Thursday, August 6, 2009

Masa Itu Kehidupan Lebih Berharga Daripada Emas

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Takwa di jiwa akan mendorong setiap mukmin menyempurnakan kewajipan yang Allah SWT perintahkan tanpa berlengah dan rasa malas. Masa yang ada digunakan sebaik mungkin supaya tidak sia-sia begitu sahaja.Begitu tinggi nilai masa dari pandangan seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang dan tidak boleh diganti.Masa itu bukan emas, tetapi masa itu lebih berharga dari emas iaitu kehidupan. Kehidupan didunia ini adalah jalan dan wasilah menuju ke alam akhirat. Kebahagian di akhirat adalah bergantung kepada amalan-amalan soleh kita ketika di dunia ini.

Sewajarnya setiap mukmin memulakan harinya dengan doa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW .kepada para sahabat supaya dibaca pada waktu pagi dan petang. :

"Ya Allah! Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa sedih dan duka.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa lemah dan malas.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari sifat bacul dan kikir.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari beban hutang dan penindasan orang."

Doa ini berkesan mendidik jiwa hingga bersemangat, terurus masa dengan urusan yang bermanfaat. Masa yang berharga apabila masa itu dapat digunakan untuk menfaat diri sendiri dan orang lain. Orang yang mensia-siakan masa dengan kerja tidak berfaedah, sebaliknya kikir pula untuk berkongsi idea dan tenaga pada perkara kebaikan sangat dibenci oleh Allah SWT.

Pepatah Arab ada menyatakan :
"Masa itu seperti pisau. Jika kamu tidak memotongnya, ia pula memotong kamu!"

Generasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW. telah bekerja keras untuk mempertingkatkan prestasi hidup mereka dari masa ke semasa. Konsep hidup mereka adalah, 'Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Siapa yang pada hari esok sama dengan semalam, maka dia masih lemah. Siapa yang hari esoknya lebih buruk dari semalam, maka dia adalah orang yang terkutuk!"

Masa perlu diurus dengan baik agar tidak ada yang terbuang begitu sahaja. Perancangan perlu ada untuk setiap perkara yang ingin dilakukan. Perancangan dapat mengelakkan perkara yang penting terabai begitu sahaja.

Oleh itu setiap mukmin perlu mempunyai jadual waktu kerja harian yang teratur meliputi semua urusan keduniaan dan ibadat. Ini boleh mengelakkan urusan yang kurang penting diutamakan daripada urusan yang lebih penting.Pekerjaan penting mestilah disegerakan, manakala yang kurang penting bolehlah dilewatkan hingga selesai urusan penting.

Rasulullah SAW. juga ada menyebut tentang pembahagian masa seperti yang terdapat dalam Kitab Nabi Ibrahim a.s. : "Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masa-masanya kepada empat masa iaitu :

1.Masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhannya.

2.Masa untuk dia bermuhasabah tentang dirinya.

3.Masa untuk dia berfikir berhubung dengan setiap ciptaan Allah.

4.Masa untuk dia menumpukan kepada keperluan, seperti mencari rezeki yang halal atau belajar."

Individu yang bijak membahagikan masa akan sentiasa kelihatan sibuk mengisi masanya. Peruntukkanlah masa kita untuk melaksanakan amanah, tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Setelah mental dan fizikal dikerah melaksanakan berbagai tugas dan urusan perlulah diambil sedikit masa untuk beristirehat. Kerehatan perlu untuk mengumpul kembali tenaga untuk melakukan berbagai kerja yang seterusnya. Melakukan kerja tanpa rehat menyebabkan badan menjadi lemah, dan akhirnya menganggu kesihatan. Umpama sebilah parang yang sentiasa digunakan akan menjadi tumpul, tetapi apabila diasah semula barulah boleh digunakan.

Saidina Ali k.w  ada berkata, " Berilah kerehatan kepada hati beberapa ketika. Maka sesungguhnya hati bila dipaksa akan menjadi buta!"

Cara bekerja hingga kelesuan adalah bertentangan dengan apa yang Rasulullah SAW  anjurkan walaupun ia ibadat yang Allah suka seperti berpuasa dan berjaga malam. Ibadah yang dilakukan sedemikian rupa tidak akan berkekalan.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
"Ambillah amal ibadat sekadar kemampuan kamu. Maka sesungguhnya Allah tidak akan jemu hingga kamu berasa jemu. Dan sesungguhnya amal ibadat yang paling Allah suka ialah amal ibadat yang berterusan walaupun sedikit."

Sabda baginda lagi yang bermaksud :
"Sebenarnya aku seorang yang paling takut dan takwa kepada Allah dari kamu. Disamping itu aku juga bangun dan tidur diwaktu malam, aku berpuasa dan berbuka dan juga aku berkahwin. Maka sesiapa yang benci dengan sunahku, bukanlah dia pengikutku."

Inilah antara contoh keseimbangan Islam. Suatu sistem yang mengimbangkan dengan adil terhadap tuntutan spritual (rohani) dan material (fizikal), dan mengimbangkan keperluan fitrah manusia dengan tuntutan Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Ingatlah! kalian akan di tanya di akhirat nanti masa yang kalian habiskan di dunia ini, samaada kalian gunakan untuk jalan maksiat dan kerja sia-sia atau masa yang ada kalian pergunakan sepenuhnya untuk berdakwah, mencari rezeki yang halal, beribadah dan mencari keredan Allah SWT.

Malah orang-orang yang beriman tidak akan membiarkan masa berlalu dengan sia-sia dan tidak pula berhajat mengundang apa - apa kerugian. Mana-mana ruang kesempatan yang baik, sudah pasti direbutinya. Mereka akan sentiasa berpegang kepada pesanan Rasulullah S.A.W sepertimana maksud hadisnya: " Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain iaitu:

1) Masa hidup sebelum mati
2) Masa sihat sebelum sakit
3) Masa lapang sebelum sibuk
4) Masa muda sebelum tua
5) Masa kaya sebelum fakir."

Pernah Rasulullah SAW ditanya: "Manakah suatu manusia yang baik, Maka jawab baginda: Siapa yang umurnya panjang, serta baik amalnya."

No comments: