Friday, August 7, 2009

Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Mahasuci (Tuhan) yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjidil Haram kemasjid yang amat jauh (Baitul-makdis), yang telah Kami berkati sekelilingnya, supaya Kami perlihatkan kepadanya sebilangan ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat)" (Surah Al-Israak ayat 1).

Ayat Al-Quran diatas menjelaskan kepada kita akan peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW. Israk ialah perjalanan pada malam 27 Rejab dari Masjidil Haram, Mekkah ke Masjidil Aqsa, Palestin. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke langit tujuh hingga bertemu dengan Allah SWT. Kenderaan yang digunakan ialah binatang umpama kuda diberi nama 'burak' yang bermaksud kilat.

Ia berlaku pada Nabi SAW. secara sedar tetapi menyusuri alam malakud yang tidak terikat dengan masa (beyon time). Sebab kedua-dua perjalanan itu hanya memakan masa satu malam. Peristiwa ini sebenarnya Allah SWT hendak menunjukkan keluasan kerajaan-Nya kepada Rasulullah SAW  dan umat manusia. Ia memberi semangat kepada baginda supaya terus gigih membawa perubahan tamadun manusia berdasarkan wahyu walau ditentang oleh orang-orang kafir.

Ringkasannya peristiwa mukjizat ini menemukan Nabi SAW. dengan berbagai insiden tauladan seperti pertemuan dengan orang tua yang memberi makna umur dunia yang sudah lanjut, panggilan seorang wanita hodoh yang memberi makna ajakan iblis serta kuncu-kuncunya yang menipu dan menyesatkan. Terdapat juga peristiwa orang-orang berebut daging busuk sedang daging baru ada disisinya, maknanya orang yang berzina sedangkan dia punya pasangan yang halal, serta balasan-balasan akhirat yang lain

Peristiwa penting ini juga ada kaitan dengan ibadat solat lima waktu. Allah SWT. menjemput Nabi SAW mengadap-Nya untuk di berikan perintah khusus kewajipan mengerjakan solat fardu lima waktu. Ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya ibadah solat ini hingga Nabi SAW menyatakan bahawa solat lima waktu adalah sebagai tiang Agama. Sesiapa yang mendirikannya adalah dia menegakkan Agama dan sesiapa meninggalkannya adalah seperti meruntuhkan Agama.

Ayat diatas juga menafikan Masjid Aqsa dan Palestin milik Yahudi atau Kristian. Lebih-lebih lagi setelah sampai di situ Nabi SAW. mengimami solat bersama 24 Rasul-rasul termasuk Yaakub, Daud, Sulaiman, Musa dan Isa 'alaihimussalam. Tidak timbul bahawa Nabi Musa a.s. mengajak kepada agama Yahudi dan Nabi Isa a.s.  membawa agama Kristian. Kesemua membawa agama Tauhid.

Sahabat yang dimuliakan,
Israk dan Mikraj mempamerkan kepada kita sifat Maha Perkasa Allah, Maha Kuasa Allah, dan luasnya kerajaan Allah SWT. Allah SWT memerintah alam nyata dan alam ghaib yang saiznya infinity (tiada had). Dengan itu betapa hebat, pandai atau kaya manusia tetap tertakluk kepada Allah SWT. Kehebatan yang ada pada manusia bagai fatamorgana atau ilusi sahaja. Mereka tidak berupaya menggagalkan dakwah Allah SWT.

No comments: