Friday, February 8, 2013

Cetusan Hati Di Hari Lahirku Tahun 2013


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Masa terus berjalan, hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun.Tidak ku sedari umurku meniti ke alam senja. Doa ku terima "selamat panjang umur" hakikat sebenarnya setiap kali kusambut hari kelahiranku ini petanda umurku semakin berkurangan.

Alangkah bahagianya sekiranya bertambah saja usiaku maka bertambah pula amal soleh, amal ibadah dan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Alangkah ruginya  jika tahun bertambah, umur  meningkat tetapi pada masa yang sama bertambah pula dosa, kemugkaran, maksiat dan kerja-kerja yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT?. Ya Allah ampunkan dosa-dosaku.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.”
(Hadis Riwayat Tarmizi).

Bilaku perhatikan, sesungguhnya..amal solehku, ibadahku, solatku, zikirku, sedekahku, jihadku, dakwahku dan pengorbananku untuk jalan Allah masih terlalu sedikit. Masih banyak amanah dan tugas yang dipikulkan kebahuku masih belum mampu ku laksanakan. Selagi muka bumi Allah SWT ini masih ada orang melakukan maksiat dan dosa selama itulah dakwah dan tarbiah tidak boleh ditinggalkan.

Hatiku rasa sedih bilaku lihat ramai remaja dan pemuda seagama denganku terlibat dengan gejala sosial, hidup berpoya-poya dengan maksiat sedangkan aku tidak mampu mengajak mereka untuk menjadi pemuda dan pemudi beriman dan bertakwa. Sedangkan mereka semua adalah aset penting negara untuk masa hadapan. Hancurnya sebuah negara dan tamadun apabila hancur pemuda dan pemudinya.

Bilaku lihat ramai wanita Islam berpakaian samaada remaja atau dewasa tidak menutup aurat, bergaul bebas dan seronok dengan hiburan dan berpeleseran dipusat membeli belah hatiku berkata-kata , "kenapakah mereka tidak takut kepada kemurkaan Allah dan lupa bahawa hidup di dunia ini adalah sementara belaka dan akhiratlah kehidupan yang kekal abadi" Siapakah yang mampu untuk menyedarkan mereka? Di mana ayah dan ibu mereka dan dimanakah para suami-suamai mereka yang membiarkan isteri-isteri mereka mendedahkan aurat!

Bilaku lihat dalam masyarakat umat Islam berlaku persengkitaan, berpecah belah dan saling tuduh menuduh dan fitnah memfitnah, dapatlah ku rasakan bahawa rahmat dan keberkataan hidup telah ditarik balik oleh Allah SWT kerana mereka meningglkan dakwah dan ajaran Islam. Mereka mengutamakan harta benda, pangkat dan kuasa melebihi ukhwah dan kasih sayang dan mereka telah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Ku harapkan doa sahabat-sahabat semua untuk kebahgiaanku di dunia dan akhirat dan aku juga mendoakan kalian semua  sentiasa dirahmati Allah, dipanjangkan umur dengan melakukan kebaikan dan di kurniakan rezeki yang halal dan berkat dan zuriat keturunan yang soleh dan solehah. Doa sahabat yang berjauhan mustajab di sisi Allah SWT. Semoga kita semua dipilih oleh Allah SWT untuk memasuki syurga-Nya seluas langit dan bumi dengan penuh kenikmatan.Salah satu syafaat di hari akhirat adalah syafaat sahabat kepada sahabatnya yang lain untuk memasuki syurga. Semoga aku terpilih untuk mendapat syafaat daripada kalian.

Di dalam al-Quran dinukilkan doa orang mukmin yang sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan kebaikan :: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)." (Surah al-Ahqaf ayat 15)

Di dalam hadis Nabi SAW ada menyatakan bahawa "Apabila umurnya mencecah 50 tahun , Allah akan meringankan dosa-dosanya.."

Aku harap aku termasuk dikalangan mereka yang terpilih sebagaimana hadis ini.

Daripada Abdullah ibn Abu Bakar as-Siddiq radiyallahhu ‘anhu berkata, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda (yang bermaksud): “Apabila umur seseorang muslim telah mencecah 40 tahun, Allah akan menjauhkan daripadanya 3 jenis bala: gila,kusta dan sopak. Apabila umurnya mencecah 50 tahun, Allah akan meringankan dosa-dosanya. Apabila sampai 60 tahun Allah akan mengurniakan taubat padanya. Apabila sampai umurnya 70 tahun, para malaikat di langit akan mengasihinya. Apabila umurnya 80 tahun ditetapkan segala kebaikannya dan dihapuskan segala kejahatanya. Apabila umurnya mencecah 90 tahun, diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang, dia dinamakan tawanan Allah di muka bumi serta dia akan mensyafaatkan ahli keluarganya.”


Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan semua perintah Allah SWT dan meninggalkan semua larangannya.Jazakumullahu khairan
di atas doa dan ucapan selamat yang kalian berikan kepadaku hanya Allah SWT sahaja yang akan dapat membalasnya dengan dikurniakan kebaikan pula kepada kalian semua. Amin.


No comments: