Saturday, January 12, 2013

Berdoalah Kepada Allah SWT Supaya Di Jauhi Daripada Seksa Kubur


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Seksa kubur memang menakutkan dan menggerunkan, namun begitu, Rasulullah SAW mengajar beberapa doa untuk diamalkan supaya umatnya terhindar daripada seksa kubur, seksa di Padang Mahsyar dan seterusnya selamat daripada api neraka. 

Berdasarkan kepada Al-Quran dan hadis, ulama telah menggariskan beberapa panduan atau kaedah yang boleh diamalkan, seperti yang dipaparkan dalam seperti berikut :

Salah satu doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk selalu dibaca pada penghujung solat adalah memohon agar dihindarkan dari azab kubur, iaitu;

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya : “Ya Allah, aku ber-lindung padaMu dari seksaan kubur, seksa neraka Jahanam, fitnah kehidupan dan setelah mati, serta dari kejahatan fitnah Almasih Dajjal.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Amalan lainnya yang dapat dilakukan agar terhindar dari seksa kubur adalah dengan membaca Surat al-Mulk (Tabarakalladzi biyadihil mulk…), setiap malam.

عن عبد الله بن مسعود قال : من قرأ { تبارك الذي بيده الملك } كل ليلة منعه الله بها من عذاب القبر وكنا في عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم نسميها المانعة وإنها في كتاب الله سورة من قرأ بها في كل ليلة فقد أكثر وأطاب

Dari ‘Abdullah bin Mas’ud, ia berkata, “Siapa membaca ‘Tabarokalladzi bi yadihil mulk (surat Al Mulk)’, setiap malam, maka Allah akan menghalanginya dari seksa kubur. Kami di masa Rasulullah SAW menamakan surat tersebut dengan ‘al-Mani’ah’ (penghalang dari seksa kubur). Dia adalah salah satu surat di dalam Kitabullah. Siapa membacanya setiap malam, maka ia telah memperbanyak dan telah berbuat kebaikan.” (Hadis Riwayat An-Nasai dan Al-Hakim)

Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu menceritakan, sekali waktu, ada sahabat Nabi SAW yang membuat kemah di atas sebuah tanah perkuburan, dia tidak tahu jika dia memasang kemahnya di perkuburan, tiba-tiba terdengar suara seseorang membaca surat Tabarakalladzi bi yadihil mulk (Surat al Mulk) sampai selesai.

Setelah kejadian itu, sahabat tersebut datang kepada Nabi SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, saya mendirikan kemah di atas kuburan dan saya tidak mengira jika tempat tersebut adalah kuburan, kemudian ada seseorang membaca surat Tabarak (surat Al Mulk) sampai selesai?”

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Dia (Surat al-Mulk) adalah penghalang, dia adalah penyelamat yang menyelamatkan (pembaca)-nya dari seksa kubur.” 
(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Rasulullah SAW juga bersabda, “Ada suatu surat dari al Quran yang terdiri dari tiga puluh ayat dan dapat memberi syafaat bagi yang membacanya, sampai dia diampuni, iaitu Tabaarakalladzii biyadihil mulku… (surat Al Mulk).” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ahmad, dari Abu Hurairah ra).

Kerana keutamaannya itu pula, Rasulullah SAW selalu membaca surat ini sebelum tidur. Jabir r.a. salah satu sahabat beliau menceritakan, “Rasulullah SAW tidak tidur hingga baginda membaca Alif Lam Tanzil (Surat As Sajdah) dan Tabarakalladzi biyadihil mulk (Surat al Mulk).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila mati anak Adam dan dikebumikan sahaja di tanah perkuburan maka datanglah malaikat Munkar dan Nakir untuk mengajukan beberapa soalan . Jika mampu menjawabnya maka akan terselamatlah daripada seksaannya dan jika gagal menjawabnya maka manusia tadi akan di seksa dan dipukul dengan tukul besi yang besar dan berat.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Jika seorang hamba telah diletakkan di kuburnya, dan sahabat-sahabatnya telah meninggalkannya, serta  mendengar suara sandal (tapak kaki) mereka, maka dua malaikat datang kepadanya kemudian duduk padanya. Kedua malaikat tersebut berkata,”Apa yanq dulu engkau katakan tentang orang ini (Rasulullah Salalallahu Alahi Wasalam) Adapun orang mukmin ia berkata,’Aku bersaksi bahawa dia hamba Allah, dan Rasul-Nya, kemudian dikatakan kepadanya, lihatlah ke kursimu (tempat dudukmu) di neraka, Allah telah memberi ganti untukmu dengan kursi dari syurga. ‘Orang Mukmin tersebut boleh melihat kedua kursi tersebut. Adapun munafik, atau orang kafir, maka kedua malakat bertanya kepada keduanya,’Apa yang dulu enqkau katakan tentang orang ini (Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam)? ‘0rang munafik atau orang kafir tersebut berkata,’Aku tidak tahu. Dulu aku hanya berkata seperti yang dikatakan manusia. Dikatakan kepada 0rang kafir, atau orang munafik tersebut, Engkau tidak tahu, dan tidak mengikutinya? ‘Kemudian orang kafir, atau orang munafik tersebut dlpukul dengan tukul besi dengan pukulan yang membuatnya berteriak dengan teriakan yang boleh didengar makhluk-makhluk yang berdekatan dengannya kecuall manusia, dan jin.”  (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, An-Nasai, Abu Daud, dan Ahmad).

Jin dan manusia tidak dapat mendengar jeritan dan pekikkan ahli kubur kerana alam barzakh dengan alam dunia terdapat dinding yang menutupnya. Dengan ini bunyi yang menakutkan tidak dapat di dengar oleh manusia. Nabi SAW mempunyi kelebihan mukjizat daripada Allah SWT sehingga baginda boleh mendengar teriakan ahli-ahli kubur yang sedang di seksa.

Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Kalaulah tidak kerana kamu sekelian akan dikuburkan di dalam tanah nescaya aku akan berdoa kepada Allah supaya Dia mendengarkan kamu dari seksa kubur sebagaimana aku mendengarnya”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada riwayat Abi Ayyub katanya,  “Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang di hormati, 
Semua orang kafir dan munafik akan diseksa dengan seksaan yang hebat dan dahsyat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “(Allah) akan memberi kuasa untuk menyeksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuk/menyengatnya hingga berdirinya kiamat. Jika sekiranya seekor sahaja dari ular-ular itu meniupkan bisanya ke bumi nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi)”.- (Hadis Riwayat Imam Ahmad dari Abi Said al-Khudri r.a.)

Beberapa kesalahan yang dilakukan di dunia akan mendapat seksaan di alam kubur. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Melaga-lagakan (mengadu domba) dan mengampu.

Daripada Ibnu Abbas radhiallahu’anhu berkata : “Suatu kali Rasulullah Sallallahu’Alaihi Wasallam melewati kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba baginda mendengar suara dua orang yang sedang diseksa di dalam kuburnya. Lalu Nabi Sallallahu’Alaihi Wasallam bersabda:

“Sungguhnya kedua mayat ini sedang diazab. Bukanlah keduanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci dari kencing. Dan seorang lagi kerana berjalan kesana kemari mengadu domba. Maka Nabi S.A.W meminta pelepah tamar yang basah lalu dipatahkan kepada dua bahagian dan dipacakkan kepada dua buah kubur tersebut. Dan Nabi SAW pun bersabda : Mudah-mudahan diringankan azab dari kedua mayat ini selama pelepah ini belum kering.” (Hadis Riwayat Bukhari)

2. Tidak bersuci dengan sempurna ketika buang air kecil.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda: Bersucilah kamu daripada kencing kerana kebanyakkan yang diazab adalah dengan sebabnya.” (Hadis Riwayat al-Darqutni)

3. Solat tanpa menyempurnakan wuduk.

Rasulullah S.A.W.  bersabda  maksudnya :  “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci”(Hadis Riwayat Muslim )

Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W.  pernah melihat seseorang melakukan solat, sedangkan pada tumitnya ada sedikit yang tidak terkena siraman air wuduk. Nabi S.A.W. memerintahkannya untuk mengulangi wuduk dan solatnya .(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Nabi S.A.W. menyuruh orang tersebut untuk mengulangi solatnya kerana solat tersebut dilakukan tanpa bersuci dan tidak sah.

4. Meratapi kematian orang yang disayangi.

Salah satu amalan yang dilarang oleh Rasulullah SAW kepada umatnya adalah  meratapi dengan meraung-raung di atas kematian orang yang disayangi kerana disebabkan perbuatan tersebut akan menyebabkan simati di seksa di dalam kubur. Memadailah menangis tanda sedih di atas pemergian insan yang disayangi.

Daripada Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma, “Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup” (Hadis Riwayat Bukhari)

Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

5. Meninggalkan kewajipan menunaikan solat, mengerjakan puasa dan membayar zakat.

Ketiga-tiga amalan fardu ini jika ditinggalkan bukan sahaja mendapat seksaan di hari akhirat tetapi mereka yang meningglkannya juga akan mendapat seksaan di alam barzakh. Betapa besarnya dosa yang ditanggung kerana meninggalkan amalan fardu tersebut.

Sahabat yang dikasihi, 
Imam Ibnu Qayyim rahimahullah menyebutkan ketaatan yang dapat menyelamatkan dari seksa kubur, di antaranya:

1. Senantiasa mengikatkan diri di jalan Allah.

2. Mati syahid di jalan Allah.

3. Membaca surat Al-Mulk.

4. Meninggal kerana sakit perut.

5. Meninggal dunia pada hari Jumaat.

Oleh itu beramallah dengan amalan soleh secara berterusan dan jauhilah segala perbuatan atau perkataan yang boleh mengundang dosa dan maksiat di sisi Allah S.W.T. Mukmin yang berhati-hati dan sentiasa muhasabah diri adalah lebih baik daripada mukmin yang berpuas hati dengan amalan-amalan yang telah dikerjakannya.

Pahala sesebuah amalan itu akan terputus ketika matinya anak adam. Namun pahala sedekah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh akan berterusan, ianya  akan terus mengalir kepada pemberinya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

"Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)





No comments: