Thursday, August 29, 2013

Soal Jawab Agama Siri 75 (Hukum Faraid, Pertemuan Ahli Keluarga di Syurga, Bantuan Allah dan Lain-lain Lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم  


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,  

Soal Jawab Agama Siri 75 adalah menjelaskan persoalan pembahagian harta pusaka cara faraid, di syurga akan bertemu ahli keluarga, Allah akan membantu umat Islam yang membantu agamanya, kebaikan saling bantu membantu dan poligami dalam Islam.

661. Soalan : Seorang wanita meninggal dunia dengan meninggalkan wang sebanyak RM 130,000.00. Si mati juga meninggalkan suami, bapa dan 2 orang anak perempuan. Beliau tidak mempunyai anak lelaki tetapi mempunyai 2 orang adik lelaki dan 2 orang adik perempuan. Ibu kepada simati sudah lama meninggal dunia dua tahun lalu. Bolehkah ustaz jelaskan bagaimana pembahagian harta pusaka melalui sistem faraid? Adakah adik lelaki dan perempuan si mati boleh mendapat bahagian daripada harta pusaka tersebut?

Jawapan : 

Seorang wanita meninggal dunia : Harta yang ditinggalkan berjumlah RM 130,000.00

Suami akan mendapat bahagian : 3/13 bahgian darpada RM 130,000.00 = RM 30,000.00

Bapa akan mendapat bahagian : 2/13 bahagian daripada RM 130,000.00 = RM 20,000.00

2 anak perempuan setiap  seorang akan mendapat bahagian : 

4/13 bahagian daripada RM 130,000.00 = RM 40,000.00 .

Adik lelaki dan perempuan simati tidak akan mendapat bahagian kerana bapa simati masih hidup..

662. Soalan : Syurga adalah tempat yang disediakan oleh Allah SWT untuk orang-orang mukmin yang bertakwa.. Sekiranya dengan rahmat Allah SWT kita dapat masuk syurga, adakah kita akan dapat bertemu dengan ibu bapa , datok, anak-anak , cucu-cicit dan zuriat keturunan kita yang sama-sama bertakwa dan di izinkan untuk memasuki syurga?

Jawapan :

Sesungguhnya rahmat Allah SWT sungguh luas yang akan diberikan-Nya kepada sesiapa dikalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa iaitu balasan syurga. Di dalam syurga nanti kita akan berpeluang berjumpa dengan ahli keluarga dan sanak saudara jauh dan dekat yang dahulunya ketika di dunia sama-sama saling bantu membantu dan berkasih sayang.

Firman Allah SWT. maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya."(Surah ath-Thur ayat 21)
Ayat di atas secara jelas menjelaskan kelebihan dua hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk nikmat dan hiburan kepada mereka.

Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa mereka (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).


Walaubagaimanapun nikmat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.



663. Soalan : Apabila kita lihat di luar negara ramai umat Islam ditindas, dibunuh, dibakar, ditangkap , dipenjarakan dan di seksa, tanpa peri kemanusiaan oleh golongan kafir, munafik dan fasik. Sedang berlaku pertembungan di antara yang hak dan yang batil. Adakah usaha-usaha murni ini yang dilakukan oleh para mujahidin, pendakwah dan pemimpin Islam akan mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT?


Jawapan :

Allah SWT. berfirman yang maksudnya : "Sesiapa yang menolong agama Allah maka Allah akan menolong mereka dan meneguhkan kehidupan mereka." (Surah Muhammad ayat 7)


Ayat ini membawa kita untuk melihat bagaimana untuk menyelesaikan masaalah. Allah SWT telah berjanji bahawa Dia akan menolong sesiapa sahaja yang menolong agama-Nya. Ini bererti bahawa segala masaalah yang kita hadapi hari ini akan diselesaikan oleh Allah SWT dengan syarat mereka itu sentiasa bekerja untuk menegakkan agama Allah SWT dengan ikhlas dan yakin. Keyakinan ini mesti ada terutama kepada para pendakwah.

Menolong agama Allah mempunyai pengertian yang luas. Apa jua usaha mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah keburukan adalah termasuk di dalam makna menolong agama Allah. Dalam melaksanakan kerja ini, kita seharusnya bersedia untuk mengorbankan apa sahaja asalkan ketinggian agama Allah SWT tertegak di atas muka bumi ini.

Penyelesaian dari Allah SWT mungkin datang dalam bentuk sama ada diberikan kesenangan hidup, kasih sayang manusia, keluarga yang bahagia, idea-idea yang baik dan mungkin juga ketenangan jiwa dan berjaya memenangi pilihanraya. Yang pasti Allah SWT tidak akan mungkir janji. Semakin banyak kita menghadapi masaalah maka seharusnya semakin kuat kita melakukan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat, bukan semakin berkurang. Sikap ini perlu dimiliki oleh kita. Sauadara-sauadara kita yang sedang berjuang di Palestin, Syria dan Mesir insyaa Allah akan berjaya dan akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT.

664. Soalan : Apakah kebaikan yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang suka membantu fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal?
 
Jawapan :
 
Di dalam kehidupan masyarakat Islam. Umat Islam digalakkan hidup  bantu membantu dan tolong menolong sesama muslim. Ini termasuk membantu golongan fakir miskin, anak yatim, janda dan ibu tunggal. Tujuannya adalah untuk melahirkan masyarakat penyayang dan adil sehingga dapat mengatasi masalah golongan terbiar dan yang tidak berada.

Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW. bersabda maksudnya : ''Orang yang berusaha membantu wanita janda dan orang miskin, mendapat pahala sama seperti pahala orang berjuang di jalan Allah, atau seperti pahala orang yang selalu qiamullail (bangun sembahyang malam) dan berpuasa di siang hari. ( Hadis riwayat Bukhari).
 
Kebaikan itu bukan sahaja akan diberikan oleh Allah SWT di dunia ini tetapi Dia akan memberikannya di hari akhirat.
 
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).
 
665. Soalan : Ustaz saya berhajat untuk berpoligami dan isteri saya mengizinkan dengan syarat calun isteri kedua itu mestilah menutup aurat dan wanita yang  cinta kepada perjuangan Islam. Isteri pertama saya redha dan tidak akan bermusuhan dengan isteri kedua dan sanggup menjalini ikatan kasih sayang dan bertolak ansur. Bolehkah ustaz jelaskan apakah perkara-perkara yang wajib dilakukan oleh suami ketika dia berpoligami.?

Jawapan :

Alhamdulillah, syabas dan tahniah dan banyak-banyak bersyukurlah saudara kerana saudara dikurniakan isteri pertama yang solehah bukan sahaja membenarkan tetapi merestui dan meredhai hasrat murni saudara untuk berpoligami. Jika semua wanita di dunia ini mempunyai hati yang mulia seperi isteri saudara rasanya aman dunia ini dan tidak berlaku perceraian di sebabkan keinginan suami untuk berpoligami.

Sekiranya saudara berhasrat membina masjid kedua perkara-perkara yang saudara perlu jaga adalah seperti berikut :

Pertama : Disyaratkan pula berlaku adil, sebagaimana yang difirmankan Allah SWT ;

"Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (kahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kaumiliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah an-Nisak ayat 3)

Para mufassirin berpendapat bahawa berlaku adil itu wajib. Adil di sini bukanlah bererti hanya adil terhadap para isteri sahaja, tetapi mengandungi erti berlaku adil secara mutlak. Oleh kerana itu seorang suami hendaklah berlaku adil sebagai berikut:

1. Berlaku adil terhadap dirinya sendiri.

Seorang suami yang selalu sakit-sakitan dan mengalami kesukaran untuk bekerja mencari rezeki, sudah tentu tidak akan dapat memelihara beberapa orang isteri. Apabila dia tetap berpoligami, ini bererti dia telah menganiayai dirinya sendiri. Sikap yang demikian adalah tidak adil.

2. Adil di antara para isteri.

Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing dari suaminya, berupa kemesraan hubungan jiwa, nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah kepada setiap suami.

Adil di antara isteri-isteri ini hukumnya wajib, berdasarkan firman Allah dalam Surah an-Nisak ayat 3 dan juga sunnah Rasul. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;

"Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)

i) Adil memberikan nafkah.
 
Dalam soal adil memberikan nafkah ini, hendaklah si suami tidak mengurangi nafkah dari salah seorang isterinya dengan alasan bahawa si isteri itu kaya atau ada sumber kewangannya, kecuali kalau si isteri itu rela. Suami memang boleh menganjurkan isterinya untuk membantu dalam soal nafkah tetapi tanpa paksaan. Memberi nafkah yang lebih kepada seorang isteri dari yang lain-lainnya diperbolehkan dengan sebab-sebab tertentu. Misalnya, si isteri tersebut sakit dan memerlukan biaya rawatan sebagai tambahan.
 
Prinsip adil ini tidak ada perbezaannya antara gadis dan janda, isteri lama atau isteri baru, isteri yang masih muda atau yang sudah tua, yang cantik atau yang tidak cantik, yang berpendidikan tinggi atau yang buta huruf, kaya atau miskin, yang sakit atau yang sihat, yang mandul atau yang dapat melahirkan. Kesemuanya mempunyai hak yang sama sebagai isteri.

ii) Adil dalam menyediakan tempat tinggal. 
 
Selanjutnya, para ulama telah sepakat mengatakan bahawa suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang tersendiri untuk tiap-tiap isteri berserta anak-anaknya sesuai dengan kemampuan suami. Ini dilakukan semata-mata untuk menjaga kesejahteraan isteri-isteri, jangan sampai timbul rasa cemburu atau pertengkaran yang tidak diingini.

iii) Adil dalam giliran. 
 
Demikian juga, isteri berhak mendapat giliran suaminya menginap di rumahnya sama lamanya dengan waktu menginap di rumah isteri-isteri yang lain. Sekurang-kurangnya si suami mesti menginap di rumah seorang isteri satu malam suntuk tidak boleh kurang. Begitu juga pada isteri-isteri yang lain. Walaupun ada di antara mereka yang dalam keadaan haidh, nifas atau sakit, suami wajib adil dalam soal ini. Sebab, tujuan perkahwinan dalam Islam bukanlah semata-mata untuk mengadakan 'hubungan seks' dengan isteri pada malam giliran itu, tetapi bermaksud untuk menyempumakan kemesraan, kasih sayang dan kerukunan antara suami isteri itu sendiri. 
 
Hal ini diterangkan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud ;
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, dan rahmat-Nya, bahawa la menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Ruum ayat 21)
 
Andaikan suami tidak bersikap adil kepada isteri-isterinya, dia berdosa dan akan menerima seksaan dari Allah (SWT) pada hari kiamat dengan tanda-tanda berjalan dalam keadaan pinggangnya miring. Hal ini akan disaksikan oleh seluruh umat manusia sejak Nabi Adam sampai ke anak cucunya.

Firman Allah (SWT) dalam Surah az-Zalzalah ayat 7 hingga 8;
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)."

3. Anak-anak juga mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan, pemeliharaan serta kasih sayang yang adil dari seorang ayah.

Oleh itu, disyaratkan agar setiap suami yang berpoligami tidak membeza-bezakan antara anak si anu dengan anak si anu. Berlaku adil dalam soal nafkah anak-anak mestilah diperhatikan bahawa nafkah anak yang masih kecil berbeza dengan anak yang sudah besar. Anak-anak perempuan berbeza pula dengan anak-anak lelaki. Tidak kira dari ibu yang mana, kesemuanya mereka berhak memiliki kasih sayang serta perhatian yang seksama dari bapa mereka. Jangan sampai mereka diterlantarkan kerana kecenderungan si bapa pada salah seorang isteri serta anak-anaknya sahaja.

4. Tidak menimbulkan huru-hara di kalangan isteri mahupun anak-anak. 
 
Jadi, suami mesti yakin bahawa perkahwinannya yang baru ini tidak akan menjejaskan serta merosakkan kehidupan isteri serta anak-anaknya. Kerana, diperbolehkan poligami dalam Islam adalah untuk menjaga kepentingan semua pihak. Jika kepentingan ini tidak dapat dijaga dengan baik, maka seseorang yang berpoligami pada saat itu adalah berdosa.

5. Berkuasa menanggung nafkah.

Kesimpulan dari maksud kemampuan secara zahir ialah;
 
i) Mampu memberi nafkah asas seperti pakaian dan makan minum.

ii) Mampu menyediakan tempat tinggal yang wajar.

iii) Mampu menyediakan kemudahan asas yang wajar seperti pendidikan dan sebagainya.

iv) Sihat tubuh badannya dan tidak berpenyakit yang boleh menyebabkan ia gagal memenuhi tuntutan nafkah zahir yang lain.

v) Mempunyai kemampuan dan keinginan seksual.

Wallahu a'lam.
















No comments: