Friday, November 27, 2009

Hari Raya Aidil Adha dan Pengorbanan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hari Raya Aidil Adha, salah satu hari kebesaran umat Islam, sebenarnya mempunyai sejarah agong iaitu peristiwa korban Nabi Ibrahim a.s. terhadap anaknya Nabi Ismail a.s.Peristiwa agong dalam sejarah kemanusiaan insan sejagat ini diceritakan sendiri oleh Allah s.w.t. di dalam kitab suci al-Qur'an, tanda kepatuhan dua insan mulia yang patuh, taat dan sabar ketika mendapat perintah dan arahan dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka Kami berikan khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim. Ibrahim berkata, 'Hai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?' Dia menjawab, 'Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar.' Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia. 'Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar."
(Surah Asy-Syafaat ayat 100-107)

Sahabat yang dimuliakan,
Sejarah telah membuktikan bagaimana kesabaran yang amat tinggi yang telah Allah s.w.t. kurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. Bermula setelah dikurniakan oleh Allah seorang anak ketika baginda berada pada usia lanjut, dan diarahkan Allah s.w.t. supaya meninggalkan isteri (Hajar) dan anak yang masih bayi (Ismail) ditengah-tengah padang pasir yang tidak ada penghuninya. Walaupun hati amat sedih, pilu dan kasihan pada isteri dan anak yang dikasihi, tetapi arahan Allah s.w.t. tetap dipatuhi baginda tanpa soal. Baginda yakin Allah s.w.t. tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya. Arahan ini adalah ujian dari Allah s.w.t. untuk menguji Rasul-Nya di atas nilai ketaatan dan kesabaran.

Setelah sekian lama berpisah apabila Ismail a.s. telah meningkat menjadi remaja datang lagi arahan Allah s.w.t.untuk menguji kedua-dua insan soleh ini iaitu untuk menyembelih anak yang tercinta. Ternyata kedua beranak ini tetap teguh iman mereka kepada Allah dan tidak ragu-ragu untuk melaksanakan arahan Yang Maha Agong dan Maha Bijaksana.Telah terbukti keikhlasan mereka dan sanggup berkorban demi Allah s.w.t.

Dalam peristiwa ini, Allah s.w.t. telah mengetahui akan keikhlasan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, mereka berdua telah betul-betul Islam (menyerah). Ujian dari Allah s.w.t. telah berjaya, maka tidak perlu menyembelih Nabi Ismail dan Allah telah gantilan dengan seekor kibas.

Hasil dari peristiwa agong ini setiap Mukmin perlulah mengambil iktibar bahawa pengorbanan dan keikhlasan dalam melaksanakan ketaatan pada Allah s.w.t. perlu ada dalam jiwa dan hati mereka. Tanda ketaatan pada Allah perlulah kita korbankan 'Ismail' yang ada pada kita kerana Allah s.w.t.

Siapakah 'Ismail'kita? Setiap sesuatu yang kita sayang dan kita kasih padanya iaitu hawa nafsu, harta, pangkat, pemimpin yang dipuja, adat dan budaya, undang-undang ciptaan manusia (sanggup pertahankannya)dan ahli keluarga.

Allah s.w.t. telah minta kita untuk patuh dan tunduk kepada-Nya, dan tinggalkan sesuatu yang menghalang kita dari melaksanakan kepatuhan kepada-Nya, samaada kita tinggalkannya atau kita arahkannya untuk mentaati-Nya.

Hawa nafsu menyuruh kita membuat maksiat maka kita tahan ia dan jangan ikut arahannya, dan lemahkan nafsu dengan berpuasa, berzikir, solat tahajud dan membaca al-Qur'an. Nafsu tidak boleh dimatikan terus, tetapi perlu dikontrol supaya ia ikut arahan iman kepada Allah s.w.t.

Harta yang kita sayangi perlu dikeluarkan zakat dan keluarkan untuk sedekah membantu fakir miskin dan untuk berjihad di jalan Allah.

Pangkat, jika pangkat menghalang kita untuk berjihad dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada Allah maka tinggalkanlah pangkat itu dan carilah kerjaya lain yang dapat menyelamatkan kita dari azab Allah.

Begitu juga perkara-perkara lain sekiranya ia menjadi penghalang atau menganggu kepatuhan kepada arahan Allah s.w.t. maka korbankanlah ia, jika tidak kita akan jadi korban dan akan menderita di dunia dan di akhirat kerana dimurkai Allah s.w.t.

Sahabatku,
Sebebarnya apa sahaja ujian yang datang dari Allah s.w.t. adalah untuk Allah meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya. Allah s.w.t. hendak lihat sejauhmana keikhlasan, kejujuran, kepercayaan, ketaatan, keredhaan, ketenangan, penyerahan yang sebenarnya dan perlaksanaan kita terhadap ajaran-Nya.

Oleh itu marilah kita meraikan Hari Raya Aidil Adha ini dengan menyuburkan kembali peristiwa korban ini dalam sanubari kita. Kegembiraan kita buka kegembiraan yang sembarangan dan tanpa sandaran, tetapi kegembiraan kita adalah kerana membesarkan kejayaan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. di dalam membuktikan ketaatan mereka terhadap perintah-Nya.

No comments: