Friday, August 9, 2013

Soal Jawab Agama Siri 69 (Hukum Melawat Orang Sakit, Adab-adab Ziarah Orang Sakit Dan Lain-lain Lagi)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Soal Jawab Agama Siri 69 adalah menjelaskan permasaalahan hukum melawat orang sakit, adab-adab ziarah, amalan sunat setelah seseorang meninggal dunia, hikmah solat jenazah bilangan yang ramai dan cara-cara solat jenazah.

631 Soalan : Apakah hukum melawat orang sakit dan adab-adab ziarah yang perlu dilakukan?

Jawapan :

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu."

Hukum melawat orang sakit adalah fardu kifayah menurut jumhur pendapat ulama. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra maksudnya :

“Ada lima Hak seorang Islam keatas orang Islam yang lain : menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya, dan mendo’akannya apabila dia bersin”. (Hadis Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Adab Menziarahi Pesakit

1. Lawatan ke tempat orang sakit hendaklah tidak makan masa yang lama.

2. Sunat duduk berhampiran dengan kepalanya.

3. Berdoalah untuk pesakit agar dia sembuh. Di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah : Bahawa Rasulullah SAW biasa memohon perlindungan bagi sebahagian keluarga baginda. Disapukan dengan tangan kanannya lalu berkata : “Ya Allah wahai tuhan bagi sekelian manusia, lenyapkanlah penderitaan dan sembuhkanlah, kerana engkau yang dapat menyembuhkan. Tidak ada penyembuh kecuali penyembuhmu. Yakni penyembuh yang tidak meninggalkan penyakit lagi”.

4. Berilah kata-kata semangat kepada orang yang sakit dan gembirakan dia.

5. Menziarahi di waktu-waktu yang sesuai serta mengelakkan daripada waktu-waktu senja, makan dan lewat malam.

6. Sekiranya ia berhutang segera jelaskan hutangnya (mengingatinya).

632. Soalan : Jika seseorang sudah dekat ajalnya maka apakah adab-adab untuk menziarahinya dan amalan doa yang perlu di ucapkan  oleh pesakit tersebut dan apakah hikmah menziarah pesakit?

Jawapan :

Terdapat 5 adab ketika kita menziarahi orang yang hampir ajal (sedang nazak)

1. Menghalakan pesakit yang nazak ke arah kiblat.

2. Talqin/peringatan kepadanya.

3. Ajarkan dia mengucap kalimah لا اله الا الله 

4. Bacalah Surah Yasin dengan nyaring dan Surah Ar-Ra’du dengan perlahan.

5. Sunat menitiskan air ke dalam mulut sekiranya terdapat tanda-tanda pesakit dahaga.

Sakit adalah datangnya dari Allah. Penyakit yang ditimpa ke atas kita sebenarnya mengandungi hikmah. Antaranya ialah :

1. Memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita bahawa kita ini lemah dan tidak mempunyai kuasa dan kekuatan untuk menyembuhkannya melainkan Allah.

2. Allah ingin menguji sejauh mana kesabaran kita menghadapi dugaan Allah.

3. Allah ingin mengampunkan dosa kita yang kita telah lakukan samada secara sedar ataupun tidak.

4. Sakit adalah datangnya dari Allah. 

633. Soalan : Apabila seseorang telah meninggal dunia apakah perkara sunat yang perlu dilakukan oleh waris simati?

Jawapan :

Perkara Sunat Selepas Kematian :

1. Mengingati tempat kembali, berdoa dan bersabar.

2. Sunat diucapkan : “Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadanya kita akan dikembalikan”.

3. Memberi ucapan takziyah (menyabar) menghibur orang yang ditimpa musibah dengan mengebut hal-hal yang dapat menghilangkan duka. 

Doa Takziyah : “Moga-moga Allah SWT menggandakan pahalamu dan memberi takziyah yang baik kepadamu serta mengampunkan yang mati itu”.

4. Apabila sudah hilang nyawa wajiblah dipejamkan matanya dan dirapatkan mulutnya jika terbuka, dengan cermat. Kemudian diikatkan dagunya untuk memelihara daripada dimasuki serangga. Doanya ialah : “Ya Allah Ya Tuhan kami ampunkanlah dia, Ya Allah Ya Tuhan kami rahmatilah dia”.

5. Hendaklah diletakkan mayat di tempat yang sesuai. Sebaik-baiknya di atas katil dengan keadaan melentang mengarah ke qiblat.

6. Salinkan pakaian yang dipakai dengan pakaian yang bersih supaya tidak terbuka auratnya.

7. Letakkan sesuatu di atas perut untuk mengelak dari kembong perutnya.

8. Harus bagi ahli keluarganya menciumnya (ijmak para sahabat).

9. Ahli keluarga yang mampu segera tunaikan hutang si mati sekiranya ia menangguhkan hutang, sama ada dibayar dari harta peninggalan si mati atau atas pertolongan waris, kerana pada suatu ketika Rasulullah SAW enggan menyembahyang ke atas jenazah yang mempunyai hutang sehingga dibayar hutangnya dan ditunaikan wasiatnya.

10. Segerakan pengurusan jenazah tersebut. Dari Ali Bin Abi Talib, Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Wahai Ali tiga perkara yang tidak boleh engkau lambatkan, sembahyang apabila masuk waktunya, kebumikan jenazah apabila sudah sedia dan nikahkan anak dara apabila ada jodohnya”.

11. Mengumumkan kematiannya, kepada sahabat handai dan golongan orang-orang yang soleh agar segera menguruskannya.

12. Diharamkan ratapan, meraung, menjerit dan diharuskan menangis dan berkabung hendaklah jangan melebihi tiga hari.

634 Soalan : Apakah hikmahnya jika ramai orang mensolatkan jenazah seseorang yang meninggal dunia?

Jawapan :

Semakin ramai orang mensolatkan jenazah adalah semakin baik untuk si mati berdasarkan hadis-hadis di bawah :

1. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا

إِلاَّ شَفَّعَهُمْ اللَّهُ فِيهِ.

Maksudnya:Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu ada empat puluh orang yang mendirikan solat Jenazah baginya, yang mereka tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, melainkan Allah akan mengabulkan permohonan syafaat mereka untuk jenazah tersebut." (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 948.)

2. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

مَا مِنْ مَيِّتٍ تُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيهِ.

Maksudnya: "Tidaklah seorang yang meninggal dunia lalu disolatkan oleh umat Muslim yang jumlahnya mencapai seratus orang, yang semunya memohon syafaat baginya, melainkan mereka akan diberikan izin memberi syafaat untuk jenazah tersebut." (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 947.)

635. Soalan : Bagaimana cara-cara solat jenazah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat?

Jawapan :

1. Bertakbir 4 kali.

Daripada Sa’id bin Musayyab bahawa Abu Hurairah berkata:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَفَّ بِهِمْ بِالْمُصَلَّى فَكَبَّرَ عَلَيْهِ أَرْبَعًا.

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengatur mereka dalam shaff di musolla lalu baginda bertakbir untuk (jenazah) Najasyi sebanyak empat kali." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 1328.)

2. Membaca Surah Al-Fatihah Selepas Takbir Pertama.

Berbeza dengan solat-solat lain, solat jenazah tidak dibacakan doa iftitah dan ini merupakan pendapat jumhur (majoriti) para ulamak. Apa yang sabit daripada hadis-hadis baginda adalah setelah takbir pertama dibacakan surah al-Fatihah dan satu surah dari al-Qur’an secara perlahan (sirr).

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ: صَلَّيْتُ خَلْفَ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَلَى جَنَازَةٍ

فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ. قَالَ: لِيَعْلَمُوا أَنَّهَا سُنَّةٌ.

Maksudnya:Daripada Thalhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf dia berkata: Aku solat jenazah di belakang Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh, maka beliau membaca surah al-Fatihah. Beliau berkata: Agar mereka mengetahui bahawa ia termasuk sunnah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 1335.)

3. Bacaan surah al-Fatihah secara perlahan.

Hadis di bawah daripada Abu Umamah radhiallahu’ anh menunjukkan bahawa bacaan dalam solat Jenazah adalah secara perlahan (sirr):

السُّنَّةُ فِي الصَّلاَةِ عَلَى الْجَنَازَةِ أَنْ يَقْرَأَ فِي التَّكْبِيرَةِ الأُولَى بِأُمِّ الْقُرْآنِ مُخَافَتَةً ثُمَّ يُكَبِّرَ ثَلاَثًا وَالتَّسْلِيمُ.

Maksudnya: Berdasarkan al-Sunnah mensolati jenazah adalah membaca al-Fatihah sesudah takbir pertama secara perlahan, kemudian diikuti dengan takbir sebanyak tiga kali dan sesudahnya salam." (Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Janaaiz, no: 1963.)

4. Membaca Selawat Ke Atas Nabi Selepas Takbir Kedua. 

Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah setelah takbir kedua hendaklah dibacakan selawat kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga secara sirr. Imam al-Syafi’i berkata: Surah al-Fatihah dibaca pada takbir pertama, kemudian berselawat ke atas Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (iaitu setelah takbir kedua). Kemudian berdoa untuk kaum Muslimin baik lelaki mahupun wanita, lalu kemudian mengkhususkan doa untuk jenazah tersebut. (Rujuk Abu ‘Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafi’i, Mukhtasar Kitab al-Umm fiil Fiqhi, diringkaskan dan diteiliti oleh Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, jilid 1, ms. 393)

5. Membaca Doa Ke Atas Jenazah Pada Takbir-Takbir Berikutnya 

Pada takbir-takbir yang berikutnya hendaklah dibacakan doa secara ikhlas kepada jenazah tersebut. Sebagaimana bacaan ketika selawat ke atas Nabi SAW bacaan doa ini juga hendaklah mencontohi lafaz-lafaz yang telah diajar oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Tentang anjuran untuk mengikhlaskan doa kepada jenazah, 

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

 إِذَا صَلَّيْتُمْ عَلَى الْمَيِّتِ فَأَخْلِصُوا لَهُ الدُّعَاءَ 

Maksudnya: Jika kalian mensolati jenazah, maka doakanlah kepadanya dengan penuh keikhlasan. " (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab Ma Jaa’a fii al-Janaaiz, no: 1486.)

Contoh Doa-doa dalam solat jenazah :

1. Daripada ‘Auf bin Malik, dia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah mensolatkan satu jenazah. Dia pun menghafal di antara doa baginda, yakni baginda mengucapkan:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ

وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ

وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ

وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ.

Maksudnya: Ya Allah, berikanlah ampunan kepadanya, sayangilah dia, maafkan dan ampunilah dia, muliakan tempatnya, luaskan tempat masuknya, serta mandikanlah dia dengan air, salju dan embun; bersihkanlah dia dari kesalahan-kesalahan sebagaimana baju putih dibersihkan dari kotoran; berikanlah dia pengganti tempat tinggal yang lebih baik dari tempat tinggalnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya; masukkanlah dia ke syurga serta lindungilah dia dari azab kubur (atau azab neraka) Dia berkata (yakni ‘Auf): Sampai aku berharap seandainya aku yang menjadi jenazah tersebut. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 963.)

2. Daripada Waathilah bin al-Asqa’, dia berkata: Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mensolatkan seorang (jenazah) lelaki Islam bersama kami, maka saya dengar baginda mengucapkan:

أَلاَ إِنَّ فُلاَنَ بْنَ فُلاَنٍ فِي ذِمَّتِكَ وَحَبْلِ جِوَارِكَ فَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ

أَنْتَ أَهْلُ الْوَفَاءِ وَالْحَقِّ اللَّهُمَّ فَاغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: "Sesungguhnya si Fulaan bin Fulaan adalah dalam tanggungan-Mu dan ikatan perlindungan-Mu, maka lindungilah dia dari bencana kubur, seksa neraka, sesungguhnya Engkau menepati janji dan penegak kebenaran. Ya Allah ampunilah dia dan kasihanilah dia, kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Penyayang. " (Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 15443.)

Wallahu a'lam





No comments: