Thursday, March 28, 2013

Tafsir Surah Al-Baqarah Ayat 223


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,


Firman Allah SWT : 

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ وَقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ مُلَاقُوهُ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (223) 

Maksudnya : "Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercocok tanam, maka datangilah tanah tempat bercocok-tanammu itu bagaimana saja kamu kehendaki. Dan kerjakanlah (amal yang baik) untuk dirimu, dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa kamu kelak akan menemui-Nya. Dan berilah kabar gembira orang-orang yang beriman."(Surah Al-Baqarah ayat 223)

Dalam ayat ini, isteri diumpamakan dengan kebun tempat bercocok tanam dan tempat menyebarkan bibit tanam-tanaman. Boleh mendatangi kebun itu dari mana saja arahnya asal untuk menyebarkan bibit dan untuk berkembangnya tanam-tanaman dengan baik dan subur. Isteri adalah tempat menyebarkan bibit keturunan supaya berkembang dengan baik. Maka seorang suami boleh bercampur dengan isterinya dengan berbagai cara yang disukainya asal tidak mendatangkan kemudaratan. 

Jelaslah bahawa maksud perkawinan itu adalah untuk mendapatkan keturunan bukan hanya sekedar bersenang-senang melepaskan nafsu dan syahwat. Untuk itu Allah SWT menyuruh berbuat amal kebajikan sebagai persiapan untuk masa depan agar mendapat keturunan yang soleh, berguna bagai agama , serta berbakti kepada kedua orang tuanya. 
Kemudian Allah menyuruh para suami agar berhati-hati menjaga isteri dan anak-anaknya, menjaga rumah tangga jangan sampai rosak dan bercerai berai. Kerana itu bertakwalah kepada Allah SWT. Sebab akhirnya manusia akan kembali kepada Allah jua, dan akan bertemu dengan-Nya di akhirat nanti untuk menerima balasan atas setiap amal perbuatan yang dikerjakannya di dunia. Allah SWT menyuruh agar setiap orang yang bertakwa kepada-Nya diberi kegembiraan bahawa mereka akan memperoleh kebahagiaan di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Sahabat yang dimuliakan,
Suami bertanggungjawab kepada isteri dalam pergaulan dan memberi nafkah samaada zahir dan batin. Beberapa tanggungjawab suami yang patut di penuhi oleh pihak suami kepada isterinyaadalah seperti berikut.

1. Berakhlak baik dengan isteri.

Walaupun isteri wajib dengar cakap suami tetapi bukan bermakna suami boleh memberi perintah secara sesuka hati. Rasulullah SAW memerintahkan agar isteri digauli dengan lemah lembut, dan suami hendaklah hormat isterinya. Jika berlaku sebarang kesalahan, tegur dengan lembut, bincang sama-sama. Jangan aibkan isteri atau memarahi secara membuta tuli.


2. Meraikan isteri.


Suami tunjukkan rasa gembira bila bersama isterinya. Layan isteri baik-baik. Tidak perlu bagi kemewahan, cukuplah dengan kata-kata yang baik, perbuatan yang baik.


3. Cemburu, tetapi jangan cemburu buta.


Cemburu adalah sifat yang dikehendaki dalam perhubungan, dan salah satu ciri-ciri pasangan yang baik adalah berperasaan cemburu. Tetapi cemburu biarlah bertempat. Jangan sampai terlalu cemburu hingga menimbulkan prasangka. Sifat cemburu seorang suami hendaklah ditunjukkan dengan menjaga dan melindungi isterinya, memerintahkan isterinya berpakaian elok-elok dan menutup aurat, serta melarang isteri ke tempat-tempat maksiat.


4. Sederhana dalam memberi nafkah.


Maksudnya tidak terlalu kedekut dan tidak terlalu boros. Berpada-padalah. Tidak salah belikan pakaian cantik bila isteri minta, tetapi biarlah mengikut lunas-lunas syarak dan janganlah membazir kerana membazir itu amalan syaitan.


5. Menggauli isteri dengan sebaik-baik adab.


Menggauli di sini maksudnya hubungan suami isteri mestilah mengikut adab. Kekerapan hubungan seks juga harus dijaga, sebagaimana saranan Rasulullah SAW, selang 4 hari sekali adalah yang paling sederhana.


6. Tidak membuka rahsia suami-isteri.


Rasulullah SAW bersabda bahawa satu perbuatan yang sangat tercela ialah lelaki yang menyebarkan rahsia hubungan bersama isterinya kepada orang lain. Hubungan suami-isteri adalah rahsia peribadi kehidupan rumahtangga yang perlu dipelihara dan juga melibatkan soal maruah. Rahsia dan keaiban isteri adalah tanggungjawab suami untuk menjaganya.


7. Setia dan sering bertolak ansur dan percaya mempercayai.


Semua pasangan perlukan kesetiaan. Ini amat penting untuk menjaga keharmonian rumahtangga sehingga ke akhir hayat. Hubungan yang jujur dan ikhlas amat disukai oleh Allah. 


Sahabat yang dikasihi,
Kesabaran yang tinggi di antara suami dan isteri menghadapi peribadi dan emosi pasangannya adalah suatu yang penting ketika mengemudi bahtera kehidupan. Suami dan isteri perlu saling hormat menghormati dan membina kasih sayang kerana kebahagiaan hidup bukan setakat di dunia sahaja tetapi kehidupan akan bersambung nanti di syurga jika kedua-duanya layak memasuki syurga Allah SWT. Berdoalah sentiasa selepas solat agar kalian dapat bertemu semula dengan isteri kalian selepas dipisahkan oleh kematian, alam barzakh, Padang Mahsyar, Hisab dan Siratul Mustakim iaitu bertemu di syurga seluas langit dan bumi.


No comments: