Sunday, October 25, 2009

Benci dan Sayang Kerana Allah dan Rasul

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jika terdapat dalam hatimu suatu perasaan benci atau sayang kepada seseorang, maka telitilah perbuatanmu itu berdasarkan Al-Quran dan hadis. Jika benci kamu itu sesuai denagn Al-Quran dan hadis, maka bergembiralah kamu., kerana kamu bertindak sesuai dengan Allah dan Rasul-Nya. Tetapi jika benci kamu tidak sesuai dengan Al-Quran dan hadis, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu telah mengikuti hawa nafsu kamu. 

Jika kamu membenci orang itu kerana kamu terpengaruh oleh hawa nafsu kamu, maka bererti kamu tidak adil dan kamu menentang Allah SWT dan Rasul-Nya. Oleh kerana itu kembalilah kamu kepada Allah SWT, bertaubatlah kerana kebencian kamu itu dan bermohonlah kepada-Nya supaya kamu mengasihi orang itu dan orang-orang lain, yang terdiri atas orang-orang yang beriman, wali-wali-Nya, orang-orang pilihan-Nya dan orang-orang soleh dari hamba-hamba-Nya serta hendaklah kamu yakini bahawa Allah SWT akan mengasihimu apabila kamu kasih dan sayang kepada mereka semata-mata kerana Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Bersikaplah kamu terhadap seseorang, seperti kamu bersikap terhadap orang yang kamu kasihi. Pendik kata, hendaklah kamu meneliti perbuatan orang itu berdasarkan Al-Quran dan hadis. Sekiranya Al-Quran dan hadis membenarkan dan menyukai perbuatan orang itu, maka kamupun harus membenarkan dan menyukai perbuatan orang itu. Tetapi, jika keduanya membencimu, maka kamupun hendaklah membencinya sesuai dengan Al-Quran dan hadis. 

Sesuaikanlah perasaan dan perbuatanmu dengan Al-Quran dan hadis. Jika kamu mengasihi seseorang sedangkan Al-Quran dan hadis membencinya, maka janganlah kamu mengasihinya, supaya kamu tidak menuruti hawa nafsumu, sebagaimana firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan." (Surah Shaad ayat 26)

Sahabat yang dikasihi,
Dalam jiwa manusia secara fitrahnya suka dikasihi dan mengasihi. Kasih yang paling utama, tanda orang beriman adalah kasih kita kepada Allah SWT dan Rasululullah SAW  mengatasi kasih kita pada yang lain. Kita kasih pada yang lain seperti ibu-bapa, adik-beradik, kaum keluarga, sahabat-sahabat, rakan-rakan, guru-guru, suami, isteri, anak-anak dan orang-orang beriman adalah semata-mata kerana Allah. Kayu pengukur kita adalah Al-Quran dan hadis. Begitu juga apabila kita berhajat untuk mencari calun isteri atau suami kriteria yang perlu digunakan adalah Al-Quran dan hadis jangan lari dari kedua-dua sumber tersebut insya Allah kita akan selamat dan berbahagia di dunia dan di akhirat.

No comments: