Sunday, February 27, 2011

Jauhilah Perkara Syubahat Untuk Menjaga Agama dan Kehormatan Diri

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap perkara yang halal dan haram cukup jelas di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. Allah S.W.T. tidak meninggalkan perkara asas dan pokok di dalam al-Quran mengenai urusan akidah, ibadah, syariah  dan akhlak yang mulia. Walaubagaimana pun di antara perkara yang jelas halal dan haram ada perkara-perkara yang  syubhat iaitu perkara yang samar-samar di antara yang halal dan haram tadi. Orang mukmin yang bersifat warak akan meninggalkan perkara syubhat kerana dia khuatir tanpa disedari ianya boleh terjatuh kepada perkara yang haram.
 
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nukman bin Basyir r.a katanya:
Aku mendengar Rasulullah S.A.W.  bersabda, sambil Nukman memegang kedua belah telinganya : "Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan perkara haram itu pun jelas. Manakala di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh orang ramai. 

Oleh itu, sesiapa menjaga diri dari perkara syubhat, dia telah bebas (dari kecaman) untuk agamanya dan kehormatannya dan sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhat, bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram, seperti penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, maka kemungkinan besar binatangnya akan memasuki kawasan tersebut. 

Ingatlah! Sesungguhnya setiap penguasa (kerajaan), memiliki daerah terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya daerah yang terlarang milik Allah adalah apa saja yang diharamkan-Nya. 

Ingatlah! Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini  jelas nyata apa yang nak di beritahukan kepada kita. Secara terang dan jelas Rasulullah SAW telah mengajar kita bukan hanya apa yang halal dan haram bahkan syubhat. Untuk memudahkan pemahaman umatnya, baginda membuat contoh yang jelas.

Kita ambil contoh buah rambutan misalnya, tidak ada orang di dalam dunia ini menyatakan benda itu haram kerana telah jelas bahawa buah itu halal. Begitahu juga sebaliknya. Adakah di antara kita yang mengatakan babi itu halal? Sudah pasti tidak. Kerana Allah telah pun tetapkan sedemikian.

Di dalam dunia ini sekarang, pelbagai benda umat Islam terlibat dalam perkara yang haram. Secara tidak sengaja mahupun sengaja. Kalau sengaja tu memang mencari nahas.  Minum arak contohnya jelas haram tetapi masih ada umat Islam yang tidak peduli dan terus menerus meminim arak. Ketahuilah bahawasanya mereka ini bukan mencabar manusia lain tetapi mencabar Allah. Ingat, Allah berhak buat apaapa kepada hambanya. Dengan hanya mengatakan "Kun fayakun" maka binasalah mereka. Seperti yang tertera di dalam  Surah Yaasin, ayat 82 yang bermaksud;
"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya, apabila Ia mengkehendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada benda itu:"Jadilah engkau!".Maka ia terus terjadi."
 
Contoh yang tidak sedar adalah riba. Riba merupakan satu gejala yang satu ketika dahulu memang tidak dapat dielakkan. Tiada bank yang menggunakan sistem Islam. Tapi sekarang sudah ada Bank Islam, Bank Muamalat dan bank-bank lain pun telah membuka kaunter perbankan cara Islam. Maka tiada alasan untuk seseorang menghindarkan diri dari riba.

Sesungguhnya riba merupakan salah satu dosa besar seperti yang dinyatakan dalam hadis di bawah: Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah telah bersabda maksudnya : "Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk neraka atau dilaknati oleh Allah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda maksudnya :
"1. Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya.
2. melakukan perbuatan sihir.
3. membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak.
4. memakan harta anak yatim.
5. memakan harta riba.
6. lari dari medan pertempuran dan
7. memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina."

Manakala di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh orang ramai. Memang tak dapat dinafikan, tidak semua perkara telah Allah dan Rasul nyatakan sama ada halal atau haram sesuatu itu. Namun begitu tak bermakna apabila Allah dan Rasul tidak mengatakan mengenainya, perkara itu halal.


Rasulullah SAW telah menjelaskan di dalam hadis di atas bahawa antara halal dan haram, terdapat perkara syubhat. Syubhat merupakan seuatu perkara yang tidak pasti akan hukumnya. Syubhat juga boleh juga ditakrifkan sebagai perasaan was-was akan sesuatu perkara. Walaupun syubhat bukanlah halal atau haram, tidak bermakna perkara syubhat boleh dilakukan sesuka hati.


Oleh yang demikian, Rasulullah SAW menjelaskan lagi :


"Oleh itu, sesiapa menjaga diri dari perkara syubhat, dia telah bebas (dari kecaman) untuk agamanya dan kehormatannya dan sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhat, bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram."


Dari penyambungan hadis di atas, terang dan jelas syubhat bukanlah perkara yang boleh dimain-mainkan. Kerana Rasulullah SAW menekankan sesiapa menjauhkan perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya manakala jika sesiapa mengamalkan amalan syubhat, bermakna  kita mengamalkan perkara yang haram. Bukankah itu satu penekanan yang berat.

Di dalam riwayat yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang menjauhi syubhat, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhat, ia seolah telah jatuh dalam yang haram" ( Riwayat Muslim, no 1599, 3/1219)

ULASAN HADIS :

1. Hadis ini mengingatkan kita agar sentiasa berhati-hati dalam kehidupan seharian yang kita lalui.

2. Apabila kita meragui sesuatu perkara,seharusnya kita menjauhkan diri daripada melakukan perkara tersebut kerana dikhuatiri kita terjerumus dalam melakukan perkara yang haram.

3. Jika kita berhati-hati dan mengambil berat mengenai urusan agama dan perkara yang berkaitan dengannya, sudah pasti kita akan dapat menjauhi diri daripada terjebak
dengan perkara yang diragui atau syubhat sekaligus menjauhkan diri kita daripada terlibat dengan perkara yang haram.

4. Ingatlah, jika kita tidak berwaspada, kita akan mudah terbabit dengan perkara-perkara syubhat dan sekaligus mendedahkan kita pada perkara-perkara yang haram.

Justeru,elakkan diri dariapda perkara-perkara yang syubhat agar kita dapat menjaga diri dan agama kita serta ahli keluarga.


Contoh perkara-perkara syubahat adalah seperti berikut :

1. Bekerja sebagai juruwang di bank perdagangan yang menggunakan sistem konvensional(menggunakan sistem riba)

2. Makanan dan minuman daripada luar negara (walaupun daripada negara Islam) yang tidak ada pegesahan tanda halal oleh negara tersebut atau daripada Jakim. Di khuatiri makanan tersebut dibuat oleh orang bukan Islam dari negara tersebut.

3. Makan dan minum di hotel, restoren, cafeteria atau kopitiam yang tidak ada kelulusan Jakim, kelulusan halal daripada luar negara boleh dipertikaikan sebab tidak ada siapa yang boleh mengesahkan dan pantau kehalalannya.

4. Makanan dan minuman yang dikeluarkan oleh syarikat bukan muslim yang tidak ada kelulusan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama negeri-negeri.

5. Menerima hadiah atau hamper oleh kakitangan kerajaan (yang menguruskan tender atau pembekalan barang-barang) daripada syarikat-syarikat pemborong yang ada kepentingan perniagaan. Di khuatiri ada unsur-unsur rasuah.

6. Apa sahaja samaada pekerjaan, makanan, minuman, perkhidmatan yang mana di situ ada keraguan dan boleh menimbulkan fitnah atau kesangsian ianya boleh dikategorikan sebagai perkara syubahat.

7. Melabur di dalam pelaburan internet yang tidak jelas skimnya dan menyerupai skim cepat kaya. Tidak ada perjanjian dan muamalah yang jelas mengikut sistem Islam.


8. Membeli, menjual, membuat dan menghisab rokok. Sesetengah ulama mengatakan ia haram (dengan huraian yang terkini) manakala yang lain mengatakan makruh. Jabatan Fatwa Perak sebulat suara mengatakan rokok itu haram di sokong oleh Jabatan Agma Islam di Selangor. Walaupun majlis fatwa negeri-negeri tidak 100% mengatakan ia haram, bukankah perbuatan ini syubhat dan menurut hadis di atas dan boleh terjerumus ke dalam perkara yang haram. Ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda bahawa mengamalkan perkara syubhat itu merosakkan kehomatan diri sendiri. Marilah kita cuba berhenti beramai-ramai. Memang tidak dapat dinafikan untuk berhenti itu sukar. Tetapi ingat Allah ada berfirman di dalam al-Quran surah al-Talaaq ayat 3 yang bermaksud :" dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya)."

9. Membeli lembu, kambing atau ayam daripada tuan binatang ternak  yang tidak menjaga  binatang belaan mereka. Binatang tersebut dilepaskan dengan bebas. Kita khuatir binatang tersebut telah memakan tanaman orang lain dan tuannya membiarkannya saja. Oleh itu binatang seperti ini termasuk di dalam perkara syubahat. Belilah binatang-binatang ternak yang jelas makanannya daripada sumber yang halal.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang haram samaada makan, minuman, perbuatan dan pertuturan. Kita juga perlu jauhkan diri kita daripada perkara-perkara syubahat yang tidak jelas halal dan haram semata-mata untuk menjaga agama  dan tidak tergelincir kepada perkara yang haram.









No comments: