Tuesday, October 1, 2013

Hati Yang Keras Jauh Daripada Rahmat Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Ibnu Umar radihiyallahu anhuma berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda : "Jangan memperbanykkan percakapan selain untuk berzikir kepada Allah SWT, sesungguhnya banyak bercakap selain daripada berzikir kepada Allah itu adalah meyebabkan hati seseorang menjadi keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah SWT itu ialah mereka yang berhati keras." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Hati merupakan sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, “Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya“.

Orang yang keras hatinya, sesungguhnya jauh daripada rahmat Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah adalah mereka yang berhati keras.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Sayidina Ali k.wj berkata: “Air mata tidak akan mengering kecuali bagi orang yang  berhati keras dan hati tidak akan menjadi keras kecuali dengan perbuatan dosa yang dilakukan berulang-ulang”.

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutamanya malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat. Allah SWT telah menyifatkan kaum munafik dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.” (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah SWT, hatinya tidak terpengaruh sama sekali. Mereka juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah SWT memberikan peringatan, “Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku.” (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang pendengki, ego, individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda;  "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah SWT. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad SAW kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". (Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Kurang mengagungkan Allah SWT.

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah SWT  diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Sahabat yang dikasihi,
Jika dibiarkan hati kita menjadi keras kerana hati yang keras adalah tanda hati itu berpenyakit, iaitu hati akan menghadapi beberapa perkara bahaya yang membinasakan iaitu memandang perkara buruk dan baik adalah sama saja atau mungkin mempercayai yang baik itulah mungkar dan yang mungkar itu baik, menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman dan bisikan syaitan sebagai penyuluh arah.

Hati diserang penyakit seumpama itu masih boleh dirawat dengan membaca al-Quran, mendalami maknanya dan mengamalkan ajarannya untuk menghidup dan melunakkan hati, selain menambah ilmu pengetahuan serta membentuk akhlak terpuji.

Membaca al-Quran juga boleh menjana ingatan kepada Allah SWT  dan meneguhkan ketakwaan. Inilah sebenarnya tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia.

Firman Allah SWT bermaksud : “Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian.” (Surah Al-Isra, ayat 82)

Jelas sekali selalu mengingati Allah SWT boleh mengindahkan hati dan menenangkan perasaan. Selain daripada membaca al-Quran, kita juga perlu sentiasa berzikir dan beristighfar untuk membersikan hati daripada karat-karat jahiliah. Berdasar pendapat Ibn Taimiyah, zikir itu penting bagi manusia, umpama betapa perlunya ikan kepada air.

Selanjutnya, perlu ada keinsafan dalam hati bahawa diri hanya sebagai hamba hina di sisi Allah mSWT. Rasa rendah diri, menjadikan ibadat dilakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkualiti.

Rasa rendah diri, menghindarkan daripada sikap sombong dan meyakini bahawa hanya Allah SWT yang Maha Besar dan Maha Agung. Orang yang sentiasa merendah diri, hatinya akan menjadi murni, tenang, senang menerima hidayah serta mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah SWT.

Oleh itu marilah sama-sama kita proses hati kita supaya daripada hati yang keras menjadi lembut, sihat dan sejahtera. Bersihkan hati kita daripada penyakit-penyakit hati yang menyebabkan kita jauh daripada rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

No comments: