Tuesday, September 25, 2012

Jangan Di Sia-siakan Masa Dan Umur Kalian Ketika Hidup Di Dunia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : "Dua nikmat yang manusia sering lalai dan alpa ialah kesihatan dan waktu atau usia yang Allah berikan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : " Barangsiapa berbuat baik pada umurnya yang tersisa , nescaya di ampunkan kesalahannya yang lampau , dan barangsiapa berbuat jahat pada umurnya yang tersisa , nescaya di seksa terhadap kesalahannya yang sudah lewat dan yang tersisa ".( Hadis Riwayat ath-Thabarani ) .

Berdasarkan dua hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa umur, masa lapang dan kesihatan adalah perkara-perkara penting yang perlu kita jaga dan gunakan sebaik-baiknya. Kelalaian dalam kita menjaga masa lapang dan usia yang berharga akan menjadikan kerugiaan dalam hidup kerana masa bukanlah boleh dinilai dengan emas tetapi masa adalah lebih berharga daripada emas iaitu kehidupan. Begitu juga kesihatan cukup bernilai dan berharga kerana dengan kesihatan yang baik, tidak berpenyakit akan menjadikan seseorang itu boleh beribadah dengan sempurna, makan minum dengan penuh nikmat, berriadah menambahkan kesihatan, bekerja mencari rezeki, menuntut ilmu dan boleh bermusafir dan ziarah menziarahi saudara mara.

Orang mukmin sentiasa menjaga dan menggunakan masa dengan baik. Masa yang ada digunakan sebaik mungkin supaya tidak sia-sia begitu sahaja.Begitu tinggi nilai masa dari pandangan seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang dan tidak boleh diganti.Masa adalah jalan dan wasilah menuju ke alam akhirat. Kebahagian di akhirat adalah bergantung kepada amalan-amalan soleh kita ketika di dunia ini.

Sewajarnya setiap Muslim memulakan harinya dengan doa yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W. kepada para sahabat supaya dibaca pada waktu pagi dan petang. :

"Ya Allah! Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa sedih dan duka. Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa lemah dan malas. Aku berlindung dengan nama-Mu dari sifat bacul dan kikir. Aku berlindung dengan nama-Mu dari beban hutang dan penindasan orang." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Doa ini memberi kesan kepada jiwa untuk lebih bersemangat, mengurus masa dan urusan lain samaada memberi idea, masa dan tenaga untuk manfaat bersama. Orang yang mensia-siakan masa dengan kerja tidak berfaedah, sebaliknya tidak suka  untuk berkongsi idea dan tenaga pada perkara kebaikan sangat dibenci oleh Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap detik masa berlalu dan masa tidak pernah berhenti daripada bergerak , maka berjalan sahaja masa setiap hari maka bertambahlah umur kita. Peringkat umur yang paling matang untuk seoraang manusia adalah ketika berumur 40 tahun. Nabi SAW dilantik oleh Allah SWT menjadi Rasul adalah ketika berusia 40 tahun. Dalam al-Quran Allah SWT menyebut umur 40 tahun dengan firman-Nya yang bermaksud :

"Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)."
(Surah al-Ahqaaf ayat 15)

Ayat di atas menceritakan inilah dia ciri-ciri orang mukmin, apabila sampai ke pada umur 40 tahun dia sentiasa berdoa untuk kesejahteraan dan kebaikan dirinya sendiri, kedua ibu bapanya dan zuriat keturunannya .

Ketika mentafsirkan ayat ini, Ibn Kathir berkata, 40 tahun merupakan peringkat umur kuat, cergas dan matang. Pada usia ini, akalnya sampai ke syilingnya, kefahaman dan kematangannya cukup sempurna. Dan dikatakan bahawa ghalibnya seseorang itu tidak akan berubah daripada kebiasaannya atau perangainya apabila telah mencapai usia 40 tahun.

Jika umur kita sudah sampai kepada 40 tahun adakah hidup kita sentiasa dihiasi dengan akhlak yang mulia, ibadah yang khusyuk, banyak amal-amal soleh dan amal ibadah telah di lakukan dan bertambah ilmu yang bermanfaat dan merancang sebaik-baiknya bekalan untuk hari akhirat? Jika perkara kebaikan ini berlaku alhamdulillah banyakkanlah bersyukur tetapi jika berlaku sebaliknya semakin umur meningkat melebihi 40 tahun maka semakin banyak maskiat dan dosa dilakukan, tidak ada terdetik untuk bertaubat, semakin aktif membuat fitnah, mengumpat , mengadu domba dan berkekalan mencari rezeki yang haram, nauzubillahiminzalik bersiap-siaplah untuk memasuki neraka .

Membicarakan mengenai umur manusia, marilah sama-sama kita renung satu hadis daripada Nabi SAW yang bermaksud :

Berkata Utsman bin Affan r.a. bahawasanya Nabi SAW  bersabda: “Allah telah berfirman:  Apabila hamba-Ku telah mencapai usia empat puluh tahun, Aku akan jauhkan dia dari tiga macam bencana, iaitu: gila, kusta dan sopak. Dan apabila ia mencapai usia lima puluh tahun, Aku akan menghisabnya dengan hisab yang ringan. Dan apabila dia mencapai usia enam puluh tahun, Aku akan mendorongnya agar suka bertaubat. Dan apabila dia mencapai usia tujuh puluh tahun, Aku jadikannya dicintai oleh para malaikat. Dan apabila ia mencapai usia delapan puluh tahun Aku akan catatkan kebajikannya semata, dan Aku akan tutup mata terhadap kesalahan-kesalahannya. Dan apabila ia mencapai usia sembilan puluh tahun, akan berkatalah para malaikat: 'Orang ini sebagai tawanan Allah di bumi-Nya, maka diampunkanlah segala dosa-dosanya yang terdahulu dan terkemudian, dan dibenarkannya mensyafaatkan. Dan apabila dia mencapai usia lanjut, Allah mencatatkan baginya semua pahala amalan yang pernah dia lakukan di waktu sehat dahulu, dan kalau dia melakukan kesalahan, tiadalah dicatatkan atasnya lagi.” (Hadis Riwayat Tirmidzi - Hadis Qudsi)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menfaatkan masa lapang yang ada, kesihatan yang baik dikurniakan oleh Allah SWT dan umur yang masih ada untuk melakukan ketaatan kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ingat ! Setiap saat masa hidup kita akan di audit oleh Allah SWT dan semua makhlauk dan dau malaikat akan menjadi saksi kemana umur dan masa kita habiskan ketika hidup di dunia yang fana ini.




No comments: