Saturday, December 24, 2011

Jangan Meremeh-remehkan Perbuatan Dosa Dan Segerakan Bertaubat Kepada Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman,bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya,mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai." (Surah At-Tahrim ayat 8 )

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan suatu penangguhan kepada hambanya dari ditulis dosa yang telah dibuatnya oleh Malaikat Kiramul Kaatibiin  supaya dia sempat bertaubat kepada Tuhanya,maka telah berkatanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam :

    إن صاحب الشمال ليرفع القلم ست ساعات عن العبد المسلم المخطئ، فإن ندم واستغفر الله منها ألقاها، وإلا كتبت واحدة

Maksudnya : "Sesungguhnya malaikat yang disebelah kiri akan mengangkat penanya selama enam jam (tidak menulis lagi dosa tersebut) terhadap hamba muslim yang berbuat kesalahan, jika dia menyesal dan meminta ampun kepada Allah dari dosa tersebut maka akan dilemparkan sahaja dosa tersebut, jika dia tidak berbuat demikian,maka akan ditulis sebagai satu dosa." (Hadis riwayat Imam At-Thobrani dari Abu Umamah di dalam Al-Kabir)

Janganlah kalian cuba-cuba mempermainkan agama dengan menganggap setiap perbuatan yang berdosa itu sebagai perkara remeh temeh, ataupun cuba mempersoalkan berapakah berat dosa yang kalian telah lakukan itu samaada kecil atau besar  sambil melakukan perlakuan dosa tersebut dengan bersahaja tanpa rasa bersalah..

إن المؤمن يرى ذنوبه كأنه قاعد تحت جبل يخاف أن يقع عليه، وإن الفاجر يرى ذنوبه كذباب مر على أنفه، فقال به هكذا – أي بيده   -فذهب عنه

Daripada Ibnu Masu’d radiallahu anhu berkata : "Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung,yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya,dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata : dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang ." (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan,
Sesiapa sahaja yang masih lagi terperangkap di dalam jerangkap dosa ciptaanya sendiri agar berusaha memandang berat setiap dosa yang dilakukanya kerana janganlah kalian melihat akan kecilnya sesuatu dosa itu, tetapi lihatlah kepada siapa dosa itu dilakukan.

Terdapat empat syarat-syarat taubat dan pelengkap kepada taubat :

Di antara syarat-syarat taubat yang di perkatakan oleh para ulama berdasarkan hadis dan ayat-ayat al-Quran ialah :

(1) Berhenti serta merta daripada dosa yang dilakukan itu

(2) Mewujudkan rasa menyesal di atas perbuatan-perbuatan dosa yang telah dilakukan dahulu

(3) Berazam tidak akan melakukan kembali dosa-dosa terdahulu

(4) Jika dosa yang melibatkan hak insan lain hendaklah dipulangkan semula hak insan tersebut dan meminta ampun dan maaf daripada insan tersebut.

Dan terdapat sepuluh (10) syarat-syarat tambahan kepada syarat-syarat utama di dalam bertaubat ialah :

(1) Hendaklah meninggalkan dosa-dosa tersebut berniat kerana Allah SWT

Tidaklah dikira bertaubat jika meninggalkan dosa tersebut disebabkan tiada lagi kemampuan untuk melakukan dosa tersebut,atau kerana takutkan cercaan manusia kepadanya atau kerana ingin memuaskan hati manusia lainya.

Tidaklah dinamakan bertaubat jika meninggalkan dosa yang dilakukan itu adalah kerana takutkan dosa tersebut akan terkesan ke atas jawatan yang dipeganginya atau takutkan bakal dibuang kerja.

Tidaklah dinamakan bertaubat jika meninggalkan dosa yang dilakukan itu adalah kerana ingin menjaga kesihatan dan kekuatan badanya,seperti seseorang yang meninggalkan perlakuan zina kerana takutkan penyakit yang bakal menimpanya nanti, atau takutkan dijangkiti penyakit kelamain atau HIV dan sebagainya.

(2) Hendaklah mewujudkan rasa benci terhadap dosa-dosa lalu yang telah dilakukan.

Ini kerana orang yang telah bertaubat dengan taubat yang sahih itu tidaklah boleh dia merasa suka bahkan berbangga pula dengan dosa-dosa yang dilakukanya dahulu ketika mana dia teringat kembali dosa-dosanya atau menceritakanya kepada orang lain (atas niat memberi pengajaran), ataupun ada terselit suatu niat ingin kembali melakukan dosa-dosa terdahulu itu.

(3) Hendaklah seorang hamba Allah yang melakukan dosa itu bercepat-cepatan melakukan taubat kepada Allah,kerana walaupun dia melambat-lambatkan taubat sekalipun, dia tetap perlu bertaubat juga suatu hari nanti, itu pun jikalau dia masih diberikan peluang hidup oleh Allah.

(4) Hendaklah dia mewujudkan rasa tidak cukup atau merasa adanya kekurangan terhadap taubatnya supaya dia dapat memperbanyakkan taubatnya kepada Allah dan janganlah dia mewujudkan rasa yakin bahawa taubatnya diterima,kerana nanti akan menyebabkan perasaan merasa selamat daripada kemarahan Allah SWT apabila melakukan dosa.

(5) Hendaklah dia memenuhi kembali hak-hak Allah yang telah dia terlepas melakukanya dahulu sebanyak yang boleh,seperti mengeluarkan zakat yang terhalang untuk dikeluarkanya dahulu ataupun hak-hak orang fakir miskin.

(6) Hendaklah dia cuba menjauhkan dirinya daripada tempat-tempat yang boleh mendatangkan maksiat kepada Allah kerana dikhuatiri dia akan kembali melakukan dosa itu demi kerana pintunya yang terbuka luas di hadapanya.

(7) Hendaklah dia menjauhkan dirinya daripada kawan-kawan lama yang suka kepada maksiat dan insan-insan lain yang boleh menjuruskanya kembali melakukan maksiat kepada Allah.

(8) Hendaklah dia menghapuskan segala perkara-perkara haram yang masih wujud lagi didalam simpananya seperti benda-benda yang memabukkan, gambar-gambar lucah serta video-video lucah, pakaian-pakaian yang menjolok mata,yang mana semestinya dia menghapuskanya atau membakar kesemuanya, kerana kebanyakkan manusia-manusia yang telah bertaubat tidak dapat beristiqamah di dalam bertaubat kepada Allah adalah kerana masih ada lagi perkara-perkara haram ini di dalam simpananya, semoga Allah memberikan jalan istiqamah kepada setiap insan yang bertaubat.

(9) Hendaklah dia memilih rakan-rakan yang soleh dan baik akhlaknya yang boleh menolongnya mencari jalan keredaan Allah sebagai mengganti rakan-rakanya yang lama yang boleh mengajaknya kembali kepada dosa-dosa lamanya.

Begitu juga hendaklah dia cuba menghadiri majlis-majlis zikir kepada Allah ataupun majlis-majlis ilmu yang bermanfaat agar dapat mengisi masa lapangnya dengan perkara yang berfaedah supaya tidaklah dapat syaitan itu mencari peluang membisikkan kepadanya agar teringat kembali dosa-dosa lamanya.

(10) Dan yang paling penting…Hendaklah dia cepat-cepat bertaubat sebelum al-Ghargharah dan juga sebelum terbitnya matahari dari sebelah Barat.

Apakah al-Ghargharah itu ?? : iaitu suatu suara yang terkeluar daripada kerongkong di saat roh ditarik keluar daripada jasad yang bermaksud hendaklah dia bertaubat sebelum datangnya kiamat kecil (kematian) dan kiamat besar berdasarkan hadis dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wasalam :

من تاب إلى الله قبل أن يغرغر قبل الله منه

Maksudnya : "Barangsiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum datangnya al-Ghargharah maka akan diterima Allah akan taubatnya."(Hadis riwayat Imam Al-Haakim di dalam Al-Mustadraak yang berdarjat Sahih di dalam Al-Jaamik As-Saghir oleh  Imam As-Suyuthi)

من تاب قبل أن تطلع الشمس من مغربها تاب الله عليه

Maksudnya : "Barangsiapa yang bertaubat sebelum terbitnya matahari dari sebelah Baratnya,maka akan diterima Allah akan taubatnya." (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah yang berdarjat Sahih di dalam Al-Jaamik As-Saghir oleh Imam As-Suyuthi)

Sahabat yang dimuliakan,
Memperbanyakkan membuat amal kebaikkan, antaranya ialah membuat solat taubat alam usaha untuk sentiasa bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

“Dari Abu Bakar radiallahu anhu berkata : Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda : "Tidaklah seorang lelaki itu yang melakukan dosa kemudianya bangun dan membersihkan diri (berwuduk) kemudian bersolat (solat taubat dua rakaat) kemudianya meminta ampun kepada Allah dengan beristighfar melainkan akan diampunkan Allah baginya ,kemudian beliau membaca ayat ini :

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri (segera) mengingati Allah ,lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah?? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu sedang mereka mengetahui”(Surah Ali-Imran ayat 135)
(Hadis  riwayat Imam At-Tirmizi dan Imam Abu Daud)

Dan perbanyakkanlah beristighfar (meminta keampunan kepada Allah) sepertimana yang dilakukan oleh baginda :

قال أبو هريرة : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: والله إني لأستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة

Bermaksud : Demi Allah! Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepadaNya setiap hari lebih daripada 70 kali (Hadis riwayat Imam Bukhari bernombor : 6307)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم يا أيها الناس! توبوا إلى الله. فإني أتوب، في اليوم، إليه مائة مرة

Bermaksud : "Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah,sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah setiap hari sebanyak 100 kali "(Hadis riwayat Imam Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbanyakkanlah membuat amalan kebajikkan dan amalan-amalan ketaatan, sesungguhnya Umar radiallahu anhu ketika mana beliau telah berasa salah dengan kesalahanya ketika berbincang bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam di dalam peperangan Hudaibiyah, beliau berkata : “Aku telah membuat berbagai amalan soleh sebagai menghapuskan kesalahanku tersebut “

Sekarang perhatikanlah hadis ini pula :

إن مثل الذي يعمل السيئات ثم يعمل الحسنات كمثل رجل كانت عليه درع ضيقة قد خنقته ثم عمل حسنة فانفكت حلقة، ثم عمل أخرى فانفكت الأخرى حتى تخرج إلى الأرض

Maksudnya : “Sesungguhnya perumpamaan orang yang melakukan kejahatan-kejahatan kemudianya melakukan kebaikkan-kebaikkan seperti seorang lelaki yang memakai baju perang besi yang sempit, sehingga mencekiknya, kemudianya apabila dia membuat amalan kebaikkan maka terbukalah suatu lubang,kemudian dia melakukan kebaikkan yang lain dan terbukalah lubang yang lain sehinggalah terbuka kesemuanya dan jatuh ke atas tanah” (Hadis riwayat Imam at-Thobrani di dalam Al-Kabir )






No comments: