skip to main |
skip to sidebar
Mukjizat Nabi s.a.w. : Pokok Dari Rekahan Batu.
Bersama beberapa orang kawannya, Abu Jahal pergi ke rumah Abu Talib untuk bertemu Nabi Muhammad s.a.w. Mereka hendak menduga Nabi dengan membuat tipu muslihat terhadap baginda. Pada perkiraan mereka, pasti Nabi tidak akan mampu melaksanakan permintaan mereka.
"Wahai Abu Talib, kalau benarlah anak saudaramu ini seorang pesuruh Allah, suruhlah dia tunjukkan kepada kami tanda-tanda kerasulannya." cabar Abu Jahal sebaik saja Abu Talib muncul bersama-sama Nabi s.a.w. di hadapan pintu.
Abu Talib berpaling ke arah Nabi seraya berkata, "Wahai anak saudaraku, engkau sendiri telah mendengar apa yang diberitahu oleh Abu Jahal. Apa pendapatmu tentang permintaannya itu?".
"Apakah mereka mahu beriman jika aku boleh membuktikannya?" tanya Nabi pula. Arah pertanyaan kepada Abu Talib tetapi sebenarnya ditujukan kepada Abu Jahal dan rakan-rakannya.
"Sekarang, apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh mereka?" tanya Nabi lagi.
Abu Jahal pun segera membelingas, seperti mencari-cari sesuatu di sekitar rumah itu. Ternampak seketul batu yang besar di tepi rumah. Pantas dia berseru, " Muhammad! Jika engkau benar-benar Pesuruh Allah, cubalah keluarkan sebatang pokok bercabang dua dari batu itu. Satu cabangnya condonng ke barat dan satu cabang lagi condong ke timur."
Nabi Muhammad s.a.w tenang sahaja mendengar permintaan Abu Jahal. Nabi beredar ke suatu sudut rumah dan berdo'a kepada Allah. Baginda meminta pertolongan Allah agar Allah menunaikan permintaan Abu Jahal itu. Tidak lama kemudian, dengan kehendak Allah s.w.t. batu besar yang keras itu tiba-tiba merekah, lalu mengeluarkan sepohon pokok. Pokok itu bercabang dua, sepertimana yang diminta boleh Abu Jahal. Satu dahan bergerak ke timur dan satu lagi condong ke barat.
"Alangkah hebatnya apa yang telah engkau datangkan, wahai Muhammad," ucap seorang di kalangan kawan-kawan Abu Jahal dengan nada menyindir.
Tidak puas hati dengan apa yang mereka saksikan, mereka menyuruh Nabi menjadikan pokok itu mengecil dan masuk semula ke dalam batu. Dengan kehendak dan kuasa Allah, pokok itu pun mengecil dan masuk semula ke dalam batu. Terpegun Abu Jahal dan kawan-kawannya menyaksikan kejadian yang amat luar biasa itu.
"Alangkah hebatnya permainanmu, wahai Muhammad, " kata Abu Jahal dengan sombong sebelum berlalu dari situ. Diekori rakan-rakannya yang lain. Tidak ada seorang pun yang mahu tunduk dan mengaku beriman kepada Allah dan Rasul.
Pengajarannya :
1. Sifat sombong, bongkak dan ego yang ada pada jiwa manusia akan menutup pintu kebenaran walaupun ianya wujud di hadapan mata. Contoh yang jelas berlaku pada diri Abu Jahal dan kawan-kawannya yang menolak kebenaran walaupun telah melihat mukzijat Nabi s.a.w.
2. Manusai telah di ilhamkan oleh Allah s.w.t. kedalam jiwanya jalan ketakwaan dan jalan kefasikan. Manusai boleh memilih salah satu jalan tersebut. Sekirannya ia memilih jalan takwa maka akan terbentang luas rahmat dan jalan kebenaran. Tetapi sekiranya manusia memilih jalan kefasikan maka pintu rahmat dari Allah s.w.t. akan tertutup dan ia akan menjadi sesat. Oleh kerana pilihan ini telah dibuat oleh manusia sendiri ketika di dunia ia tidak boleh menyalahkan Allah s.w.t. apabila ia dihumbankan kedalam api Neraka di hari Akhirat nanti.
(Kisah ini di petik dari tulisan Zuraimi Ismail dari Galeri Ilmu Sdn Bhd)
No comments:
Post a Comment