Saturday, November 2, 2013

Allah SWT Masukkan Hamba-hamba-Nya Ke Dalam Syurga Kerana Rahmat-Nya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Sabda Rasulullah S.A.W.  dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah S.W.T. menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. "
(Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )
 
Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut masuknya kita ke dalam syurga Allah S.W.T.  adalah disebabkan dengan rahmat Allah SWT bukan dengan amalan yang kita laksanakan. 
Di dalam hadis riwayat Hakim, terdapat satu kisah di zaman dahulu yang diceritakan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat bahawa ada seorang hamba Allah SWT yang telah beribadah kepada Allah SWT selama 500 tahun tetapi amal ibadahnya tidak dapat hendak menandingi nikmat dan rezeki kurniaan Allah SWT keatas dirinya. Dia di masukkan ke dalam syurga adalah kerana rahmat Allah SWT bukannya kerana amal ibadahnya selama 500 tahun.

Dari Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhu berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam keluar menuju kami, lalu bersabda, ‘Baru saja kekasihku Malaikat Jibril keluar dariku dia memberitahu, ‘Wahai Muhammad, Demi Zat yang mengutusmu dengan kebenaran.
Sesungguhnya Allah memiliki seorang hamba di antara sekian banyak hamba-Nya yang melakukan ibadah kepadaNya selama 500 tahun, ia hidup di puncak gunung yang berada di tengah laut. Lebarnya 30 hasta dan panjangnya 30 hasta juga. Sedangkan jarak lautan tersebut dari masing-masing arah mata angin sepanjang 4000 farsakh. Allah mengeluarkan mata air di puncak gunung itu hanya seukuran jari, airnya sangat segar mengalir sedikit demi sedikit, hingga menggenang di bawah kaki gunung.

Allah juga menumbuhkan pohon delima, yang setiap malam mengeluarkan satu buah delima matang untuk dimakan pada siang hari. Jika hari menjelang petang, hamba itu turun ke bawah mengambil air wuduk sambil memetik buah delima untuk dimakan. Kemudian mengerjakan solat. Ia berdoa kepada Allah Ta’ala jika waktu ajal tiba agar ia diwafatkan dalam keadaan bersujud, dan mohon agar jangan sampai jasadnya rosak dimakan tanah atau lainnya sehingga ia dibangkitkan dalam keadaan bersujud juga.

Demikianlah kami dapati, jika kami lewat dihadapannya ketika kami menuruni dan mendaki gunung tersebut. 

Selanjutnya, ketika dia dibangkitkan pada hari kiamat ia dihadapkan di depan Allah Ta’ala, lalu Allah berfirman, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga kerana rahmat-Ku.’ 

Hamba itu membantah, ‘Ya Rabbi, aku masuk syurga kerana perbuatanku.’

Allah Ta’ala berfirman, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga kerana rahmat-Ku.’ 

Hamba tersebut membantah lagi, ‘Ya Rabbi, masukkan aku ke syurga kerana amalku.’

Kemudian Allah Ta’ala memerintah para malaikat, ‘Cubalah kalian timbang, lebih berat mana antara kenikmatan yang Aku berikan kepadanya dengan amal perbuatannya.’

Maka ia dapati bahawa kenikmatan penglihatan yang dimilikinya lebih berat dibanding dengan ibadahnya selama 500 tahun, belum lagi kenikmatan anggota tubuh yang lain. 

Allah Ta’ala berfirman, ‘Sekarang masukkanlah hamba-Ku ini ke neraka!’

Kemudian ia diseret ke dalam api neraka. Hamba itu lalu berkata, ‘Ya Rabbi, benar aku masuk syurga hanya kerana rahmat-Mu, masukkanlah aku ke dalam syurga-Mu.’

Allah Ta’ala berfirman, ‘Kembalikanlah ia.’

Kemudian ia dihadapkan lagi di depan Allah Ta’ala, Allah Ta’ala bertanya kepadanya, ‘Wahai hamba-Ku, Siapakah yang menciptakanmu ketika kamu belum menjadi apa-apa?’

Hamba tersebut menjawab, ‘Engkau, wahai Tuhanku.’


Allah bertanya lagi, ‘Yang demikian itu kerana keinginanmu sendiri atau berkat rahmat-Ku?’

Dia menjawab, ‘Semata-mata kerana rahmat-Mu.’


Allah bertanya, ‘Siapakah yang memberi kekuatan kepadamu sehingga kamu mampu mengerjakan ibadah selama 500 tahun?’

Dia menjawab, ‘Engkau Ya Rabbi.’


Allah bertanya, ‘Siapakah yang menempatkanmu berada di gunung dikelilingi ombak laut, kemudian mengalirkan untukmu air segar di tengah-tengah laut yang airnya asin, lalu setiap malam memberimu buah delima yang seharusnya berbuah hanya satu tahun sekali? Di samping itu semua, kamu mohon kepada-Ku agar Aku mencabut nyawamu ketika kamu bersujud, dan aku telah memenuhi permintaanmu!?’

Hamba itu menjawab, ‘Engkau ya Rabbi.’


Allah Ta’ala berfirman, ‘Itu semua berkat rahmat-Ku. Dan hanya dengan rahmat-Ku pula Aku memasukkanmu ke dalam syurga. Sekarang masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga! 

Hamba-Ku yang paling banyak memperoleh kenikmatan adalah kamu wahai hambaKu.’ Kemudian Allah Ta’ala memasukkanya ke dalam syurga.”

Jibril ‘alaihis salam melanjutkan, “Wahai Muhammad, sesungguhnya segala sesuatu itu terjadi hanya berkat Rahmat Allah Ta’ala.” (Hadis Riwayat. Al-Hakim)

Sahabat yang dimuliakan,
Masuknya seorang hamba Allah SWT ke syurga adalah kerana rahmat-Nya, oleh itu untuk mendapat rahmat Allah SWT perlu kepada akidah yang sejahtera, amal soleh, amal ibadah dan amal kebaikan yang dilakukan berterusan semasa hidup di dunia ini.

Amal-amal kebaikan tersebut adalah seperti berikut :

1. Tidak melakukan syirik kepada Allah SWT.
2. Sentiasa berzikir dan menjaga hubungan hati dengan Allah SWT.
3. Sentiasa beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT.
4. Sentiasa mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.
5. Melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan mengerjakan amal soleh dan menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah.
6. Menjauhkan larangan Allah SWT dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah.

Jika terdapat 6 amalan yang ada pada diri kita insyaa Allah kita akan mendapat rahmat Allah SWT samaada di dunia atau hari akhirat.


No comments: