Thursday, August 30, 2012

Bertaubat Dan Beristighfar Setiap Hari Kepada Allah SWT Adalah Amalan Nabi SAW

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Beristighfar dan bertaubat dan di ikuti dengan bertasbih dan berzikir setiap pagi dan petang kepada Allah SWT adalah amalan soleh yang di sukai oleh Allah SWT.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

مَنْ عَمِلَ سَيِّئَةً فَلا يُجْزَى إِلا مِثْلَهَا وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ يُرْزَقُونَ فِيهَا بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya : “Dan mohonlah ampun untuk dosamu dan bertasbihlah dengan memuji Rabb-mu di waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Mukmiin, (40) ayat 55)

Di ayat yang lain firman-Nya lagi :

لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ (١٥)الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (١٦)الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأسْحَارِ

Maksudnya : “Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), di sisi Rabb mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan mereka dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat para hamba-Nya. Iaitu orang-orang yang berdoa, “Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka.” Iaitu orang-orang yang sabar, yang tetap taat, yang mengeluarkan sedekah, dan yang memohon keampunan di waktu sahur.” (Surah Ali ‘Imran, (3) ayat 15-17)

Dalam ayat yang lain, firman Allah SWT :

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya : “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menzalimi dirinya lalu kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisaa’ (4) ayat 110)

Demikian juga sebagaimana apa yang diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam, baginda bukan sahaja mengajak agar kita sentiasa beristighfar dan bertaubat, malah baginda sendiri telah menunjukkan contohnya dengan sebaik-baik contoh. Baginda mengajar kita agar beristighfar dalam banyak keadaan dan hampir setiap keadaan. Seperti ketika tersedar dari melakukan dosa, ketika menutup majlis, ketika waktu pagi dan petang, ketika hendak mengakhiri solat, ketika sebaik selesai solat, ketika di dalam solat, ketika sebaik selesai berwuduk, dan banyak lagi.

Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya : “Demi Allah, aku benar-benar beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam satu hari lebih banyak dari tujuh puluh kali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, bab: Istighfar Nabi di siang dan malam hari, no. 6307)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي، وَإِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللهَ، فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya : “Sesungguhnya aku dicukupkan atas hatiku dan aku beristighfar kepada Allah sehari seratus kali.” (Hadis Riwayat Muslim, bab: anjuran beristighfar, no. 2702)

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW mengajarkan kita bacaan atau zikir-zikir untuk kita beristighfar kepada Allah SWT sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-hadis sahih.

Amalan-amalan istighfar Nabi SAW adalah seperti berikut :

Pertama : Abu Barzah al-Aslami radhiyallahu ‘anhu berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: بِأَخَرَةٍ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُومَ مِنَ الْمَجْلِسِ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ» فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّكَ لَتَقُولُ قَوْلًا مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيمَا مَضَى، فَقَالَ: «كَفَّارَةٌ لِمَا يَكُونُ فِي الْمَجْلِسِ

“Bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam beliau berkata (berdoa) ketika di akhir hendak bangun (menutup) majlis (dengan doa):

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ»

Maksudnya : “Maha Suci Engkau Ya Allah, dan segala puji bagi-Mu, aku mengakui bahawa tiada Ilah selain Engkau, aku memohon ampun kepada Engkau dan aku bertaubat kepada Engkau.”

Seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau mengucapkan satu ucapan yang tidak pernah engkau ucapkan sebelum ini?”

Maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pun bersabda, “Itu adalah sebagai penebus dosa yang terjadi sepanjang dalam majlis.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4857. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Kedua : Ketika solat malam setelah tasyahhud akhir sebelum salam, baginda berdoa :

اللهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

“Ya Allah ampunilah dosaku yang telah lalu dan yang akan datang, yang aku rahsiakan dan yang tampak, yang aku lakukan secara berlebihan serta yang Engkau lebih mengetahui daripadaku sendiri, Engkau yang mendahulukan dan Engkaulah yang mengakhirkan, tiada Ilah melainkan Engkau.” (Hadis Riwayat Muslim, bab : Doa dalam solat malam, no. 771)

Ketiga : Tsauban radhiyallahu ‘anhu menjelaskan cara Nabi SAW beristighfar setelah solat fardu:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا وَقَالَ: اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ قَالَ الْوَلِيدُ: فَقُلْتُ لِلْأَوْزَاعِيِّ: كَيْفَ الْاسْتِغْفَارُ؟ قَالَ: تَقُولُ: أَسْتَغْفِرُ اللهَ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam apabila selesai bersolat, baginda beristighfar tiga kali, kemudian mengucapkan:

اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

“Ya Allah, Engkaulah yang memiliki Kesejahteraan, dan daripada Engkau asalnya kesejahteraan itu, segala keberkatan adalah milik Engkau Ya Allah, yang memiliki kebesaran dan kemuliaan.”

Keempat : Al-Waliid (salah seorang perawi, murid al-Auzaa’i) bertanya kepada al-Auzaa’i, “Bagaimana cara beristighfar yang dimaksudkan?”

Al-Auzaa’i menjawab:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ

(Dengan mengucapkan) : “Astaghfirullah (Aku memohon ampun kepada Allah), astaghfirullah…”.” (Hadis Riwayat Muslim, bab: Anjuran berdzikir setelah solat, no. 591)

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

مَنْ قَالَ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ، غُفِرَ لَهُ، وَإِنْ كَانَ قَدْ فَرَّ مِنَ الزَّحْفِ

“Sesiapa mengucapkan: “

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

Maksudnya : "Aku memohon ampun kepada Allah yang tiada Ilah melainkan Dia, yang terus-menerus mengurus makhluk-Nya dan aku bertaubat kepada-Nya” Nescaya dosa-dosanya diampuni walaupun dia telah lari dari peperangan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, bab: al-Istighfar, no. 1517)

Walau bagaimanapun, istighfar dan taubat tidak cukup hanya dengan lisan, ia perlu diiringi dengan tekad yang kuat dan dizahirkan melalui amal perbuatan dan kebaikan. Istighfar dan taubat yang hanya semata-mata di lisan, maka takut-takut ia termasuk istighfar dan taubatnya para pendusta. Ini sebagaimana kata imam Fudhail B. ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 187H):
استغفارٌ بلا إقلاع توبةُ الكذّابين

“Istighfar (mohon keampunan) tanpa melepaskan diri (dari kemaksiatan) adalah taubatnya para pendusta.” (an-Nawawi, al-Adzkar, m/s. 703; Tahqiq ‘Amir ‘Ali Yasin – Daar Ibn Khuzaimah)

Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

“Para ulama mazhab kami dan selain mereka mengatakan, taubat itu memiliki 3 syarat; iaitu meninggalkan maksiat, menyesalinya, dan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat tersebut untuk selama-lamanya.

Apabila maksiat tersebut berkaitan dengan hak sesama manusia, maka ditambah dengan satu syarat lagi, iaitu mengembalikan apa yang diambilnya kepada pemiliknya, atau mendapatkan pelepasan dari segala apa yang dituntutnya.

Taubat adalah merupakan sendi (atau tiang) agama Islam yang paling penting, dan ia adalah langkah awal bagi yang berhajat kepada jalan akhirat.” (Syarah Shahih Muslim, 17/25)

Kelima : Perbanyakan membaca penghulu istighfar :

 
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى لاَ اِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ بِذَنْبِى فَاغْفِرْ لِى فَإِنَّهُ لاَ يَغفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ.

Allahumma Anta Robbi, Laa Ilaaha Illa Anta, Kholaqtani wa ana abduKa, wa ana ‘alaa ‘ahdika wa wa’dika mastatho’tu, Audzubika min syarri maa shona’tu, Abu’u laka bi ni’matiKa ‘alaiyya wa abu’u laKa bidzanbi faghfirlii fainnahu laa yaghfiru dzunuuba illa Anta.
Dan bacaan istigfar yang paling sempurna adalah sebagaimana yang terdapat dalam sahih
Bukhari dari Syaddad bin Aus r.a, dari Nabi SAW, baginda bersabda maksudnya : “Penghulu istigfar adalah apabila engkau mengucapkan : 
"Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hambaMu dan aku di dalam genggamanMu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan Taat ) kepadaMu sekuat mampuku. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau." (Hadis Riwayat Bukhari )

Sesiapa yang mengucapkannya Penghulu Istighfar (Sayyidul Istighfar) pada siang hari (pagi) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia pada hari tersebut sebelum petang maka dia dari kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam ( petang ) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia maka dia dari kalangan ahli syurga. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari ).

Alangkah ruginya kita, jka amalan yang amat mudah tapi dijanjikan dengan syurga pun masih kita tidak amalkan. Semoga Allah memberi kekuatan agar kita mampu mengamalkannya.

Hadis Sayyidul Istighfar ini meliputi makna taubat dan terdapat pula hak-hak keimanan. Di dalam hadits ini juga terkandung kemurnian ibadah dan kesempurnaan ketundukan serta perasaan sangat-sangat memerlukan bantuan Allah. Sehingga bacaan zikir ini melebihi bacaan istighfar lainnya kerana keutamaan yang dimilikinya.

Nabi SAW mengajar kita doa-doa dan keagungan istighfar. Betapa besar dan banyak buahnya! Di antaranya ia mampu menjadi penyebab dibukanya pintu rezeki oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Orang mukmin sentiasa berdoa dan bermunajat : : "Ya Allah, jadikanlah kami termasuk hamba-hamba-Mu yang pandai beristighfar. Jadikanlah kami termasuk orang-orang yang memiliki sifat taubat dan sentiasa beristighfar. Dan kurniakanlah kepada kami buahnya, di dunia mahupun di akhirat. Dan mudahkanlah bagi kami rezeki-rezeki kami, lancarkanlah urusan-urusan kami, serta peliharalah kami. Sesungguhnya Engkau Maha memperkenankan doa, wahai Zat yang Memiliki ke-Agungan dan ke-Muliaan. Ameen."

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sentiasa basahkan lidah dengan berzikir dan beristighfar kepada Allah SWT setiap masa dan ketika, samaada kita sebuk atau ada masa lapang. Jangan biarkan masa berlalu tanpa di isi dengan  amal soleh dan amal yang bermanfaat. Ingatlah setiap ucapan yang baik memuji Allah SWT, berdoa dan memohon keampunan merupakan saham dan simpanan harta kita di akhirat nanti kerana kita tidak tahu adakah amalan kebaikan yang kita bawa bersama nanti mencukupi untuk melayakkan kita memasuki syurga Allah SWT dan menjadi berat dalam timbangan amal kebaikan di Mizan.

Orang mukmin yang bertakwa tidak akan merasa puas dengan amal kebaikan dan merasakan masa yang ada terlalu sedikit untuk beramal soleh, sedangkan orang fasik atau ahli dunia sentiasa sebuk mengumpul harta dan tidak memikirkan bagaimana nasib dan keadaannya nanti di hari perhitungan (hari akhirat).


No comments: