سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam adalah agama yang secara tabienya sesuai dengan tabiat di dunia dan penghidupan manusia bagi menjamin kebahagiaan di akhirat.
Firman Allah SWT maksudnya : “Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan (mengikut agama Allah), iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dalam keadaan semula jadinya) untuk menerimanya; tidak patut ada sebarang perubahan kepada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rum, ayat 30)
Ini memberi isyarat bahawa agama Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Hukum-hukumnya rasional, mudah diterima akal dan rasional.
Demikian juga terdapat hadis-hadis sahih yang lain memerintah supaya taat kepada ketua negara dan wajib memilih ketua negara.
Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pada pendapat mereka pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat. Justeru itu, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan “Bai‘ah”.
Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada umat, umat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara umat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru itu, Dr Yusof Al Qardhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih.
Atas dasar sedemikian maka, adalah menjadi kewajipan kepada seseorang warga muslim untuk mengundi agar calon yang amanah (al amin) dan punyai sifat kuat (al qawi) mencapai kemenangan. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 282 yang bermaksud “Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila dipanggil menjadi saksi”.
Pemilihan ketua negara Islam mengikut proses pilihan raya tidak selamanya berlaku. Ini disebabkan terdapat khalifah menyerahkan kuasanya kepada penggantinya sebelum dia meninggal. Sebilangan besar kalangan fuqaha’ menerimanya sebagai sah.
Imam Al Mawardi ada menjelaskan tentang hal ini dengan katanya, “Adapun menyerah kuasa Imamah kepada orang tertentu yang dipilihnya, mengikut ijmak adalah sah kerana ada dua alasan; pertama Abu Bakr menyerahkan kuasa kepada Umar dan umat Islam menerima penyerahan itu sebagai sah.
Oleh kerana itu, kita umat Islam perlu terima hakikat, Islam adalah agama yang sempurna, termasuk cara berpolitik, memerintah cara Islam. Jika kita menolak pegangan ini dan memilih yang lain, ia bermakna menolak ketetapan Allah dan merendah-rendahkan agama, seolah-olahnya cara hidup ciptaan manusia, lebih sempurna dari ciptaan Allah.
Merendah-rendahkan agama Allah boleh menyebabkan kerosakan akidah.
Oleh itu maka pemilihan untuk mengundi dan memberi sokongan kepada kepimpinan Islam dan berjuang untuknya mesti dibuat berasaskan keputusan yang betul, bukan semata-mata terpengaruh dengan arus masyarakat.
Jangan sesekali menyokong sesebuah parti yang perjuangannya berbentuk asabiyah yang mendorong hanya kepada kesenangan dunia, lebih-lebih lagi jika perjuangan itu menjadi penentang kepada perjuangan Islam dan menolak hukum hudud.
Sahabat yang dimuliakan,
Sayugia diingatkan bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia memerlukan kepada proses mendapat suara majoriti di dalam dewan rakyat atau dewan negeri. Untuk mendapat suara majoriti di dewan rakyat atau dewan undangan negeri mestilah memenangi kerusi terbanyak di dalam dewan-dewan tersebut.Untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihanraya mestilah mempunyai pengundi yang ramai (majority). Undi yang serupa itu tidak akan diperolehi kecuali para pencinta Islam layak menjadi pengundi.
Mereka tidak akan layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan sebagai pemilih. Oleh kerana itu dan berdasarkan kaedah fiqh:
“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”.
Maka dengan itu mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syarak.
Semua mengetahui bahawa melaksanakan hukum syarak itu adalah wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan kerajaan Islam adalah wajib.
Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan Islam dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut adalah wajib. Seseorang itu tidak mengundi di dalam pilihanraya kecuali dia adalah seorang yang layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah. Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih adalah wajib.
“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya akan ia menjadi wajib”.
Sahabat yang dihormati,
Pemerintahan adalah urusan yang paling besar umat Islam. Suatu perkara yang tidak boleh dipandang remeh dan enteng.Kata Ibnu Taimiyah:
"Wajib diketahui bahawa urusan kekuasan manusia adalah kewajipan agama yang paling besar, malahan tidak dapat tertegak agama melainkan dengannya. Maka sesungguhnya anak Adam itu tidak akan sempurna maslahatnya kecuali dengan bermasyarakat kerana sebahagian memerlukan sebahagian yang lain. Ketika bermasyarakat itu, tidak boleh tidak mestilah mempunyai ketua. Sehingga Nabi SAW telah bersabda: "Apabila kamu keluar tiga orang bermusafir, kamu lantiklah salah seorang sebagai ketua." (Hadis Riwayat Abu Daud dari Hadis Abu Sa’id dan Abu Hurairah).
Manakala Imam al-Ghazali berkata: "Agama itu sendi. Penguasa itu pengawal. Sesuatu yang tidak bersendi akan hancur dan sesuatu yang tidak ada pengawal akan sia-sia."
Amat dikesalkan sekali kerana masih ramai umat Islam di negara kita yang masih keliru dengan persoalan menegakkan negara Islam. Sebahagiannya masih berfikir ia hanyalah soal-soal dunia yang tidak ada kena mengena dengan kehidupan beragama mereka. Sebahagiannya enggan turun mengundi kerana katanya `tidak sunnah'. Sebahagian yang lain, pergi mengundi tetapi masih tidak dapat melakukan pilihan yang tepat siapakah yang layak dipilih untuk dijadikan pemimpin menguruskan permasalahan umat Islam.
Para ulamak dan umat Islam yang insaf akan perkara ini perlu bekerja lebih kuat lagi untuk memberi kesedaran kepada umat Islam seluruhnya.
Jumhur ulamak Islam mengharamkan langkah kekerasan (spt. revolusi dsbnya) sekalipun terhadap pemerintah yang zalim dan fasiq. Kerana ia akan berakibat jauh lebih buruk dari sebelumnya. Jika berjaya tindakan itu, akan memakan korban, jika gagal, memang sudah semestinya lebih banyak korban lagi.
Terbabit dalam pilihanraya ala barat oleh parti Islam bukan bermakna mereka beriman dengan demokrasi secara total. Ia hanya digunakan sebagai wasilah untuk menegakkan negara Islam. Dan, ia bukannya satu-satu wasilah ke arah itu, namun dalam keadaan umat Islam dihimpit dari seluruh pihak oleh sistem sekular, maka terbabit dalam pilihanraya adalah antara jalan yang terbaik. Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam Malaysia khususnya untuk memberikan dokongan kepada parti Islam. Paling lekehpun, `lebih baik daripada mendokong parti sekular..’ (Hukumnya telahpun dibahas oleh para ulama kini termasuk al-Qardhawi)
Pada zaman ini, sebuah parti Islam tidaklah bergerak hanya semata-mata sebagai sebuah parti politik sahaja. Bahkan ia mestilah bergerak sebagai sebuah harakah Islamiyah. Jika hanya semata-mata sebuah parti politik sahaja (lebih-lebih lagi jika pembangkang), maka tumpuannya hanyalah lima tahun sekali pilihanraya. Aspek-aspek lain diabaikan, seperti pendidikan, tarbiyah, ekonomi, dakwah, kebajikan umat dan lain-lain lagi.
Tidak selamanya parti Islam dibenarkan untuk menyertai pilihanraya oleh rejim yang berkuasa. Adakalanya ia disekat. Dan, apakah ketika itu sudah terhenti segala usaha dan harapan untuk menegakkan negara Islam? Sudah tentu tidak, kerana kerja pendaulatan syariah Islam adalah satu usaha yang mesti berjalan secara berterusan, sesuai dengan semangat amar makruf nahi munkar. Terlalu banyak lagi usaha-usaha dan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan (walaupun ia bukan yang terbaik). Jika pilihanraya dihalang, maka itu bermakna salah satu dari wasilah telah hilang, bukan segala-galanya telah hilang. Harakah Islamiah tetap berfungi memikul tanggungjawab dakwah dan tarbiah.
Contoh lain, jika setiap kali pilihanraya yang dijalankan secara tidak adil dan terdapat unsur-unsur penipuan, para ulama ketika itu bolehlah berijtihad untuk menentukan apakah perlu terbabit dalam pilihanraya? Masalah ini bukan melibatkan soal halal dan haram, tetapi masalah yang baik dan yang terbaik. Apabila ulama mengeluarkan kenyataan tertentu, umat Islam wajar mematuhinya.
Sahabat yang dikasihi,
Di dalam masyarakat Islam terdapat beberapa kumpulan serpihan yang mengatakan menggundi dan memasuki pilihan raya adalah haram dan mereka yang melakukan adalah meredai Yahudi dan demokrasi ala barat, lantas mereka mengambil hujah-hujah daripada hadis-hadis dan sirah Nabi SAW untuk menyokong kefahaman mereka. Hakikat sebenarnya golongan ini sudah terkeliru di antara stratigi dan prinsip. Yang prinsip dianggap strategi dan yang strategi di anggap prinsip. Golongan ini boleh mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam dan memberi saham yang besar kepada golongan sekular untuk meneruskan kekuasaan dalam pemerentahan kerana undi mereka tidak diberikan kepada pemimpin Islam. Mereka lebih reda melihat pemimpin yang jahil tentang Islam mentadbir negara. Mereka memerhatikan sahaja daripada jauh dan menganggap tindakkan mereka adalah benarkan oleh syarak.
Ulama-ulama muktabar dunia masa kini seperti Prof Yusof al-Qardawi memberi fatwa kewajipan umat Islam mengundi dan memilih pejuang Islam dan parti Islam supaya memenangi majoriti di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya hukum-hukum Allah SWT dapat di daulatkan dan keadilan untuk semua rakyat dapat di berikan.
No comments:
Post a Comment