Thursday, March 26, 2015

Kemuskilan Agama : Tanda-Tanda Terkena Sihir Dan Cara Rawatannya.

Soalan Ke Tujuh Puluh Tujuh  : 

Bolehkah ustaz terangkan apakah tanda-tanda seseorang terkena sihir atau santau? Bagaimana cara untuk menguji seseorang sudah terkena sihir dan cara membuat rawatan sihir? 

Jawapan : 

Tanda-tanda gangguan syaitan/ serangan gangguan makhluk halus:

1. Tidur dalam keadaan resah, rimas dan cemas serta selalu terjaga
2. Mengalami mimpi yang buruk dan menakutkan
3. Bermimpi melihat berbagai jenis binatang seperti kala jengking, anjing, tikus dan lain-lain
4. Kadang menangis dan kadang ketawa ketika tidur
5. Selalu bermimpi terjatuh dari tempat tinggi
6. Terasa panas badan terutama di bahagian belakang
7. Fikiran selalu kacau, terasa gelap dalam perut, badan terasa lesu dan malas
8. Suka marah-marah tanpa suatu sebab yang munasabah
9. Selalu sakit kepala
10. Hilang fokus pada pekerjaan dan juga percakapan
11. Sakit di bahagian bawah tulang kipas dan bawah punggung

Tanda-tanda sihir pemisah (memisahkan seseorang individu dengan individu lain)

1. Terdapat perubahan tabiat/perangai secara tiba-tiba
2. Kerap berlaku perbalahan antara pasangan atau rakan 
3. Kehadiran pandangan buruk keatas pasangan misalnya nampak suami atau isteri begitu buruk dan hodoh
4. Masing-masing suka menegakkan benang basah dan tidak mahu mengalah

Tanda-tanda sihir pengasih
1. Kehadiran perasaan rindu dan cinta yang mendadak kepada seseorang
2. Terikut-ikut kehendak pasangan (haram) atau individu secara berlebihan
3. Kuat berkhayal tentang adegan seks
4. Berkeinginan tinggi untuk melakukan hubungan seks

Tanda-tanda sihir menghadirkan penyakit (membuat sesorang itu jatuh sakit)
1. Cakap merapu
2. Fikiran bingung
3. Sentiasa resah gelisah
4. Tidak menjaga kebersihan diri
5. Gemar bersendirian
6. Tidak suka bergaul dengan kawan-kawan
7. Tidak ada kekuatan fizikal dan mental

Tanda-tanda sihir pendarahan

1. Sihir ini terjadi keatas wanita dimana berlakunya pendarahan pada faraj seolah-olah darah haid namun ia berterusan dan tidak berhenti. Sihir ini amat merbahaya sekali kerana seseorang mangsa boleh kehilangan darah terlampau banyak. Badan akan menjadi terlampau lemah, mudah penat, sukar bernafas dan terdedah kepada gangguan yang lebih serius. Harus diingat haid seseorang wanita hanya selama 14 hari dan selebihnya adalah penyakit. (darah istihadah)

Tanda-tanda santau

1. Pendarahan yang berpanjangan saperti haid
2. Sakit dibawah tulang kipas
3. Sakit dibawah punggung
4. Batuk yang berterusan
5. Bermimpi binatang yang menakutkan
6. Sesak nafas
7. Pemarah walaupun sifat asalnya adalah lembut dan penyabar
8. Kelopak mata kehitaman kerana gangguan tidur
9. Daya ingatan berkurangan

Tanda-tanda seseorang yang mempunyai saka

1. Sukar tidur
2. Sering bermimpi perkara yang menakutkan
3. Ketawa dan menangis ketika tidur
4. Pening kepala
5. Malas dan lesu
6. Lenguh-lenguh sendi
7. Pemarah dan terlalu emosi

Adakalanya juga orang yang ada saka dibenci oleh ramai orang kerana menzahirkan situasi negatif dan tidak menyenangkan

Pedoman dan renungan

Kebanyakan orang yang terkena gangguan makhluk halus samada dalam bentuk sihir, santau lebih-lebih lagi saka keberatan untuk melakukan rawatan. Keadaan ini terjadi semata-mata kerana tipu daya dan fitnah syaitan.Sebahagianya pula tidak mempercayainya.

Sebaliknya pula ada golongan yang ketagih dengan khidmat bomoh.Golongan ini lebih suka dikaitkan masalah mereka dengan "buatan orang",walaupun sebenarnya tidak.Mengapa fenomena ini berlaku dalam masyarakat kita?

Sukacita disarankan agar anda kuatkan semangat dan keimanan seterusnya melawan keadaan ini daripada membelenggu diri anda. Dan kepada saudaramara, rakan taulan hendaklah sentiasa membantu mereka tanpa jemu demi kebaikan bersama.

Penyakit sebegini bakal menyusahkan diri sendiri dan menghancurkan kerukunan rumahtangga dan keluarga tercinta.

Dapatkanlah rawatan daripada pengamal perubatan Islam yang diyakini tidak terlibat dengan sebarang bentuk khurafat dan kekufuran. Ikutilah pedoman-pedoman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa kesemasa. Amalkan zikir al-Mathurat sebagai pendinding diri daripada sihir dan gangguan jin kafir dan syaitan. Wallahu a'lam

Apa yang dijelaskan di atas adalah tanda-tanda gejala sihir, santau atau saka. Jika kita nak pasti adakah sihir ini benar-benar wujud dalam diri kita maka kita perlu membaca beberapa ayat al-Quran. Cara-caranya : Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tanganmu :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52 

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulutmu di telapak tangan kananmu, sehingga nafasmu atau sebahgian dari ludahmu mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kananmu itu di depan mata si sakit, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tanganmu berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tanganmu, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan, terkena sihir atau kesurupan atau kedua-duanya sekali.

[CATATAN : Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat diatas. Kalau si sakit tidak boleh membaca sendiri maka kalian boleh bacakan ditapak tangan kalian dan hulurkan tangan kanan kalian di depan mata si sakit minta dia melihatnya.]

Pertama cuba saudari baca ayat-ayat di atas dan uji pada diri saudari, jika ada seperti yg dinyatakan maka jelas saudari terkena sihir. Untuk mengubati sihir ada beberapa ayat al-Quran untuk menawarkan sihir iaitu : Cara-cara membuangkan sihir daripada diri kita : 

1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.

h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.

[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]

Semua kejadian di langait dan dibumi semuanya adalah kehendak Allah SWT semua makhluk termasuk jin dan syaitan dan manusia tak boleh mendatangkan apa-apa mudharat. tanpa izin Allah SWT. Oleh itu kita yakin dengan Allah SWT dan keselamatan kita adalah dibawah jagaan Allah SWT. Amalkan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, solat tahajud, berdoa minta perlindungan Allah SWT dan jik ada penyakit minta Allah SWT pulihkan dan beri kesembuhan. Seorang mukmin perlu berdoa, berusaha, bertawakkal dan bersabar.

No comments: