Dari Qubaishah bin Mukhariq r.a. beliau berkata : "Saya datang kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda bersabda yang bermaksud :'Wahai Qubaishah, bagaimana keadaanmu?'
Saya menjawab : 'Umurku sudah tua dan tulang-tulangku sudah lemah, maka saya datang agar tuan mengajarkan apa yang dapat memberi manfaat kepada saya.
Rasulullah pun bersabda : 'Wahai Qubaishah, tidaklah engkau melewati sebuah batu, pokok dan tanah liat melainkan semuanya memintakan ampun bagimu.
Wahai Qubaishah, apabila engkau solat subuh, bacalah tiga kali subhanallahilazim wabihamdih (Maha suci Allah Yang Maha Agung dan aku memuji-Nya) maka Ia akan menjagamu dari penyakit buta, kusta dan lumpuh.
Wahai Qubaishah bacalah, 'Ya Allah aku memohon kepada-Mu daripada apa yang ada di sisi-Mu. Dan curahkanlah anugerah-Mu kepadaku. Dan turunkanlah berkah-Mu kepadaku'."
(Hadis Riwayat Ahmad)
Diriwayatkan juga dalam hadis yang datang daripada Abu Darda', beliau mengatakan :
"Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : 'Sesiapa berjalan di atas jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke Syurga.
Para Malaikat meletakkan sayapnya di atas orang-orang yang mencari ilmu kerana Malaikat menyukai apa yang mereka kerjakan.
Makhluk yang ada dilangit dan yang ada di bumi semuanya memohonkan ampun bagi orang yang berilmu termasuk ikan yang ada di dalam air.
Keutamaan orang yang berilmu melebihi orang 'abid (ahli ibadah) bagaikan keutamaan bulan purnama ke atas bintang-bintang.
Dan sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para Nabi. Manakala para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar dan dirham akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka sesiapa mengambilnya dia akan mendapatkan keuntungan yang besar'."
(Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Baihaqi.)
No comments:
Post a Comment