Saturday, October 30, 2010

Empat Wasiat Sayyidina Ali Kepada Orang Mukmin.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sayyidina Ali k.w.  berkata : "Wahai manusia, jagalah wasiatku. Jika kamu memegangnya erat-erat dengan segala kesiapan sehingga kamu dapat melaksanakannya, kamu tidak akan dapat keuntungan yang lebih besar darinya. Wasiat itu adalah :

1.Hendaklah kamu tidak berharap kecuali kepada Allah s.w.t..

2.Hendaklah kamu tidak takut kecuali kepada dosa-dosamu.

3.Hendaklah kamu tidak malu untuk belajar jika tidak tahu.

4.Hendaklah orang yang alim berkata : 'Aku tidak tahu, apabila dia memang tidak tahu"

Sayyidina Ali k.w. adalah sahabat Rasulullah s.a.w, yang cukup tinggi ilmunya. Setiap kata-katanya dan wasiatnya mengandungi pengajaran yang cukup baik dan berkesan. Wasiat tersebut perlu dijadikan panduan dan amalan.

Terdapat empat wasiat beliau, perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Hendaklah kamu tidak berharap kecuali kepada Allah s.w.t..

Setiap Mukmin akan meletakkan pengharapan, pergantungan dan permohonan hanya kepada Allah s.w.t. Tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang boleh diharapkan untuk memberi bantuan dan pertolongan. Kesemuanya akan tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.” (Surah Al-Ikhlas ayat 2)

Allah adalah tempat segala makhluk meletakkan pergantungan sepenuhnya. Bukan bersandarkan pada makhluk lain yang tak lain tak bukan merupakan ciptaanNya juga.

Dalam usaha untuk mendekatiNya dan mendapatkan cintaNya, tiada satu pun yang dapat menolong kita kecuali Allah yang Satu. Kita boleh berguru dan mendapatkan tunjuk ajar daripada orang lain, tapi kita kena ingat, soal hidayah adalah urusan Allah semata-mata.

Meletakkan pergantungan hanya pada Allah dalam urusan mengenali diri menjadikan kita menggunakan nikmat akal anugerahNya dengan sepenuhnya. Ini kerana kita menggunakan akal kita sepenuhnya untuk mengenali dan muhasabah diri kita sendiri. Menggunakan akal dengan waras dan pertimbangan yang bijak bermaksud kita telah meletakkan nafsu jauh di belakang. Pergantungan pada Allah sahaja dapat menyelamatkan kita dari pelbagai perkara yang tidak diingini.

Malahan datangnya pertolongan Allah itu bersyarat. Ia hanya akan datang kepada mereka yang sudah berusaha menolong agama-Nya. Allah berfirman maksudnya :  “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu,” (Surah Muhammad ayat 7)

Jadi jangan berharap pertolongan Allah akan muncul kalau kita tidak pernah berusaha menolong agama-Nya. Pertolongan Allah menuntut pengorbanan dan keikhlasan dalam bekerja melaksanakan amal Islami.

Kedua : Hendaklah kamu tidak takut kecuali kepada dosa-dosamu.

Perasaan yang paling agung adalah ketakutan kepada Allah s.w.t.; takut akan siksaan dan kekuasaan-Nya. Allah s.w.t.berfirman maksudnya : "Oleh karena itu, hendaklah yang menyimpang dari perintahNya merasa takut akan ditimpa cobaan atau azab yang pedih. (Surah an-Nur ayat 63).

Diriwayatkan, Rasulullah saw. menemui seorang anak muda yang sedang menjelang ajalnya. Baginda bertanya,”Bagaimana engkau mendapati dirimu?”Anak muda itu menjawab,”Aku berharap kepada Allah, ya Rasulullah, dan takut akan dosa-dosaku.”

Baginda pun bersabda maksudnya : ”Keduanya tidak berkumpul pada hati seorang hamba di tempat ini melainkan Allah memberinya apa yang ia harapkan dan menenteramkannya dari apa yang ia takutkan.”

Sesiapa yang tidak merasai takut apabila melakukan dosa sebenarnya hatinya penuh dengan selaput hitam dan hati tersebut berpenyakit. Hati yang berpenyakit ini sudah tidak sensitif dan menjadi kebas dan akan membawa tuan punya diri semakin jauh dengan Allah dan hampir kepada siksaan-Nya.

Dari Abu Hurairah dikatakan bahwa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : ”Semua mata pada hari kiamat menangis kecuali mata yang berpaling dari hal-hal yang diharamkan Allah; mata yang terjaga di jalan Allah; mata yang seolah-olah akan keluar (dari kelopaknya) kerana begitu takutnya kepada Allah.”

At-Tirmidzi mengeluarkan hadis sahih dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : ”Tidak akan masuk Neraka seseorang yang menangis karena takut kepada Allah sampai air susu kembali pada teteknya.”

Ketiga : Hendaklah kamu tidak malu untuk belajar jika tidak tahu.

Nabi s.a.w bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke Syurga”.(Hadis Riwayat Muslim)

Bagi orang Islam Syurga adalah ganjaran paling tertinggi dan paling dikehendaki. Maka mereka yang belajar ilmu sebelum mendapat ganjaran akhirat di dunia lagi dijanjikan dengan janji  sentiasa mendapat perlindungan sayap malaikat kerana redha dengan apa yang mereka lakukan. Malah kelebihan belajar ini diperkukuh dengan hadis riwayat Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah, Nabi s.a.w bersabda maksudnya, “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari sembahyang (sunat) seratus rakaat”.

Orang Mukmin tidak akan malu untuk menuntut ilmu kerana betapa besarnya manfaat dan pahala yang dikurniakan oleh Allah s.w.t  kepada penuntut ilmu.

Walaupun kita ummat Islam disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu.  Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah s.a.w. tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi. Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”.  Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.  Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia.  Kerana Allah s.w.t. menyuruh hamba-hambaNya agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Keempat : Hendaklah orang yang alim berkata : 'Aku tidak tahu, apabila dia memang tidak tahu'. "

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu secara langsung daripada manusia, tetapi mencabutnya dengan mencabut para ulama’. Sehingga apabila tidak ada lagi seorang ‘alim, masyarakat akan mengangkat ketua-ketua yang jahil maka ketika orang-orang ini ditanya mereka akan berfatwa tanpa ilmu lalu mereka akan menjadi sesat dan menyesatkan orang lain”. (Hadis Riwayat Muslim)

Orang alim atau ulama' perlulah jujur dalam dia menyampaikan ilmu yang dimiliki. Jika dia memang arif di dalam satu bidang nyatakan kebenaran ilmu tersebut tanpa disembunyikan. Tetapi jika dia kurang arif sesuatu hukum eloklah nyatakan dengan jelas bahawa dia kurang memahaminya dan minta masa untuk merujuk kepada alim ulama' yang lebih  mengetahui supaya jawapan sesuatu hukum akan dijawab dengan jelas dan dengan dalili-dalilnya sekali.

Ulama' dunia akan menyembunyikan sesuatu hukum yang melibatkan periuk nasinya dan terpaksa mendiamkan diri walaupun maksiat di hadapan matanya.Sikap ini amat dicela oleh Rasulullah s.w.t kerana ulama' adalah pewaris para Nabi s.a.w kedudukannya sungguh mulia dihari akhirat nanti apabila dia jujur dan ikhlas menyampaikan ilmu hak kepada orang ramai.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita renungkan dan hayati empat wasiat yang di berikan oleh Sayyidina Ali k.w. untuk panduan kita bersama . Beliau menjamin kita akan mendapat keuntungan yang besar disisi Allah s.w.t apabila dapat melaksanakan wasiat tersebut.

No comments: