Sunday, February 3, 2013

Jauhi Sifat Dan Amalan Orang Munafik


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Bermulanya sejarah dan munculnya orang-orang munafik yang pertama di kalangan umat Islam ialah setelah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berhijrah ke Madinah.  Semasa di Mekkah (zaman Mekkah) tidak wujud orang munafik sama ada secara individu atau kelompok, kerana hanya ada dua golongan sahaja semasa Nabi SAW menyebarkan dakwah Islamiah di Mekkah, iaitu:

Pertama:  Golongan kaum muslimin yang kebanyakannya merahsiakan keimanan mereka demi untuk menyelamatkan Islam, iman dan dirinya dari tindakan orang-orang kuffar (musyrikin).

Kedua:  Golongan atau kaum kuffar musyrikin yang kuat penentangannya terhadap orang-orang yang beriman.

Golongan munafik ini diketuai dan dipimpin oleh Abdullah bin Ubay bin Sallul yang menjadi ketua kabilah Kahzrah.  Beliau telah dicadangkan akan dinobatkan oleh orang-orang Yahudi sebagai raja di Yathrib (Madinah) tetapi terhalang dan tidak berjaya setelah kedatangan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sehingga menggagalkan rancangannya menguasai Madinah.  

Apakah maksud nifak? Maksud nifak adalah : "Menampakkan dan melahirkan sesuatu kemudian menyembunyikan (merahsiakan) lawannya".

Antara kalangan ulama muktabar yang telah mendefinisikan nifak ialah Imam Ibn Kathir rahimahullah.    Menurut beliau nifak ialah:

 اِظْهَارُ الْخَيْرِ وَاِسْرَارُ الشَّرِّ

"Melahirkan yang baik dan menyembunyikan (merahsiakan) yang buruk. (Tafsir  Ibn Kathir.  1/76.)

Ibn Juraij rahimahullah pula mendefinisikan nifak sebagai:

المنافق يخالف قوله فعله وسره علانيته ومدخله مخرجه ومشهده مغيبه

"Si Munafik itu bertentangan perkataannya dengan perbuatannya, yang dirahsiakan dengan yang berterang-terangan, yang di dalam (hati)nya dengan luarannya dan yang dipersaksikannya dengan yang disembunyikannya".

Menurut pendefinisian Imam Ibn Qaiyim rahimahullah pula bahawa nifak ialah:

"Nifak itu ialah penyakit yang memenuhi anggota dalaman seseorang yang tidak disedari olehnya.  Kerana nifak adalah urusan yang tersembunyi pada manusia.  Cara kebanyakan yang menyembunyikan nifaknya ialah dengan bermuka-muka sebagai seorang pelaku kebaikan sedangkan dia adalah seorang yang pembuat kerosakan". (hlm. 15.  Al-Maktabah al-Islami.  Cetakan ke 4. Beirut. Ibn Qaiym al-Jauzi.)

Menurut Ibn Qaiyim nifak itu terbagi dua:

Pertama:  Nifak Akbar, "Nifak Besar" atau nifak akidah (iktiqad) yang menyebabkan pelakunya jika tidak bertaubat sebelum meninggal dunia dia akan dikekalkan di dalam neraka. Di neraka pula Si Munafik ini akan ditempatkan di neraka yang paling terbawah (kerak neraka).

Boleh diertikan juga bahawa nifak akbar ialah: “Merahsiakan kekufuran dalam hati dan melahirkan keimanannya dengan lisan dan perbuatan (amalan)”.

Antara contoh-contoh nifak akbar (nifak besar) ialah:

1. Mendustakan apa yang disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sama ada sebahagian atau keseluruhannya.  Seperti menolak dan mendustakan bahawa hadis-hadis sahih (as-sunnah) tidak perlu dipakai lagi dan cukup hanya dengan mengambil al-Quran sahaja.

2. Mempermain-mainkan, memperlekeh atau menghina sebahagian dari ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam.  Seperti menghina penutupan aurat bagi wanita mukminah, menghina akhlak Islamiah atau memperlekeh dan menghina perlaksanaan hukum-hukum Allah Azza wa-Jalla seperti hudud dan qisas yang alasannya hanya semata-mata bertujuan untuk mempermain-mainkan agama Allah.

3. Membenci Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sama ada dengan tindakan, ucapan, sindiran atau hasutan.  Seperti menuduh bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai seorang yang sayhwani

4. Merasa gembira dan senang dengan kejatuhan Islam dan  senang dengan kemenangan kuffar atau menolong (membantu) musuh dengan apa cara sekalipun dalam usaha menghancurkan Islam, memerangi umat dan Daulah Islamiyah.

5. Membenci ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaih Wasallam atau menentangnya sehingga menghalang-halangi dakwah dan kelancaran perjalanannya sebagaimana firman Allah:

        رَاَيْتَ الْمُنَافِقِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْكَ صُدُوْدًا

Malsudnya : “Nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalang-halangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya”. (Surah an-Nisaa ayat 61)

Kedua:  Nifak Asghar "Nifak kecil" atau nifak amali iaitu salah satu dari dosa-dosa besar yang paling besar. Namun pembuatnya tidak akan dikekalkan di dalam neraka. Dinamakan nifak kecil ialah apabila perbuatan seseorang nampak jelas berbeza dengan apa yang telah disyariatkan oleh syara.  

Rasulullah bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقِ اَرْبَعٌ : اِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ وَاِذَا خَاصَمَ فَجَرَ وَاِذَا عَاهَدَ غَدَرَ

Maksudnya : "Tanda-tanda munafik itu empat:  Apabila berkata ia dusta, jika ia berjanji tidak menepatinya, apabila bertengkar ia berlaku curang dan apabila berjanji dia berkhianat".

Antara contoh-contoh nifak kecil ialah:

1. Apabila berkata dia berdusta :

Mudah dan suka berdusta dalam ucapan atau perkataannya sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam al-Quran dan sabda Nabi Muhammad Sallallahu 'Alihi Wassalam:

           وَاللهُ يَشْهَدُ اِنَّ الْمُنَافِقِيْنَ لَكَاذِبُوْنَ

Maksudnya : “Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik benar-benar orang pendusta (pembohong)”. (Surau  al-Munafiqun, 63 ayat 1.

Sesungguhnya dusta itu mengarah kepada kemaksiatan, kemaksiatan mengarah kepada neraka.  Sesungguhnya seseorang itu akan terus berdusta dan sentiasa mencari celah dusta sehingga ia dicatit di sisi Allah sebagai pendusta.

2. Jika ia berjanji tidak menepatinya.

Tidak menepati janji sebagaimana sabda Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ

Maksudnya : "Dan apabila berjanji ia tidak menepatinya" 

3. Apabila bertengkar ia berlaku curang.

Curang atau keluar dari peraturan akhlak Islamiah apabila berlaku pertengkaran atau ikhtilaf (berselisih faham), misalnya berkata bohong dalam menjelaskan perkara yang sebenar atau melebih-melebihkan permasalahan dengan segala kebohongan dan penipuan. 
Bila bertengkar dia selalu "menegakkan benang basah" dan sering menggunakan perkataan kasar, kesat, sindiran dan suka menghina orang lain.

 4. Apabila berjanji (diberi amanah) dia berkhianat.

Mengkhianati amanah sebagaimana larangan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari melakukan pengkhianatan:

وَلاَ تَخِنُ مَنْ خَانَكَ

Maksudnya : "Janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati kamu"

Orang munafik suka menipu sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

اِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُقَالُ : هَذِهِ غَدْرَةُ فَلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ

Maksudnya : "Sesungguhnya setiap penipu akan dipancangkan baginya sebuah bendera dan dikatakan ini adalah penipuan  si Fulan anak si Fulan". (Hadis Riwayat Bukhari (5710) Al-Adab.)

Allah SWT mengancam orang-orang munafik dan yang berpenyakit nifak dengan azab yang amat pedih iaitu dengan api neraka Jahanam sebagaimana firmanNya:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِيْنَ بِاَنَّ لَهُمْ عَذَابًا اَلِيْمًا

Maksudnya : “Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat siksaan yang pedih”. (Surah an-Nisa ayat 138.

Firman-Nya :

اِنَّ الْمُنَافِقِيْنَ فِى الدَّرْكِ الاَسْفَلِ مِنَ النَّارِ

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkat yang paling bawah dari neraka”. (Surah an-Nisa ayat 145)

Firman-Nya lagi :

اِنَّ اللهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِيْنَ وَالْكَافِرِيْنَ فِى جَهَنَّمَ جَمِيْعًا

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam”. (Surah an-Nisa ayat 140)

Allah SWT memberi ancaman sebagaimana firman-Nya : 

وَعَدَ اللهُ الْمُنَافِقِيْنَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِيْنَ فِيْهَا هِيَ حَسْبُهُمْ ، وَلَعَنَهُمُ اللهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّقِيْمِ

Maksudnya : “Allah mengancam orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahanam.  Mereka kekal di dalamnya.  Cukuplah neraka itu bagi mereka dan Allah melaknati mereka dan bagi mereka azab yang kekal”. 
(Surah at-Taubah ayat 68.)

Firman Allah SWT :

لِيُعَذِّبَ اللهُ الْمُنَافِقِيْنَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِيْنَ وَالْمُشْرِكَاتِ وَيَتُوْبَ اللهُ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَكَانَ اللهُ غَفُوْرًا رَحِيْمًا

Maksudnya : “Sehingga Allah mengazab orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang musyrikin lelaki dan perempuan dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mukminin lelaki dan perempuan.  Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah al-Ahzab ayat 73)

Sahabat yang dihormati,
Bagi orang yang beriman, pasti akan merasa takut, gerun dan mengerikan gambaran seksa dan azab api neraka Jahanam yang pedih yang diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran.   Semuanya (azab yang pedih) itu telah disediakan oleh Allah SWT di akhirat untuk golongan munafik.  Allah SWT tidak akan mungkir janji, orang-orang munafik pasti akan celaka di dunia dan di akhirat akan mendapat azab yang pedih.

Bagaimana kita hendak mengenali golongan munafik ini?

Kita boleh mengenali golongan munafik di dalam masyarakat kita dengan melihat percakapan, perbuatan dan penulisan mereka. Mereka mempunyai blok-blok peribadi yang kerjanya sentiasa membuat fitnah, membuat tuduhan, mendedahkan aib orang lain, menghina ulama, suka maki hamun dan berbagai-bagai kerosakan di muka bumi. 

Mereka sanggup menaik-turunkan gambar-gambar lucah, gambar superimpose, sanggup bersumpah laknat dan menjadi saksi palsu, sanggup membuat tuduhan zina, liwath tanpa membawa empat orang saksi dan bergembira dengan kerja-kerja maksiat dan mungkar yang mereka lakukan. 

Golongan ini juga anti hukum hudud dan sering memperlekehkan perlaksanaannya dan sanggup mempermainkan ayat-ayat Allah SWT. Sanggup maki hamun ulama dan suka memutuskan silaturahim. Pintu hati mereka sudah tertutup dan tidak nampak makruf itu sebagai makruf dan mungkar itu sebagai munkar. 

Golongan ini fanatik kepada ketua mereka sehingga sanggup mengikut arahan secara membuta tuli walaupun pemimpin mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT. Mereka berpegang pada kaedah, " matlamat menghalalkan cara" asalkan dapat mencapai matlamatnya maka jalan yang haram pun sanggup mereka gunakan. Jalan menipu, merampas hak orang lain dan jalan fitnah semuanya boleh . Soal dosa pahala dibelakang yang penting apa yang dicita-citakan perlu diperolehi terlebih dahulu.

Mereka (orang-orang munafik) gemar mengadu domba, memutarbelitkan ucapan seseorang, menuduh orang lain sesat , suka berlakun menjadi alim dan warak suruh orang lain bertaubat sedangkan mereka bergelumangan dengan noda dan dosa. Menuduh orang lain rasuah dan pecah amanah sedangkan mereka sendiri melakukan rasuah dan pecah amanah, menghimpun harta benda hingga melimpah ruah. Banyak melakukan kejahatan dan fasad, mudah menyamar semasa bergaul bersama masyarakat Islam dan mereka sentiasa merancang kejahatan dan kerosakan terhadap orang-orang Islam.

Nifak adalah perbuatan yang tersembunyi yang tidak boleh dikesan dengan cepat dan mudah. Orang munafik lebih merbahaya dari orang kafir terhadap akidah, kekuatan dan kesatuan jamaah umat Islam kerana kekufuran adalah perbuatan yang nampak (kelihatan) dan mudah diketahui.

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa semasa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di Madinah barulah muncul orang-orang munafik. Namun, Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menyingkap tirai golongan munafik dan membuka rahsia-rahsia kejahatan dan kefasadan mereka.  Itulah sebabnya semua ayat-ayat yang membongkar tentang rahsia-rahsia kejahatan orang-orang munafik semuanya turun di Madinah.

Sebagaimana firman Allah:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُوْلُ آمَنَّا بِاللهِ وَبِالْيَوْمِ اْلآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِيْنَ ، يُخَادِعُوْنَ اللهَ وَالَّذِيْنَ آمَنُوْا وَمَا يَخْدَعُوْنَ اِلاَّ اَنْفُسَهُمْ وَمَايَشْعُرُوْنَ

Maksudnya : "Di antara manusia ada yang mengatakan kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman.  Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar".(Surah al-Baqarah ayat 8-9.)

Fenomena nifak, cerita tentang pakatan dan gerakan jahat ketua-ketua munafik semuanya bermula setelah wujudnya negara Islam Madinah.  Ia berterusan sehingga mula terbitnya unsur-unsur perpecahan gara-gara fitnah orang-orang munafik juga bermula di Madinah.  Begitu juga membiaknya aliran-aliran sesat dan pemecah-belah umat yang terdapat sama ada di negara-negara Islam atau bukan negara Islam dari dahulu sehingga sekarang semuanya berpunca dari fitnah yang dicipta oleh orang-orang munafik.  Mereka ingin menghancurkan Islam dan umatnya setelah negara Islam menjadi kuat dan meluas.

Berkata Ibn Abi Hatim radiallahu 'anhu: "Mereka (orang-orang munafik) mudah melahirkan ucapan (لا اله الا الله) kerana inginkan agar terselamat darah dan harta mereka, tidak ada niat mereka selain yang demikian." (Lihat:  Tafsir Ibn Kathir, 2/88. )      

Berkata Sa'id dari Qatadah:

"Sifat-sifat orang  munafik itu banyak:  Buruk akhlaknya, jika benar lisannya namun bertentangan dengan hatinya, amat bertentangan amalannya kerana diwaktu pagi ia melakukan yang benar dan diwaktu petang pula ia melakukan yang sebaliknya".

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jauhkan diri daripada menjadi orang munafik, kerana tempat orang munafik adalah di neraka yang paling bawah sekali, nauzubillahiminzalik. Berakhlaklah dengan akhlak Islam, ingatlah hidup di dunia ini hanya sementara dan hidup di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Dan janganlah kita jual masa depan kita di akhirat dengan sedikit kesenangan hidup di dunia.

2 comments:

Azam said...

Adakah syiah juga munafik sebab mengamalkan taqiyah?

abubasyer said...

Assalamualaikum, benar salah satu golongan munafik adalah golongan syiah yang berlakun menjadi ahli sunah wal jamaah.Mereka akan gunakan taqiyah, bila berjumpa sesama mereka (sama-sama syiah) mereka akan berkata kami bersama kamu dan kami hanya berlakun saja bersama dengan ahli sunah wal jemaah. Umat Islam perlu berhati-hati dengan golongan munafik darikalangan syiah ataupun munafik dikalangan golongan yg bukan syiah.