Sunday, November 29, 2009

Murnikan Aqidah Hingga ke Akhir Hayat

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Mereka yang beriman, dan tidak mencampuradukkan iman dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan mereka itu orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah Al-An’am ayat 82)

Ibnu Katsir dalam mentafsirkan ayat di atas ini telah mengemukakan hadis berikut :
Jarir bin Abdullah r.a berkata, kami keluar bersama Nabi s.a.w.. Dan ketika keluar dari kota Madinah tiba-tiba ada seorang berkenderaan cepat menuju kearah kami. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, “Mungkin kenderaan itu menuju kita.”

Maka sampailah orang itu dan member salam, kami menjawab salamnya, lalu bertanya kepadanya, “Anda datang dari mana?”

“Dari daerah anak keluargaku.” Jawabnya.

“Ke mana tujuanmu?”

“Menemui Rasulullah.” Jawabnya.

Bersabda Nabi s.a.w. “Anda sedang berhadapan dengannya.”

Lalu ia berkata, “Ya Rasulullah, ajarkan kepadaku apakah iman itu?”

Jawab Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Menyaksikan bahawa tiada Tuhan kecuali Allah, dan Nabi Muhammad itu utusan Allah. Dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa dalam bulan Ramadhan dan berhaji ke Baitullah.”

Berkata ia, “Aku telah mengakui itu.”

Tiba-tiba kaki untanya masuk ke dalam lubang tikus, dan jatuhlah unta itu, maka ia jatuh tersungkur kepalanya sehingga mati. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepada sahabatnya, Sambutlah orang itu!”

Maka cepat-cepat melompat Ammar bin Yasir dan Hudzaifah bin Alyamaan dan langsung mendudukkan orang itu, lalu berkata keduanya, “Ya Rasulullah, dia dah mati.”

Maka Rasulullah berpaling muka daripadanya, kemudian bersabda pada kedua sahabat itu, “Apakah kalian tidak melihat aku berpaling muka, kerana aku melihat ada dua malaikat sedang memasukkan makanan daripada buah-buahan Syurga ke dalam mulutnya, maka aku ketahui bahawa ia mati kelaparan.”

Kemudian sabdanya pula, “Ini termasuk dari mereka yang difirmankan Allah : ‘Mereka yang beriman dan tidak mencampur adukkan imannya dengan syirik.” (Ayat yang disebutkan di atas)

Kemudian Nabi s.a.w. bersabda, “Rawatlah saudaramu!”

Maka kami mandikannya serta mengkafan jenazah dan kami kebumikan. Kemudian datang Nabi s.a.w., dan duduk di tepi kubur lalu bersabda, “Buatlah lahat dan jangan membuat lubang di tengah kubur, tabad (lubang pinggir) itu untuk kami dan lubang tengah untuk selain kami.”

Pengajarannya :
Berdasarkan sirah di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa orang yang beriman di saat-saat akhir kematiannya, bertanyakan tentang iman dan membuat pengakuan bahawa ia tetap istiqamah dengan iman. Dari itu kita mestilah sentiasa murnikan aqidah kita dan jangan dicampuradukkan dengan kesyirikan kepada Allah s.w.t. Walau dalam keadaan genting sekalipun mesti istiqamah dan berpegang teguh kepada aqidah Tauhid dan Rukun Iman dan tidak sedikit pun merasa ragu-ragu.

No comments: