Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Ketika seorang lelaki sedang dalam perjalanan, ia berasa dahaga. Lantas ia masuk ke dalam sebuah telaga yang dalam, lalu minum air di dalamnya. Setelah dia keluar di dapatinya seekor anjing di tepi telaga sedang menjelirkan lidahnya dan menjilat-jilat tanah lembap kerana kehausan. Orang itu berkata : 'Anjing ini merasakan apa yang baru sahaja saya rasakan.'
Kemudian ia kembali turun ke dasar telaga semula untuk mengambil air. Dia telah mengisi kasutnya dengan air lalu membawanya naik dengan mengigit kasutnya itu.
Sesampainya di atas ia memberi minum anjing tersebut. Kerana perbuatannya itu Allah SWT berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya."
Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah jika kami mengasihi binatang, kami juga mendapat pahala?"
Baginda SAW bersabda yang bermaksud : "Berbuat baik kepada setiap makhluk pasti mendapat pahala."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan kisah di atas jelaslah kepada kita setiap amal kebaikan yang dilakukan oleh seorang muslim walaupun kepada seekor binatang yang kehausan maka ganjarannya cukup besar disisi Allah SWT sehinggakan Dia mengampunkan dosa lelaki tersebut dan dimasukkan oleh Allah SWT kedalam syurga.
Bayangkanlah jika kita memberi bantuan kepada saudara-saudara kita yang sedang menderita disebabkan berlakunya peperangan, gempa bumi, banjir, tsunami dan kemiskinan maka ganjarannya cukup besar di sisi Allah SWT.
Dalam hadis yang lain daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).
Teruskanlah memberi bantuan dan sedekah kepada saudara-saudara kita yang memerlukan bantuan dan harta yang kita sedekahkan itu akan menjadi saham akhirat dan akan membantu kita di saat kepanasan di Padang Mahsyar. Salah seorang yang akan mendapat perlindungan Arasy Allah SWT adalah seorang yang bersedekah hinggakan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.
Sahabat yang dikasihi,
Pengajaran-pengajaran yang dapat di ambil daripada hadis di atas adalah :
1.Kita di anjurkan untuk sentiasa berbuat baik walaupun kepada haiwan.
2.Syurga adalah tempat yang penuh nikmat yang di kurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beramal soleh di dunia ini. Walaupun sesuatu amalan itu nampak kecil tetapi ianya besar dan bernilai di sisi Allah SWT. seperti contoh memberi minum air kepada seekor anjing yang kehausan sehingga Allah SWT. mengampunkan dosa hamba Allah tersebut dan di masukkan-Nya kedalam syurga.
No comments:
Post a Comment