Thursday, September 27, 2012

Carilah Waktu Dan Amalan-amalan Mustajab Doa Ketika Berdoa Kepada Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Berdoa adalah senjata orang mukmin. Apabila kita ingin berdoa maka carilah waktu-waktu mustajab doa kerana waktu tersebut paling hampir dengan Allah SWT dan pintu rezeki dari langit terbuka luas.

Terdapat beberapa waktu-waktu mustajabnya doa.

Pertama : Satu pertiga malam

Waktu satu pertiga malam adalah di antara jam 3.30 pagi atau jam 4.00 pagi sehingga ke waktu sebelum Subuh. 

Nabi S.A.W bersabda maksudnya: "Allah SWT turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, seraya berfirman kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah di antara hambaKu yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". (Hadis Riwayat Muslim)

Maka sepertiga malam adalah waktu yang paling afdal untuk kita solat tahajud dan berdoa kepada Allah SWT.

Kedua : Sewaktu hujan turun, waktu pasukan tentera bertempur dan waktu mendirikan solat.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :  "Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun".
(Hadis Riwayat Abu Daud).

Ketika hujan turun pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas.

Ketiga : Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu diantara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat.”  (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Dawud)

Sepertimana yang telah kita sedia amalkan di mana antara dua khutbah, imam akan membacakan doa dan selawat. Namun adalah lebih afdhal andai di sini kita berdoa secara individu. Ini kerana setiap jemaah yang datang mempunyai hajat, keperluan dan doa yang berlainan di antara satu sama lain.

Dalam hadis yang lain sepanjang hari Jumaat juga terdapat waktu mustajab doa.

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya".
(Hadis Riwayat Bukhari).
 
Keempat :
.Selepas mengucapkan 'Amin' apabila selesai membaca surah al-Fatihah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Apabila imam mengatakan 'Amin', maka ucapkanlah 'Amin'. Sesiapa yang mengucapkan 'Amin' bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu."  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.

 Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Tidaklah ditolak doa di antara azan dan iqamah."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Keenam : Setiap sujud di dalam setiap waktu solat.

 Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba sujud sekali kepada Allah kecuali Dia akan menulis baginya satu kebaikan dan menghapus satu keburukan daripadanya dan meninggalkan satu darjat. Oleh itu, perbanyakkan sujud."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dengan sanat yang sahih).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tidak ada sesuatu perbuatan hamba yang lebih disukai Allah daripada tatkala Allah melihatnya sedang sujud sambil membenamkan wajahnya ke dalam tanah (debu)" (Hadis Riwayat At-Tabrani di dalam Al-Ausat)

Nabi  S.A.W menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah S.W.T. Adapun jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk As-Syafi'e rahimahullah.

Ketujuh : Waktu Duha.

Waktu Duha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (28 minit selepas waktu syuruk).

Solat Duha adalah solat memohon dimurahkan rezeki.

Malahan di antara fadhilat solat Duha ialah memurahkan rezeki. 

Doa selepas solat duha  : "Ya Allah, Sesungguhnya waktu duha itu duhaMu, Kecantikannya kecantikanMu, Keindahannya keindahanMu, Kekuatannya kekuatanMu, Kekuasaannya kekuasaanMu, Perlindungannya perlindunganMu.Ya Allah, Jika rezeki masih dilangit turunkanlah, Jika dibumi keluarkanlah, Jika sukar permudahkanlah, Jika haram sucikanlah, Jika jauh dekatkanlah.Berkat waktu duha, KecantikanMu, KeindahanMu, KekuatanMu, KekuasaanMu,Limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan,  kepada hamba-hambaMu yang soleh."

Kelapan : Selesai solat fardu. 

Ditanya kepada Rasulullah SAW., 'Doa manakah yang didengar (Allah)' Sabda baginda, "Doa itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Kesembilan : Sepanjang perjalanan semasa bermusafir.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tiga bentuk doa yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; doa orang yang teraniaya, doa orang yang bermusafir dan doa ibu bapa terhadap anaknya."
(Hadis Riwayat Abu Daud).

Sahabat yang dimuliakan,
Selain daripada waktu-waktu mustajab doa terdapat pula amalan-amalan yang memustajabkan doa.

1. Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan amalan-amalan yang wajib.

Sebagaimana yang terdapat dalam hadis Qudsi,

وما تَقَرَّب إليَّ عَبْدِي بشيءٍ أحَبَّ إليَّ مِمَّا افترضتُ عَليهِ ، ولا يَزالُ عَبْدِي يَتَقرَّبُ إليَّ بالنَّوافِلِ حتَّى أُحِبَّهُ

Maksudnya : "Dan tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada ia mengerjakan apa yang telah Aku wajibnya akepadanya. Dan tidaklah hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku (setelah menjalankan yang wajib) dengan amal-amal sunnah sehingga Aku mencintainya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Bahawa siapa yang bersungguh-sungguh dalam mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan fardu lalu diikuti amalan sunnah (amalan sunat), Allah akan mendekatkan ia kepada-Nya dan memenuhi hatinya dengan makrifah, ketenangan, cinta, rindu, takut dan harap kepada-Nya.

2. Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya.

Rasulullah SAW. maka baginda bersabda yang bermaksud :
"Tetaplah kamu memperbanyak sujud. Ini kerana tidaklah engkau sujud sekali kepada Allah melainkan Allah akan mengangkatmu satu darjat dan akan menghapuskan satu kesalahan."
(Hadis Riwayat Muslim, At-Tarmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba sujud sekali kepada Allah kecuali Dia akan menulis baginya satu kebaikan dan menghapus satu keburukan daripadanya dan meninggalkan satu darjat. Oleh itu, perbanyakkan sujud." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dengan sanat yang sahih).

3 .'Menebus' kembali amal baik yang telah kita lakukan.(bertawasul dengan amalan terbaik yang kita pernah lakukan)

Seperti yang kita dapati di dalam surah Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik untuk solat Tahajud, iaitu,

"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada Iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." (Surah Ali-Imran ayat 192-194)

Kita lihat di sini sebagai dalil, bahawa boleh bagi kita setelah beramal baik, untuk kita menebus kembali (tawasul dengan amalan sendiri)) daripada Allah S.W.T agar memustajabkan doa kita.

4. Menghulurkan pertolongan.(sedekah)

Sabda Nabi SAW maksudnya: "Sedekah kepada orang miskin adalah sedekah, manakala sedekah kepada keluarga ada dua fadilat iaitu fadilat sedekah dan fadilat silaturrahim"
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Menolong orang lain, terutamanya mereka yang dekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana sabda Nabi S.A.W, "Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan permudahkan bagi kamu urusan kamu".

5. Bersabar menghadapi ujian kehidupan.

Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Sabar dalam menghadapi ujian Allah S.W.T. Doa orang yang bersabar sangat didengari Allah S.W.T.

Apakah Bacaan-bacaan Doa yang mustajab.?

1. Beberapa doa yang sangat mustajab untuk dibacakan ketika memohon pertolongan Allah S.W.T. Salah satu daripadanya:

"Allahumma inni as aluka anniy asyhaduka annaka antaAllah, laa ilaa ha illa anta, al-waahidus somadul lazi lam yalid walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad"

Maksudnya : "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan bahawasanya aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta, Engkau tidak beranak dan Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu tandingan dari sesuatu apapun."

Doa ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah S.A.W, lalu baginda S.A.W bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah S.W.T dengan tauhid-Nya, yang mana jika engkau berdoa dengannya nescaya pasti akan Dia kabulkan." (Hadis Hasan riwayat Ahmad.)

2. Doa Nabi Musa a.s. sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran, "Rabbi syrah li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy", 

Maksudnya :  "Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka memahami perkataanku."

3. Membaca nama-nama Allah S.W.T, yang berkaitan dengan doa kita.

Sebagai contoh, ar-Razzak (Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur (Maha Pengampun) jika memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar (Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain.

Bahkan afdhal juga jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa setelah membacanya. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Nama-nama Allah seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghayati dan mengamalkan) akan masuk syurga". Maka dengan itu nama-nama Allah sangat mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.

4. Doa yang dibaca selepas membaca tahiyat akhir, iaitu "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal".

Maksudnya : "Ya Allah ya Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbanyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT tanda kita reda dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita semua. Mereka yang sombong tidak suka berdoa dan mengharap belas kasihan daripada Allah SWT, tetapi seorang mukmin yang bertakwa akan sentiasa lidahnya berzikir dan berdoa mengharap pertolongan , rahmat dan kasih sayang-Nya.

No comments: