Friday, May 24, 2013

Soal Jawab Agama Siri 17 (Menolong Orang Lain, Amalan Nabi SAW, Sifat Tawaduk Dan Lain-lain Lagi)


 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

.بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 17 adalah menjawab persoalan menolong orang lain, amalan Nabi SAW,  sifat orang bertawakal, fadilat wuduk, fardu haji , tidak bertegur sapa dan lain-lain lagi.

321.Soalan: Minggu lepas saya ada menolong seorang pegawai syarikat yang terlibat dalam kemalangan dan saya membawanya ke hospital. Selepas pulih dari kemalangan, dia datang berjumpa dengan saya dan memberikan saya bermacam hadiah dan penghargaan tanda dia berterima kasih kepada saya dan saya tidak mampu menolak kerana dia beria ia. Tetapi kawan saya mengatakan saya tidak ikhlas menolongnya dahulu jika saya mengambil hadiah tersebut. Minta penjelasan ustaz.

Islam menggalakkan kita memberi hadiah kepada orang yang telah membantu kita semasa kita mendapat musibah atau kemalangan. Pemberian hadiah itu adalah sebagai tanda penghargaan terutama orang yang memberi pertolongan adalah rakan sepejabat.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a. "Sesungguhnya beberapa orang dari kalangan sahabat Rasulullah SAW sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: Apakah ada di antara kamu yang boleh menjampi? Kerana ketua atau penghulu kampung kami terkena sengat.

Salah seorang dari para sahabat menjawab : Ya, ada. Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: Aku akan menyampaikannya kepada Nabi SAW, beliau pun pulang menemui Nabi SAW dan menyatakan pengalaman tersebut.
Baginda berkata: "Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah". Mendengar kata-kata itu, Rasulullah SAW tersenyum dan bersabda: "Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi?" Kemudian baginda bersabda lagi: "Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku dapat satu bahagian bersama kau" (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan riwayat di atas kita diharuskan menerima hadiah daripada usaha kita memberi bantuan seseorang yang mendapat musibah, kesusahan atau kemalangan. Semua yang kita lakukan hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Amalan yang ikhlas adalah amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT bukan kerana ada sebab-sebab yang lain atau ada dorongan-dorongan yang lain. Semua amalan kebaikan manusia akan tertolak di akhirat nanti apabila ada amalan atau pekejaan yang dibuat kerana sesuatu sebab iaitu untuk mendapat nama, pujian, penghargaan, pangkat dan kedudukan.

322. Soalan. Apakah amalan Nabi SAW ketika baginda bersama-sama isteri baginda?

Nabi SAW sentiasa menunjukkan contoh yang baik iaitu apabila berada bersama-sama isteri-isteri baginda, baginda akan membantu tugas isteri dirumah. Sehinggakan baju baginda koyak maka baginda menjahitnya sendiri.

Al-Aswad bin Yazid berkata, aku bertanya kepada Aishah r.ha, “Apakah yang dilakukan oleh Nabi SAW. di rumahnya? Aishah menjawab” Baginda membuat tugas keluarganya, iaitu membantu kerja keluarganya, maka apabila masuk waktu sembahyang baginda pun keluar untuk bersembahyang”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

323. Soalan. Apakah sifat orang yang bertawakal kepada Allah SWT?

Apa itu tawakal? Tawakal bererti menyerah diri kepada Allah dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatan-Nya dalam menjayakan suatu pekerjaan atau berserah diri di bawah lindungan-Nya pada saat menghadapi kesusahan.
Allah SWT  berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq ayat 3).
Jangan keliru dengan memisahkan usaha dengan tawakal. Telah datang kepada Rasulullah SAW  seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah s.a.w. "Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal?" Rasulullah SAW menjawab, maksudnya : "Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal." (Hadis Riwayat al-Tarmizi)

Orang beriman yang bertawakal kepada Allah dan tidak berasa bimbang tentang masalah rezekinya sama seperti burung yang berusaha mencari rezeki , ia keluar pada waktu pagi ketika perutnya kosong dan pulang pada waktu petang dengan perut penuh dengan makanan . Orang yang hatinya benar-benar berserah kepada Allah SWT (seperti hati burung) , yakin dan percaya jaminan Allah SWT kepada dirinya bahawa jika dia beriman dan bertakwa maka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Nabi SAW bersabda, “Akan masuk ke syurga orang-orang yang hati mereka seperti hati burung (yakni benar-benar berserah dan percaya kepada jaminan Allah pada dirinya.)” (Hadis Riwayat Muslim)

324. Adakah Islam menggalakkan umatnya mencari harta kekayaan dan kemana sepatutnya harta tersebut disalurkan?

Mencari harta kekayaan mestilah daripada sumber yang halal dan membelanjakan harta dengan sederhana ke jalan yang diredai-Nya dan perlu ada tabungan untuk simpanan dikala berlaku kecemasan. Sebagaimana hadis dari Nabi SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.”
(Hadis Riwayat Ibn an-Najjar)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa  Islam menggalakkan umatnya untuk  mengumpulkan harta untuk mengukuhkan ekonomi umat  Islam dengan syarat-syarat tertentu seperti mengeluarkan zakat, bersedekah untuk meninggikan syiar Islam atau melakukan apa sahaja kebajikan yang harus di sisi syarak. Ini penting kerana dengan cara ini tabungan (dana), pembahagian dan perluasan sumber sesama Islam boleh dilaksanakan dengan baik dan lancar untuk kepentingan sesama umat Islam bagi mengelak daripada pinjam-meminjam, hutang-menghutang dan sebagainya.

325.Soalan: Saya sering mendengar orang berkata banyak fadhilat yang kita dapat dengan melakukan wuduk. Bolehkan ustaz kongsikan apakah fadhilat-fadhilat tersebut?

Wuduk adalah ibadat kepada Allah SWT, Ibadat adalah ketaatan. Dan taat itu akan diterima jika memenuhi syarat fardu dan sunahnya. Seseorang yang berwuduk yang mengucapkan syahadatain di akhir wuduknya dan ia merasa dengan sesungguhnya bahawa Allah itu Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, maka bererti ia menaruh perhatian penuh untuk melaksanakan semua yang dititahkan Allah dan Rasul-Nya.

Dari wuduk yang sempurna dan terhapus semua dosa-dosanya (dosa-doas kecil sahaja kerana dosa-dosa besar terhapus dengan bertaubat kepada Allah) yang terdapat pada anggotanya maka memang layaklah untuknya terbuka delapan pintu-pintu syurga.

Di dalam hadis  Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Jika seorang hamba yang muslim atau mukmin berwuduk ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau titis terakhir air, sampai ia selesai wuduk dalam keadaan bersih dari dosa." (Hadis Riwayat Muslim).

Oleh itu apabila berwuduk maka berwuduklah dengan sempurna, dan tumpukan fikiran kepada setiap pergerakan semasa berwuduk. Salah satu sunah Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah di tinggalkan adalah sentiasa dalam keadaan berwuduk walaupun bukan untuk mengerjakan solat. Mereka yang sentiasa berwuduk akan di murahkan rezeki oleh Allah SWT dan syaitan sukar untuk menggoda dan menghasutnya.

326.Soalan: Bolehkah ustaz terangkan perbezaan antara Haji Mardud. Haji Maqbul, Haji Makhsus dan Haji Mabrur kerana tidak lama lagi saya hendak menunaikan ibadah haji.

Haji Mardud ialah haji yang tidak diterima olah Allah SWT lantaran kerana kekurangan syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab yang lain yang menyebabkan hajinya tidak diterima atau ditolak oleh Allah SWT. Contoh yang lain jika wangnya daripada sumber yang haram (rasuah atau judi)

Haji Maqbul adalah haji yang sah dan diterima oleh Allah SWT dan orang yang mengerjakan haji maqbul ini dianggap sebagai telah menunaikan perintah Allah dan telah menyempurnakan rukun Islam yang ke lima tanpa diberi ganjaran pahala.

Haji Makhsus adalah ibadah haji yang dikerjakan oleh orang-orang yang tertentu yang sempurna segala syarat dan rukunnya, ia bukan sahaja sekadar dianggap sah dan diterima oleh Allah SWT tetapi diampunkan segala dosanya.

Haji ini termasuk ke dalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ibnu Majah, An-Nasai dan Ahmad daripada Abu Hurairah yang bermaksud : ” Sesiapa yang menunaikan ibadah Haji, tidak ia melakukan keburukan dan kekejian, maka kembalilah ia seperti hari yang dilahirkan oleh ibunya. ”

Haji Mabrur adalah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa, tidak semua muslim boleh mendapatkannya. Haji ini bukan sahaja sekadar dianggap menunaikan kewajipan, tetapi selain dari diampunkan segala dosanya, ia juga akan dimasukkan ke dalam syurga.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani daripada Abdullah b. Abas yang bermaksud:” Haji mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan syurga.”

327.Soalan: Saya akan menunaikan ibadah haji tidak lama lagi. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan haji yang mabrur?

Untuk mencapai tingkatan haji yang mabrur, tidak semudah seperti yang disangkakan tetapi tidak mustahil untuk mendapatkannya. Ia memerlukan beberapa syarat yang tertentu berdasarkan masa-masa tertentu. Sebelum menunaikan fardu haji ada beberapa perkara yang seharusnya diperbetulkan sebelum berangkat ke tanah suci iaitu :

1. Niat semata-mata kerana Allah SWT, jangan sekali dicampur-adukkan dengan perasaan riak dan takbur. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Umar Al-Khattab yang bermaksud: ”Sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap seorang itu apa yang diniatkan.”

2. Wang perbelanjaan diperolehi daripada sumber yang halal. Wang yang diperolehi dan akan digunakan untuk tujuan  menunaikan ibadat Haji hendaklah daripada sumber yang halal, jangan sekali dicampur-adukkan dengan sesuatu yang haram atau yang syubhah.

3. Kewajipan diri sendiri telah sempurna dan tidak mempunyai tanggungan lain yang wajib disempurnakan.

Setelah cukup syarat yang mewajibkan seseorang itu menunaikan haji tanpa memaksa diri sendiri dan semua tanggungan yang lain telah disempurnakannya tanpa menjejaskan pemergiaannya ke tanah suci untuk mengerjakan haji.

4. Semasa mengerjakan haji dijaga semua perkara iaitu :

*. Menyempurnakan segala rukun-rukun haji.

*. Menyempurnakan segala perkara-perkara wajib haji.

*. Membayar segala jenis dam yang dikenakan.

*. Tidak melakukan larangan ketika berihram haji seperti persetubuhan, kemaksiatan dan kemungkaran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Masa untuk mengerjakan ibadah haji itu ialah beberapa bulan termaklum, oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya dengan niat mengerjakan ibadah haji itu, maka tidak boleh mencampuri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan haji.” (Surah Al-Baqarah, ayat 197)

5. Selepas menunaikan haji (sudah balik ke tanah air). Orang yang telah menunaikan haji, dianggap telah membersihkan dirinya daripada segala dosa dan kesalahan, setelah menunaikan ibadah haji khasnya setelah kembali ke tanah air maka beberapa perkara perlu diawasi :

* Mengekalkan diri sentiasa dalam keadaan bersih dari sebarang noda dan dosa dengan menjauhkan perkara-perkara mungkar yang dilarang.

*. Memperbanyakkan amal soleh untuk meningkatkan iman dan ketakwaannya.

*. Memperbaiki diri ke arah yang lebih sempurna di segi akhlak dan kelakuannya.

Dengan terlaksananya segala apa yang dinyatakan seperti di atas, maka besar kemungkinan seseorang itu akan mencapai ke tahap Haji Mabrur yang diidamkan oleh setiap pengunjung Baitullahil Haram

328.Soalan: Saya dan rakan sekelas bergaduh dan lebih dari seminggu saya tidak bertegur sapa dengannya. Betulkah kita tidak boleh bermasam muka lebih daripada tiga hari?

Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Ayub al-Ansari r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Haram bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW melarang apa sahaja amalan dan perbuatan yang boleh mendatangkan permusuhan dan perselisihan sesama saudara muslim. Buangkan segala sifat-sifat mazmumah seperti benci membenci, hasad dengki, sindiran, tidak bertegur sapa, bercakap lucah atau maki hamun, mengumpat dan suka menjual atau membeli hak orang lain (melanggar perjanjian).

Jika amalan buruk ini diteruskan maka pasti akan berlaku permusuhan, pergaduhan, pertengkaran akan membawa kepada perpecahan akan terurailah ukhwah Islamiah dan hubungan silaturahim. Sedangkan Nabi SAW bersabda yang bermaksud tidak akan masuk syurga sesiapa yang memutuskan silaturahim.

329.Soalan: Saya mempunyai dua orang rakan baik. Akhir-akhir ini mereka bergaduh dan bermasam muka. Apa yang perlu saya buat untuk mendamaikannya?

Rasulullah SAW bersabda: "Tolonglah saudaramu, baik dia orang yang menganiaya ataupun yang dianiaya.” Bertanya seorang sahabat: "Ya Rasulullah, kami mengerti tentang menolong orang yang teraniaya tetapi bagaimana kami menolong orang yang menganiaya?” Nabi SAW. menjawab: "Cegahlah dia.” (Hadis Riwayat Bukhari) 


Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Damaikanlah antara saudara-saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu diberi perasaan kasih sayang.” (surah al-Hujuraat, ayat 10)

330.Soalan: Saya pernah melakukan dosa dan sudah bertaubat tetapi saya takut diri saya tidak kuat untuk berubah. Bagaimanakah cara-cara untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama?


Pertama
: Segera bertaubat kepada Allah SWT.

Semoga dosa yang lama diampunkan-Nya dan mengiringi perbuatan dosa dengan kebaikan yang akan menghapuskan dosa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu melakukan perbuatan dosa sehingga dosa -dosamu mencapai setinggi langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah akan mengampuninya (menerima taubatmu).” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Kedua : Mengukuhkan azam untuk memperbaiki diri.

Penyebab utama seseorang menjadi lemah di hadapan dosa-dosa adalah kerana ketiadaan atau lemah tekad untuk menghidarinya sehingga mudah untuk melakukan dosa secara berulang kali.

Ketiga : Mencari suasana yang baik untuk membaiki diri.

Apabila berada di kalangan orang yang baik-baik maka orang akan rasa malu untuk melakukan dosa. Itulah hikmah orang yang membunuh 100 orang dianjurkan untuk berhijrah ke tempat lain yang didiami oleh orang yang baik-baik dan rajin beribadah kepada Allah SWT.

Keempat : Memohon perlindungan daripada Allah SWT dan memperbanyakkan zikir.

Seorang perlu memohon perlindungan daripada Allah SWT  daripada gangguan syaitan yang terkutuk. Firman Allah SWT :

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya." (Surah Al- A’raaf, ayat 201)

Hendaklah kita mempelajari segala hal yang berkaitan dengan dosa dan akibat buruk serta negatif daripada perbuatan dosa tersebut agar berwaspada dan menjauhkan diri daripada dosa berkenaan.

331.Soalan: Saya mempunyai seorang kawan yang sering meminta saya nasihat dan pandangan.  Adakah wajib saya menasihatinya sedangkan saya merasa segan kerana saya adalah seorang yang biasa sahaja?
 

Salah satu hak muslim kepada muslim yang lain adalah apabila diminta nasihat maka hendaklah menasihatinya.

Nasihatilah dia sebagaimana kamu mengambil keputusan dan menginginkan untuk dirimu sendiri. Sekiranya menurut pertimbangan kamu baik maka doronglah dia melakukannya dan sekiranya boleh mendatangkan mudarat maka ingatkanlah dan cegahlah dia melakukannya.

Tetapi jika perbuatan tersebut mengandungi kedua-duanya (baik dan buruk) maka jelaskanlah kepadanya dan buatlah pertimbangan yang wajar. Ini termasuk nasihat dalam mencari jodoh, rakan kongsi dalam usaha dan lain-lain. Perlakukanlah muslim lain yang memohon nasihatmu sebagaimana kamu memperlakukannya untuk dirimu sendiri. Hindarkanlah segala unsur penipuan di dalamnya.

Nasihat hukumnya wajib secara mutlak tetapi hukumnya akan menjadi lebih wajib jika perbuatan itu dipinta oleh muslim lain. Imam An-Nawawi berkata: "Pensyaratan memberi nasihat jika dipinta, hanya terbatas pada masalah dunia. Tetapi jika bersangkutan dengan masalah agama, kita wajib memberi nasihat walaupun tidak dipinta.”

332.Soalan: Betulkah jika terdengar orang bersin maka kita perlu mendoakannya?

Bersin adalah nikmat Allah SWT kerana angin yang terperangkap pada bahagian badan dipermudahkan olih Allah SWT untuk keluar sehingga insan merasa lega. Oleh sebab itu disyariatkan kepadanya agar bersyukur kepada Allah SWT dengan mengucapkan tahmid alhamdulillah(segala puji milik Allah).

Dan disyariatkan pula kepada saudara seagamanya yang mendengar tahmid itu untuk mentasymitkan/mendoakannya Yarhamukallah (semoga Allah mencucuri rahmat). Dan selanjutnya muslim yang bersin tadi disuruh oleh agama agar menjawab tasymit itu dengan doa yahdikumullah wayuslihu balakum (semoga Allah memberimua petunjuk dan memperbaiki hatimu). Barang siapa yang tidak bertahmid (memuji Allah) ketika bersin maka dia tidak berhak mendapat tasymit dari muslim lainnya.

Dia tidak boleh menyalahkan muslim lain dalam hal ini, tetapi hendaklah dia menyalahkan dirinya sendiri. Dia sebenarnya, dengan tidak bertahmid itu, dia telah luput dari dua nikmat
iaitu nikmat Alhamdulillah dan nikmat tasymit dari muslim lain.

333.Soalan: Sepupu saya hendak melangsungkan perkahwinannya dan menjemput saya ke majlisnya tetapi saya tidak dapat menghadirkan diri kerana terpaksa berkursus  ke luar daerah. Apakah hukum kerana tidak menghadiri majlis yang sudah diundang?

Kalau muslim mengundangmu untuk suatu upacara atau jamuan yang munasabah seperti perkahwinan, aqiqah, kenduri kesyukuran dan lain-lain maka penuhilah undangannya itu kerana salah satu hak  muslim kepada muslim yang lain adalah memenuhi jemputannya. Dia sebenarnya telah menyatakan penghormatannya terhadapmu dengan undangan tersebut. Oleh sebab itu janganlah kamu hampakan harapannya itu, kecuali jika ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

Malah, ada ulama mengatakan wajib menghadirinya sekiranya tiada halangan untuk hadir ke majlis tersebut berdasarkan riwayat Imam Bukhari daripada Ibnu ‘Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila di jemput oleh saudaramu ke kenduri kahwin maka hadirilah.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seburuk-buruk makanan kenduri kahwin itu dihalangnya orang yang mahu datang dan memanggil orang yang enggan datang. Dan barangsiapa yang tidak menghadiri jemputan tersebut, dia melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim)

334.Soalan: Apakah kelebihan jika kita sering berzikir ?
 

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud: “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari Neraka Jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam.”

Dan firman Allah SWT yang bermaksud : "Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”  (Surah Ali-Imran Ayat 191)

335.Soalan: Ibu saya sering menyuruh saya membaca al-Quran dengan tartil supaya dapat menghayati ilmu tajwid dengan baik. Apakah yang dimaksudkan dengan tartil?

Pengertian Tartil pada bahasa adalah memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopah. Menurut Istilah Tajwid ialah membaca al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya. Saidina Ali k.w berkata: "Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya."

Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kami membaca al-Quran itu dengan tartil. (beransur-ansur, perlahan dan benar)" (Surah Al-Furqan ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "dan bacalah Al-Quran itu dengan tartil (perlahan-lahan)." (Surah Al-Muzammmil ayat 4)

336.Soalan: Ketika saya membaca al-Quran saya berasa mengantuk. Adakah saya perlu berhenti atau meneruskan bacaan?
 

Hendaklah berhenti membaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca al-Quran dan  ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.

Berkata Mujahid: “Apabila kamu menguap ketika membaca al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati al-Quran sehingga selesai menguap kerana ini adalah adab-adab membaca al-Quran.”

337.Soalan: Kawan saya sering menonton dvd lucah. Apakah hukumnya jika kita tidak memelihara mata kita dengan tujuan yang baik?

Terlalu banyak maksiat dilakukan oleh manusia melalui mata. Zina mata adalah melihat atau digunakan kepada apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Mata ini akan menjadi saksi di hari akhirat nanti kerana manusia menyalahgunakan nikmat mata yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan melihat perkara yang haram. Dosa-dosa yang dilakukan oleh mata adalah seperti berikut :

1. Mengekori aurat wanita atau lelaki.

2. Melihat gambar atau filem lucah samaada melali dvd atau internet.

3. Menggunakan ilmu sihir melalui mata dan membaca mentera-mentera sihir untuk melakukan sihir kepada orang lain.

4. Menulis, mengarang dan mencari bahan-bahan fitnah dan menyebarkan fitnah tersebut kepada orang lain.

5. Mengintip rahsia dan mengambil gambar dan mendedahkan keaiban seseorang.

Apabila seseorang menggunakan matanya untuk melakukan apa saja perkara maksiat, sebenarnya matanya telah melakukan dosa. Tetapi apabila mata digunakan untuk solat, membaca al-Quran, menulis dan mengarang ilmu yang bermanfaat, melihat alam ciptaan Allah dan merasai keagungan-Nya dan perkara-perkara yang bermanfaat yang lain maka Allah SWT akan mengurniakan pahala dan mata ini nanti akan merasai gembira di hari akhirat. Terutama mata ini mengalirkan air mata ketika berdoa dan memohon ampun kepada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai cita-citanya, nescaya Allah SWT mencerai-beraikan urusannya dan dijadikan kefakiran di hadapan kedua matanya dan Allah tidak memberinya dari harta dunia ini, kecuali apa yang telah ditetapkan untuknya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

338.Soalan: Ada orang memberitahu saya jika bertaubat dan menangis kerana menyesal atas perbuatan lalu maka air mata kita mampu untuk memadamkan api neraka. Betulkah kata kata ini?

Tanda kita bersyukur dengan nikmat kaki, tangan, hidung, mulut, telinga dan mata yang dikurniakan oleh Allah SWT maka kita gunakan pancaindera ini untuk mentaati-Nya. Nikmat mata kurniaan Allah SWT adalah satu kurniaan yang besar, jika mata melihat yang halal dan mata menangis mengalirkan air mata kerana takutkan-Nya maka air mata ini akan dapat memadamkan kemarakkan api neraka. Salah satu golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy adalah seorang yang berdoa seorang diri menitiskan air mata penyesalan dan bertaubat kepada Allah SWT

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefarduan yang telah difardukan oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Tangisan dapat memadamkan api neraka. Dalam satu riwayat yang bermaksud: "Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

339.Soalan: Apakah hukumnya menyambut Hari Bapa. Saya dan adik beradik yang lain ingin menyambut dengan bapa bagi meraikan dirinya. Bolehkah kami menyambutnya dalam Islam?

Dalam Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat dan peraturan Islam, ianya boleh diraikan dengan cara yang munasabah seperti sambutan Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Guru.

Sebab itulah setiap muslim sepatutnya paling kurangpun mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa mereka 5 kali sehari setiap kali selepas solat 5 waktu di samping berusaha sedaya upaya menjaga kebajikan dan perasaan mereka yang bersusah payah membesarkan anak-anak.

Pada masa yang sama Islam juga telah meletakkan peranan bapa di tempat paling tinggi dalam institusi keluarga. Seorang suami atau bapa hendaklah berilmu, jujur, ikhlas, berakhlak mulia, bermoral, bijak, cekap dan tegas dengan kebenaran. Dia hendaklah berusaha menjadikan suasana damai sentiasa wujud dalam keluarganya. Tidak mengapa menyambutnya tanda penghargaan selagi tidak ada apa yang bercanggah dengan syariat Islam seperti majlis tari menari antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

340.Soalan: Saya sudah berusaha dan berdoa untuk mendapatkan markah yang tinggi dalam peperaksaan tetapi tetap tidak memperolehinya. Apakah doa saya tidak dimakbulkan Allah SWT?

Apabila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah ayat 216).

Jangan berputus asa dan cuba lagi dengan usaha yang gigih, berdoa dan terus berdoa in syaa Allah di masa akan datang akan memperolehi kejayaan.

No comments: