Sahabat yang dirahmati Allah,
Tarbiyyah Islamiyah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi Mukmin untuk dirinya, beramal dan bertakwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan Mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah.
Rasulullah s.a.w. mendidik sahabatnya hingga menjadi Mujahid yang kukuh iman mereka, sedia berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam berhajat kepada kerja dakwah, maka tampillah para da'ie yang jujur, berani, dan sabar menyampaikan risalah Islam melalui lisan dan contoh yang baik.
Apabila Islam memerlulan pengorbanan, harta benda, maka tampillah sahabat yang mempunyai harta kekayaan menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah s.a.w. dengan penuh keredhaan tanpa bakhil, seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Osman al-Affan dan Abdul Rahman 'Auf.
Semua itu adalah hasil daripada Tarbiyyah Imaniyah yang berjalan di Madrasah Rasulullah s.a.w. Didikan Rasulullah s.a.w. bukan untuk melahirkan ahli falsafah atau abid yang meninggalkan keperluan duniawi dan tidak menghiraukan tipu daya musuh yang ingin menghancurkan Islam.
Rasulullah s.a.w. pernah menegur lelaki yang ingin mengasingkan diri untuk beribadah dan meninggalkan jihad. Nabi s.a.w. bersabda kepada lelaki itu, " Jangan kamu lakukan demikian. Sesungguhnya tegak seorang kamu di jalan Allah (berjihad) itu lebih utama daripada sembahyangnya dirumahnya selama 70 tahun. Apakah kamu tidak suka Allah mengampunkan kamu serta memasukkan kamu ke dalam Syurga? Berjihadlah pada jalan Allah. Sesiapa yang berperang pada jalan Allah di atas belakang unta, maka wajiblah baginya Syurga."
(Hadis Riwayat Tarmizi)
Hasan al-Banna pernah menyebut :
"Jihad adalah fardu yang berjalan terus sampai Hari Qiyamat."
Pada hadis yang lain Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa mati padahal ia tidak berjihad dan tidak pernah berniat berjihad, maka matinya seperti mati jahiliah."
Sahabat yang dimuliakan,
Serendah-rendah tingkat jihad itu ialah dengan cara membantah di dalam hati, dan setinggi-tingginya ialah perang fisabilillah kerana kebenaran. Di antara kedua-dua tingkatan itu terdapat cara-cara jihad yang lain seperti berjihad dengan lidah, berjihad dengan pena, berjihad dengan tangan dan berjihad cara berani bercakap benar dihadapan raja yang zalim. Semua sifat dan tingkatan jihad tersebut akan lahir melalui proses Tarbiyyah Imaniyah, insya Allah.
Proses Tarbiyyah Imaniyah mestilah berterusan, tidak boleh diabaikan atau dihentikan separuh jalan atau ditamatkan. Silibusnya mencakupi sepanjang hayat.
Menurut Al Syekh Mustafa Masyur bahawa Tarbiyyah dan pembersihan jiwa diumpamakan seperti makanan dan siraman bagi pokok yang disemai atau ditanam. Jika pokok tidak dibajai dan disirami sentiasa, maka ia akan layu dan kering. Ia akan terus hidup subur jika dibajai dan disirami. Demikian juga manusia. Hidup sebenarnya bagi individu atau jemaah adalah kerana adanya iman. Hidup manusia sebenarnya adalah hidup hatinya dengan keimanan bukan hidup jasad yang akan fana. Iman dalam hati itulah yang akan melahirkan kehidupan yang bermakna. Hati perlu digilap selalu kerana ia mungkin berkarat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya : Apakah pengilapnya wahai Rasulullah? Rasulullah menerangkan : Membaca al-Qur'an dan mengingati maut (mati)."
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Iman yang berada pada jiwa manusia sentiasa terdedah kepada kelunturan dan kelemahan kerana dijangkiti oleh berbagai penyakit seperti kesibukan urusan duniawi dan lain-lain. Oleh itu kita perlu banyak memohon pertolongan kepada Allah s.w.t. dengan sentiasa memperbaharui keimanan kita.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, " Sesungguhnya iman itu boleh lusuh seperti lusuhnya pakaian, maka hendaklah kamu memohon do'a kepada Allah s.w.t. supaya diperbaharui keimanan itu di dalam jiwa kamu."
(Hadis Riwayat al-Hakim dan al- Tabrani)
Akhirkata kita perlu teruskan proses Tarbiyyah Imaniyah walaupun kita sentiasa sebuk dihempit urusan duniawi, kerana Tarbiyyah ini akan melahirkan Mukmin Mujahid. Ahli Hikmah ada berkata, "Sekiranya kamu ingin menjadi barisan para Mujahid di Hari Akhirat nanti, maka kamu hendaklah menjadi bariasan para Mujahid ketika di dunia ini."
No comments:
Post a Comment