Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 70 adalah menjelaskan persoalan 4 sifat-sifat nabi, perjuangan asabiyah, golongan mustajab doa, mengutamakan akhirat, mohon perlindungan daripada neraka dan pertandingan memancing.
636. Soalan : Empat sifat-sifat para nabi dan rasul adalah siddiq, amanah, tablig dan fatanah. Orang mukmin yang berjuang menyampaikan dakwah dan tarbiah perlu juga mempunyai sifat ini sebagai asas untuk menjadi contoh yang baik di dalam masyarakat. Bolehkan ustaz huraikan sifat-sifat tersebut?
Jawapan :
Sifat-sifat tersebuat adalah seperti berikut :
Pertama : Siddiq (Benar)
Seorang mukmin harus memiliki sifat benar tidak ada sepatah pun perkataannya yang mengandungi kebatilan, dalam apa sahaja keadaan dan suasana. Sifat siddiq adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran dari tingkah perlakuan yang bersih dan suci.
Sifat inilah juga yang menjamin dapat mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali samada dia itu seorang alim, atau seorang yang berkuasa atau seorang saudagar, samada laki-laki atau perempuan, dewasa ataupun kanak –kanak, selama mereka hidup dalam satu masyarakat yang saling perlu memerlukan antara seorang dengan yang lain.
Sifat siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as -Siddiq.
Dari Abdullah bin Masud, Nabi S.A.W. bersabda bermaksud :
"Sesungguhnya siddiq (benar) itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan,dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta." (Hadis Riwayat Bukhari)
Kedua : Amanah
Amanah ialah sifat mulia yang pasti dipunyai oleh setiap orang dalam menghadapi perjuangan hidup demi untuk mencapai cita cita yang diazamkan. Suatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan harmoni melainkan hanya di atas asas yang kukuh dan tetap, antaranya asas amanah. Dengan jelas kita dapat menyaksikan perbezaan antara dua jenis manusia pertama yang amanah atau al amin dan kedua yang khianat atau al-Khain. Orang yang amanah akan menjadi tempat kepercayaan dan penghormatan orang ramai, sebaliknya orang khianat itu pula menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.
Sifat seorang mukmin yang amanah akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh bertanggungjawab. Dia tidak akan "curi harta rakyat", tidak akan mengambil rasuah dan tidak akan melaksanakan tugas sambil lewa sahaja. Dia merasai tanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. jika di dunia diabaikan amanah yang diberikan kepadanya.
Jika sifat amanah ini dimiliki oleh para pemimpin kita, para ulama , guru-guru, pegawai atasan dan ahli perniagaan maka kita akan dapati negara akan berkembang maju dan kekayaan negara akan dapat di manfaatkan sepenuhnya untuk rakyat dan keseluruhan rakyat umumnya akan mempunyai akhlak yang baik.
Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya. " (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)
Ketiga : Tabligh
Tabligh atau sifat menyampaikan dakwah dan Islam kepada masyarakat adalah satu sifat atau tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T.
Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 67 yang bermaksud : ”Wahai Rasulullah, Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya(dengan menyampaikan kesemuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. ”
Walaupun ayat ini arahan Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W. sebagai Rasul pilihan-Nya untuk menyampaikan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T., tetapi sebagai hamba Allah S.W.T. dan umat Nabi S.A.W. kita juga berkawajipan untuk menyambung perjuangan Nabi S.A.W. iaitu berdakwah dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. yang dilaksanakan oleh baginda kepada umat manusia seluruhnya.
Kewajipan berdakwah adalah tanggungjawab besar yang menjadi tonggak utama agama dan tiang seri atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturan serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka dia hendaklah mengubah dengan tangannya; jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya; dan sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan diperintahkan supaya hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapat keredaan Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Keempat : Fathanah (Kebijaksana dan cergas)
Sifat keempat ialah fathanah(bijaksana dan cerdas). Sifat ini adalah sifat penting yang perlu ada pada seorang mukmin yang bertugas menyampaikan dakwah kepada masyarakat, kerana sifat fatanah akan menyempurnakan sifat tabligh. Seseorang pendakwah yang terlibat secara lansung akan selalu terlibat dalam perbincanagan dengan musuh, menghadapi pertanyaan daripada ahli jemaah, serangan serta kritikan orang yang masih meragukan. Seorang yang memiliki sifat fatanah ini cukup faham keadaan mereka yang ingin didakwahkan dan mengambil pendekatan lemah lembut dan penuh hikmah. Dia juga berkemampuan untuk memahami isu-isu semasa, memahami kekuatan dan kelemahan orang yang ingin di dakwahkan dan mengambil pendekatan yang bijak supaya dapat mengelakkan fitnah dan penghinaan kepada Islam.
Kita dapati ada dikalangan para pendakwah yang cuba menyampaikan Islam dengan cara yang keras dan kurang hikmah hingga menyebabkan orang yang bukan Islam menganggap Islam itu ekstrim dan agama yang tidak ada toleransi. Ada setengahnya pula menyerang peribadi-peribadi tertentu untuk menjadi bahan ketawa. Perlulah diingatkan cara berdakwah yang berkesan adalah tidak mendedakkan keaiban seseorang dan berdakwah dengan cara lemah lembut dan penuh hikmah kerana inilah cara dakwah Rasulullah S.A.W. , betapa ramai orang kafir yang memusuhi Nabi S.A.W. tetapi akhirnya memeluk Islam kerana melihat ketinggian akhlak dan peribadai baginda.
637. Soalan : Apakah dia perjuanagn asabiyah? Kenapa Islam melarang umatnya memperjuankan asabiyah?
Jawapan :
Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah bersifat syumul, lengkap dan sempurna. Islam ditanzilkan oleh Allah SWT adalah untuk semua bangsa di dunia ini. Walaupun Islam diturunkan dinegara arab dan bahasa al-Quran dan hadis adalah bahasa arab tetapi ini bukan bermakna Islam hanya mengutamakan bangsa arab sahaja .
Islam datang menyatukan semua bangsa, walaupun berlainan bahasa, perbezaan warna kulit dan keturunan. Islam tidak pernah mengagongkan satu-satu bangsa dan menganggap bahawa semua bangsa adalah sama kerana orang yang paling mulia dikalangan manusia di sisi Allah SWT adalah orang yang paling bertakwa kepada-Nya.
Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al- Hujurat ayat 13)
Dalam hadis-hadis sahih terdapat larangan dari sikap asabiyyah dan mengajak kepada asabiyyah seperti asabiyyah perkauman yang sempit, berjuang di bawah panji perjuangan yang kabur, sekular, sesat dan bidah serta pilih kasih (disebut dalam hadis sebagai ‘asabiyyah ‘immiyyah dan qitlah jahiliyyah).
14 روايةً. م الإمارة 3440 حَدَّثَنَا هُرَيْمُ بْنُ عَبْدِ الْأَعْلَى حَدَّثَنَا الْمُعْتَمِرُ قَالَ سَمِعْتُ أَبِي يُحَدِّثُ عَنْ أَبِي مِجْلَزٍ عَنْ جُنْدَبِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْبَجَلِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ((مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ)). *
Al-Imam Muslim meriwayatkan dengan sanadnya dari Jundab ibn ‘Abdillah al-Bajali berkata bersabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera ‘immiyyah, mengajak kepada kepada ‘asabiyyah atau membantu ‘asabiyyah maka ia mati dalam jahiliyyah.” (Hadis Sahih Muslim, al-Imaarah, hadis 3440. (terdapat 14 riwayat tentang asabiyyah).
Dilarang segala bentuk ‘asabiyyah perkauman, kenegerian, bangsa, keluarga, kecuali kecintaan kepada agama Allah. Hanya bendera Islam yang diterima dan diizinkan, dilarang marah kerana kaum, negara, bangsa, keluaraga, kebendaan, ideologi, sistem selain Islam. Segala perjuangan, seruan, dan pergerakan jahiiyyah adalah haram kecuali perjuangan Islam.
Dalam riwayat Abu Dawud dinyatakan bahawa ‘asabiyyah ialah membantu kaum atau bangsa sendiri melakukan kezaliman iaitu syirik dan maksiat. (al-Sunan, al-Adab, hadis 4456.)
638. Soalan : Bolehkan ustaz terangkan siapakah golongan yang doa mereka mustajab di sisi Allah SWT?
Jawapan :
Di dalam hadis-hadis Nabi SAW terdapat 7 golongan yang mana doa-doa mereka mustajab di sisi Allah SWT. Golongan tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Doa orang tua kepada anaknya.
Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Abu Daud)
Kedua : Doa seorang musafir sampai ia kembali dari perjalanannya.
Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud)
Ketiga : Doa orang yang dianiaya.
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)
Keempat : Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Kelima : Doa seorang pemimpin yang adil.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Keenam : Doa seorang sahabat kepada saudaranya dikejauhan yang keduanya saling bertemu dan berkasih sayang hanya mengharap redha Allah SWT. semata.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)
Ketujuh : Doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)
638. Soalan : Bolehkan ustaz huraikan bahawa di dalam al-Quran Allah SWT menyuruh manusia mengutamakan akhirat lebih daripada dunia untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat?
Jawapan :
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas (28) ayat 77)
Perkataan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi bukanlah bermaksud mencari dunia separuh dan akhirat separuh (dunia 50% - akhirat 50%) ataupun keseimbangan dalam mencari harta di dunia dan akhirat.
Tetapi apa yang dimaksudkan menerusi ayat itu dalam tafsir Ibnu Katsir adalah, segala harta yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada kita adalah untuk tujuan berbuat kebajikan dan ibadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dalam ayat di atas jelas bahawa Allah SWT menyuruh mengutamakan urusan akhirat dan mencari harta di dunia adalah sebagai jalan untuk menuju akhirat bukannya harta dunia itu menjadi matlamat hidup.
Dalam hadis qudsi Allah SWT berfirman maksudnya :Dari Abu Waaqid Al-Laithi r.a, katanya : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman : Sesungguhnya Kami telah menurunkan (mengurniakan) harta bagi mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Jika seorang anak Adam itu mempunyai satu wadi (satu lembah harta) maka sudah pasti ia suka andainya beliau mempunyai wadi kedua; dan sekiranya beliau mempunyai dua wadi sudah pasti beliau suka untuk mempunyai wadi yang ketiga. Tidaklah yang memenuhi perut anak Adam melainkan tanah (sikap cinta kepada harta dunia itu akan berakhir bila mati). Kemudian Allah menerima taubat siapa yang bertaubat kepada-Nya.” (Hadis Sahih Riwayat Ahmad)
Berdasarkan hadis qudsi di atas jelaslah kepada kita bahawa peranan harta di muka bumi ini iaitu, ia digunakan untuk membuat amal kebajikan dan beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Tidak salah jika kita berusaha mencari dengan banyak harta di muka bumi ini, tetapi ia bukan untuk tujuan berbangga diri, berbuat maksiat atau kemungkaran lainnya. Ia digunakan untuk kebaikan manusia dan untuk pembangunan Islam khususnya seperti membayar zakat, membantu fakir miskin dan anak-anak yatim, membina masjid, berjihad atau apa sahaja kebajikan dan ibadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata.
639. Soalan : Berdoa adalah senjata orang mukmin, boleh ustaz jelaskan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk kita mohon perlindungan Allah SWT daripada seksaan api neraka Jahanam?
Jawapan :
Nabi SAW mengajar kita agar sentiasa berdoa dan mohon perlindungan Allah SWT. ketika habis membaca tasyahhud akhir kepada empat perkara. Sebagaimana sabdanya yang bermaksud : "Bila seseorang selesai membaca tasyahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: ' Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari seksa Neraka Jahannam, dari seksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah al-Masih Dajjal'. (Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai kepentingannya)". (Hadis Riwayat Muslim, Abu 'Awanah, Nasa'i dan Ibnu jarud dalam al-muntaqa)
Doa-doa didalam al-Quran
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya, "Ya tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." (Surah al-Baqarahrah ayat 201)
640. Soalan : Judi itu haram kerana ia seperti mencuba nasib atau tuah seseorang tanpa menggunakan kudrat. Soalan saya adakah memasuki Pertandingan Memancing juga haram?
Jawapan :
Persoalan yang dikemukakan adakah pertandingan memancing itu haram atau halal? Untuk menjawab persoalan ini perlu dilihat beberapa aspek iaitu adakah wang pendaftaran digunakan sebagai hadiah atau pun tidak? Jika wang pendaftaran digunakan sebagai hadiah, dan siapa yg mendapat ikan terbesar dan terberat akan mendapat hadiah utama, maka ketika ini ianya ada unsur judi. Tetapi sekiranya hadiah tersebut diperolehi oleh penyumbang lain dan penaja mendapat sumbangan (tidak terlibat langsung dengan wang pendaftaran) maka pertandingan tersebut sah tidak ada unsur judi samalah seperti cabutan bertuah di dalam majlis hari keluarga atau sebagainya, hadiah tersebut sumbangan daripada syarikat lain. Wang pendaftaran digunakan sebagai kos sewa bot, minyak atau makan-minum peserta ini diharuskan.
Untuk mendapat penjelasan lanjut tokoh agama yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, berkata bayaran pendaftaran dan pertaruhan adalah dua perkara berbeza kerana bayaran pendaftaran biasanya digunakan untuk menampung kos pertandingan termasuk makan minum serta pengangkutan.
“Perkara itu jelas kerana pendaftaran dan pertaruhan memang dua perkara berbeza. Sebagai contoh kalau kita memancing di kolam dengan bayaran tertentu yang sudah ditetapkan dan diadakan pula pertandingan sudah tentu wang yang kita bayar digunakan untuk kemudahan yang disediakan di kolam berkenaan.
“Begitu juga pertandingan memancing, jika jelas hadiah yang disediakan adalah sumbangan dan tajaan dan tidak timbul soal pertaruhan. Jika kita menyertainya ia tidak menjadi masalah,”
Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid pula berkata, tidak ada halangan bagi umat Islam menyertai pertandingan memancing yang jika tidak wujud unsur `gharar’ atau tidak jelas dan penganjur tidak menggunakan wang peserta untuk membeli hadiah.
Bagaimanapun, jika ada unsur yang tidak jelas dalam pertandingan yang diadakan, maka umat Islam diharamkan menyertainya kerana ia mengakibatkan kerugian kepada peserta. Beliau berkata, jika penganjur mendapatkan tajaan hadiah bagi pertandingan berkenaan dan tidak menggunakan langsung duit penyertaan peserta, maka hukum menyertainya adalah harus.Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment