Saturday, November 2, 2013

Soal Jawab Agama Siri 108 (Kalender Hijrah, Puasa Sunat Muharram, Konsep Maal Hijrah, Hadis Akhir Zaman Dan Mohon Fasakh)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 108 adalah membicarakan persoalan bermulanya penggunaan kalender tahun Hijrah, puasa sunat bulan Muharram, konsep Maal Hijrah, hadis Nabi SAW membicarakan musibah akhir zaman dan memohon cerai cara fasakh.

821. Soalan : Bagaimana bermulanya penggunaan Kalendar Tahun Hijrah untuk umat Islam sekarang ini?

Jawapan :

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Umat Islam yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.
Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Saidina Umarr.a. telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah SAW untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah SAW dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah SWT kepada Rasul-Nya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Umat lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

822. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan hadis sahih daripada Nabi SAW yang menjelaskan sunat puasa di bulan pada 9 dan 10 bulan Muharram?

Jawapan :

Dari Abu Hurairah -radhiallahu anhu dia berkata: Rasulullah  Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Maksudnya : “Seutama-utama puasa setelah Ramadan ialah puasa di bulan Muharram, dan seutama-utama solat sesudah solat fardu, ialah solat malam.” (Hadis Riwayat Muslim no. 1163)

Dari Ibnu Abbas radhiallahu anhuma dia berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُومُونَهُ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ أَنْجَى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَقَوْمَهُ وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا فَنَحْنُ نَصُومُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya : “Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam mendatangi kota Madinah, lalu didapatinya orang-orang Yahudi berpuasa di hari ‘Asyura. Maka baginda pun bertanya kepada mereka, “Hari apakah ini, hingga kalian berpuasa?” mereka menjawab, “Hari ini adalah hari yang agung, hari ketika Allah memenangkan Musa dan Kaumnya, dan menenggelamkan Fir’aun serta kaumnya. Kerana itu, Musa puasa setiap hari itu untuk menyatakan syukur, maka kami pun melakukannya.” Maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Kami lebih berhak dan lebih pantas untuk memuliakan Musa daripada kalian.” kemudian baginda pun berpuasa dan memerintahkan kaum puasa di hari itu. (Hadis Riwayat Bukhari no. 3145, 3649, 4368 dan Muslim no. 1130)

Dari Abu Qatadah Al Anshari -radhiallahu anhu- dia berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ

Maksudnya : “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah ditanya mengenai puasa pada hari ‘Asyura`, baginda menjawab: “Ia akan menghapus dosa-dosa sepanjang tahun yang telah berlalu.” (Hadis Riwayat Muslim no. 1162)

Dari Ibnu Abbas -radhiallahu anhuma ia berkata; Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لَأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Maksudnya :“Seandainya tahun depan aku masih hidup, niscaya saya benar-benar akan berpuasa pada hari ke sembilan (Muharram).” (Hadis Riwayat Muslim no. 1134)

Hadis Abu Hurairah di atas menunjukkan bahawa puasa muharram merupakan puasa sunah yang terbaik dan terutama, dan keutamaannya adalah AllahSWT  akan mengampuni semua dosa setahun yang lalu. Hanya saja yang dimaksud dengan semua dosa di sini hanyalah dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa besar tidak akan diampuni oleh Allah SWT kecuali dengan taubat dan rahmat dari Allah SWT. 

Berdasarkan hadis Abu Hurairah bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

Maksudnya : “Solat lima waktu dan solat Jum’at ke Jum’at berikutnya, dan Ramadan ke Ramadan berikutnya adalah penghapus untuk dosa antara keduanya apabila dia menjauhi dosa besar.” (Hadis Riwayat Muslim no. 342)

Hadis ini termasuk dalil terbesar yang menunjukkan disyariatkannya mukhalafah (berbeda) dengan ahli kitab, keranaa ketika orang-orang Yahudi juga berpuasa pada tanggal 10 Muharram, Allah Ta’ala melalui lisan Rasul-Nya menurunkan syariat baru berupa berpuasa pada tanggal 9, dan syariat ini diturunkan semata-mata agar puasa kaum muslimin berbeda dengan puasa Yahudi. Wallahu a'lam.

823. Soalan : Apakah sebenarnya konsep Maal Hijrah yang perlu di fahami dan diamalkan oleh semua umat Islam?

Jawapan :

Hijrah  bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud:"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Peristiwa hijrah memberitahu kepada kita bahawa nasib dan hala tuju kehidupan setiap individu hanya boleh diubah oleh diri sendiri. Hijrah dalam Islam amat dituntut terutamanya hijrah minda dan hati. Tanpa hijrah, masyarakat tidak akan ke mana-mana malah mungkin menjadi lebih teruk dan seterusnya hilang dari muka bumi.

Islam juga tidak suka kepada umatnya yang hanya berdiam diri dan menunggu sesuatu mengubah nasib mereka. Kerana itu, Allah SWT memberi ujian kepada hamba-Nya demi melihat bagaimana cara mereka menangani ujian itu sebagaimana yang telah dilakukan ke atas Nabi Muhammad SAW dan pengikut baginda suatu ketika dahulu. Allah SWT  berfirman melalui surah Ar-Ra’ad, ayat 11 yang bermaksud:

“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW. dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa hijrah itu menyingkap satu perjuangan yang pantang menyerah atau mengaku kalah di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah SAW. iaitu, di Makkah selama 13 tahun dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ia bermakna Rasulullah SAW. berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa depan.

Hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah.

Mereka juga menyedari tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah SAW  bagaimana baginda mengutamakan pembinaan masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Quba. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi SAW  yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah.

Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.

Hijrah baginda bukan untuk kerehatan, tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia menghayati roh hijrah ini untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam.

Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan slogan indah atau ucapan  manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah SAW menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu yang saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan itu akhirnya dapat disatukan.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya kerana Islam adalah ad-Deen yang bersifat rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah SWT yang bermaksud:"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbia, ayat 107)

Marilah kita muhasabah diri kita samaada kita telah berubah daripada kejahilan kepada berilmu, dan sentiasa meningkatkan amal dan kerja-kerja jihad di jalan Allah SWT. Setiap tahun kita menyambut Maal Hijrah akan ada perubahan di atas usaha-usaha untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup.

824. Soalan : Saya ada mendengar ceramah mengenai hadis ketika di akhir zaman nanti terdapat bencana dan musibah di segerakan balasannya oleh Allah SWT sebabkan manusia meninggalkan ajaran Islam seperti perzinaan, penipuan di dalam perniagaan, tidak membayar zakat dan keenganan pemimpin Islam melaksanakan hukum-hukum Allah SWT. Bolehkan ustaz kemukakan hadis tersebut dan memberi huraiannya?

Jawapan :

Terdapat hadis daripada Rasulullah SAW :

سنن ابن ماجه: عَبْ
((يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ؛دِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: أَقْبَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:
1-    لَمْ تَظْهَرْ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلَّا فَشَا فِيهِمْ الطَّاعُونُ وَالْأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلَافِهِمْ الَّذِينَ مَضَوْا.
2-    وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلَّا أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ.
3-    وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلَّا مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ، وَلَوْلَا الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا.
4-    وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلَّا سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِي أَيْدِيهِمْ.
5-    وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ))

Maksudnya : "Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW datang kepada kami (pada suatu hari) kemudian Baginda bersabda: “Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah diuji dengannya (jika kamu telah mengerjakannya), maka tidak ada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT, semoga kamu tidak melalui zaman itu.

Perkara-perkara itu ialah:

1. Tidak terjadi perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terangan melakukannya, melainkan akan berjangkit di kalangan mereka wabak penyakit menular (Ta’un) dengan cepat, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang terdahulu.

2. Tidak mereka mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan, kecuali mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.

3. Dan tidak mereka menahan zakat harta benda, kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT.

4. Dan tidaklah mereka menyalahi janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menurunkan ke atas mereka musuh yang akan merampas sebahagian dari apa yang ada di tangan mereka.

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Qur'an dan mereka memilih ayat atau hukum yang mereka mahu, maka (di waktu itu) Allah akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri."

(Hadis Riwayat Ibnu Majah, Sahih al-Jami’ as-Soghir: 7978)

Keterangan Hadis di atas menerangkan bahawa:

1. Wabak Taun yang berjangkit dan kolera serta penyakit kelamin yang begitu banyak merebak sekarang seperti Aids, HIV adalah disebabkan banyaknya terjadi perzinaan.

2. Sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah disebabkan daripada rakyat yang mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan. Lalu terjadilah inflasi, barang naik harga, minyak naik, pendapatan tidak mencukupi, banyak pengangguran dan lain-lain kemorosotan ekonomi.

3. Kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat. Sesetengah tempat, walaupun hujan turut banyak, tetapi air tidak mencukupi untuk kegunaan, iaitu hujan tidak lagi membawa berkat bahkan membawa bala bencana pula!

4. Kuasa musuh mengambil sebahagian daripada apa yang dimiliki kaum Muslimin (seperti hilangnya kuasa ekonomi daripada tangan kaum Muslimin) disebabkan mereka mengkhianati janji-janjinya kepada Allah SWT, tidak mentaati perintah Allah. Atau bagi negara Islam lain mungkin penjajah atau pelabur asing yang akan menguasai ekonomi dan hasil kekayaan negeri. Rakyat akan merempat di bumi sendiri!

5. Perang saudara yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin disebabkan mereka mengabaikan hukum-hukum Allah SWTdan tidak menjadikan Al-Qur'an sebagai undang-undang di dalam kehidupan. Akan berlaku perpecahan dan perbalahan, perperangan dan pembunuhan sesama sendiri berleluasa.

825. Soalan : Saya seorang wanita yang merasa tertipu. Atas cadangan rakan saya menerima pinangan seorang pemuda. Mereka kata dia seorang yang baik. Kami pun bernikah. Setelah bernikah baru saya tahu dia adalah seorang  lelaki yang buruk akhlaknya, pemarah dan suka memukul isteri, tidak solat dan tabiatnya suka bermain judi.  Sudah 3 kali dia pukul saya kerana meminta duit daripada saya untuk bermain judi. 

Saya ingin minta diceraikan atau kami dipisahkan. Adakah cara-cara yang dianjurkan oleh Islam untuk saya memohon fasakh?


Jawapan :


1. Jika benar seperti yang disebutkan, pihak yang memperkenalkan suami puan kepada puan sehingga puan menerima pinangannya itu berdosa kalau mereka tahu dia seorang yang buruk akhlaknya tetapi tidak memaklumkannya kepada puan. Mereka termasuk dalam golongan yang menipu dan melakukan penyaksian dusta. Dosa keperitan hidup yang puan tanggung akan dikenakan juga kepada mereka atas penipuan tersebut. Nabi SAW bersabda maksudnya :

“Sesiapa yang memperdaya kami (kaum muslimin) maka dia bukan dalam kalangan kami. Tipu daya dan tipu helah itu dalam neraka” (Hadis Riwayat al-Tabarani dan Ibn Hibban, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dalam hadis ini Nabi SAW menyatakan mereka yang menipu orang Islam itu terkeluar dari jalan petunjuk baginda. Bahkan perbuatan itu tempatnya dalam neraka.

2. Seorang muslim hendaklah berlaku jujur apabila ditanya tentang bakal suami atau isteri yang hendak seseorang kahwini. Memberitahu perihal seseorang kepada yang ingin membuat pertimbangan untuk menerima atau menolak pinangan tidak termasuk dalam mengumpat yang diharamkan.

Perlu diingat bahawa pemberitahuan itu hendaklah sekadar yang diperlukan tanpa berlebihan kepada perkara-perkara yang tiada kaitan. Dalam hadis, apabila Fatimah binti Qais bertanya pendapat Nabi SAW mengenai Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm yang datang meminangnya, Nabi SAW menjawab:

“Adapun Abu Jahm dia tidak menurunkan tongkatnya dari bahunya. Sementara Mu’awiyah seorang yang miskin tiada berharta. Kahwinilah Usamah bin Zaid” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini Nabi SAW memberitahu perihal Abu Jahm dan Mu’awiyah yang menjadikan tidak sesuai untuk diterima pinangan mereka. Tidak menurunkan tongkat dalam hadis tersebut boleh jadi bermaksud sering bermusafir atau suka memukul wanita. Kemiskinan Mu’awiyah juga dimaklumkan oleh Nabi SAW untuk mengelakkan masalah. Bahkan Nabi SAW mencadangkan calon lain yang lebih baik.

3. Rumahtangga atau perkahwinan bukanlah penjara seksaan untuk seorang lelaki atau wanita. Ia sepatutnya dibina atas cinta dan kebahagiaan, bukan kebencian dan permusuhan. Jika kebencian dan permusuhan mengambil tempat, maka tiada ertinya lagi untuk sesuatu perkahwinan itu diteruskan. Ia akan lebih mengundang dosa daripada pahala. Ia akan merosakkan jiwa dan ketenteraman perasaan.

Hidup ini bukan sekadar untuk bertarung dengan masalah sebuah rumahtangga semata sehingga melupai tujuan kehidupan yang sebenar. Untuk itu, Islam mensyariatkan talak dan beberapa pintu lain seperti khulu’ dan fasakh untuk memboleh seseorang keluar dari neraka kehidupan dan mencari ketenteraman yang baru. Islam tidak seperti sesetengah agama yang menganggap perkahwinan itu semestinya abadi dan tiada jalan keluar lagi sekalipun terpaksa hidup memamah derita.

4. Pemikiran sesetengah masyarakat Islam bahawa penceraian atau talak itu semua buruk adalah tidak benar. Talak atau cerai adakalanya disuruh oleh al-Quran, jika perkahwinan sudah tidak lagi membawa kebaikan. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya” (Surah al-Baqarah, ayat 231). (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Maka talak itu jika membawa kebaikan seperti mengelakkan kezaliman antara suami dan isteri atau anak-anak, maka itu adalah suatu kebaikan. Jika membawa keburukan maka keburukan atau perkara negatif dibenci oleh Allah dan RasulNya. 

5. Wanita juga boleh memohon fasakh (bubar perkahwinan) atau khulu’ (tebus talak) jika dia merasakan suaminya sudah tidak sesuai dengannya dan dia tidak mampu lagi menunaikan tanggungjawab sebagai isteri. Isteri Thabit bin Qais pernah datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu:

“Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam". Maka Rasulullah SAW pun bersabda: "Mahukah engkau mengembalikan kebunnya?" Jawabnya: “Ya”. Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: "Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Membenci kekufuran dalam Islam bermaksud penderhakaan terhadap suami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman. Ada juga para ulama yang menafsirkan maksudnya dia terdesak menjadi kufur kerana ingin membebaskan diri dari suami. Kata al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H):

“Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya untuk khulu’ (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah: (maksudnya): “Jika kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya”(Surah al-Baqarah:229) (Ibn Qudamah, al-Mughni, 10/267, Kaherah: Hijr).

6. Seorang suami yang bengis suka memukul isteri, tidak solat dan suka main judi boleh membahayakan isteri. Puan perlu mengadu di pejabat agama jika cukup bukti maka  memboleh perkahwinan dibatalkan oleh pihak kadi atau mahkamah. Mahkamah perlukan bukti-bukti seperti laporan polis dan laporan perubatan yang puan kemukakan.

7. Sebenarnya, banyak perkara yang disebut oleh para ulama yang membolehkan perkahwinan dibatalkan atau dibubarkan (fasakh) apabila berlaku kezaliman kepada isteri. Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan ketika mambahaskan tentang memisahkan (tafriq) suami dan isteri disebabkan mudarat menyebut dua jenis mudarat yang memboleh isteri menuntut untuk dia dipisahkan.

Pertama : Mudarat dari segi fizikal seperti suami memukul, atau membuatkan sesuatu yang menyebabkan kecederaan. 

Kedua : Kedua darisegi jiwa atau psikologi seperti suami memakinya, atau tidak lagi mahu bersetubuh dengannya, atau menengkingnya atau enggan berbicara dengannya. Dr. Zaidan juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir:

“Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat. Ini seperti yang berlaku dalam kalangan mereka yang tidak senonoh. Di samping itu tambahan kepada dipisahkan, dia patut dihukum untuk diadabkannya. Ini seperti jika dia meliwat isteri”. Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (difasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (Dr Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah 8/439. Beirut: Muassasah al-Risalah).

8. Jelas, Islam sama sekali tidak pernah menzalimi wanita. Apa yang berlaku dalam banyak keadaan adalah disebabkan oleh pengurusan sesetengah pihak tentang urusan wanita yang tidak menekan nilai-nilai keadilan, keselamatan wanita, perasaan mereka yang lemah dan seumpamanya. Janganlah disalahkan Islam, sebaliknya lihat keadilan Islam jendela nas-nas yang sahih.

9. Perkara yang terpenting dalam hal puan ini, berdoalah kepada Allah SWT agar dibebaskan diri dari keadaan puan dan diberi gentian suami yang lebih baik dan soleh. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui tentang masa depan seseorang, pohonlah masa depan yang baik daripadaNya.

Wallahu a'lam

No comments: