Friday, August 13, 2010

Rahmat Allah Meliputi Langit dan Bumi

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita sedang berada di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak , bulan yang penuh keberkataan dan rahmat daripada Allah s.w.t.

Makna rahmat secara umumnya bermaksud kasih sayang samada kasih sayang antara Pencipta yg Maha Agong terhadap hamba-Nya , atau pun kasih sayang sesama makhluk.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-fath ayat 29 bermaksud :
"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang (rahmah) sesama mereka".

Sabda Rasulullah s.a.w. dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah s.w.t menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. "
(Hadis Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )

Begitu juga dengan sabda Rasulullah s.a.w yang lain , juga dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Allah s.w.t memiliki 100 rahmat. Dari Rahmat-rahmat itu dia menurunkan 1 rahmat untuk para jin , manusia , haiwan dan binatang melata. Dengan rahmat itu juga para makhluk dapat berkasih sayang ,berlemah lembut , dan dengannya juga binatang buas menyayangi anak-anaknya. Allah s.w.t mengakhirkan 99 rahmat-Nya yang akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat nanti."
(Hadis Muttafaqun 'alaih , Bukhari dan Muslim )

Sahabat yang dimuliakan,
Sabda Nabi s.a.w maksudnya "Dialah (Ramadhan) bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari Neraka."

Kita masih berada di awal bulan Ramadhan (1-10 Ramadhan) yaitu 'permulaannya rahmat'. Ketika inilah Allah s.w.t memberikan rahmat-Nya yang tidak putus-putus kepada kita sebagai hamba-hamba-Nya. Kasih sayang Allah meliputi seluruh langit dan bumi.

Kita masih bernafas dan sihat tubuh badan kerana rahmat Allah. Kita telah diberi-Nya rezeki yang tak putus-putus, masih beriman dan bertakwa dan masih berpeluang menjalani ibadah puasa dibulan yang mulia ini atas rahmat Allah. Hidup dan mati kita, diterima-Nya amal ibadah dan amal soleh kita dihari akhirat dan dimasukkan kedalam Syurga-Nya seluas langit dan bumi adalah kerana rahmat-Nya.

Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Amal saleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam Syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api Neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut masuknya kita ke dalam Syurga Allah s.w.t. adalah disebabkan dengan rahmat Allah bukan dengan amalan yang kita laksanakan. Walaubagaimana pun Allah memerintahkan kita untuk membuat amal soleh, amal kebaikan dan beribadah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t., semoga dengan ketaatan kita mengikut perintah Allah s.w.t. didunia dan meninggalkan larangan-Nya . Bila kita patuh kepada Allah dan kita akan dikasihi oleh Allah s.w.t maka dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah s.w.t, Dia memasuki kita ke dalam Syurga-Nya dengan rahmat-Nya.

Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa amal ibadah yang kita kerjakan bukanlah pasti bagi Allah s.w.t. masukkan kita didalam Syurga-Nya, kerana betapa ramai orang yang beribadah tetapi ada sedetik saja rasa ujub atau riak dalam dirinya maka seluruh amalannya tak akan diterima olehAllah s.w.t.

Terdapat satu kisah di akhirat nanti ada seorang abid (ahli ibadah) telah beribadah 500 tahun lebih di dunia. Allah s.w.t perintahkannya untuk memasuki Syurga dengan rahmat Allah. Tetapi abid ini minta ditimbangan amal ibadahnya dan dia nak masuk Syurga dengan amal ibadahnya, maka bila ditimbang semua amal ibadahnya berbanding dengan satu nikmat Allah yang dia terima di dunia dahulu yaitu pancaindera (satu riwayat mengatakan mata dan satu lagi mengatakan telinga) maka pancaindera yang diberikan padanya lebih berat timbangannya. Maka Allah memerentahkan dia dimasukkan ke dalam Neraka.Maka abid tadi merayu dan memohon ampun kepada Allah s.w.t. di atas keangkuhannya tadi maka dengan rahmat Allah dia di masukkan semula kedalam Syurga.

Jika dibandingkan amal ibadah kita berbanding dengan si abid terlalu jauh. Siabid tadi pun memasuki Syurga Allah dengan rahmat-Nya bukan dengan ibadahnya yang melebihi 500 tahun. Janganlah kita merasa puas dengan sedikitnya amal soleh dan ama libadah yang telah kita laksanakan. Kita perlu berdo'a dan memohon supaya Allah s.w.t sentiasa memberi taufik dan hidayah-Nya dan rahmat-Nya dalam kehidupan kita seharian.

Bayangkan betapa besarnya kerajaan Allah s.w.t. rahmat dan kasih sayang-Nya hanya 1 rahmat saja sudah mencakupi keperluaan semua makhluk-Nya terdiri daripada jin, manusia, binatang-binatang,tumbuh-tumbuhan dan makhluk-Nya yang lain. 99 rahmat lagi Allah akan kurniakan dihari akhirat nanti. Oleh itu jadilah kita hamba Allah yang bersyukur dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segalalarangan-Nya.

Sahabat yang dikasihi,
Kadang-kala seseorang insan rela ke sana-sini memohon bantuan bagi sesuatu pekerjaan dan urusannya dari makhluk sehingga terlupa untuk memohon bantuan dan bertawakkal kepada Allah. Bersusah payah insan berjumpa orang lain demi mengadu rasa hati dan derita sehingga dia lupa untuk mengadu kepada Allah yang senantiasa mendengar rintihan hamba dengan penuh rahmat.

Ini semua kerana insan merasakan Allah itu jauh darinya dan dia lupakan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdo'a kepadaKu apabila dia berdo'a. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk"

Ya!Allah itu hampir dan amat sudi untuk segala do'a yang diangkat kepadaNya. Justeru itu sangat menghairankan bila adanya insan yang meninggalkan do'a kepada Allah yang hampir kepadaNya lalu mendapatkan makhluk-makhluk yang tidak terdaya untuk mengadu segala rasa hati dan dukacita. Padahal kita tahu bahawa sikap makhluk apabila terlalu banyak diminta maka bertambah rasa bosannya sedangkan Allah pula lagi banyak kita mengadu dan meminta bertambah pula kasih dan sayang-Nya.

Allah tidak jauh daripada setiap hamba. Yang menjadikan Allah itu jauh daripada kita ialah diri kita sendiri. Hati yang tidak merasai kewujudan dan rahmat Allah serta kefahaman yang tidak betul terhadap agama selalu menjauhkan perasaan manusia daripada Allah.

Sabda Nabi s.a.w kepada Ibnu 'Abbas ketika itu dia masih kecil:
Maksudnya: "Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu,jagalah Allah (jagalah perintahNya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintahNya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan minta tolonglah daripada Allah."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi hadis ini hasan sahih)

Apabila seseorang menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana dititah perintahkan Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah bersama dengannya semua urusannya. Gunakan sepenuhnya dibulan Ramadhan ini untuk kita sentiasa berdo'a dan bermunajat semuga di fasa pertama ini kita memperolehi rahmat Allah s.w.t.

No comments: