Sunday, July 24, 2011

Wasiat Imam Syafie (Bahagian Pertama)

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

(Bahagian Pertama - 1. Hak kepada diri, 2. Hak kepada malaikat maut, 3.Hak kepada kubur, 4.Hak kepada Munkar dan Nakir dan 5. Hak kepada mizan)

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.

1. Mengurangkan tidur, 2. mengurangkan makan, 3. mengurangkan percakapan dan 4. berpada-pada dengan rezeki yang ada.

1. Mengurangkan tidur.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

2. Mengurangkan makan.

Sabda Nabi SAW maksudnya : " Tidak ada satu bekas pun yang diisi oleh anak Adam, lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya beberapa suapan, untuk memperkukuhkan tulang belakangnya agar dapat tegak. Apabila tidak dapat dihindari, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga lagi untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya. (Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

3. Mengurangkan percakapan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

4. Berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Jauhkan diri daripada sifat tamak kepada harta dunia. Bersyukur dan berpada-padalah diatas rezeki yang Allah SWT kurniaka kepada kita.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sekiranya anak cucu Adam memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu Adam kecuali tanah,dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT

1. Mengqadakkan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, 2. mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, 3. membuat persediaan untuk mati dan 4. merasa cinta kepada Allah.

1. Mengqadakkan kewajipan-kewajipan yang ditinggalkan.

Aisyah radiallahuanha berkata yang maksudnya:    "Kami diperintahkan mengqada puasa dan tidak diperintahkan mengqada sembahyang.’’
(Hadis riwayat Muslim). Ini untuk wanita yang haid dan nifas.

Para ulama sepakat bahawa mengqadak solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW maksudnya : "Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar". Jumhur ulama bersetuju bahawa sesiapa yang telah meninggalkan solat setelah baligh hendaklah mengqadakkannya.

2. Mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (hari kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya”
(Hadis Riwayat Bukhari).

3.0. Membuat persediaan untuk mati.

3.1. Bertaubat :

Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

3.2. Menjaga solat.

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

3.3. Membayar hutang.

Dari Abi Hurairah radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.''
(Hadis Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

3.4. Perbanyakkan sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan mendidik anak-anak supaya menjadi soleh dan solehah.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi menfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadis Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad.)

4.0. Merasa cinta kepada Allah.

Abu Hurairah r.a, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“ Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung berfirman: “ Barang siapa yang memusuhi wali-Ku ( orang yang dekat kepada-Ku ) maka sesungguhnya Aku telah menyatakan perang baginya. Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu, lebih Aku senangi dari pada melaksanakan apa yang Aku fardukan atasnya. Dan tidak pula hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri dengan melakukan amalan amalan sunah , sehingga Aku mencitainya. Dan bila Aku mencintainya menjadilah Aku telinganya yang ia gunakan untuk mendengar , matanya yang ia gunakan untuk melihat, tangannya yang dengannya ia menghajar, dan kakinya yang dengannya ia berjalan. Apabila ia bermohon kepada-Ku maka pasti Ku kabulkan permohonannya, apabila ia meminta perlindungan-Ku maka pasti ia Ku-lindungi. Tidak pernah Aku mundur maju menyangkut sesuatu yang Ku kerjakan sebagaimana mundur maju-Ku terhadap jiwa hamba-Ku yang mukmin. Dia tidak senang mati, padahal Aku tidak senang menyakiti ( hati)nya. “ ( Hadis Riwayat Bukhari )

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR

1. Membuang tabiat suka menabur fitnah, 2. membuang tabiat kencing merata-rata, 3. memperbanyakkan solat tahajjud dan 4. membantu orang yang dizalimi.

1. Membuang tabiat suka menabur fitnah

Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Tidak masuk syurga orang yang suka menabur fitnah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah SWT bermaksud: "..fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan..." (Surah al-Baqarah ayat 217)

2. Membuang tabiat kencing merata-rata.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas bahawa ia berkata, Nabi melewati dua buah kubur. Baginda bersabda maksudnya : "Kedua penghuninya sedang diseksa bukan kerana dosa besar. Yang satu kerana ia suka mengadu domba, dan yang lainnya kerana tidak mau membersihkan air seni sehabis buang air kecil."

3. Memperbanyakkan solat tahajjud.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)

4. Membantu orang yang dizalimi.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada al-Barra’ bin Azib bahawa Rasulullah SAW memerintahkan mereka dengan beberapa perkara, antaranya ialah membantu orang yang dizalimi. Imam al-Bukhari juga meriwayatkan dari Abi Musa dari Nabi bersabda; “Seorang mukmin dengan mukmin yang lain seumpama sebuah bangunan yang kukuh saling menyokong antara satu sama lain, sambil Rasulullah SAW menggenggam kuat-kuat kedua-dua belah tangan baginda."
 
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Zalim ada tiga jenis : 1. Zalim yang Allah tidak akan ampunkan ; 2. Zalim yang Allah akan ampunkan ; 3. Zalim yang Allah tidak akan tinggalkan.

Adapun zalim yang Allah tidak akan ampunkan adalah syirik . Allah berfirman : 'Sesungguhnya syirik adalah zalim yang amat besar' (Surah Luqman ayat 13) ;

Adapun zalim yang Allah akan ampunkan ialah kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri dengan melakukan dosa-dosa antara dia dengan Tuhannya ;

Adapun zalim yang Allah tidak akan meninggalkannya adalah zalim insan kepada sesama insan sehingga mereka diadili kelak (di akhirat) "

( Hadis Riwayat al-Taualisiy dan Abu Na’im dari Anas Bin Malik – Menurut Syeikh Nasiruddin Albaniy – Hadis Hasan – Lihat Sahih Al-Jaami’ – No 3961 )

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR

1. Tidak berdusta dan berkata benar, 2. meninggalkan maksiat dan 3. nasihat menasihati.

1. Tidak berdusta dan berkata benar.

Nabi SAW bersabda kepada Saidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Jauhilah dusta kerana dusta itu menghitamkan wajah. Bila seseorang itu sentiasa berdusta, dia dinamakan pendusta di sisi Tuhan. Bila ia benar, dia di sebut di sisi Allah sebagai orang yang benar. Dan sesungguhnya berdusta itu akan menjauhkan iman."
 
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tanda kemunafikan ada tiga, iaitu jika berkata berdusta, jika berjanji mengingkari dan jika dipercayai berkhianat.” (Hadis riwayat Muttafaqalaih)

2. Meninggalkan maksiat.

Nabi SAW bersabda kepada Saidina Ali k.wj. maksudnya : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang tidak mahu menjaga dirinya dari maksiat, maka perut bumi itu lebih patut baginya daripada muka bumi kerana sesungguhnya tidak ada iman di dalam hatinya."

3. Nasihat menasihati.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab baginda: "Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan juga orang awam muslimin.” (Hadis riwayat Muslim)

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)

1. Menahan kemarahan, 2. banyak berzikir, 3. mengikhlaskan amalan dan 4. sanggup menanggung kesusahan.

1. Menahan kemarahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.”
(Surah Ali-Imran, ayat 134)

2. Banyak berzikir.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
(Surah Al A’raf ayat 205)
 
3. Mengikhlaskan amalan.

Amalan hendaklah dikerjakan semata-mata kerana Allah SWT bukan bercampur syirik atau riak. Abu Hurairah r.a. berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW.  bersabda, 'Allah SWT. berfirman yang bermaksud, 'Aku adalah Dzat Yang paling kaya dari persekutuan-persekutuan yang ada. Barangsiapa beramal dengan suatu amalan bercampur dengan syirik (persekutuan) di dalamnya antara Aku dengan selain Aku, Aku akan meninggalkannya dan apa yang dipersekutukan itu '." (Hadis Riwayat Muslim).

4. Sanggup menanggung kesusahan.

Daripada Abu Hurairah r.a. dan Abu Sa’id r.a,  Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
“Tidaklah seorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah gulanaan hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya (dosa-doasnya)."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita beramal dengan amalan soleh semasa di dunia ini sebelum kita di panggil pulang oleh Allah SWT. Terlalu banyak perbuatan dan amalan dosa yang telah kita kerjakan sedangkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan masih terlalu sedikit yang telah kita kerjakan. Oleh kerana panggilan maut itu tidak ada siapa yang tahu melainkan Allah SWT maka perlulah kita sentiasa berwaspada dan beramal dengan amalan yang ikhlas kepada Allah SWT dan dilaksanakan secara berterusan. Ingatlah bahawa orang yang cerdik adalah orang yang sanggup bersusah payah sedikit di dunia ini semata-mata untuk mendapat kebahagiaan di hari akhirat.

No comments: