Tuesday, December 1, 2009

Kembalilah Kepada Islam Untuk Mencapai Tamadun Yang Gemilang


Sahabat yang dikasihi Allah,
Di saat saudara-saudara kita seaqidah di dunia luar dizalimi, ditindas dan dinyahkan, masih ada di kalangan kita yang tidak merasai kesangsaraan itu. Lihat penderitaan yang menimpa rakyat Palestin. minoriti di Cina, Ronhiya di Myanmar, Khasmir, Selatan Thailand, Iraq dan Afghnistan (sempadan Pakistan dan Afghnistan). Kita cukup yakin bahawa semua ini adalah konspirasi jahat musuh Islam, Yahudi (Israel) dan Nasrani (Amerika dan sekutunya).

  Alhamdulillah pada zahirnya kita aman dan negara stabil kerana tidak dilanda peperangan atau mengalami nasib sebagai pelarian. Namun, sedar atau tidak, sebenarnya kita sedang diserang dan dihancurkan secara halus, secara evolusi dengan tektik yang cukup rapi. Memang, cara mereka bukan menggunakan senjata api, bom atau seumpamanya, tetapi sasaran mereka ialah akhlak dan aqidah umat kita. Buktinya, lihat gaya dan budaya hidup masyarakat kita, khususnya anak muda yang di lalaikan dengan hidangan dengan berbagai keseronokan serta kebebasan.

Ingat, jika ini berterusan begini, kehancuran akibat runtuhnya akhlak dan aqidah ini adalah jauh lebih teruk berbanding kesan peperangan. Sebab itu, kita harus bangunkan umat ini, khususnya generasi muda supaya sedar yang mereka sedang dirosakkan. Jadi, untuk selamat dari kehinaan dan kemurkaan Allah, mari kita kembali menghayati wahyu Ilahi. Kita selamatkan dua perisai ini (akhlak dan aqidah) dengan al-Qur'an dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam masa yang sama, ketepikan runtunan nafsu dan pengaruh kebendaan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebenarnya kita adalah umat yang cemerlang dan gemilang 14oo tahun yang silam. Umat Islam pada zaman itu diikhtiraf sebagai umat terhebat dan termulia pernah ujud di atas muka bumi ini. Mereka telah dipimpin oleh seorang insan yang agung di kalangan manusia iaitu Muhammad s.a.w.


Kita dahulunya umat yang cemerlang dan gemilang, tetapi sekarang kita hidup di bawah tapak kaki musuh. Kita lemah dari segi ekonomi, ketenteraan, sains dan teknologi dan teknologi maklumat. Bukan setakat itu sahaja, malahan mereka berani mempermain dan memperlagakan sesama umat Islam. Adakah kehinaan ini kita boleh katakan disebabkan oleh ajaran Islam itu sendiri yang tidak berkesan membawa kemuliaan?

Mengapa Islam yang dianuti ini tidak menjadikan kita sebagai umat yang cemerlang dan gemilang seperti Rasulullah s.a.w. dan generasi sahabat perolehi? Jawapannya ada pada setiap dari kita, yang mengaku sebagai umat Muhammad s.a.w. Jika kita renungi kembali siri perjalanan hidup baginda s.a.w. dan generasi awal akan tahu bahawa punca kecemerlangan dan kegemilangan mereka ialah ilmu dan amal. Mereka sungguh-sungguh dalam mengamalkan seluruh intipati ajaran Islam yang bersumberkan al-Qur'an dan as-Sunnah. Sehinggakan, diceritakan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab r.a. tidak menghapal 10 ayat lain kecuali setelah mengamalkannya.

Sahabatku,
Jika kita melihat takrif perkataan iman, menurut kesepakatan ulama ia bererti kepercayaan pada hati, ikrar dengan lisan dan amalan dengan anggota. Maka tidak timbul alasan bagi orang yang berilmu itu untuk tidak beramal denga apa yang dimilikinya. Tidak wujud golongan yang mengajak kepada Sunnah, tetapi tidak mengamalkannya. Bahkan tidak seharusnya ada golongan yang hanya tahu melaungkan rasa cinta pada Islam, tetapi tidak mahu mengikut cara hidup Rasulullah s.a.w.dan generasi sahabat dalam memperjuangkan Deen ini.

Ingat, hanya kita umat Islam yang mampu mengubah keadaan masyarakat kita hari ini. Jangan sekali-kali percayakan bangsa lain yang tidak menjunjung aqidah dan akhlak Islamiah untuk mengubah nasib kita. Mari kita bekerja dengan ikhlas dan semoga Allah mengurniakan kejayaan pada kita. Maka, bebaskan umat ini dari kehinaan dengan memiliki secukupnya ilmu dan beramal secara amanah. Ilmu yang kita miliki itu sebenarnya menjadi ukuran sejauh mana kekuatan umat untuk bangun dan meninggikan tamadun Islam. Semoga masa dan tenaga yang kita curahkan ini mendapat rahmat dan keredhaan Allah s.w.t. insya Allah.

No comments: