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “ Seorang wanita solehah lebih baik daripada seribu lelaki. Dan seorang wanita yang melayan suaminya selama seminggu maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibuka lapan pintu syurga yang mana dia dapat masuk dari pintu mana yang saja tanpa hisab.”

Ada sebuah riwayat iaitu pada zaman Nabi SAW, seorang lelaki yang akan berangkat untuk berperang di jalan Allah. Dan berpesan kepada isterinya, “Wahai isteriku…jangan sekali-kali engkau meninggalkan rumah ini sehingga aku kembali.” Secara kebetulan ayahnya menderita sakit, maka wanita tadi mengutus seorang lelaki menemui Rasulullah SAW. Baginda bersabda kepada utusan itu agar wanita berkenaan mentaati suaminya. Namun wanita itu mengutus utusannya bukan hanya sekali malah beberapa kali meminta kebenaran Rasulullah.

Namun demi mentaati suaminya dia tidak berani keluar rumahnya. Akhirnya ayahnya meninggal dunia tanpa sempat dia menatap wajah ayahnya buat kali terakhir. Dia tetap sabar sehingga suaminya pulang. Maka Allah memberi wahyu kepada Nabi SAW yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah telah mengampuni wanita tersebut disebabkan ketaatannya kepada suami”. Dalam riwayat yang lain mengatakan bahawa Allah turut mengampun dosa ayahnya disebabkan ketaatan anaknya itu.

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi SAW telah melihat ke dalam syurga yang mana Allah masukkan wanita ke dalam syurga lima ratus tahun lebih awal daripada suami mereka.

Abdullah bin Masud meriwayatkan bahawa Nabi SAW  bersabda yang bermaksud, “Apabila seorang wanita mencuci pakaian suaminya maka Allah mencatat baginya seribu kebaikan, diampunkan dua ribu kesalahan bahkan segala sesuatu yang disinari matahari akan memohon ampun baginya dan Allah mengangkat seribu darjat untuknya.”

Maulana Syed Ahmad Khan dalam bayannya menceritakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita iaitu seorang wanita solehah lebih baik daripada seorang wali Allah, wanita yang menguli tepung dengan membaca Bismillah akan diberkati Allah rezekinya, wanita menyapu lantai dengan berzikir akan diberi pahala seperti membersihkan Baitullah, wanita yang solehah lebih baik daripada tujuh puluh lelaki yang soleh. Allah akan memberkati rezeki apabila wanita memasak sambil berzikir, seorang wanita yang menutup auratnya ditingkatkan oleh Allah cahaya wajahnya tiga belas kali daripada wajah asal, dan Allah sendiri akan datang untuk berjumpa dengan wanita yang mengambil berat auratnya di akhirat nanti.

Rasulullah SAW memberitahu kepada sahabat-sahabatnya bahawa wanita itu (isteri pencari kayu bakar) termasuk salah seorang ahli syurga disebabkan kemuliaan dan keanggunan sikapnya kepada suaminya.

Sahabat-sahabat pun berjumpa dan bertanya kepada wanita itu apakah sikap dan amalannya yang ada pada wanita itu sehinggakan ia termasuk salah seorang ahli syurga seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW.

Wanita itu berkata, " Apabila suamiku pergi mencari kayu bakar, aku merasakan betapa beratnya ia mencari nafkah. Aku merasakan betapa hausnya dia di pergunungan. Untuk itu setiap kali ia pulang, aku selalu menyediakan air dingin yang terus boleh diminumnya. Aku menyusun dan mengatur rumah serapi mungkin. Aku menyediakan makanan untuknya. Aku memakai pakaian terbaik yang aku miliki untuk menyambut kepulangannya. Disaat ia masuk ke rumah aku menciumnya dengan penuh kerinduan. Aku pasrahkan diriku kepadanya. Aku menyiapkan keperluan jika ia ingin beristirehat. Aku juga selalu berada di sisinya, sehingga ketika manapun ia menginginkan aku berada disampingnya."

Tanda-tanda Wanita yang baik akhlaknya :

1.Akhlak dengan Allah.
Tekun dan bersungguh-sungguh beribadah kepada-Nya. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintah-Nya, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati-Nya.

2.Akhlak dengan suami.
Mentaati suami, reda dengan pemberian suami, melayan suami dengan baik (darisegi makan minum dan hubungan kelamin), bersopan santun dalam percakapan dan tindakan, menjaga aurat dan kehormatan diri, memelihara maruah suami dan selalu mendoakan kesejahteraan untuk suaminya.

3.Akhlak dengan ibu bapa.
Mengasihi ibu bapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka (terutama ketika mereka sudah tua).Ingatkan jasa-jasa dan pengorbanan mereka membesar dan mendidik kita. Oleh itu, selalulah berdoa kepada Allah, moga-moga mereka mendapat kesejahteraan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.

4.Akhlak dengan jiran.
Baik pergaulan sesama rakan, jiran atau masyarakat sekeliling. Tidak menganggu atau menyakiti mereka, sebaliknya sentiasa membantu dan memudahkan kehidupan mereka.

Wahai kaum wanita yang solehah!
Ambillah dan rebutlah peluang keemasan ini, syurga yang kekal abadi menunggu kalian sekiranya kalian berazam untuk memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan di sampaikan oleh Nabi SAW. seperti di atas.

Pepatah melayu ada menyatakan "hendak seribu daya tak nak seribu dalih" dan pepatah Islam menyatakan "tepuk dada tanya iman".

No comments: