سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai sahaja 1 Muharam (tahun Hijrah) atau 1 Januari (tahun Masihi) umat Islam khususnya akan membuat satu azam baru. Azam untuk berubah samaada berubah dari segi meningkatkan mutu dalam kerjaya, meningkatkan amal ibadah atau amal soleh, membaiki akhlak dan keperbadian atau pun berhijrah daripada perkara negatif kepada positif.
Sebenarnya ajaran Islam tidak menghalang segala perancangan kebaikan untuk meningkatkan motivasi diri malahan Islam amat menggalakkan umatnya sentiasa berubah dan meningkat darisegi kualiti diri terhadap amalan hariannya.
Sebenarnya apabila berubah sahaja tahun baru (samaada tahun hijrah atau masihi) sebenarnya itu tandanya usia kita telah meningkat.Meningkat menghampiri kematian dan menuju ke alam barzakh. Alangkah bahagianya sekiranya bertambah saja usia kita maka bertambah pula amal soleh, amal ibadah dan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Alangkah ruginya kita jika tahun bertambah, umur kita meningkat tetapi pada masa yang sama bertambah pula dosa, kemugkaran, maksiat dan kerja-kerja yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT?.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagaimana di dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.”
(Hadis Riwayat Tarmizi).
Dalam hidup manusia terdapat tonggak umur yang sangat penting, antaranya umur 40 tahun sebagaimana tertera dalam al-Quran firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)."
(Surah al-Ahqaf ayat 15)
Nabi SAW dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Apabila seseorang sudah mencapai usia 40 tahun, sekiranya kebaikannya tidak mengatasi keburukannya, syaitan mencium di antara kedua-dua matanya dan berkata, ‘Inilah manusia yang sangat malang’."
Dalam riwayat lain, Nabi SAW. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa umurnya sudah melebihi 40 puluh tahun sedang kebaikannya tidak lebih banyak daripada keburukkannya, hendaklah ia mempersiapkan keberangkatannya ke neraka.’’
Daripada dua hadis berkenaan, Nabi SAW menganjurkan umatnya untuk memeriksa amal perbuatannya setiap kali menyedari umurnya kian bertambah. Umur aset yang akan dipertanggungjawabkan.
Kita pasti akan beruntung atau rugi dengan umur panjang kita. Semuanya bergantung pada amal yang kita lakukan. Rasulullah SAW menyimpulkannya dalam dua kalimat iaitu “Manusia paling baik ialah yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya. Manusia paling buruk ialah yang panjang umurnya dan buruk amalnya."
Sehubungan itu, kita perlu menggunakan sisa umur yang masih diberikan ini dengan amalan yang baik khasnya bagi mencapai ‘husnul khatimah’ iaitu penghabisan umur yang baik. Mereka yang tidak menggunakan usianya dengan sebaiknya berada dalam kerugian dunia dan akhirat. Hidup hanya sekali kerana peluang tidak datang berkali-kali. Hanya mereka yang terpimpin dengan al-Quran dan sunnah Nabi SAW yang akan sentiasa berwaspada terhadap peringatan Allah SWT. Dalam surah al-’Asr yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar“.
Kerana terkesan dengan masa serta kepentingannya Ibrahim bin Adham pernah menjawab ‘Umurku baru 10 tahun’ apabila ditanya berapakah umurnya. Terkejut orang yang bertanya. Bagaimana boleh jadi begitu, sudah tua lagi berjanggut tetapi mengaku baru berumur 10 tahun. Dengan hati yang rendah penuh keinsafan beliau menjawab, “Baru 10 tahun aku benar-benar berubah dan beramal dengan berkualiti”.
Seorang lagi alim apabila ditanya berapa umur, beliau menjawab, “Umurku 15 ribu hari. Lagi terkejut yang bertanya, kita biasanya mengingati umur bayi empat puluh hari, enam puluh hari dan sebagainya. Beliau sangat berkira saat-saat yang berlalu, katanya, 'aku ingat umurku dalam jumlah hari supaya aku dapat bermuhasabah. Sekiranya setiap hari satu kali berbuat dosa bayangkan kalau sudah 15 ribu hari. Kalau buat dosa setiap hari 5 minit bayangkan kalau sudah 15 ribu hari'.
Sahabat yang di hormati,
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak ada alasan bagi seseorang untuk diampuni dan kembali kepada jalan Allah yang telah Allah tangguhkan ajalnya sehingga dia sudah mencapai usia enam puluh tahun."(Hadis Riwayat Bukhari)
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak ada alasan bagi seseorang untuk diampuni dan kembali kepada jalan Allah yang telah Allah tangguhkan ajalnya sehingga dia sudah mencapai usia enam puluh tahun."(Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa apabila seseorang itu sudah mencapai usia 60 tahun dan belum mahu bertaubat atas perbuatan dosanya maka tidak ada lagi alasan baginya pada saat menghadapi perhitungan Allah SWT nanti. Ini bukan bermakna orang yang berumur 60 tahun sahaja perlu bertaubat, kerana kematian akan datang tidak kira umur samaada tua atau muda, semakin cepat kita bertaubat dan berubah semakin baik untuk masa hadapan kita di hari akhirat.
Sayyidina Ali r.a berkata : "Sesungguhnya dunia ini telah berangkat pergi dan akhirat itu berangkat datang. Bagi tiap-tiap satu ada putera masing-masing. Maka jadikan dirimu putera akhirat dan bukan putera dunia. Hari ini hari 'amal tiada hisab, dan di akhirat hari hisab tiada 'amal."
Beramal dan berjihadlah untuk hari akhirat kita. Umur kita adalah singkat. Mungkin esok atau lusa kita akan berada di alam barzakh.
Fudail rahimahullah telah bertanya kepada seorang lelaki, " Berapakah umur engkau sekarang?"
Jawab lelaki itu, "Sudah enam puluh tahun."
Jawab Fudail, "Agak panjang umur engkau, engkau ini dalam perjalanan untuk menjumpai Tuhanmu dan sudah hampir tiba waktunya."
Kata Fudail lagi, "Barangsiapa tahu behawa dia adalah hamba Allah, akan kembali kepada Allah, akan menghadap Allah dan akan di soal oleh Allah, maka dia hendaklah menyediakan jawapan-jawapan tersebut."
Tanya lelaki tadi, "Bagaimana melakukan yang demikian?"
Jawab Fudail, " Engkau berusaha membaiki baki umurmu dan bertaubat pada jalan Allah, nescaya Allah akan berikan pengampunan. Tetapi kiranya engkau engkar kepada Allah, maka engkau akan di seksa atas segala kesalahanmu yang telah lalu dan akan datang. Amalan itu perlu dijaga waktunya. Jangan engkau abaikan dengan sia-sia dan hendaklah dipenuhi dengan kerja-kerja yang berguna."
Kita perlu menjaga setiap detik kehidupan kita supaya kita menjadi hamba Allah dan membuat persiapan kepada hari akhirat. Hidup kita sentiasa terkawal dengan ajaran Allah SWT.
Sayyidina Umar r.a. pernah berdoa kepada Allah yang bermaksud :
"Wahai Tuhanku, peliharalah aku dengan Islam sewaktu aku berdiri, peliharalah aku dengan Islam waktu aku duduk, peliharalah aku dengan Islam waktu aku tidur. Janganlah Engkau biarkan terhadap diriku musuh dan orang-orang yang dengki terhadap diriku"
Sahabat yang dikasihi,
Imam Ali Zainal Abidin menjelaskan faktor-faktor yang dapat mengurangi umur manusia. Dia mengatakan: “Dosa-dosa yang dapat mempercepat datangnya ajal ialah memutuskan silaturahim, sumpah palsu, ucapan bohong, zina, menutup jalan orang mukmin, dan mengakui kepemimpinan yang tidak hak.” (Maanil Akhbar, hlm. 271)
Alangkah banyaknya orang-orang yang panjang umurnya, hidup dalam kebaikan dan kebahagiaan akibat silaturahim yang dia lakukan. Dan alangkah banyak orang yang menempuh kesengsaraan hidupnya akibat memutuskan tali silaturahim.
Nash-nash agama dan riwayat banyak sekali yang menegaskan mengenai perkara tersebut. Kita sebutkan di sini sebagian saja.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya ada orang yang menjalin silaturrahmi, yang sisa umurnya tinggal tiga tahun, kemudian Allah menambah umurnya menjadi tiga puluh tahun. Dan ada orang yang memutuskan silaturrahmi, yang sisa umurnya masih tiga puluh tahun, kemudian Allah menjadikan umurnya tiga tahun. Kemudian baginda membacakan firman Allah SWT: ‘Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nyalah terdapat Ummul Kitab (Loh Mahfuz) ’.” (Surah ar-Ra’d(13) ayat 39.) (Safinah Al-Bihar 1: 514).
Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Silaturahim mempermudah hisab dan menghindarkan diri dari kematian yang buruk."
Saydina Ali bin Abi Thalib k.w berkata: “Sesungguhnya sumpah palsu, dan memutuskan tali silaturahim mengakibatkan rumah-rumah ditinggalkan oleh penghuninya.”
Beliau juga mengatakan: “Aku berlindung kepada Allah dari dosa-dosa yang mempercepat kebinasaan.”
Lalu ada salah seorang yang berdiri sambil bertanya: “Wahai Ali, adakah dosa yang dapat mempercepat kebinasaan?”
Beliau menjawab: “Ya, celaka engkau, memutuskan tali silaturahim.”
Oleh itu pergunakanlah baki umur kita yang masih tinggal ini untuk mempertigkatkan amal soleh, amal ibadah dan kerja-kerja dakwah dan kebajikan, sambunglah mana-mana silaturrahim yang telah terputus dan jadikan setiap saat berlalunya masa di isi dengan pahala dan menghampirikan diri dengan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment