Tuesday, May 5, 2015

Cerai Cara Fasakh

Cerai Fasakh.

Perceraian :

Perceraian dari segi bahasa bererti batal atau pembatalan.

Dari segi istilah bererti pembatalan akad perkahwinan yang disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada masa akad atau disebabkan oleh kecacatan yang mendatang yang boleh menghalang keutuhan sesuatu perkahwinan.

Daripada pengertian di atas dapatlah difahami bahawa:

1. Fasakh berbeza dengan talak

2. Fasakh dilakukan dengan sebab sama ada sebab yang serentak (muqaranah) pada masa akad nikah, atau sebab yang berlaku selepas akad nikah.

3. Fasakh membawa akibat pembatalan  perkahwinan dan berlakulah perceraian antara suami isteri.

Fasakh.

Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui hakim. Fasakh hanya boleh diputuskan oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu seperti kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati astaupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.

Fasakh menurut bahasa ialah rosak atau putus. Manakala menurut syarak pula, pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu sifat yang dibenarkan syarak, misalnya, perkahwinan suami isteri yang difasakhkan oleh kadi disebabkan oleh suaminya tidak mempu memberi nafkah kepada isterinya.

Fasakh hanya boleh dituntut oleh isteri sekiranya terdapat beberapa sebab atau kecacatan yang terdapat pada pihak suaminya. Mengikut mazhab Shafie, seorang isteri boleh menuntut fasakh melalui kadi atau mahkamah disebabkan oleh kekurangan suaminya seperti gila (berkekalan atau sekejap); penyakit kusta; penyakit sopak; penyakit yang menghalang mereka daripada melakukan persetubuhan; suami tidak mampu memberi nafkah belanja kepada isterinya seperti makan dan minum serta tempat tinggal, pakaian, memberi mahar dengan cara tunai sebelum bersetubuh kerana kepapaan atau muflis atau sebagainya; suami tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan isterinya terlalu lama dan tidak memberi khabar berita; suami yang menzalimi dan memudaratkan isterinya; suami yang fasik serta melakukan maksiat terhadap Allah dan tidak menunaikan kewajipan kepada Allah; dan murtad salah seorang (suami atau isteri).

Cara melakukan fasakh

1. Jika suami atau isteri mempunyai sebab yang mengharuskan fasakh

2. Membuat aduan kepada pihak kadi supaya membatalkan perkahwinan mereka

3. Jika dapat dibuktikan pengaduan yang diberikan adalah betul, pihak kadi boleh mengambil tindakan membatalkannya

4. Pembatalan perkahwinan dengan cara fasakh tidak boleh dirujuk kembali melainkan dengan akad nikah yang baru.

Cerai fasakh adalah cara membubarkan perkahwinan berdasarkan sebab-sebab tertentu. Menurut seksyen 52 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984., terdapat beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu membuat permohonan fasakh.

Sebab-sebab yang membolehkan fasakh ialah :-

1.    tempat suami berada tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun;

2.    suami tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah selama tiga bulan;

3.    suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih;

4.    suami tidak menunaikan kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.

5.    suami mati pucuk masa berkahwin hingga sekarang dan ini tidak diketahui puan;

6.    suami telah gila selama dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta, vitiligo atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit;

7.  jika perempuan dikahwinkan oleh wali mujbir perempuan sebelum baligh, perempuan masih belum disetubuhi suami dan masih belum mencapai umur 18 tahun, kini menolak perkahwinan itu.

Bagaimanapun permohonan cerai fasakh tertakluk oleh mahkamah dan mahkamah berhak menolak sekiranya mendapati bahawa kesahihan alasan tersebut tidak terbukti.

Menurut pendapat Mazhab Syafie syarat sah fasakh ada dua perkara iaitu:

a) Tidak sah fasakh nikah jika dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak

b) Keterangan atau bukti yang diberikan mestilah disaksikan oleh dua orang lelaki atau pengakuan, bahawa kecacatan seperti mati pucuk atau dengan cara berganti-ganti sumpah.

Kesan Fasakh Di Sebabkan Kecacatan

Di antara kesan-kesan fasakh disebabkan kecacatan ialah jika fasakh berlaku sebelum persetubuhan, mas kahwin tidak dikenakan dan tidak akan ada bayaran mutaah untuk isteri. Ini kerana jika kecacatan itu berlaku kepada suami, isteri yang akan meminta fasakh. Oleh sebab itu, dia tidak akan mendapat apa-apa.

Jika kecacatan itu berlaku kepada isteri, isteri tidak akan mendapat apa-apa kerana perceraian itu berlaku disebabkan kecacatan yang ada pada dirinya dan seolah-olah dia yang melakukan fasakh.

Jika fasakh berlaku selepas persetubuhan dan kecacatan berlaku sebaik sahaja selesai akad nikah, ataupun  berlaku di antara akad dan persetubuhan dan suami tidak menyedarinya, maka isteri wajib mahar mithil. Jika perkahwinan difasakhkan dengan sebab kecacatan selepas berlakunya persetubuhan, maka isteri wajib mendapat semua mas kahwin yang telah disebutkan semasa akad nikah.

Hal ini kerana mas kahwin mestilah dibayar dengan berlakunya persetubuhan  sebelum wujudnya sebab-sebab fasakh dan jika berlaku kecacatan selepas persetubuhan, ia tidak akan merubah hakikat tersebut.

No comments: