Sunday, May 19, 2013

Soal Jawab Agama Siri 15 (Adab Bersukan, Adab Makan, Adab Berdoa, Hak Muslim Dan Lain-lain lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 15 adalah persoalan mengenai adab bersukan, adab makan, adab berdoa, hak muslim, amal soleh, sifat pemurah, was-was semasa solat, zakat, sedekah dan suka mengumpat.

281.Soalan: Adakah Islam menggalakkan umatnya bersukan atau melakukan riadah dan apakah adab-adab yang perlu dijaga ketika bersukan?
 

Rasulullah SAW sememangnya menggalakkan sahabat-sahabatnya bersukan atau riadah dan baginda pernah menyaksikan aktiviti bersukan mereka bersama-sama Aisyah r.ha.

 Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Aisyah r.ha berkata, (maksudnya), "Sesungguhnya aku telah melihat Nabi SAW menutupku dengan kain selendangnya dan (ketika itu) aku sedang melihat orang Habsyah bermain di masjid sehingga aku membuatnya jemu."

Sukan boleh menjadi suatu ibadah dan mendapat pahala sekiranya kita menjaga adab-adabnya.

Antara adab-adab yang perlu dipraktikkan ialah :

1. Niat untuk mendapat keredaan Allah SWT.

2. Permainan yang tidak menyalahi syarak.

3. Berpakaian menutup aurat. Tidak ketat sehingga menampakkan susuk tubuh dan tidak jarang.

4. Permainan yang tidak melibatkan perjudian seperti mempertaruhkan wang dan seumpamanya.

5. Tidak lalai sehingga meninggalkan kewajipan seperti solat.

6. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.

Agak malang, kebanyakan sukan yang dipraktikkan masa kini tidak menghiraukan aturan syariat yang disebutkan di atas. Contohnya , sukan wanita seperti renang, gimnastik dan lumba lari yang kebanyakannya mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat, di samping bebas disaksikan oleh kaum lelaki. Bersukan yang sepatutnya mendapat keredaan Allah sebaliknya menempah kemurkaan Allah SWT.

282.Soalan: Di dalam adab makan kenapa Nabi SAW menyuruh umatnya menggunakan tangan kanan ketika makan dan mengambil makanan yang terdekat terlebih dahulu?

Makan menggunakan tangan kanan :

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya : "Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya."  (Hadis Riwayat  Muslim).

Makruh makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri kerana ianya adalah di antara adat-adat syaitan dan sesiapa yang melakukan sedemikian, bererti dia menyerupanya.

Termasuk juga apabila kita mengambil lauk pauk di dalam majlis hendaklah menggunakan tangan kanan bukan  tangan kiri kerana adat melayu yang mengambil lauk tangan kiri (takut sudu kotor) adalah tidak ikut sunnah. 

Makan makanan yang mengiringi (makanan yang terdekat)

Nabi SAW  bersabda maksudnya : "..dan makanlah (dengan memulakan makan) makanan yang mengiringi engkau." (Hadis Riwayat Bukhari).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu menyebut nama Allah (dikala hendak makan) dan hendaklah setiap orang (mula) makan makanan yang mengiringinya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Maksud makanan yang mengiringi adalah makanan yang terdekat kerana menjadi adab Islam mengutamkan makanan yang berdekatan daripada mengambil makanan yang berdekatan dengan rakannya. Selepas itu barulah ia mengambil makanan yang jauh sedikit daripadanya.

283.Soalan: Apakah adab-adab doa yang perlu kita amalkan semasa berdoa kepada Allah SWT?

Berdoa adalah senjata orang mukmin. Terdapat beberapa adab-adab berdoa yang perlu kita amalkan  iaitu :

1. Kita hendaklah sungguh-sungguh yakin bahawa doa kita akan dikabulkan oleh Allah.

اُدْعُوا اللهَ وَأَنْتُمْ مُوْقِنُوْنَ بِاْلإِجَـابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللهَ لاَ يَسْتَجِيْبُ

دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Sabda Nabi SAW  maksudnya : "Berdoalah kamu kepada Allah, sedangkan kamu benar benar yakin akan dikabulkan. Dan ketahuilah olehmu bahawa Allah SWT. tidak akan mengabulkan doa dari hati yang lalai dan tidak bersungguh-sungguh". (Hadis Riwayat Tarmizi dan Al Hakim - Hadis Hasan)

2. Hendaklah tekun dan tidak terburu buru.

لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَالَمْ يَدْعُ بِـإِثْمٍ أَوْ قَطِيْعَةِ رَحِمٍ مَـالَمْ يَسْتَعْجِلْ ،

قِيْلَ يَارَسُوْلَ اللهِ فَمَا اْلإِسْتِعْجَالِ ؟ قَالَ: يَقُوْلُ قَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يُسْتَجَبْ لِى فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَـاءَ.

Sabda Nabi SAW. maksudnya.:" Akan dikabulkan doa hamba selagi ia tidak berdoa dengan dosa atau memutuskan sllaturrahim selama ia tidak isti'jaal. Lalu baginda ditanya:" Ya Rasulullah, apakah yang dikatakan lsti’jaal? "Jawab Nabi SAW :" Dia berkata: Sungguh aku telah berdoa tetapi tidak juga dikabulkan, lalu ia menyesal dan akhirnya ia tidak berdoa lagi." (Hadis Riwayat Imam Musllm)

3. Berdoa dalam semua keadaan:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيْبَ اللهُ لَـهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرْبِ ،

فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِى الرَّخَـاءِ.

Sabda Nabi SAW  maksudnya : "Barangsiapa yang ingin agar Allah mengabulkan doanya ketika ia sedang susah, maka hendaklah ia memperbanyak doa ketika ia sedang hidup senang. (Hadis Sahih Riwayat Tarmidzi dan Al Hakim)

4. Berdoa dengan suara yang sederhana:

Allah SWT berfirman maksudnya : "Berdoalah kepada Tuhanmu dengar merendah diri dan suara yang lembut, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas (tentang yang diminta dan cara meminta). (Surah Al A’raf ayat 55)

Sabda Nabi SAW :

اِرْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ ، إِنَّكُمْ لاَ تَدْعُوْنَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًـا ،

إِنَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِبْعًا بَصِيْرًا.

"Kasihanilah dirimu, sesungguhnya kamu tidak memohon kepada yang pekak dan ghaib, sesungguhnya kamu mohon kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

5. Berdoa dengan khusyuk dan merendah diri:

 
Allah SWT berfirman:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ (205)

Maksudnya : "Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang orang yang lalai." (Surah Al A'raf ayat 205)

Allah SWT berfirman:

كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ(90)

Maksudnya : "Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yanq khusyuk kepada kami." (Surah Al Anbiyaa' ayat 90)

6. Bertaubat dan menjauhkan diri dari segala bentuk dosa dan tidak makan makanan yang haram.

Rasulullah SAW. berkata tentang seorang lelaki yang mengangkat kedua tangannya ke langit, sambil berdoa:

يَارَبِّ يَارَبِّ ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذَّى بِالْحَرَامِ ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَـهُ.

"Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, sedangkan makanannya haram, pakaiannya haram, dan hidup bergelimang dengan perkara haram maka bagaimanakah doa akan dikabulkan Allah?" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Bertawasul dengan amal soleh :

Agar doa kita segera dikabulkan oleh Allah SWT.. maka kita boleh berdoa kepada-Nya sambil bertawassul dengan amal soleh yang pernah kita lakukan. Allah SWT sangat suka kita menyebut-nyebut amal soleh kita kepada-Nya.

Dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim diceritakan tentang tiga orang yang masuk kedalam gua kerana hujan lebat. Mereka terkurung di dalamnya kerana batu besar yang jatuh dari atas gunung menutupi pintu gua tersebut. Mereka berdoa kepada Allah sambil menyebut-nyebut amal soleh masing masing. Doa mereka makbul dan akhirnya selamat keluar.

8. Mengulangi doa sebanyak tiga kali:

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa Abdullah Bin Mas'ud berkata: Baginda Rasulullah SAW  jika berdoa, baginda berdoa sebanyak tiga kali, dan jika baginda memohon baginda memohon sebanyak tiga kali.

9. Bersalawat kepada Nabi SAW.:

Daripada Fadhalah Bin ‘Ubaid radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ إِذْ دَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى فَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي إِذَا صَلَّيْتَ فَقَعَدْتَ فَاحْمَدْ اللَّهَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ وَصَلِّ عَلَيَّ ثُمَّ ادْعُهُ قَالَ ثُمَّ صَلَّى رَجُلٌ آخَرُ بَعْدَ ذَلِكَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي ادْعُ تُجَبْ
 

Maksudnya : "Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sedang duduk bersama-sama kami (di masjid), tiba-tiba ada seseorang yang masuk lalu bersolat. Setelah itu, orang tersebut terus sahaja berdoa (dengan katanya):

“Ya Allah, ampunilah dan sayangilah aku.” Maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pun menegur:

“Kamu terburu-buru wahai orang yang bersolat. Apabila kamu melaksanakan solat lalu kamu duduk, ucapkanlah pujian kepada Allah dengan pujian yang sewajarnya bagi Allah dan berselawatlah kamu kepadaku kemudian berdoa.” Setelah peristiwa itu, mereka yang lain apabila melaksanakan solat, mereka pun memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pun bersabda:

“Wahai orang yang solat, berdoalah. Sudah tentu doamu akan dimakbulkan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 11/380, no. 3398, dengan katanya: Hadis ini hasan. Dinyatakan sahih oleh al-Albani, Shohih Sunan at-Tirmidzi, 3/163, no. 2765)

10. Menghadap Kiblat:

Dari Abdullah Bin Mas'ud r.a. katanya:

اِسْتَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِبْلَةَ ، فَدَعَا عَلَى نَفَرٍ مِنْ قُرَيْشٍ.

Nabi Muhammad SAW. menghadap ke Kaabah, lalu baginda berdoa mengutuk beberapa orang dari golongan Quraisy. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

11. Mengangkat kedua-dua tangan:

Abdullah Bin Omar r.a. berkata:

رَفَعَ النَّبِيُّ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ) يَدَيْهِ فَقَالَ : اَللَّهُمَّ إِنِّى أَبْرَأُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ خَالِدٌ مَرَّتَيْنِ

Nabi Muhammad SAW. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu baginda berdoa: "Ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh Khalid (dua kali)." 

(Hadis Riwayat Bukhari)

Berkata Abu Musa:

ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَقَالَ: اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدِ أَبِى عَامِرٍ ، رَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ.

Kemudian baginda Nabi SAW. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu beliau berdoa: "Ya Allah, ampunilah dosa 'Ubaid Bin 'Amir, dan aku melihat keputihan ketiak baginda."(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

12. Berwuduk  sebelum berdoa:

Berkata Abu Musa r.a : " Sebelum 'Ubaid Abu 'Amir meninggal dunia, dia telah berpesan kepada aku agar aku menyampaikan salamnya kepada Nabi Muhammad SAW.. dan memohon doanya agar Allah mengampuni dosa-dosanya. Ketika pesanan tersebut aku sampaikan kepada baginda Rasul SAW lalu baginda menyuruhku agar mengambil sebekas air untuknya. Kemudian baginda berwuduk dan mengangkatkan kedua-dua tangannya sambil berdoa: "Ya Allah, ampunilah dosa 'Ubaid Abi 'Amir; dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdoa:

:اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدِ بْنِ عَامِرٍ ، رَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ ، ثُمَّ قَالَ

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَوْقَ كَثِيْرٍ مِنْ خَلْقِكَ مِنَ النَّـاسِ.

"Ya Allah, ampunilah dosa 'Ubaid Abi 'Amir; dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdoa:" Ya Allah, jadikanlah dia pada hari kiamat sebagai orang yang mulia mengatasi kebanyakan makhluk-Mu."

Lalu akupun berkata: Mohon ampunan jugalah untuk aku ya Rasulullah.

Kemudian baginda berdoa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِ اللهِ بْنِ قَيْسٍ ذَنْبَهُ ، وَأَدْخِلْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُدْخَلاً كَرِيْمًا

"Ya Allah, ampunilah dosa-dosa Abdullah Bin Qais (Abu Musa), dan masukkanlah dia ke dalam tempat masuk yang mulia pada hari kiamat. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

13. Berdoa sambll menangis:

Dari Abdullah Bin 'Amr Bin Al 'Ash r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW membaca ucapan Nabi Isa a.s..:

Ertinya: "Sekiranya Engkau seksakan mereka sesungguhnya mereka adalah hamba hamba—Mu, dan sekiranya Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau adalah Maha Mulia lagi Maha Bijaksana". (Surah Al Maidah ayat 118),

Lalu Nabi SAW. menganqkat kedua dua tangannya dan berdoa :

اَللَّهُمَّ أُمَّتِى أُمَّتِى ، (وَبَكَى)

" Ya Allah, umatku, umatku ", (sambil baginda menangis).

Selanjutnya Allah SWT berfirman kepada Jibril (as):

يَا جِبْرِيْلُ اِذْهَبْ إِلَى مُحَمَّدٍ فَقُلْ: إِنَّـا سَنُرْضِيْكَ وَأُمَّتِكَ وَلاَ نَسُوْؤُكَ.

Maksudnya : "Hai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad, dan katakan kepadanya: " Sesungguhnya Kami akan meredainya dan umatnya, dan kami tidak akan menyusahkan kamu ". (Hadis Riwayat Muslim)

14. Berdoa sambil merendahkan diri:

Allah SWT. menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka memohon kepada-Nya, antaranya:

Maksudnya "Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya: (" Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang diantara semua penyayang". (Surah Al Anbiyaa ayat 89)

15. Berdoa pada waktu waktu yang mustajab

Kita meyakini bahawa Allah SWT.. telah menetapkan beberapa waktu atau masa yang sangat baik jika kita berdoa didalamnya. Waktu waktu itu antara lain: Pada malam Lailatul Qadr, pada dua pertiga malam, setelah solat waktu dan lain lain.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu). (Surah al-Naml ayat 62)

284.Soalan:  Apakah berdoa memohon ampun kepada Allah SWT hingga mengalirkan air mata dapat membantu kita di hari akhirat?
 

Salah satu golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy adalah seorang yang menangis ketika berdoa memohon ampun kepada Allah SWT di atas dosa-dosa yang telah dilakukannya.

Dalam hadis yang lain.

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)

Berdasarkan hadis di atas 3 mata yang akan mendapat rahmat Allah S.W.T dihari akhirat yang mana ketika itu ramai mata-mata yang menangis penyesalan :

1. Mata yang dipejamkan dari segala yang haram.

2. Mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah.
 

3. Mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.

285.soalan: Apakah hak muslim kepada muslim yang lain?

Sebagai seorang muslim kita mempunyai beberapa tanggungjawab dan hak kepada saudara sesama muslim. Tanggungjawab ini kita tidak boleh di abaikan dan memandang ringan sahaja. Apabila kita dengan ikhlas memenuhi tanggungjawab ini maka kita akan mendapat pahala dan ganjaran yang besar disisi Allah SWT. Begitu juga sebaliknya apabila kita tinggalkan tanggungjawab dan hak sesama muslim kita akan mendapat dosa dan di akhirat nanti Allah SWT akan murka kepada kita.

Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW : " Hak muslim terhadap muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda:

1. Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya.

2. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya.

3. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat.

4. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia.

5. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia.

6. Jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah) nya.

(Hadis Riwayat Muslim)

286.Soalan: Apakah amal-amal soleh yang akan dapat memberatkan timbangan amal kita ketika mizan di hari akhirat.?
 

Tiga amal soleh yang akan dapat membantu kita ketika timbangan amal di mizan nanti iaitu 

1. Sedekah jariah dan infak harta di jalan Allah SWT.
 

Firman Allah SWT maksudnya : "Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah (2) ayat 261)

FirmanNya lagi yang bermaksud : ”Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, Dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), Maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah (kejayaan).”  (Surah al-Lail (92) ayat  5-7)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Dermawan itu merupakan suatu pohon yang akarnya di syurga dan dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke syurga. Kedekut (kikir) itu pohon yang asalnya di dalam neraka sedang dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke neraka." (Hadis di riwayatkan oleh Aishah r.anha)

2. Akhlak yang baik.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya (kelak diakhirat) dari pada akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

3. Banyakkan berzikir dengan kalimah : ‘Subhanallahi wabihamdihi, subhanallahil ‘azhim’
 

Dari Abu Hurairah: Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Ada dua buah kalimat yang ringan di lisan namun berat di dalam timbangan, dan keduanya dicintai oleh ar-Rahman, iaitu ‘Subhanallahi wabihamdihi, subhanallahil ‘azhim’.” (Hadis Riwayat Bukhari [7573] dan Muslim [2694])

287.Soalan: Apakah anjuran atau saranan bagi setiap muslim kepada muslim yang lain?
 

Anjuran bagi setiap muslim untuk memberikan nasihat dan melakukan amalan-amalan         kebajikan, menambah wawasan ilmu yang bermanfaat serta memberi nasihat yang baik.

Nabi SAW bersabda,yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. "Siapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman pada Allah dan hari akhir hendaklah dia menghormati tetangganya dan barang siapa yang beriman pada Allah dan hari akhir maka hendaklah dia memuliakan tamunya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

288.Soalan: Apakah amalan fitrah yang perlu dilaksanakan oleh seorang mukmin?

Islam adalah agama fitrah yang amat mengutamakan kebersihan diri. Perkara ini telah menjadi sunnah dan amalan Rasulullah SAW. Sebagimana hadis daripada Nabi SAW. Daripada Saidatina Aisyah yang maksudnya “Sepuluh perkara yang dikira sebagai fitrah (sunnah) iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak). Berkata Zakaria “Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya :"Bersabda Rasulullah SAW. : "Lima perkara dari tuntutan agama, iaitu ; berkhatan, mencukur ari-air, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai."(Hadis Riwayat Muslim)

289.Soalan: Kenapa umat sekarang jauh dari sifat pemalu?

Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri. Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya.

Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan
 

Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu." (Hadis Riwayat  Ibnu Majah)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."(Hadis Riwayat Bukhari)

290.Soalan: Saya telah terlewat bangun untuk mengerjakan sembahyang subuh sehingga luput waktunya, bolehkah saya mengerjakan sembahyang subuh itu walaupun telah luput waktunya atau saya perlu mengqadaknya bila waktu zohor?
 

Meninggalkan solat secara sengaja adalah berdosa. Ini kerana solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang menunaikannya bererti telah mendirikan agama dan sesiapa yang mencuaikannya bererti meruntuhkan agama. Namun begitu bagi orang yang tertinggal solat bukan dengan cara sengaja seperti bangun subuh lewat dari waktunya, maka yang terlibat tidak berdosa.

Bagaimanapun ia dikehendaki segera mengqadakkannya tanpa menunggu masuknya waktu zohor. Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih yang menjelaskan Allah SWT tidak mengambil kira amalan yang dilakukan oleh umat Muhammad yang dilakukan secara tersalah, terlupa atau terpaksa.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah memberi maaf kepada umatku kerana salah atau lupa dan kerana dipaksa.” (Hadis Riwayat at-Thahawi di dalam Syarhu Ma’anil Atsar (2/56), al-Hakim (2/198) Ibnu Hazm di dalam al-Ihkam (5/149) ad-Daruquthni (4/171) melalui dua jalan dari al-Auza’i, dari ‘Atha’ bin Abi Rabah, dari Ubaid bin ‘Umair, dari Ibnu ‘Abbas)

291.Soalan: kawan saya mempunyai masalah dan saya menyuruhnya bersabar dan sentiasa berdoa kepada Allah tetapi dia tidak mengikut cara sebegitu sebaliknya berhibur di kelab malam kemudian pulang ke rumah dan kembali memikirkan masalahnya lagi. Apakah cara yang terbaik untuk menyelesaikannya?
 

Sebagai manusia biasa kita memang sentiasa berhadapan dengan masalah. Ramai manusia yang kalah dalam menghadapi masalah. Ada yang suka berbincang tentang masalah hingga kadangkala dirasakan hidupnya dilingkungi dengan masaalah, tetapi mereka tidak bincang cara untuk selesaikannya. Tidak kurang juga manusia yang suka menuding jari menyalahkan orang lain apabila timbul masalah. Dalam konteks ini kita tidak boleh lari dari merujuk kepada Al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Sesiapa yang menolong agama Allah maka Allah akan menolong mereka dan meneguhkan kehidupan mereka." (Surah Muhammad, ayat 7)

Ayat ini membawa kita untuk melihat bagaimana untuk menyelesaikan masaalah. Allah SWT telah berjanji bahawa Dia akan menolong sesiapa sahaja yang menolong agama-Nya. Ini bererti bahawa segala masalah yang kita hadapi hari ini akan diselesaikan oleh Allah SWT dengan syarat mereka itu sentiasa bekerja untuk menegakkan agama Allah SWT dengan ikhlas dan yakin. Keyakinan ini mesti ada terutama kepada para pendakwah.

Saudara jangan jemu menasihatinya untuk kembali kepada Allah SWT suruh kawan saudara tinggalkan maksiat dan bertaubat kepada Allah SWT kerana masaalah yang beliau hadapi adalah mungkin kerana maksiat beliau kepada Allah SWT.

292.Soalan: Saya mempunyai jiran yang kaya tetapi suka bermegah megah dengan menceritakan kebaikan dirinya yang sering memberi sedekah kepada anak anak yatim. Apakah hukumnya jika berbuat demikian?
 

Nabi SAW melarang umatnya suka bermegah-megah dengan amal kebaikan yang dilakukan kerana jika ada sifat riyak di dalamnya menyebabkan amal tersebut tidak diterima oleh Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-banga ke atas orang lain, untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama, walaupun dengan cara yang halal, dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT akan sangat murka terhadapnya. Dan sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal bertujuan supaya dia tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk mencari rezeki kepada ahli keluarga dan supaya dia mampu melakukan kebajikan kepada jiran tetangga; maka pada hari kiamat dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan wajahnya bercahaya seperti bulan purnama." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa bekerja dan berusaha untuk mencari kekayaan dunia tidak di larang selagi tujuan kekayaan yang diperolehi bukan dengan tujuan bermegah-megah dan berbangga untuk mendapat nama dan pujian. Sifat bermegah-megah ini adalah sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah SWT.

Dalam al-Quran Allah SWT melarang sifat suka bermegah-megah seperti firman-Nya yang bermaksud : "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu)." (Surah al-Qasas ayat 76)

293. Soalan: Saya sering berasa was-was ketika takbir untuk memulakan solat  dan ketika solat sering terlupa jumlah rakaat yang telah saya buat. Adakah perasaan ini datang daripada gangguan  syaitan ? Dengan was-was itu menyebabkan solat saya tidak khusyuk.

Was-was kadangkala berlaku semasa takbir untuk bersolat dan  sedang mengerjakan solat terlupa berapa rakaat. Semua jenis was-was ini adalah datangnya daripada gangguan syaitan dan iblis.

Khanzab adalah nama syaitan pengganggu ketika solat, ia yang membuat kita lupa rakaat solat dan sering menggelincirkan lidah sehingga salah dalam membaca suatu surah yang ia hafal.

Apabila kita mendapati diri kita diganggu oleh syaitan, maka kepada-Nya-lah kita kembali dan memohon perlindungan. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dan jika engkau mendapati adanya suatu gangguan dari syaitan, maka berta’awwudz-lah (mohonlah perlindungan) kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Fushilat, (41) ayat 36)

Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi Muhammad SAW yang mudah dan senang dalam ibadah. Was-was wujud kerana terlalu melayan gangguan perasaan.

Kata al-Imam Ibnu al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah SAW, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah SAW.”

294.Soalan: Jika perasaan was-was ini datang ketika saya solat, apa yang perlu saya lakukan?

Jika semasa sedang solat terlupa sama ada sudah dilakukan rakaat ke 3 atau ke 4, maka perlu dianggap baru rakaat ke 3 dan tambah satu rakaat lagi dan selepas tahiyat akhir sujud sahwi dua kali sujud.

Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW. telah bersabda: “Jika salah seorang dari kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai ia tidak tahu berapa rakaat yang ia telah kerjakan. Apabila salah seorang dari kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

295.Soalan: Rakan saya tidak pernah menunaikan zakat dengan alasan tidak tahu cara untuk berzakat, apakah hukum tidak membayar zakat?

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam ketiga selepas solat yang wajib ditunaikan apabila cukup nisab dan tempuhnya. Kegagalan melaksanakan pembayaran zakat boleh mendatangkan dosa besar dan harta yang tidak di zakatkan akan menjadi bahan pembakar apa neraka di akhirat nanti.

Ini didasarkan kepada sebuah hadis Sahih Bukhari, bahawa Rasulullah SAW apabila ada habuan zakat, maka baginda tidak suka melengah-lengahkan pembahagiannya walaupun hanya “satu malam” sekalipun.

Bahkan di dalam sebuah hadis riwayat Aisyah r.ha, ummul mukminin menyatakan: “Bahawa Nabi Muhammad SAW. bersabda: “Lazimnya habuan zakat (yang tidak dikeluarkan dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta, (maka tidak memberikan kebaikan) melainkan ia akan membinasakan harta itu.” (Hadis Riwayat Imam al-Syafi`i).

Di samping itu Allah SWT menyuruh umat Islam untuk  menafkahkan sebagian harta yang dicintainya sehingga boleh dikatakan kebajikan yang sempurna.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui.” (Surah Ali Imran ayat 92).

296. Soalan. Seorang pelajar tadika berumur lima tahun mempunyai simpanan sebanyak RM20,000.00 (yang di masukkan oleh ayahnya di bank). Manakala seorang nenek yang sudah tua dan nyanyuk, yakni sudah lupa untuk mendirikan solat juga mempunyai banyak barangan kemas daripada emas. Adakah mereka ini wajib berzakat? Bolehkah zakat mereka diwakilkan pembayarannya?

Sesungguhnya, syarat wajib zakat itu ada lima, iaitu :

1. Islam.

2. Merdeka.

3. Sempurna milik.

4. Cukup nisab (Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram).

5. Cukup haul.(Setahun kalender hijri)
 

Jadi akil (berakal) dan baligh (cukup umur) bukanlah syarat wajib zakat. Maka itu, ulama menyatakan kanak-kanak dan orang yang sudah hilang akal, sama ada kerana nyanyuk atau gila juga wajib berzakat, yakni ditunaikan oleh waris mereka. Di samping itu, jika pemilik harta tidak mampu menunaikan zakatnya, mungkin disebabkan kesibukan atau sakit, maka bolehlah dia mewakilkan orang lain untuk menunaikan zakat harta itu bagi pihak dirinya (yakni diambil daripada hartanya sendiri).

297.Soalan:  Saya sering menolong kawan saya kerana dia seorang ibu tunggal (dia menganggap saya seperti kakaknya sendiri) tetapi rakan saya yang lain menegur saya yang sering membantu kawan saya itu. Salahkah saya membantunya kerana sudah menganggap dirinya seperti darah daging saya sendiri?


Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah SWT akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan di hari kiamat.

lslam adalah agama yang menggalakkan amalan tolong menolong, bantu membantu dan saling memperkuat antara satu sama lain. lslam menggalakkan umatnya agar selalu melepaskan saudaranya yang dalam kesempitan dunia, yang berada dalam kesusahan hidup. Faktor inilah merupakan teras kekuatan umat lslam dan rahsia besar kegemilangan tamadun lslam yang silam.

Allah SWT memberi jaminan bahawa Dia akan memberi pertolongan kepada sesiapa dikalangan hamba-Nya dihari akhirat nanti yang suka membantu orang miskin yang memerlukan bantuan. Kesusahan diakhirat adalah seperti berada kepanasan di Padang Mahsyar (mendapat perlindungan Arasy), menerima Buku Catatan (mendapat buku catatan di tangan kanan), Timbangan Amal {Mizan} (akan di pereksa dengan pemereksaan yang mudah) dan Titian Siratul Mustakim (melalui titian seperti kilat atau angin kencang). Pertolongan yang paling besar sekali adalah mendapat keampunan Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya dengan rahmat-Nya

298.Soalan: Apabila pergi ke pasar malam di kawasan rumah saya, saya suka bersedekah kepada pakcik atau makcik yang sering duduk meminta bantuan kerana bersimpati kepada mereka. Adakah perbuatan saya ini dibenarkan kerana ada yang menegur saya dengan menyatakan mereka sudah dapat bantuan bulanan dan saya tidak perlu memberinya lagi.

Jika ada sesiapa yang meminta sedekah berikanlah sekadar kemampuan kita dan jangan sekali-kali buruk sangka kepada peminta sedekah. Jika dia menyamar sebagai peminta sedekah itu urusan dia dengan Allah SWT, kita sebagai manusia melihat hanya pada zahir sahaja.

Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata tidak kira kepada sesiapapun. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat. Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah).

Dengan memberi sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan Arasy daripada panas terik di Padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (su'ul khatimah) dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Hadis Riwayat Bukhari)

299.Soalan: Setiap kali masuk ke kuliah, pensyarah saya sering menceritakan keburukan pensyarah yang lain (mengumpat). Apakah hukumnya dia berbuat begitu?

Sebagai seorang pensyarah yang tinggi ilmunya tidak seharusnya dia menunjukkan tauladan yang tidak elok kepada pelajarnya. Mengumpat adalah dosa yang amat berat di sisi Allah SWT. Orang yang melakukan perbuatan itu diumpamakan oleh Allah SWT sebagai memakan daging saudaranya yang telah mati. Ini jelas menunjukkan betapa hina dan buruknya perbuatan tersebut. Dan ia dianggap hina kerana menyinggung kehormatan orang lain yang sewajarnya dipelihara.

Antara ayat-ayat Al-Quran tentang larangan mengumpat adalah :Firman Allah SWT maksudnya : "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nisaa' (4) ayat 148)

300.Soalan: Saya mempunyai seorang jiran yang baru berpindah. Setiap kali saya melalui depan rumahnya saya memandangnya dengan memberikan senyuman tetapi dia terus berpaling dan masuk ke rumahnya. Apakah hukum orang yang sombong ini?

Sombong adalah penyakit berbahaya, dimana jika penyakit ini bersarang di hati, nescaya akan mendorong pelakunya untuk berbuat dosa yang akan menjauhkannya dari syurga dan mendekatkan ke neraka.

Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi SAW, bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."

Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus." Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia." (Hadis Riwayat Muslim)



No comments: