Friday, December 9, 2011

Kemurkaan Allah Terhadap Kaum 'Aad Umat Nabi Hud a.s.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT telah merakamkan dalam al-Quran sebuah kisah yang amat mengerikan dan dahsyat pernah berlaku di atas muka bumi ini. Kisah ini juga merupakan mesej untuk memberitahu betapa murkanya Allah SWT. terhadap sikap dan tindakkan manusia yang menentang kebenaran dan melampau sehingga menyebabkan kerosakan di muka bumi.

Kaum ‘Aad merupakan kaum yang mahir dalam seni bina sehingga mereka mampu mendirikan bangunan dan gedung-gedung indah di setiap tempat tinggi dengan harapan mereka dapat hidup selama-lamanya.

Allah SWT mengutus kepada kaum ‘Aad seorang Nabi yang dilantik daripada kalangan mereka iaitu Nabi Hud a.s. untuk memberi peringatan. Malangnya kaum ‘Aad menolak dan mendustakan Nabi Hud a.s.

Allah SWT. merakamkan kisah tersebut dalam al-Quran :

“Dan (Hud berkata) : ‘Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.’

Kaum ‘Aad membalas : ‘Hai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata, dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu. Kami tidak mengatakan melainkan bahawa sebahagiaan sembahan kami telah menimpakan penyakit gila atas dirimu’.”


Allah SWT menjelaskan bagaimana kaum ‘Aad dibinasakan dalam firman-Nya :

“Adapun ‘Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin rebut yang kencang , yang melampau kencangnya, yang diarahkan menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus menerus. (Kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati , seolah-olah mereka , batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang. Dengan yang demikian dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?” (Surah al-Haaqqah ayat 6-8)

Kajian geografi menunjukkan bahawa tempat tinggal kaum ‘Aad ialah di bumi Ahqaf yang terletak di sebelah utara Hadramaut. Disebelah utaranya terletak Ar Rab’ Khali, manakala timurnya ialah Oman . Mereka ialah kaum yang menyembah berhala, antaranya yang bernama Waddn, Suwa’an, Yaghus, Ya’uq dan Nasran. Kaum ‘Aad yang dibinasakan ialah kaum ‘Aad yang terdahulu (pertama). Adapun kaum ‘Aad yang terkemudian (kedua) mereka menetap di Yaman.

Menurut cerita daripada penduduk Hadramaut . Sesungguhnya Nabi Hud a.s menetap di Hadramaut selepas kaum ‘Aad di binasakan sehingga baginda wafat dan dikebumikan ditimur Hadramaut iaitu dua marhalah daripada bandar Turim berhampiran lembah (Barhut)

Allah SWT telah menyebutkan kehebatan kaum ‘Aad dalam firman-Nya yang bermaksud : “Tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu lakukan terhadap kaum ‘Aad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya (sesuai dengan penduduknya.)
(Surah al-Fajr ayat 6-7)

Seorang ahli arkeologi bernama Nicholas Clapp telah menemui lokasi lagenda purba itu. Daripada penemuan arkeologi tersebut didapati bahawa menara dan tiang-tiang yang disebutkan dalam al-Quran begitu mengagumkan dan mempunyai bentuk-bentuk khas . Catatan sejarah mendapati kaum ‘Aad adalah kaum yang terkaya di dunia. Mereka sangat maju dalam pertanian ‘frankincence’ , salah satu tanaman yang paling berharga pada waktu itu. Manakala hasil daripada penggalian , telah ditemui sisa runtuhan sebuah kota yang amat luar biasa. Kota tersebut dikelilingi dinding memiliki ukuran begitu luas dan istananya merupakan bangunan yang sangat menakjubkan. Tiang-tiangnya memiliki teknologi arkitektual yang tinggi, berbentuk bulat dan disusun dalam serambi yang melengkung, berlapis emas atau perak. Ruang-ruang di antara tiang-tiang tersebut sangat mengagumkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Adapun kaum ‘Aad , maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar , serta berkata : “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?” Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (daripada tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatan-Nya daripada mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahui) (Surah al-Fushilat ayat 15)

Begitulah sikap kaum ‘Aad sehingga mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Akibatnya mereka dibinasakan dengan taufan.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika kaum 'Aad dibinasakan kerana mereka engkar dan menderhaki Allah SWT. Sentiasa membuat dosa dan menentang kebenaran ajaran Nabi-Nya yang diutuskan iaitu Nabi Hud a.s.

Apa bezanya jika umat manusia hari ini menentang ajaran Nabi Muhammad SAW, menghina baginda dan mempersenda sunahnya maka tidak hairanlah jika Allah SWT menurunkan bala dan musibah kepada manusia hari ini. Perlu diingat! Banjir yang berlaku, sunami, gempa bumi,  ribut taufan dan meletupnya gunung berapi yang mengakibatkan kematian beribu-ribu orang adalah sebahagian daripada bala dan musibah yang dihantar oleh Allah SWT dimuka bumi ini sebagai peringatan kepada semua manusia supaya kembali beriman dan mentaati Allah SWT. Ini tidak termasuk bala berbentuk penyakit berjangkit, kemarau panjang dan peperangan sesama sendiri yang menyebabkan kerosakkan harta benda yang besar.

Jika umat Islam kembali melaksanakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya dan mengikuti sunah dan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW maka akan berlakulah keberkataan dari langit dan bumi sebagimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai apa yang telah mereka kerjakan." (Surah al-A'raf ayat 96)

'maka Kami seksa mereka sesuai apa yang telah mereka kerjakan.' ini adalah ayat yang menunjukkan kemurkaan Allah SWT kepada manusia  yang melakukan maksiat dan kederhakaan kepada-Nya.

Marilah sama-sama kita mengambil beberapa pengajaran daripada kisah di atas iaitu :

1. Setiap para Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. yang berdakwah kepada kaumnya untuk mengajak mereka kembali kepada sumber yang satu iaitu mentauhidkan Allah SWT dan meninggalkan segala sembahan yang lain. Mereka engkar dan mencabar kekuasaan Allah SWT. dan meminta diturunkan bala, maka turunlah bala menimpa mereka.

2. Kemajuan dan teknologi cangih yang dimiliki oleh umat terdahulu semuanya tidak mampu menghalang azab Allah SWT apabila telah datang kemurkaan Allah SWT. Oleh itu kita di zaman moden dengan kemajuan sains dan teknologi juga tidak akan terlepas dari azab Allah SWT  apabila umat Islam hari ini meninggalkan ajaran Islam yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Seharusnya kemajuan yang kita miliki semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT dan patuh kepada hukum-hakam-Nya.

No comments: