Friday, December 28, 2012

Terdapat Tujuh Belas Cara Untuk Para Suami Menambat Hati Isterinya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam rangka mengukuhkan hubungan kekeluargaan dikalangan kaum muslimin dan menyebarkan tuntunan Islam di dalam pembinaan keluarga, maka suami perlu memainkan peranan penting untuk menghormati, mengasihi dan bersabar ketika menghadapi keranah para isteri kerana perempuan (isteri) mempunyai banyak kekurangan yang perlu di perbaiki. Jika para suami bersikap positif dan mengatasi masaalah rumah tangga bukan dengan emosi tetapi dengan akal yang waras dan kesabaran yang tinggi in syaa Allah segala masaalah akan dapat di atasi dengan baik. 


Dalam menggauli dan memperlakukan isteri-isteri Baginda, Rasulullah SAW  senantiasa menghormati dan menjaga perasaan isteri-isterinya melebihi suami-suami yang lainnya. Satu saat ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, baginda dekati isterinya Aisyah sampai Aisyah berkata: Di tengah malam baginda mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku baginda berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku.”

Kita bayangkan betapa besar penghormatan Rasulullah kepada isterinya sampai ketika baginda hendak melakukan solat malam, baginda terlebih dahulu meminta izin kepada isterinya pada tengah malam, di saat isterinya memerlukannya. Pada izin Rasulullah itulah tergambar kecintaan dan penghormatan terhadap isterinya.  

Terdapat tujuh belas cara yang boleh dijadikan panduan untuk para suami untuk menjadikan rumah tangga kalian menjadi rumah tangga sakinah , mawaddah dan penuh rahmat.

Cara-cara tersebut adalah seperti berikut :



1. Perjumpaan yang mesra.


Setelah pulang dari bekerja atau perjalanan jauh ataupun urusan lainnya yang telah memisahkan kalian, lakukan tips berikut ini: Mulailah dengan salam yang baik Dimulai dari "Assalamualaikum" sambil mengukirkan senyum, dan ikhlaskan hati  dan berdoalah kepada Allah untuk isteri anda tersayang. Salam dan senyum adalah sunnah, sedang mendoakan isteri adalah kewajipan . Salam tangannya kalau perlu cium juga pipinya atau dahinya dan tangguhkan dulu niat anda untuk menyampaikan berita yang sekiranya tidak akan menyenangkan hatinya.


2. Ucapkan perkataan yang baik


Dalam bertutur kata dengan isteri pilih kata-kata yang berbentuk positif dan jauhi sekiranya boleh mendatangkan suasana negatif. Agar isteri anda mengerti apa yang anda ucapkan. Cuba ucapkan setiap perkataan dengan jelas dan ulangi kata-kata anda bila perlu. Berilah perhatian ketika anda mendengarkan ucapan atau ceritanya. Hal ini akan membuatnya merasa dan dihargai, sebagaimana anda juga merasa dihargai, apabila perkataaan anda didengarkan dengan baik. Panggillah dia dengan panggilan mesra yang disukainya, misalnya " sayang", "buah hati" dan panggilan mesra lainnya. Kebiasaan ini akan menambah kemesraan hubungan kalian. 


Rasulullah SAW tidak pernah bercakap kasar, tidak bersikap bengis, tidak marah-marah, tidak menengking atau memalukan para isteri baginda. Sewajarnyalah kita mencontohi sikap baginda SAW dalam hal ini, kerana nilai akhlak mulia baginda adalah cukup tinggi.


3. Bersahabat dan santai


Jangan terlalu sibuk dengan urusan anda sendiri, sediakan waktu untuk bergurau senda bersamanya. Sampaikan padanya berita-berita yang menyenangkan dan selalu ingatkan dia tentang kenangan indah bersamanya. Dalam hal ini jangan terlalu serius, kerana akan membuat kaku suasana. Santailah sedikit, jangan perlakukan isteri anda seperti teman sejawat atau pekerja bawahan anda di tempat kerja.


4. Permainan dan Selingan


Agar kehidupan rumah tangga anda tidak terlalu kaku, selingi aktiviti anda berdua dengan senda gurau dan pupuk perasaan mesra. Lakukan permainan dan jogging bersama atau selainnya, ajak dia menonton pertunjukan atau hiburan yang halal dan jauhilah hal-hal yang haram dari pilihan hiburan anda. Ajak isteri anda ke tepi pantai atau tempat rekerasi.


5. Membantunya dalam tugas kerumahtanggaan


Lakukan apa saja yang anda boleh menolongnya melakukan tugas rumah tangga, terutama kalau dia sakit atau penat. Hal yang juga penting adalah membuatnya merasa dihargai, kerana anda tidak pernah lupa memberi penghargaan atas penat lelahnya di dalam menyelesaikan tugas rumah tangga.


Contoh Nabi SAW sendiri bila berada dirumah isteri-isterinya turut membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah dan selalu membuat sendiri sesuatu kerja seperti menjahit pakaiannya tanpa menyuruh isteri baginda. 


6. Bermasyuarat.


Biasakan bermasyuarat khususnya dalam menyelesaikan persoalan keluarga. Buat dia merasa, bahawa pendapatnya adalah amat penting bagi anda. Oleh kerana itu anda harus mempelajari dan mendengarkan pendapatnya dengan seksama dan anda harus rela meninggalkan pendapat anda, serta mengikuti pendapatnya, bila pendapatnya itu benar dan lebih baik. Berterima kasihlah kepadanya kerana telah membantu anda dengan pendapat yang dikemukakannya.


7. Ziarahi sesama muslim


Pilih ahli keluarga , saudara mara dan sahabat terdekat untuk dikunjungi dengan tujuan membina hubungan baik dengannya. Banyak kesan positif dari mengunjungi ahli keluarga atau saudara mara dan orang-orang terdekat yang rapat dengan anda (jangan sia-siakan waktu dalam kunjungan tersebut, gunakan kesempatan bertemu dengan mereka sebaik-baiknya) Jangan lupa tekankan keharusan mempraktikkan akhlak Islam di dalam kunjungan anda. Guna menjaga hubungan anda berdua, jangan memaksanya mengunjungi seseorang atau keluarga yang membuatnya tidak senang hati dengan kunjungan itu.


8. Apa yang harus dikerjakan sebelum dan ketika melakukan perjalanan jauh


Dalam menjalankan tugas anda sebagai suami atau sebagai bagian dari kewajiaban tugas kerja anda di pejabat/ di tempat kerja, kadangkala anda harus melakukan kerja diluar kawasan (out station), meninggalkan anak dan isteri anda. Sebelum melakukan perjalanan jauh hendaknya anda memperhatikan hal-hal berikut:


- Ucapkan selamat tinggal yang mesra kepada anggota keluarga yang anda tinggalkan, terutama isteri anda dan ucapkan nasihat-nasihat yang baik sebelum bertolak.


- Bacalah doa musafir.

- Mintalah isteri anda agar selalu mendoakan anda ketika anda tidak bersamanya.

- Tinggalkan untuk isteri dan anak anda wang dan keperluan keluarga yang cukup.

- Pulang secepat mungkin bila sudah selesai urusan.

- Bawalah buah tangan untuknya dan untuk anak-anak kesayangan anda.

- Hindari pulang di waktu yang kurang sesuai (ketika dia sedang  tidur lina) atau di waktu tengah malam.

- Bawalah isteri anda bersama jika sesuai untuk dibawa bersama.

9. Nafkah dalam bidang kewangan


Sebagai suami hendaknya anda bijaksana di dalam membelanjakan wang sesuai dengan kemampuan kewangan anda. Anda tidak boleh kikir terhadap isteri dengan wang anda dan juga sebaliknya janganlah membazir. Anda akan mendapatkan pahala atas nafkah yang anda berikan kepada keluarga yang menjadi tanggungan anda, walaupun hanya sekadar sekeping roti yang diberikan kepada isteri hasil dari titik peluh anda sendiri. Dalam rangka menjaga perasaan isteri anda, adalah sangat digalakkan agar anda memberinya wang keperluan  sebelum dia memintanya.


10. Berbau harum dan kemas pakaian.


Ikuti sunah mencukur rambut yang tumbuh di bagian sekitar kemaluan dan ketiak. Selain itu anda juga diharapkan untuk selalu menjaga kebersihan dan kemas terutama bila anda berduaan dengannya, beri nasihat yang baik  supaya dia juga berwangi-wangian ketika bersama anda.


11. Hubungan seksual


Adalah kewajiban anda untuk rutin membiasakannya bila anda tidak ada halangan untuk melakukannya (misalnya sakit dan lain-lain). Jangan lupa memulainya dengan "bismillah" dan ucapkan doa "allahumma janibnassyaithon…". Jangan lupa mulai dulu dengan "kemesraan" dan sertakan kata-kata mesra. Lakukan dengan tenang sehingga anda dan isteri anda sampai kepada kemuncaknya.


12. Menjaga rahsia keluarga


Setiap keluarga mempunyai masaalah berbeza, oleh itu jagalah rahsia rumah tangga anda janganlah di ceritakan kepada keluarga atau rakan anda. Misalnya adakala isteri anda menolak kemahuan anda untuk bersama atau ada masaalah tertentu yang perlu dirahsiakan.


13. Bantulah dia di dalam ketaatan kepada Allah


Salah satu tanggung jawab anda sebagai seorang suami adalah anda berkewajiban membantu isteri di dalam ketaatan kepada Allah. Biasakanlah melakukan hal-hal berikut ini :


- Bangunkan isteri anda di sepertiga malam terakhir dan ajak dia menunaikan solat malam atau tahajud .


- Ajari dia apa yang anda ketahui dari Al Quran dan tafsirnya.

- Ajari dia "Zikir" (cara untuk mengingat Allah dengan mencontoh Rasulullah SAW) (Cuba amalkan zikir al-Mathurat Kubra diwaktu pagi dan petang)

- Anjurkan isteri anda untuk membelanjakan wangnya di jalan yang diredaiNya.

- Bawa dia serta ketika mengerjakan haji dan umrah, kalau anda mampu.

Dalam rangka untuk menjaga sillaturrahim dengan keluarga isteri anda dan persaudaraan Islam dengan kerabat dan teman-temannya lakukan hal-hal berikut ini:


- Ajak dia untuk mengunjungi keluarga dan kerabatnya, terutama orang tuanya.


- Menjemput mereka untuk mengunjungi isteri anda dan sambutlah dan hidangkan kepada mereka jamuan yang terbaik.

- Beri mereka hadiah di waktu hari kebesaran Islam seperti hari Raya dan lain-lain.

- Ulurkan tangan ketika mereka memerlukan dengan memberikan bantuan baik berupa wang maupun bantuan lainnya.

- Jaga hubungan baik dengan keluarganya setelah anda ditinggalkan oleh isteri anda apabila dia meninggal dunia mendahului anda. Dalam hal ini anda sebagai seorang suami sangat dianjurkan untuk mengikuti sunah dengan selalu meneruskan pemberian apapun yang biasa dilakukan oleh arwah isteri kepada siapapun yang biasa diberi ketika hidupnya, terutama dari kalangan teman-temannya dan keluarganya.

14. Pembelajaran Nilai-nilai Islam dan Pemberian Nasihat


Tanggung jawab anda sebagai suami yang lainnya adalah anda berkewajiban memberi pelajaran dan tarbiah kepada isteri anda di dalam hal-hal yang mencakup dasar-dasar Islam, tugas dan kewajibannya sebagai seorang Isteri, menghuraikan hadis Nabi SAW atau tafsiran al-Quran ,hukum feqah serta hukum-hukum Islam yang berkaitan dengan wanita. 


Anda juga harus mendorong dan mendukungnya untuk menghadiri majlis ilmu di surau atau dimasjid, serta membelikannya buku-buku dan Majalah Islam, kaset-kaset, CD dan VCD yang memuat ceramah dan pelajaran Islam, guna melengkapi perpustakaan peribadi di rumah anda. Pastikan isteri anda mendapat ilmu yang bermanfaat dan berterusan supaya dia menjadi isteri solehah yang bertakwa dan berilmu.

15. Cemburu yang tidak keterlaluan.


Cemburu adalah fitrah. Bahkan seorang suami harus cemburu terhadap isterinya, tetapi jangan berlebihan (cemburu buta). Kadang hubungan suami isteri jadi kurang baik, kerana suami yang tidak punya rasa cemburu ataupun bahkan berlebihan mencemburui isterinya. Maka berpada-padalah dan kawal perasaan cemburu anda supaya tidak menjadi salah faham di antara suami isteri.


- Yakinkan, bahawa dia telah menutupi tubuhnya dengan hijab yang sempurna sebelum meninggalkan rumah. Amat berbahaya apabila anda sebagai suami tidak cemburu sama sekali manakala isteri keluar rumah tapi auratnya terbuka dan bersolek berlebih-lebihan. Dosa akan ditanggung oleh suami jika suami membiarkan perkara ini berlaku ke atas isterinya.


- Batasi pergaulannya, jangan sampai bercampur baur dengan laki-laki yang bukan mahram. Tutup pintu-pintu fitnah dan jaga batas-batas syarak.


- Cegahlah isteri anda keluar rumah bersendirian untuk keperluan yang tidak penting.


- Cegahlah isteri anda mengangkat telepon ketika telepon berdering, manakala anda atau anak laki-laki anda bersamanya. Ajarilah dia menjawab yang perlu saja, bila terpaksa  menjawab panggilan telefon dari lelaki yang bukan mahram.


- Nasihatkan isteri anda ketika membuka laman sosial facebook supaya mengambil hanya ilmu yang bermanfaat sahaja dan berinteraksi rakan wanita yang dikenali supaya tidak timbul fitnah. Jauhi lelaki yang tidak dikenali untuk menjaga batas-batas syarak demi kebahagiaan rumah tangga dan menjauhi daripada fitnah.


16. Sabar dan Lemah lembut


Masalah rumah tangga adalah sesuatu yang lumrah dalam perkawinan. Yang salah adalah respon yang berlebihan dan membesar-besarkan masalah, hingga kadang ikatan perkahwinan menjadi retak. Dalam menghadapi masalah, kadang suami harus menunjukkan kemarahan kepada isteri, misalnya apabila  isteri sudah keluar dari ketaatan seperti keluar rumah tanpa izin, dengan menunda-nunda solat, mengungkit-ungkit kebaikannya dan lain-lain. Tetapi bila isteri anda menyesali perbuatannya dan menunjukkan keinginannya untuk meninggalkan keburukan tersebut , maafkanlah kesalahannya.


Bagaimana cara terbaik untuk memperbaiki kesalahannya? Ikuti tips berikut ini: 


Pertama,dengan menasihatinya secara bersendirian (jangan di depan anak-anak anda atau orang lain, guna menjaga perasaannya) , baik secara tersirat maupun tersurat. Dan lakukanlah nasihat ini berulang kali jangan hanya sekali saja. 


Kedua, bila isteri anda belum masih melakukannya dan tidak mahu dinasihati maka tinggalkan tempat tidurnya (untuk menunjukkan perasaan anda), perlu diingat anda perlu tidur dibilik lain.tak perlu pindah meninggalkan rumah anda dan pindah ke rumah lainnya ataupun tidak bicara sama sekali dengan isteri anda. Tidak perlu demikian, cukup dengan meninggalkan di tempat tidur, isteri anda sudah merasa, bahawa dia sedang ditegur.


Ketiga, penyelesaian terakhir adalah "memukulnya dengan ringan" (hal ini diperbolehkan). Dalam hal ini anda harus memperhatikan hal berikut ini: Adalah merupakan sunah untuk menjauhi langkah menghukum isteri dengan memukulnya, kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah memukul wanita (isteri-isterinya) atau hamba-hambanya. Anda baru diperbolehkan melakukannya apabila isteri anda sudah keterlaluan dalam ketidak taatannya, misalnya sering menolak berhubungan seksual tanpa alasan yang diperbolehkan, solat tidak pada waktunya secara terus menerus, meninggalkan rumah tanpa izin anda, atau menolak untuk mengatakan apa yang dialaminya ketika dia meninggalkan rumah dan lain-lain.


Langkah di atas tak boleh anda lakukan, kecuali setelah meninggalkan tempat tidur isteri anda  dan setelah membicarakan masalah ini dengannya sebagaimana yang dijelaskan oleh Al Quran. Anda tak boleh memukul isteri anda sampai melukainya atau memukul bagian badan hingga lebam dan juga dilarang memukul bahagian mukanya atau kepala. Memukul dibahagian betis secara ringan untuk mengingatkannya bukan untuk mencederakannya.


17. Maafkan dia dan cela perbuatannya yang buruk dengan wajar


Jangan menjadi pendendam, setiap insan sering melakukan kesalahan, maafkan isteri anda bila ia melakukan kesalahan, tapi hukum dia dan celalah perbuatannya yang buruk, agar dia tidak mengulanginya lagi. Ini akan menjaga hubungan rumah tangga kalian berdua. Dalam hal ini perhatikanlah langkah-langkah berikut:


-Lihatlah kesalahannya yang besar saja, jangan mengungkit-ungkit kesalahannya yang kecil. Maafkan kesalahannya, tetapi beritahu dia, bahawa hukumnya berdosa terutama hal-hal yang bersangkut paut dengan ibadah (melewat-lewatkan solat) atau tidak menutup aurat.Begitu juga kesalahan sesama manusia seperti mengumpat, mengadu domba atau membuat fitnah. Ingat-ingatlah perbuatan baik isteri anda, di ketika dia melakukan kesalahan.


-Jangan sekali-kali mencela, kerana masakannya yang kurang sedap, sebagaimana Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun mencela masakan seorangpun dari isteri-isteri baginda kerana masalah ini. Jika menyukai masakan yang dihidangkan  isteri, baginda memakannya dan jika tak berselera, baginda tak memakannya dan tak memberikan komen sama sekali. Hindari penggunaan sindiran dan kata-kata perli yang mungkin dapat melukai perasaannya.


Sahabat yang dikasihi,

Sebagai ketua keluarga yang mengharapkan kebahagiaan rumah tangga, kalian sebagai suami perlulah mencari jalan terbaik untuk mengatasi masaalah rumah tangga dengan berlemah lembut dan bertolak ansur dengan isteri-isteri kalian. Tujuh belas cara di atas boleh dijadikan panduan untuk membina perhubungan yang lebih intim dan mengelakkan dari berlakunya keretakan rumah tangga sehingga boleh membawa kepada penceraian. 

Dalam kehidupan rumah tangga Rasulullah SAW, baginda telah meninggalkan contoh teladan kepada kita betapa baginda berbuat baik kepada keluarganya. Dalam sebuah hadis Nabi SAW.


عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى. رواه الترمذى


Maksudnya : “Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Rasulullah Sallallau ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Ash Shahihah (no. 285).)


     

No comments: