Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tidur adalah satu nikmat dan rezeki daripada Allah SWT kepada setiap manusia. Seseorang yang bermasaalah untuk tidur dengan sempurna akan mengundang penyakit dan mengalami tekanan perasaan dan hidupnya tidak akan selesa dan berbahagia. Sebaliknya pula jika seseorang terlalu banyak tidur juga akan mengakibatkan lemah badan dan mengundang berbagai penyakit rohani dan jasmani.
Allah SWT menjadikan siang untuk bertebaran mencari rezeki dan di waktu malam untuk tidur dan beristirehat dan juga sebahagian daripada malam diperuntukkan untuk solat tahajud , berdoa dan beristighfar kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.”
( Surah az-Zariat ayat 15-18 )
Rasulullah SWT telah mengajar kita satu doa apabila bangun sahaja daripada tidur iaitu :
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
(alhamdulillahil ladzi ahyana ba’da ma amatana wailaihin nusyur)
Maksudnya : :Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit"
Doa ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang di ambil dari Kitab Riadus Salihin :
عَنْ حُذَيْفَةَ وَأَبِىذَرٍّ رَضِىَاللّهُعَنْهُمَا قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَاأَوَى إِلىَ فِرَاشِهِ قَالَ : بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ ، وَإِذَااسْتَيْقَظَ قَالَ : اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ . رَوَاهُ الْبُخَارِىُّ
Hudzaifah r.a. dan Abu Dzarr keduanya berkata : "Adalah Rasulullah SAW. jika akan tidur membaca : bismikallahumma ahya wa amutu (Dengan nama-Mu ya Allah aku hidup dan mati), dan apabila bangun tidur membaca ; alhamdulillahil ladzi ahyana ba’da ma amatana wailaihin nusyur (Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit). (Hadis Riwayat Bukhari)
Setelah membaca doa bangun tidur diikuti pula doa berikutnya :
Maksudnya: "Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagiNya kekuasaan dan bagi-Nya pujian dan Dia berkuasa atas setiap sesuatu . Maha Suci Allah, Segala puji bagi Allah dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan upaya melainkan dengan keizinan Allah. Ya Allah ampunilah daku."
Sahabat yang dimuliakan,
Doa bangun tidur mempunyai maksud yang mendalam untuk kita fahami dan hayati dalam kehidupan kita.
"Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit."
Huraiannya :
Segala puji-pujian hanya diberikan kepada Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang Maha Berkuasa di seluruh alam semesta. Allah SWT menciptakan langit dan bumi dengan penciptaan yang Maha Sempurna tidak terdapat cacat-celanya. Semua makhluk yang berada di langit dan bumi berzikir dan memuji keagungan Allah SWT.
Allah SWT Maha Berkuasa menghidupkan dan mematikan manusia dan semua makhuk ciptaan-Nya. Tidur adalah sebahagian daripada mati kerana orang yang sedang tidur tidak mampu untuk makan, minum, bersolat, berkata-kata malahan ia tidak mengetahui apa yang sedang berlaku di sekelilingnya.
Kita sepatutnya bersyukur dan memuji Allah SWT kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya telah mengizinkan kita bangun daripada tidur dan dapat mengecapi hidup di dunia ini. Betapa ramai manusia yang sedang tidur tetapi dengan tidurnya adalah saat kematiannya dan tidak bangun lagi kerana rohnya sudah dikeluarakan daripada jasadnya dan kembalilah ia menghadap Tuhannya.
Oleh itu kita perlulah membuat persiapan sebelum tidur kerana ditakuti itulah tidur kita yang terakhir dan tidak akan bangun-bangun lagi di dunia ini dan bangun sahaja rupa-rupanya sudah berada di alam barzakh, maka ketika ini tidak guna lagi penyesalan apabila amal soleh yang kita bawa terlalu sedikit sedangkan dosa dan maksiat yang dibawa banyak menggunung. Di bimbangi tidak mampu hendak menjawab soalan Malaikat Munkar dan Nakir.!
Amalan-amalan sebelum tidur :
1.. Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
2. Memulai tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.
3. Tidak tidur dengan tengkurap, berdasarkan sabda Nabi s.a.w, “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”. (Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)
4. Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari).
6. Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah, seperti membaca do’a “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
7. Dianjurkan membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali atau 34 kali ketika hendak tidur, sebagaimana sabda beliau kepada Ali bin Abi Thalib dan istrinya ketika mereka hendak tidur, “Maka bacalah tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, dan takbir tiga puluh tiga kali” dan dalam riwayat lain “takbirlah tiga puluh empat kali”
(Hadis Riwayat Bukhari).
8. Dianjurkan juga membaca ayat kursi, membaca dua ayat terakhir surat Al-Baqarah atau membaca surat Ali ‘Imran ayat 190-200.(Hadis Riwayat Bukhari).
9. Banyakkan beristighfar dan memohon kempunan kepada Allah SWT dan memaafkan kesalahan orang lain kepada kita.
Sahabat yang dihormati,
Membaca doa bangun daripada tidur sebenarnya mengingatkan kita bahawa akan datang kita akan dibangunkan daripada tidur sebanyak dua kali iaitu :
Pertama, ketika kita baru sahaja kematian dan apabila dibangunkan di alam barzakh maka datangkan dua malaikat yang akan menyoal siasat setiap manusia samaada yang beriman atau berdosa ketika ini hanya amalan soleh kita sahaja yang akan menjawab dan memberi pembelaan.
Apabila mayat dikebumikan dikubur, maka dia akan tinggal keseorangan melainkan yang akan menemaninya adalah amalannya ketika di dunia. Jika banyak amal solehnya maka dia akan merasa gembira dan berbahagia, tetapi jika dia membawa amalan dosa dan maksiat dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT maka dia akan berdukacita , sedih dan merasai amat takut untuk berhadapan dengan malaikat Munkar dan Nakir.
Malaikat yang menanyakan persoalan di amal barzakh adalah Malaikat Munkar Dan Nakir. Malaikat Munkar dan Nakir bertugas menanyai mayat dalam alam kubur tentang siapa Tuhannya, apa agamanya dan siapa nabinya. Sedangkan dalam suatu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menjelaskan bahwa al-Qaulu as-Tsabit dalam al-Quran Surah Ibrahim ayat 27 adalah jawaban orang Islam terhadap pertanyaan Malaikat di dalam alam kubur.
Firman Allah SWT maksudnya : "Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (al-Qaulu as-Tsabit) (dalam kehidupan ) di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim, dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki" (Surah Ibrahim ayat 27)
Asbabun Nuzaul ayat 27 :
Al-Barra' r.a menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan tentang azab kubur dan keadaan yang terjadi di alam kubur. (Hadis sahih riwayat Nasai)
Firman Allah SWT :
Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!"(Surah Qaaf (50) ayat 19)
Kedua, ketika berlakunya kiamat semua ahli kubur dan manusia yang hidup dimuka bumi ketika berlakunya kiamat akan mati dan akan dihidupkan dan dibangkitkan oleh Allah SWT untuk dihimpunkan di perhimpunan besar iaitu Padang Mahsyar.
Firman Allah SWT :
Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah diberikan." (Surah Qaaf (50) ayat 20)
Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi." (Surah Qaaf ayat 21)
Sahabat yanmg dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita setiap sahaja bangun daripada tidur bacalah doa dan insaflah bahawa keadaan yang sama nantinya akan berlaku kepada diri kita iaitu di alam barzakh dan di waktu kiamat nanti dibangunkan dan akan disoal setiapa amalan dan perbuatan kita semasa hidup di dunia. Jika di dunia kita banyak melakukan maksiat dan dosa, kezaliman kepada orang lain, tidak adil semasa memutuskan hukuman, menentang hukum-hukum Allah SWT dan benci kepada kehidupan cara Islam dan menghina ulama dan para pendakwah Islam. Maka tunggulah akibat yang dahsyat hukuman yang disediakan oleh Allah SWT di alam barzakh dan hari akhirat nanti. Seksaan di alam barzakh pun sudah tidak mampu menanggung azab sengsara apatah lagi seksaan di neraka Jahanam.
Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah diberikan." (Surah Qaaf (50) ayat 20)
Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi." (Surah Qaaf ayat 21)
Sahabat yanmg dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita setiap sahaja bangun daripada tidur bacalah doa dan insaflah bahawa keadaan yang sama nantinya akan berlaku kepada diri kita iaitu di alam barzakh dan di waktu kiamat nanti dibangunkan dan akan disoal setiapa amalan dan perbuatan kita semasa hidup di dunia. Jika di dunia kita banyak melakukan maksiat dan dosa, kezaliman kepada orang lain, tidak adil semasa memutuskan hukuman, menentang hukum-hukum Allah SWT dan benci kepada kehidupan cara Islam dan menghina ulama dan para pendakwah Islam. Maka tunggulah akibat yang dahsyat hukuman yang disediakan oleh Allah SWT di alam barzakh dan hari akhirat nanti. Seksaan di alam barzakh pun sudah tidak mampu menanggung azab sengsara apatah lagi seksaan di neraka Jahanam.
No comments:
Post a Comment