Wednesday, July 27, 2011

Persahabatan Semata-mata Kerana Allah SWT

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bersahabat yang sebenar adalah persahabatan yang bukan setakat di dunia sahaja, tetapi persahabatan yang sebenar adalah persahabatan sehingga bertemu di syurga. Kita tidak mungkin selamat mengarungi bahtera kehidupan yang sangat luas dengan ancaman badai fitnah ini seorang diri. Kita tak dapat lolos dari ancaman fitnah dengan hanya mengandaikan kemampuan sendiri. Kerana kita diciptakan sebagai makhluk yang penuh kelemahan dan mudah terpedaya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : ”Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah”(Surah an-Nisa ayat 28 )

Kebersamaan dan persahabatan di jalan Allahlah yang akan menghantarkan kita menyelesaikan hidup dengan kebaikan. Persaudaraan, kebersamaan dan persahabatan di jalan Allahlah yang juga akan mengiringi kita pada kebahagian akhirat.

Dan hanya persahabatan atas dasar iman dan takwalah yang abadi. Hal ini selaras dengan firman Allah dalam Al-Quran: “Teman-teman akrab pada hari itu(hari kiamat) sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah az-Zukhruf ayat 67)

Ibnu Katsir mengatakan, seluruh persahabatan yang tidak dilandaskan kerana Allah pada hari kiamat akan berubah menjadi permusuhan. Begitu juga pesan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang menyebutkan bahawa,”Kita akan dibangkitkan di hari kiamat bersama orang yang kita cintai.”

Siapa orang yang kita cintai? Siapa orang-orang yang paling dekat dengan kita dalam menjalani hidup ini? Siapa orang yang paling menghiasi ingatan kita? Siapa yang menemani langkah-langkah hidup kita? Orang solehkah dia? Mengajak ke arah kebaikan dan keredaan Allah kah dia? Dan alangkah indahnya seandainya ada pertemuan yang sangat mengharukan dan penuh kegembiraan. Mari mulai sekarang kita bersahabat dengan orang-orang yang mendekatkan kita pada reda Allah SWT.

Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi SAW. bersabda yang bermaksud: "Di dalam syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika di dunia dan cara beribadat, bagaimana keadaan antara si fakir dengan yang kaya dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur sehingga sampai di syurga".

Sahabat-sahabat yang pernah bertemu di dunia ini kerana Allah SWT dan berbincang bersama-sama untuk menjalankan kerja-kerja dakwah, melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajak manusia lain untuk kembali kepada ajaran Islam nanti akan bertemu disyurga. Mereka akan mencari sahabat-sahabat mereka yang lain kenapa ada diantara mereka tidak berada disyurga? Sekiranya ada dikalangan mereka yang telah memasuki neraka maka mereka akan cuba memohon kepada Allah SWT untuk memberi syafaat kepada sahabat-sahabat mereka yang diseksa dineraka.

Ulama' Salaf ada memberi pesanan :"Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semoga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam syurga. Dikatakan juga , apabila Allah SWT. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."

Bagaimana Allah SWT memberi kemuliaan kepada orang-orang yang bertakwa, ketika didunia mereka bersahabat dan bersaudara kerana Allah SWT, mereka bertemu disyurga duduk berhadap-hadapan. Firman-Nya yang bermaksud : " Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara
(dalam suasana kasih mesra)  serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing." (Surah al-Hijr ayat 47)

Di dalam hadis Qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku" (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah SAW baginda bersabda maksudnya: "Allah Azzawajalla berfirman: 'Orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanKu, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Shiddiqin dan Syuhada." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim)

Dalam Hadis Qudsi yang lain diriwayatkan oleh Ubadah As-Sahamit, Allah SWT berfirman maksudnya : "Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang cinta mencintai keranaKu. Kasih-sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang sering memperhubungkan tali silaturahim keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bernasihat keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling berziarah keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bantu membantu keranaKu. Orang yang cinta mencintai keranaKu berada di atas mimbar-mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Siddiqin dan Syuhada." (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim, Qudha'i)

Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnannya ganjaran yang akan mereka dapati kerana mereka berkasih sayang kerana Allah.

Sahabat yang dikasihi,
Persahabatan dalam Islam adalah persahabatan kerana Allah SWT. Bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT untuk menjalankan kewajipan dakwah untuk  amar makruf nahi mungkar. Doa di antara dua sahabat yang berkasih sayang dan menjalin ukhwah Islamiah adalah makbul disisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)

Termasuk sahabat yang berjauhan adalah sahabat-sahabat di dalam alam maya (facebook dan blog) . Walaupun kita berjauhan dan perkenalan melalui alam maya tetapi jika persahabatan kita kerana Allah, saling nasihat menasihati, lengkap melengkapi dan berkongsi ilmu yang bermanfaat insya Allah kita semua akan termasuk di dalam hadis ini. Teruskanlah persahabatan ini dan jika kita ada permasaalahan berbincanglah bersama-sama dan carilah jawapannya mengikut ajaran Islam nescaya kita akan mendapat keredaan Allah SWT. di dunia dan akhirat. Doa-doa kalian kepada sahabat-sahabat kalian yang lain mustajab disisi Allah SWT.

Sahabat yang dihormati,
Marilah kita perbetulkan niat kita dalam persahabatan ini. Janganlah ada diantara kita cuba merosakkan persahabatan kerana Allah SWT ini dengan menibulkan perselisihan, fitnah memfitnah dan mengaibkan sesama kita. Jika ada perkara yang diperselisihkan perlulah saling bermaaf-maafan dan selesaikanlah secara hikmah dan lemah lembut. Buangkan segala sifat sombong, ujub dan bangga diri dalam diri kita dan hiasilah akhlak kita dengan akhlak Islam dan binalah ikatan persahabatan dan persaudaraan di antara kita semata-mata kerana Allah SWT.

No comments: