Thursday, September 10, 2009

Sifat Marah Terbaik Untuk di Telan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Sifat marah adalah satu sifat yang Allah anugrahkan kepada setiap manusia. Marah sangat berguna dan berfaedah seandainya dibendung oleh pemikiran yang waras dan dikawal oleh keimanan kepada Allah SWT. Misalnya marah kepada maksiat yang berleluasa dalam masyarakat akan mendorong seseorang untuk berdakwah dan berjihad membetulkannya. Orang yang kuat imannya marah kepada maksiat dan sukakan kebaikan, sebaliknya orang yang lemah iman suka kepada maksiat dan marahkan kepada kebaikan.

Sifat marah yang berlandaskan hawa nafsu pula membawa kepada kerosakan. Pernah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata : “Ya Rasulullah, wasiatlah kepadaku dengan satu wasiat yang mudah supaya saya tidak lupa”.
Lalu baginda bersabda yang bermaksud ,” Janganlah kamu marah”.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"  (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."  (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Diakhirat nanti Allah SWT akan memanggil seorang yang kuat menahan marahnya dari khalayak ramai dan dibenarkan memilih mana-mana bidadari yang disukainya.

Untuk mengawal marah yang sedang bergelojak, Rasulullah SAW. pernah berpesan, yang bermaksud: “Marah itu dari syaitan. Syaitan dijadikan daripada api dan api boleh dipadamkan dengan air. Bila seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.”

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita mengawal perasaan marah yang meluap-luap , kerana marah yang lahir daripada nafsu dan godaan syaitan adalah marah yang tercela kerana marah seperti ini bukan marah yang diredai oleh Allah SWT. Punca kemarahan adalah berpunca  daripada sifat ego dan sombong seseorang dan tidak boleh bersabar apabila berlaku kesilapan orang lain. Orang yang suka marah sebenarnya tidak ada perasaan sabar, tolak ansur dan lebih mengutamakan kepentingan diri sendiri.

No comments: