Thursday, October 3, 2013

Soal Jawab Agama Siri 93 (Tanda Terkena Sihir, Saka, Keadaan Orang Nazak, Nafkah Dan Mendedahkan Aib Seseorang).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 93 adalah menjawab persoalan tanda-tanda terkena sihir, apakah dia saka, keadaan orang yang sedang nazak, nafkah adalah tanggungjawab suami dan masa bila kita boleh mendedahkan aib seseorang.

751. Soalan : Sihir adalah satu perbuatan dosa besar. Bolehkah ustaz jelaskan apakah tanda-tanda seseorang telah terkena sihir dan bagaimana kita boleh sahkan sakit yang di alami adalah disebabkan terkena sihir (dengan izin Allah)?

Jawapan :

Tanda-tanda gejala sihir begitu banyak, antaranya:-

1.Seseorang yang baru berkahwin tidak mempunyai nafsu terhadap isterinya.

2.Seseorang itu merasa kadangkala terlalu panas dan kadangkala terlalu sejuk sehingga ia sanggup meminum air yang mendidih.

3.Suami dan isteri yang tiba-tiba sahaja merasa tidak aman, benci-membenci antara satu dengan lain walaupun sebelumnya mereka sangat berkasih-sayang.

4.Kebiasaannya gejala penyakit yang disebabkan oleh sihir lebih menonjol sewaktu senja.

5.Juga banyak dari penyakit-penyakit baik fizikal atau kejiwaan yang tidak dapat disahkan puncanya oleh doktor-doktor yang pakar.

Cara-cara untuk mengetahui terdapat gangguan sihir : 

Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tangan kita :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52 

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulut di telapak tangan kanan, sehingga nafas kita atau sebahgian dari ludah mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kanan kita  di depan mata si sakit, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tangan kita berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tangan kita, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan, terkena sihir atau kesurupan (kerasukkan) atau kedua-duanya sekali.


[CATATAN : Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat diatas. Kalau si sakit tidak boleh membaca sendiri maka kita boleh bacakan ditapak tangan kita dan hulurkan tangan kanan kita di depan mata si sakit dan minta dia melihatnya.]


752. Soalan : Apakah dia saka ? Adakah boleh kita membuangnya jika saka itu terdapat dalam ahli keluarga kita?

Jawapan :

Saka adalah jin kafir yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga sudah menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku samada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunan pesakit. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek-moyang  terdahulu. Dan diturunkan kepada generasi kemudian tanpa diketahui atau jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki. Saka boleh dibuangkan dengan mengamalkan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Setiap penyakit ada ubatnya. Begitu juga perbuatan sihir yang dilakukan oleh bomoh dengan perantaraan jin kafir atau syaitan boleh diatasi dan di ubati penyakit tersebut. Jika tidak mampu mengubati sendiri gangguan saka maka boleh berjumpa pakar perubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, selawat dan doa-doa yang diajarkan Nabi SAW. Jangan berjumpa bomoh atau dukun kerana mereka menggunakan khidmat jin-jin kafir dalam rawatan yang digunakan.

Cara-cara mengatasi gejala sihir adalah seperti berikut :

Apabila telah disahkan seseorang itu terkena sihir samada dari segi fizikal, mental atau spiritual, maka dalam dalam konsep Islam, tiap-tiap yang bermasalah ada penyelesaiannya. Tiap-tiap penyakit ada penawarnya. Islam telah membuat beberapa peraturan untuk mengatasi penyakit disebabkan sihir.

Terutamanya setelah kita melihat fakta yang jelas bahawa Nabi Muhammad S.A.W. pernah terkena sihir dalam kisah yang terkenal dengan Labid bin A'sam. Peristiwa ini berlaku untuk memberitahu kita bahawa terdapat ayat Al-Quran yang dinamakan Al-Mu'awwizat, iaitu beramal bersungguh-sungguh dan yakin dengan ayat-ayat itu sehingga ia menjadi penawar.

Begitu juga dengan ayat Kursi dan memang dari kaedahnya ayat tersebut adalah pengubat dan penyembur sihir. Malah Nabi Muhammad S.A.W. telah menyebut secara terperinci bahawa sihir itu boleh diubati dengan membaca enam ayat pertama surah Al-Baqarah, tiga ayat daripada surah Al-Baqarah iaitu ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir daripada surah tersebut. Ayat-ayat ini hendaklah diamalkan dengan penuh yakin bahawa Allah S.W.T. boleh menyembuhkan sihir in syaa Allah.

Ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut :-

1.) Surah Al-Baqarah 2 : 1-6

2.) Surah Al-Baqarah 2 : 255-257

3.) Surah Al-Baqarah 2 : 284-286

Di dalam kitab zikir al-Mathurat karangan al-Imam Syahid Hassan al-Banna ada dihimpunkan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa sahih yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W untuk membina kekuatan rohani dan menghalang daripada gangguan sihir. Amalkan membaca Zikir al-Mathurat setiap pagi dan petang (lepas solat Asar).

Satu cara lagi yang di amalkan oleh pakar perubatan Islam untuk mengubati gangguan sihir adalah seperti berikut :

1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.

h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.


[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]


753. Soalan : Saya ada satu persoalan berkaitan dengan orang yang sedang nazak sakit dan orang mati. Soalan saya. Kemana kah arah kaki orang yang tersebut di atas sepatutnya hendak dihalakan, ketika sesaorang itu sedang sakit atau pun meninggal dunia, adakah hendak dihalakan kaki ke arah kiblat ataupun sebaliknya. Saya minta ustaz tolong huraikan kepada saya, berserta dengan hadis dan nas-nas berkaitan soalan saya tersebut, kerana ada sedikit percanggahan pendapat berkaitan hal ini. Terima kasih..

Jawapan;

1. Mengalihkan orang yang sedang nazak (hampir mati) ke arah kiblat –apabila nampak tanda-tanda hampir mati padanya ( Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116.)

Adalah sunat dengan sepakat para ulamak kerana kiblat adalah arah yang paling baik sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud; “Sesungguh bagi setiap perkara ada yang terbaik/paling utama. Sesungguhnya yang terbaik bagi segala kedudukan ialah yang menghala ke arah kiblat” (Al-Mu’jam al-Ausat, Imam at-Tabrani; 2354, dari Abu Hurairah r.a. Status hadis; menurut al-Haitsami dan al-Munziri; isnadnya hasan. Lihat; Faidhul Qadier; 2421).

Diriwayatkan dari Abi Qatadah r.a yang menceritakan; Ketika Nabi SAW tiba di Madinah baginda bertanya tentang al-Bara’ bin Ma’rur. Orang ramai menjawab; ‘Ya Rasulullah, dia telah meninggal. Dia memesankan agar 1/3 dari hartanya diserahkan kepadamu. Ketika sedang nazak dia memesankan agar dialihkannya ke arah kiblat’. Nabi SAW menjawab; “Dia telah menepati fitrah. Aku pulangkan 1/3 hartanya itu kepada anaknya”. Kemudian Nabi SAW pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya. Baginda berdoa untuknya; “Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia dan masukkanlah dia ke dalam syurga-Mu. Sesungguhnya Engkau telahpun melakukannya” (Mustadrak al-Hakim; 1305. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 6604. Status hadis; menurut al-Hakim; hadis ini soheh. Az-Zahabi menyetujuinya).

Diriwayatkan dari Saidina ‘Umar r.a. bahawa ia memesan anaknya; "Apabila aku hampir meninggal, alihkanlah aku ke arah kiblat". Pesanan yang sama juga ada diriwayatkan dari Saidina ‘Ali k.wj. (al-Fawakih ad-Dawani, 1/283).

2. Namun perkara ini tidaklah perlu dititik-beratkan sangat jika memayahkan orang yang sedang sakit itu atau orang lain (kerana rumah sempit dan sebagainya). Sa’id bin al-Musayyab (seorang Tabi’in terkenal) semasa beliau sakit, orang ramai ingin mengubah kedudukannya. Ia bertanya mereka; ‘Apa yang ingin kamu semula lakukan terhadapku?’. Mereka menjawab kepadanya; ‘Kami ingin mengubah kedudukanmu agar menghadap ke arah kiblat’. Ia menjawab; ‘Bukankah aku dari dulu lagi berada di atas kiblat (yakni berada di atas agama Islam) hinggalah ke hari ini?’ (al-Mughni, Ibnu Qudamah; 2/286).

Berkata Ibnu Hazm; jika dapat diarahkan ke arah kiblat, elok dilakukan. Jika tidak, tidak mengapa  mengadap ke manapun kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Ke mana pun kamu mengadap, di situlah wajah Allah” (Surah al-Baqarah, ayat 115). 

Berkata as-Sya’bi; ‘(Ketika nazak atau baru kematian) kamu boleh sama ada ingin mengalihkannya ke arah kiblat atau tidak mahu mengalihnya. Namun di dalam kubur, pastikan ia mengadap ke kiblat…” (al-Muhalla, Ibnu Hazm, 3/405).

3. Adapun cara menghadapkannya ke arah kiblat itu ada dua cara;

a) Membaringkannya di atas rusuk kanan dengan muka dan dada menghadap ke arah kiblat, iaitu sebagaimana kedudukan mayat dalam kubur. Jika tidak dapat di atas rusuk kanan, di atas rusuk kiri dengan muka dan dada ke arah qiblat.

b) Atau; membaringkannya di atas belakang dengan kaki mengadap ke kiblat dan kepala ditinggikan sedikit (iaitu dengan meletakkan lapik dibawahnya) supaya muka kelihatan mengadap ke kiblat.

Mana-mana satu dari dua cara di atas boleh dilakukan. Namun para ulamak khilaf pada menentukan mana yang terbaik. Jumhur ulamak (merangkumi mazhab Maliki, Hanafi dan kebanyakan ulamak mazhab Syafiie) menyukai cara (a). Jika tidak boleh cara (a), baru cara (b). Imam Abu Muhammad al-Juwaini dan Imam al-Ghazali menyukai cara (b). Berkata; Imam al-Haramain; cara (b) lah yang biasa dilakukan manusia. (Rujukan; al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116. Hasyiyah al-‘Adawi, 1/407). Wallahu a’lam.

754. Soalan : Saya ada sedikit kekeliruan tentang nafkah. Semasa di awal perkahwinan, saya pernah memberitahu suami bahawa saya akan membantu suami untuk membayar bil-bil utiliti untuk mengurangkan beban suami. Kadang-kadang saya turut mengeluarkn wang untuk membeli belanja seharian. Setelah beberapa tahun berkahwin, saya dapati pendapatan suami telah meningkat dan saya yakin suami boleh menggunakan wang tersebut untuk membayar bil-bil tersebut. Masalahnya adalah sekarang suami seolah-olah menganggap saya wajib membayar bil-bil rumah dan kadangkala turut mengatakan ayat bahawa asyik dia sahaja yang mengeluarkan wang belanja rumah, minyak kereta dan sebagainya. Apabila saya memberitahu itu adalah tanggungjawabnya sebagai suami, dia akan mengungkit bahawa dia telah banyak mengeluarkan duit sendiri. Apakah hak saya sebagai isteri dalam permasalahan ini? Minta penjelasan ustaz. Terima kasih. 

Jawapan;

Nafkah bagi kehidupan suami-isteri (iaitu belanja-belanja keperluan hidup untuk mereka) adalah tertanggung sepenuhnya di atas bahu suami. Ia adalah kewajipan suami yang ditetapkan Syariat. Sabda Nabi SAW maksudnya; “Wajib atas kamu (para suami) menyediakan untuk mereka (yakni isteri-isteri kamu) rezki mereka dan pakaian mereka mengikut kebiasaannya” (Hadis Sahih Riwayat Muslim; 1218. Abu Daud; 1905, dari Jabir bin Abdullah r.a). Menurut ulama; maksud rezki dalam hadis ialah nafkah hidup merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Hukumnya adalah wajib atas suami. (Mirqaat al-Mafatih, Syeikh ‘Ali al-Qari (5/1772). Mir’aat al-Mafatih, al-Mubarakfuri (9/25).)

Berkata Imam an-Nawawi; terkandung dalam hadis ini kewajipan (suami) menafkahi isteri dan menyediakan pakaian untuk mereka. Hukum ini telah diijmakkan oleh ulamak”.(Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi (8/184).)

Digalakkan isteri membantu suami, namun bukan atas dasar kewajipan , tetapi semata-mata ihsan darinya sahaja. Para suami perlu menyedari hakikat ini. Tidak harus mereka memaksa isteri untuk turut sama menanggung nafkah keluarga. Isteri yang engkar kepada arahan suami dalam perkara tersebut tidak dianggap sebagai nusyuz di sisi Syariat. Dalam hal ini suami tidak harus menggunakan kuasa vetonya, sebaliknya mengesyorkan secara baik kepada isteri. Isteri pula jangan keberatan membantu kewangan suami selagi termampu kerana wang/harta yang dibelanja untuk suami dan keluarga akan diberi dua pahala/ganjaran oleh Allah; pahala sedekah dan pahala qarabah. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW tatkala baginda ditanya berkenaan isteri yang membelanjai suami dan anak-anaknya-; “Untuknya dua pahala; pahala qarabah (mengeratkan ikatan keluarga) dan pahala sedekah” (Hadis Riwayat Bukhari; 1466. Muslim; 1000).

Apabila suami mengizinkan isteri untuk keluar berkerja, pendapatan isteri adalah milik penuhnya. Tidak harus diambil suami melainkan dengan persetujuannya. Kecuali jika suami mengsyaratkan sebahagian pendapatan hendaklah digunakan untuk belanja rumah sebagai tukaran kepada keizinan yang diberinya untuk keluar berkerja, ketika itu isteri terikat dengan syarat tersebut. Nabi SAW bersabda maksudnya; “Orang Islam terikat dengan syarat (yang dipersetujui) sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram” (as-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 11430, dari ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani RA). Tanpa syarat tersebut, kewajipan nafkah sepenuhnya atas suami.(Fatawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (2686).) Wallahu a’lam.

755. Soalan : Bolehkan ustaz terangkan bilakah masanya kita boleh mendedahkan aib seseorang?

Jawapan :

1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya, tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat maka ketika itu kita dianggap mengumpat (ghibah). 

Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya. 

Dalam hadis sahih Muslim, terdapat hadis dari Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; "Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?". Mereka menjawab; "Allah dan Rasu-lNya lah yang paling tahu". Nabi menjawab; "Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka". Lalu seorang bertanya Nabi; "Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya". Jawab Nabi; "Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya" (Hadis Sahih Riwayat Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah). 

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulama (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin);

2.1.  Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, kadi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

2.2. Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".

2.3. Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".

2.4. Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya. Perlu diingatkan bahawa ajaran Syiah menggunakan taqiyah (pembohongan) jika kita dapati seseorang telah menganut ajaran Syiah perlu di dedahkan pada orang ramai supaya orang ramai tidak di tipunya untuk menerima ajaran Syiah.

2.5. Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang . Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

2.6. Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain. Contoh dikampung itu terkenal dengan gelaran "Man Tempang" maka boleh panggilan tersebut dengan tujuan mengenalinya bukan untuk menghinanya. Dia pun tidak marah dengan panggilan tersebut.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana ia mempunyai tujuan yang diharuskan Syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya. 

3. Oleh kerana hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

3.1. Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; "Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah", maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; "Ini hanya keinginan nafsu sahaja", batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

3.2. Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

3.3. Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

3.4. Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah SWT di dunia dan akhirat. Walalhu a'lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.






No comments: