Thursday, January 19, 2012

Orang Mukmin Sentiasa Menjaga Lidah dan Akhlaknya Semasa Berkempen Dalam Pilihanraya.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor.” (Hadis Riwayat Ibnu Mas'ud)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya?”. (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Seorang mukmin akan sentiasa menjaga akhlak dan adab sopan dan kehidupannya. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang mukmin sejati. Justeru, dalam kempen pilihan raya bukannya masa untuk kita menanggalkan akhlak dan adab sopan.

Antara anggota badan yang paling banyak digunakan dalam kempen pilihan raya adalah lidah untuk tutur bicara. Calon dan penyokong parti akan menggunakan lidah untuk berkempen dan menarik sokongan dan kepercayaan pengundi dengan manifesto dan janji-janji yang akan ditunaikan sekiranya diberi peluang untuk memenangi pilihanraya.

Menjanjikan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat tidak salah, malah itulah yang sewajarnya, tetapi bukan janji-janji kosong yang tidak akan mampu ditunaikan. Ia juga bukan medan untuk menghamburkan tutur bicara sesuka hati tanpa kawalan sehingga menimbulkan bibit perpecahan serta kebencian sesama rakyat.

Lidah adalah nikmat kurniaan Allah dan sebaik-baik fungsi lidah ialah digunakan untuk berzikir kepada Allah SWT atau melakukan kerja dakwah iaitu menyeru manusia kepada kebaikan dan kebenaran seperti firman Allah bermaksud: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (agama-Nya) serta beramal soleh serta berkata, "saya salah seorang muslim." (Sural al-Fushilat, ayat 33)

Di sebalik kebaikannya, lidah juga boleh membawa kebinasaan kepada pemiliknya juga manusia lain. Medan pertuturan lidah tidak ada sempadan. Jika baik penggunaannya, maka baiklah natijahnya, tetapi jika buruk penggunaannya, maka buruklah natijahnya.

Justeru, keghairahan berkempen tanpa mengawal tutur bicara boleh menyebabkan pelbagai implikasi bukan saja kepada pemilik lidah, malah anggota masyarakat. Disebabkan lidah yang tidak terkawal boleh membawa perpecahan, benci membenci, permusuhan, fitnah memfitnah dan api perkauman.

Ketika berkempen (berceramah) lidah perlulah dikawal dengan sebaik-baiknya kerana peribadi seorang mukmin tidak akan berkata perkara dusta, memfitnah, berbohong atau menokok-tambah keaiban seseorang yang tidak ada pada dirinya.

Paling buruk yang mungkin berlaku dalam tempoh berkempen ialah kegagalan mengawal lidah daripada mengeluarkan fitnah dan hasutan. Lidah kedua-dua pihak (parti) yang cabar mencabar boleh menjadi panas dan akhirnya mencetuskan pertelingkahan atau pergaduhan.

Ketika berceramah atau berkempen ramai calon atau penyokong parti gagal mengawal perasaan lalu terhamburlah caci-maki dan tuduh-menuduh.

Sebaiknya, mereka yang dicaci atau difitnah mendiamkan diri daripada membalas cacian. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Diam itu adalah suatu hukum dan amat sedikit orang yang melakukannya." (Hadis riwayat Abu Mansurad-Dailani daripada Ibn Umar)

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah baiknya jika tempoh berkempen pilihan raya  dihiasi dengan akhlak mulia, tutur bicara beradab dan bersopan. Sentiasalah ingat pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengawal lidahnya daripada memperkata kehormatan orang lain, maka Allah akan menutup kecelaannya."

Fitnah adalah perbuatan melempar tuduhan keburukan terhadap seseorang tanpa bukti dan asas kukuh. Fitnah dan mengadu domba (namimah) biasanya seiringan. Justeru, ia wajib dijauhi kerana kesannya amat buruk sekali.

Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)

Oleh itu, jangan jadikan kempen pilihan raya medan atau kesempatan untuk menabur fitnah. Semua lisan keji itu dilarang dan dicela oleh agama. Kata-kata keji tidak seharusnya keluar daripada lidah orang-orang mukmin. Berjanjilah kepada rakyat sesuatu yang baik dan mampu dikotakan . Banyak tawaran yang boleh diberikan iaitu menghapuskan rasuah , memansuhkan undang-undang zalim (tangkapan tanpa bicara), kebebasan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan, kebebasan berdemontrasi cara aman, pendidkan percuma dan rawatan perubatan secara percuma, menghapuskan tol dan memberi royalti bagi negeri-negeri yang mempunyai sumber minyak dan lain-lain lagi dan lebih baik daripada pemerentah sebelumnya.

Perlu diingat akhlak seorang  pemimpin Islam tidaklah sama dengan golongan lain kerana mereka berkempen dengan menggunakan berbagai cara, fitnah dan mengaibkan musuh politiknya dengan berpegang kepada kaedah "matlamat menghalalkan cara" maksudnya biar pun cara itu haram bagi mereka itu masih boleh dilakukan asalkan matlamat mereka tercapai.

Islam melarang  kita menjadi agen penyebaran fitnah, pastikan apa yang kita cakap itu berdasarkan fakta yang betul. Periksa dahulu fakta, fahami dahulu suasana dan keadaan, kenali masyarakat di hadapan kita sebelum kita menyampaikan sesuatu perkara.

Sebagai peyokong dan pendokong parti yang memperjuangkan Islam dan memperjuangkan keadilan dan menentang rasuah, jentera parti harus menunjukkan akhlak yang baik sewaktu berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai latar belakang.

Dekati pengundi dengan akhlak yang baik, dengan budaya timur yang menghormati satu sama lain dan memahami kehendak satu sama lain.

Jentera parti mesti memahami bahawa politik itu merupakan salah satu kaedah untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan, bukan untuk mendapatkan kuasa memerintah semata-mata.Kempen yang bersih dan tidak mengandungi caci-maki dan kutuk mengutuk kepada calun lawan adalah akhlak yang terpuji dan  merupakan sifat orang mukmin yang bertanggungjawab dan mengajak rakyat untuk melakukan kebaikan.

Jadikanlah kempen dan pertandingan dalam pilihan raya umum ini merupakan peluang yang paling baik untuk kalian melakukan perubahan dalam masyarakat dan mengubah pentadbiran negeri dan seterusnya pusat yang sejak sekian lama menafikan keadilan dan hak-hak rakyat yang patut diberikan.

Sahabat yang dikasihi,
Satu peringatan yang perlu kalian pegang bahawa  apabila kalian memulakan sahaja kempen berceramah, ziarah rumah ke rumah dan menyebarkan risalah manifesto kalian sedang berjihad dijalan Allah SWT untuk mendaulatkan Islam dan keadilan yang dituntut Islam.

Ingatlah kalian sedang diperhatikan oleh Allah SWT dan malaiakat pencatat amal sedia menulis apa yg kalian lakukan. Kejayaan sesuatu perjuangan berhadapan musuh adalah dengan izin dan pertolongan Allah SWT kerana akhlak dan tawakal kalian kepada-Nya . Jika kalian berjuang dijalan Allah SWT tetapi kalian melakukan maksiat dengan menyerang peribadi pihak lawan dengan mengumpat, membuat fitnah, mengadu domba, mengaibkan orang lain dan maki-hamun maka kalian akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Tetapi jika kalian menyerang dasar parti pihak lawan yang menyeleweng, rasuah, zalim, mementingkan kroni , tidak mendaulatkan hukum Allah SWT yang mereka lakukan secara umum maka ianya diharuskan.

Khalifah Umar al-Khattab pernah menasihatkan tentera Islam bahawa yang lebih beliau takut adalah maksiat tentera Islam daripada kekuatan musuh. Kekalahan musuh adalah kerana maksiat mereka kepada Allah SWT. Jika tentera Islam melakukan maksiat maka mereka tidak akan mendapat pertolongan Allah SWT.

Biar rakyat yang menilai dengan adil akan kerosakkan yang pernah dilakukan oleh pihak lawan , Allah SWT sahaja yang akan membuka pintu hati-hati mereka untuk memilih calun dan parti yang berwibawa, adil dan sentiasa konsisten memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Tonjolkan peribadi yang baik untuk kalian mengajak mereka ke arah kebaikan. Sekali lagi di ingatkan, jangan menggunakan fitnah kerana salah satu unsur yang menafikan kemenangan ialah apabila  maksiat dilakukan termasuklah melakukan fitnah.

Akhirkata marilah sama-sama kita berdoa dan memohon rahmat dan pertolongan Allah SWT di atas perjuangan yang mulia ini untuk meletakkan Islam ditempatnya yang sebenarnya. Yakinlah jika kita ikhlas berjuang dengan niat semata-mata mencari reda Allah SWT, insya Allah kemenangan akan berpihak kepada kita biarpun mereka merancang dengan rancangan yang hebat kerana sesungguhnya perancangan Allah SWT lebih baik dan lebih sempurna.

No comments: