Friday, September 28, 2012

Apakah Perbezaan Di Antara Orang Mukmin Dengan Orang Munafik?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Orang mukmin dan orang munafik adalah  dua golongan yang amat berbeza sekali darisegi sifat, akhlak dan keperibadian mereka, umpama langit dengan bumi. Orang mukmin sentiasa beriman dan bertakwa dan beristiqamah dengan ajaran Islam sedangkan orang munafik hatinya bersifat nifak dan hidup dengan kepura-puraan dan kebencian kepada orang mukmin dan ajaran Islam.

Berikut ini dikutip tulisan dari Imam Al Ghazali yang menjelaskan ucapan Imam Hatim Al Ashom, seorang ulama yang soleh ketika mengupas perbezaan antara orang mukmim dengan orang munafik. Perbezaan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Seorang mukmin senantiasa disibukan dengan bertafakur, merenung, mengambil pelajaran dari aneka kejadian apapun di muka bumi ini, sementara orang munafik disibukkan dengan ketamakan dan angan-angan kosong terhadap dunia ini.

Kedua : Seorang mukmin berputus asa dari siapa saja dan kepada siapa saja kecuali hanya kepada Allah, sementara orang munafik mengharap dari siapa saja kecuali dari mengharap kepada Allah.

Ketiga : Seorang mukmin merasa aman, tidak gentar, tidak takut oleh ancaman siapa pun kecuali takut hanya kepada Allah kerana dia yakin bahawa apapun yang mengancam, dia ada dalam genggaman Allah, di lain pihak orang munafik justru takut kepada siapa saja kecuali takut kepada Allah, nauzubilah.

Keempat : Seorang mukmin menawarkan hartanya demi mempertahankan agamanya, sementara seorang munafik menawarkan agamanya demi mempertahankan hartanya.

Kelima : Seorang mukmin menangis kerana malunya kepada Allah meskipun dia berbuat kebajikan, sementara seorang munafik tetap tertawa meskipun dia berbuat keburukan.

Keenam : Seorang mukmin senang berkhalwat dengan menyendiri bermunajat kepada Allah, sementara seorang munafik senang berkumpul dengan bersukaria bercampur baur dengan khalayak yang tidak ingat kepada Allah.

Ketujuh : Seorang mukmin ketika menanam merasa takut jikalau merosak, sedangkan seorang munafik mencabuti seraya mengharapkan kesuburan.

Kelapan : Seorang mukmin memerintahkan dan melarang sebagai siasat dan cara sehingga berhasil memperbaiki, larangan dan perintah seorang mukmin adalah upaya untuk memperbaiki sementara seorang munafik memerintah dan melarang demi meraih jawatan  dan kedudukan sehingga dia malah merosak, nauzubillah.

Daripada kenyataan di atas jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan perbezaan yang jelas akhlak antara seorang mukmin dengan seorang munafik. Justeru kita harus benar-benar berusaha menjauhi diri daripada perbuatan dan amalan orang-orang munafik seperti diuraikan di atas. 

Sahabat yang dimuliakan,
Kita perlu mencegah diri kita untuk meyakini adanya pemimpin yang menandingi kebesaran dan keagungan Allah SWT. Kita harus yakin siapa pun yang ada jawatan atau pangkat kedudukan di dunia ini hanyalah sekedar makhluk yang hidup sementara dan akan menemui kematian. Jangan tertipu dan terpesona dengan kedudukan, pangkat, dan harta sebab itu hanyalah amanah sementara sahaja jika tidak dijaga dan diawasi ianya boleh memesongkan kita daripada matlamat hidup yantg sebenarnya.

Kehidupan sekarang ini di zaman kecangihan teknologi maklumat sungguh mencabar.  Berita fitnah, umpat mengumpat, mendedahkan keaiban, sumpah seranah dan maki hamun dan saling menjatuhkan di antara satu sama lain sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak merasa bersalah dan dosa di sisi Allah SWT. Tujuannya adalah untuk terus berkuasa dan mengaut keuntungan harta dunia dalam projek pembangunan dan dunia perniagaan. Golongan berkuasa hanya mengutamakan kroni dan ahli keluarga semata-mata tanpa melihat kesusahan dan penderitaan rakyat miskin yang memerlukan pembelaan. Golongan munafik ini  tidak segan silu menggunakan apa saja jalan yang salah semata-mata untuk mencapai matlamat kekal berkuasa dan menjaga status ko.

Sahabat yang dikasihi,
Kita hanya sekadar makhluk yang hidup sementara di dunia ini, bila tiba masanya kita semua akan dijemput kesana. Sebaik-baiknya kita perlulah membuat persiapan sebagai bekalan untuk kepulangan kita ke alam barzakh dan hari akhirat. Oleh itu janganlah kita meletakkan kemuliaan manusia melebihi kemuliaan Allah SWT. Hanya Allahlah segala-galanya, Dia Penguasa yang mutlak dan Dia Pemilik alam ini. Tidak ada kuasa lain melainkan kuasa Allah Azza Wa Jalla.

Bulatkan dan bersihkan hati kita hanya kepada Allah dengan dibuktikan oleh kesungguhan ibadah dan amal soleh kita. Oleh itu tiada  yang dituju selain Allah, tiadalah yang diharap selain mengharap daripada Allah, tiadalah yang ditakuti selain Allah, tiadalah dipanjatkan doa dan pergantungan hidup melainkan kepada Allah SWT.

No comments: