Firman Allah SWT:
{وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ}
Maksudnya: {Dan telah kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syi’ar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya. Maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah kami telah menundukkan untu-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.} (Surah Al-Haj ayat 36)
Haji adalah rukun Islam yang wajib sekali seumur hidup bagi orang yang mampu menunaikannya di Makkah manakala ibadat korban pula boleh dilakukan di mana-mana saja bagi sesiapa yang mampu.
Ibadat korban yang dituntut Islam berbeza dengan konsep korban penganut agama lain. Korban dalam Islam bukan memohon perlindungan daripada mala-petaka atau amalan tolak bala. Sebaliknya ibadat korban adalah ibadat ikhlas sebagai lambang pengorbanan hamba kepada Allah.
Bagi sesiapa yang mampu untuk menunaikan ibadat korban, hendaklah melakukannya, kerana ia adalah sunnah yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat selepasnya.
Untuk memahami ibadat ini kita perlu mengetahui beberapa perkara;
Pertama sekali kita lihat kepada pengertiannya:
Korban atau Udhiyyah dalam bahasa Arabnya, bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-An’am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji pada 10hb Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13hb Zulhijjah) bertujuan untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.
Ianya telah disyariatkan melalui firman Allah SWT:
{فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ} [الكوثر:2]
Maksudnya: {Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah.}(Surah Al-Kautsar ayat 2).
Firman Allah SWT lagi:
{وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ…}
Maksudnya: {Dan bagi tiap-tiap umat sudah Kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang direzekikan Allah kepada mereka.} (Surah Al-Hajj ayat 34)
Melalui hadis pula:
عَنْ أَنَسٍ قَالَ: ضَحَّى النَّبِيُّ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ،
وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا.
Daripada Anas ra, “Rasulullah SAW juga telah menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.” [HR Bukhari dan Muslim].
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami.” [HR Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah].
Kata ulama’ hadis ini merupakan satu teguran/ancaman kepada orang yang berkemampuan tetapi tidak mahu melakukan ibadat korban.
HIKMAH DAN FADHILAT
Antara hikmah pensyariatan korban adalah:
Korban ialah ibadat. Setiap korban yang dilakukan kerana ibadat mempunyai hikmah dan faedah selain daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini samalah dengan ibadat-ibadat yang lain. Ia juga sebagai melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.
1. Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainya ialah menghayati pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah swt untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
2. Hikmah yang lain juga, ibadat korban menolong orang fakir dan mereka yang berhajat serta mengembirakan mereka, anak isteri dan keluarga pada hari raya. Ini dapat menanam perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin. Seterusnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat Islam dan semangat berjemaah.
HUKUM:
Hukum korban dibahagi kepada dua;
Pertama: Sunat muakkad bagi orang yang cukup syarat-syaratnya ini: Islam, aqil baligh dan berkemampuan.
Kedua: Wajib kepada yang mewajibkan dirinya sendiri samada untuk berkorban kerana mendekatkan diri kepada Allah atau bernazar.
Tujuan korban adalah semata-mata mengagungkan syariat Allah dan merebut peluang mencapai ketakwaan di sisi-Nya. Setiap muslim, sangat dituntut (sunat muakkad) melakukan ibadat korban memadai menyembelih seekor kambing bagi dirinya dan keluarga.
Binatang Yang Disyariatkan Untuk Berkorban.
Korban hanya sah dengan unta, lembu (kerbau), kambing dan biri-biri. Inilah binatang ternakan yang dimaksudkan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah (Surah Al-Hajj ayat 34) di atas tadi.
Yang paling afdhal ialah sembelih seekor unta, diikuti lembu dan kambing.
Harus berkorban dengan seekor unta atau lembu jantan atau betina untuk tujuh orang. Ini berdasarkan hadis daripada Jabir ra katanya: “Kami berkorban bersama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyyah dengan seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang”. [HR Muslim]
Syarat Binatang Korban
1. Cukup Umur: Umur unta disyaratkan masuk tahun keenam. Umur lembu dan kambing telah masuk tahun ketiga, manakala biri-biri pula telah masuk tahun kedua atau telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun.
2. Tidak cacat: Ketiga-tiga jenis binatang korban tersebut tidak cacat yang menyebabkan kurang dagingnya. Juga tidak sah korban kambing yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinganya.
3. Setiap perkara yang menyebabkan binatang itu kurus dan kurang dagingnya hendaklah dikiaskan kepada keempat-empat kecacatan tersebut.
Waktu ibadah korban:
Ibadah korban mestilah dilaksanakan pada waktu-waktu khusus iaitu pada 10 Zulhijjah selepas solat sunat hari raya sehinggalah tenggelam matahari pada 13 Zulhijjah.
CARA PENGAGIHAN DAGING KORBAN:
Cara pengagihan daging korban, menurut kitab Fiqh Manhaji;
1. Jika melakukan korban sunat, harus bagi yang berkorban memakan sebahagian daging korban dengan syarat disedekahkan sebahagiannya. Tetapi yang afdhalnya ialah dia makan sedikit untuk mendapat keberkatan dan selebihnya disedekahkan.
2. Dia juga boleh memakan 1/3 bahagian, menyedekahkan 1/3 bahagian kepada fakir miskin dan 1/3 bahagian yang lagi dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran tetangganya sekalipun mereka kaya.
No comments:
Post a Comment