Sunday, June 12, 2011

Hayatilah Empat Ciri-ciri Orang Bertakwa

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.(Iaitu) orang-orang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."(Surah Ali-Imran ayat 133-134)

Huraiannya :

Dalam ayat 133 surah Ali-Imran di atas Allah SWT  menyuruh supaya kaum muslimin bersegera meminta ampun kepada-Nya apabila telah terjatuh ke jurang dosa dan maksiat, kerana manusia tidak luput dari kesalahan dan kesilapan. Seorang muslim tidak akan mahu mengerjakan perbuatan yang dilarang Allah SWT, tetapi kadang-kadang kerana kuatnya godaan dan tipu daya syaitan dia terjerumus juga ke dalam jurang maksiat, kemudian dia sedar akan kesalahannya dan menyesal atas perbuatan itu lalu bertaubat dan mohon ampun kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan mengampuni dosanya itu. Dia adalah Maha Penerima Taubat dan Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Bila seorang muslim selalu mentaati perintah Allah SWT dan Rasul-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya dan bertaubat bila jatuh ke jurang dosa dan maksiat, maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya dan akan memasukkan nanti di akhirat ke dalam syurga yang amat luas sebagai balasan atas amal yang telah dikerjakannya di dunia iaitu syurga yang disediakan-Nya untuk orang-orang yang bertakwa kepada-Nya.

Dalam ayat berikutnya 134, ayat ini langsung menjelaskan sifat-sifat orang-orang yang bertakwa iaitu:

Pertama: Orang yang selalu menafkahkan hartanya baik dalam keadaan berkecukupan maupun dalam keadaan kesempitan (miskin).

Dalam keadaan berkecukupan dan dalam keadaan sempit ia tetap menginfakkan hartanya sesuai dengan kemampuannya.

Menafkahkan harta itu tidak semestinya dalam jumlah yang tertentu sehingga membei ruang dan mengizinkan orang miskin untuk memberi sumbangan. Bersedekah itu boleh saja dengan barang atau wang ringgit yang sedikit jumlahnya kerana itulah kesanggupan untuk memberi sumbangan, walaubagaimana pun dia tetap akan memperoleh pahala dari Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Aisyah Ummul mukminin bahawa dia pernah bersedekah dengan sebiji anggur, dan di antara sahabat-sahabat Nabi SAW ada yang bersedekah dengan sebiji bawang.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Peliharalah dirimu dari api neraka meskipun dengan menyedekahkan sepotong kurma, dan perkenankanlah permintaan seorang peminta walaupun dengan memberikan sepotong kuku hewan yang dibakar"
(Hadis Riwayat Ahmad dalam musnadnya)

Bagi orang kaya dan berharta tentulah sedekah dan dermanya harus disesuaikan dengan kemampuannya bukanlah memberi ala kadar sahaja. Sungguh amat mendukacitakan bila seorang yang berlimpah-ruah kekayaannya hanya memberikan derma atau sedekah sama banyaknya dengan pemberian orang miskin. Ini menunjukkan bahawa kesedaran bersedekah belum tertanam di dalam hatinya.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan"
(Surah at-Talaq ayat 7)

Sifat kikir (kedekut) yang tertanam dalam hati manusia hendaklah dibuangkan dengan segala macam cara dan usaha, kerana sifat ini adalah sifat orang fasik dan munafik. Tak ada satu umatpun yang dapat maju dan hidup berbahagia kalau sifat kikir ini menguasai dalam jiwa manusia terutama umat Islam. Sifat kikir (kedekut) adalah sifat ahli neraka dan bertentangan dengan sifat kemanusiaan.

Oleh sebab itu Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya menginfakkan hartanya dan menjelaskan bahawa harta yang ditunaikan zakatnya dan disedekahkan sebagiannya tidak akan berkurang bahkan akan bertambah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah"
(Surah al-Baqarah ayat 276)

Imam al-Gazali menjelaskan seperti  berikut : "Memerangi suatu sifat yang buruk haruslah dengan membiasakan diri melakukan lawan sifat itu. Jadi kalau seseorang hendak menghapuskan sifat kikir dalam dirinya hendaklah dia membiasakan bersedekah dan memberi pertolongan kepada orang lain. Dengan membiasakan diri itu akan hilanglah sifat kikirnya itu dengan berangsur-angsur".

Kedua: Orang-orang yang menahan amarahnya.

Biasanya orang yang mengikuti rasa amarahnya tidak dapat mengawal akal fikirannya dan ia akan melakukan tindakan-tindakan kejam dan jahat sehingga apabila sedar dia pasti menyesali tindakan yang dilakukannya itu melampau batas.

Oleh kerana itu bila seorang dalam keadaan marah hendaklah ia berusaha sekuat tenaganya menahan rasa amarahnya itu lebih dahulu. Apabila ia telah menguasai dirinya kembali dan amarahnya sudah mulai reda, barulah ia melakukan tindakan yang adil sebagai balasan atas perlakuan orang terhadap dirinya.

Apabila seorang telah melatih dirinya seperti itu maka dia tidak akan melakukan tindakan-tindakan yang melampaui batas, bahkan dia akan menganggap bahawa perlakuan yang tidak adil terhadap dirinya itu mungkin kerana kesilapan dan tidak disengaja dan ia akan memaafkannya. Allah SWT menjelaskan bahawa menahan marah itu suatu jalan ke arah takwa. Orang-orang yang benar bertakwa pasti akan dapat menguasai dirinya di waktu  marah.

Pernah Siti Aisyah menjadi marah kerana tindakan pembantunya. Tetapi beliau dapat menguasai dirinya, kerana sifat takwa yang bersemi dalam dirinya. Beliau berkata: "Alangkah baiknya sifat takwa itu, dia menjadi ubat bagi segala kemarahan".

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Hal itu dinyatakan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki bertanya baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah sesuatu yang lebih berat? Dijawab Rasulullah SAW : "Kemurkaan Allah!" Lelaki itu bertanya lagi: "Apakah sesuatu yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah? Rasulullah SAW  menjawab: "Jangan marah."
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Amr)

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Dan apabila mereka marah segera memberi maaf."
(Surah as- Syura ayat 37)

Ketiga: Orang yang memaafkan kesalahan orang lain.

Memaafkan kesalahan orang lain sedang kita sanggup membalasnya dengan yang setimpal adalah suatu sifat yang baik yang harus dimiliki oleh setiap muslim yang bertakwa. Mungkin hal ini sukar dipraktikkan kerana sudah menjadi kebiasaan bagi manusia membalas kejahatan dengan kejahatan tetapi bagi manusia yang sudah tinggi akhlak dan kuat imannya serta telah dipenuhi jiwa  dengan takwa, maka memaafkan kesalahan itu mudah saja baginya.

Mungkin membalas kejahatan dengan kejahatan masih dalam rangka keadilan tetapi harus disedari bahwa membalas kejahatan dengan kejahatan pula tidak dapat membasmi atau melenyapkan kejahatan itu. Mungkin dengan adanya balas membalas itu kejahatan akan meluas dan berkembang.

Tetapi bila kejahatan itu dibalas dengan maaf dan sesudah itu diiringi dengan perbuatan yang baik, maka orang yang melakukan kejahatan itu akan insaf, bahawa dia telah melakukan perbuatan yang buruk dan tidak adil terhadap orang bersih hatinya dan suka berbuat baik.Dengan demikian dia tidak akan melakukannya lagi dan tertutuplah pintu kejahatan itu.

Keempat: Orang-orang yang berbuat kebaikan.

Berbuat baik dan suka membuat kebajikan termasuk sifat orang yang bertakwa maka di samping memaafkan kesalahan orang lain hendaklah memaafkan itu diiringi dengan berbuat baik kepada orang yang melakukan kesalahan.

Diriwayatkan oleh Al Baihaqi, ada seorang jariah (hamba wanita) kepunyaan Ali bin Husein (cicit Rasulullah SAW) menolong tuannya menuangkan air dari bekas untuk mengambil wuduk. Kemudian bekas itu jatuh dari tanganya dan pecah,  lalu Ali bin Husen menentang mukanya seakan-akan dia marah.

Hamba itu berkata: "Allah SWT telah berfirman yang maksud : "Dan orang-orang yang menahan amarahnya".(Surah Ali- Imran ayat 134)

Ali bin Husen menjawab : "Aku telah menahan amarah itu".

Kemudian hamba itu berkata pula: Allah SWT berfirman maksudnya : "dan orang-orang yang memaafkan (kesalahan) manusia" (Surah Ali- Imran ayat 134)

Dijawab oleh Ali bin Husen: "Aku telah memaafkanmu"

Akhirnya hamba itu berkata lagi: Allah juga berfirman maksudnya : "dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan" (Surah Ali Imran ayat 134)

Ali bin Husen menjawab: "Pergilah kamu aku telah memerdekakanmu" demi untuk mencapai keredaan Allah.

Demikianlah tindakan salah seorang cicit Nabi Muhammad SAW. terhadap kesalahan seorang hambanya kerana dia adalah seorang  mukmin yang bertakwa, tidak saja dia memaafkan kesalahan hambanya bahkan diiringinya kemaafan itu dengan berbuat baik kepadanya dengan memerdekakannya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghiasi diri kita dengan sifat takwa iaitu meragkumi empat ciri-ciri akhlak Islam seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat-ayat di atas iaitu sifat suka bersedekah, menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan sentiasa membuat kebaikan dan kebajikan. Jika kita sentiasa istiqamah dengan sifat-sifat ini maka tidak ada balasan yang lebih baik melainkan balasan syurga.

1 comment:

ezaty said...

alhamdulillah sgt berguna . jazakallah