Thursday, September 13, 2012

Menjaga Adab-adab Islam Semasa Kempen Pilihanraya.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada masa ini, rakyat Malaysia hangat membicarakan mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan bila-bila masa. Parti dan calon yang akan bertanding pula giat berceramah, berkempen dan menyatakan manifesto masing-masing bagi memastikan kemenangan mereka walaupun pilihanraya belum diistiharkan lagi.

Pilihanraya adalah satu cara demokrasi untuk memilih pemimpin dan wakil rakyat . Rakyat jelata yang berkelayakan dan cukup syarat-syaratnya diberi hak dan mandat untuk membuat pemilihan untuk mengundi di dalam pilihanraya. Mana-mana parti politik yang memenangi majoriti mudah akan di beri mandat untuk membentuk kerajaan dan menyediakan barisan kabinet dan bertanggungjawab untuk mentadbir negara setelah diperkenankan oleh Yang di Petuan Agong.

Satu perkara yang perlu diambil perhatian setiap pemimpin parti, ahli-ahli parti dan para penyokong mereka perlulah memiliki akhlak Islam dan moral yang baik semasa berkempen, memberi ceramah politik dan meraih undi dari rumah kerumah.

Kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam pemilihan calun dan pembantu calun maka perlulah mempunyai akhlak yang mulia, menjaga adab sopan dan ingat akan batas-batas agama yang diajarkan oleh Rasulullah SAW iaitu perlu dijauhi perkataan kotor dan maki hamun, fitnah memfitnah, mengumpat, mendedahkan aib musuh politiknya dan membuat tuduhan tanpa membawa bukti yang sahih.

Bagi rakyat yang bukan muslim perlulah pula membawa nila-nilai moral, sivik dan tata susila iaitu nilai-nilai umum peribadi yang baik sebagai seorang rakyat Malaysia.

Masing-masing parti atau calun berhak berkempen untuk memenangkan calun-calun mereka tetapi biarkan cara yang sopan dan tidak dicemari dengan sumpah seranah, maki hamun dan  tuduhan yang membuta tuli. Jauhkan diri daripada bertindak agresif menghalang dan membuat provokasi semasa pihak lain berkempen dan berceramah. Hanya mereka yang berfikiran sempit dan bersikap fanatik sahaja akan bertindak diluar batas-batas kemanusiaan dan akhlak yang mulia.

Islam  melarang kita menghina orang lain dalam berkempen kerana terlalu banyak cara yang mulia dan berakhlak untuk menyatakan kebenaran dan menarik sokongan. Cubalah kita lihat cara pergerakan Islam di luar negara seperti Ikhwan Muslimin di Mesir yang terlibat dalam pertandingan merebut calun-calun Parlimen dan calun President mereka berkempen menggunakan cara-cara yang di benarkan syarak dan tidak mengadaikan prinsip Islam untuk meraih sokongan rakyat jelata.

Larangan daripada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum menghina kaum yang lain kerana mungkin kaum yang dihina itu lebih baik daripada kaum yang menghina dan janganlah pula wanita menghina wanita yang lain kerana mungkin wanita yang dihina itu lebih baik daripada wanita yang menghina. Janganlah kamu mencela diri kamu sendiri dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan fasik sesudah beriman. Sesiapa yang tidak bertaubat merekalah orang yang zalim."

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah sifat banyak syak wasangka kerana sebahagian syak wasangka itu perbuatan dosa. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah seseorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentulah kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat, ayat 11-12).

Berdasarkan maksud ayat itu, terserlah hikmah daripada larangan berkenaan iaitu Islam ingin menghalang perbuatan atau amalan yang boleh mengeruhkan dan menimbulkan permusuhan di kalangan komuniti Islam. Islam juga ingin mengelakkan umat Islam daripada terjebak dalam kancah pergaduhan, permusuhan dan fitnah memfitnah yang hanya menempah kesengsaraan yang tidak berkesudahan.


Justeru, umat Islam sewajibnya menginsafi peranan mereka semasa berkempen supaya setiap ucapan dan tuduhan perlulah mempunyai bukti dan asas yang kukuh sebelum memberi pandangan dan sangkaan kepada pihak lawannya. Pastikan pertandingan merebut jawatan wakil rakyat adalah pertandingan yang sihat bukannya pertandingan yang menimbulkan kebencian dan dendam kesumat. Perlulah diinsafi bahawa adat pertandingan adakalanya menang dan ada kalanya kalah, maka pihak yang kalah perlulah menerimanya dengan hati yang terbuka bukannya menimbulkan huru hara dan persengkitaan dan mengarahkan penyokongnya untuk membuat kacau bilau dalam masyarakat.

Sahabat yang dimuliakan,
Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Islam tidak boleh dipisahkan daripada amalan seharian, pekerjaan, dan interaksi sesama manusia,  malah hubungan dengan haiwan dan alam sekitar juga ada adab-adab yang telah digariskan oleh Islam.

Jika kita benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka kita perlu berpegang teguh dengan ikatan Islam dan tidak boleh terpisah walaupun sedikit. Oleh itu, semua perkataan, perbuatan, amalan, tulisan, arahan, gagasan, perancangan kita tidak boleh lari daripada ajaran Islam yang telah ditanzilkan oleh Allah SWT melalui Rasul-Nya.


Jika kita ke tandas atau ke tempat tidur, pasti ada doa dan adab-adab yang disisipkan, maka adakah ketika hendak berkempen dan memilih pemimpin, kita bebas daripada adab-adab dan peraturan yang telah digariskan oleh agama Islam?

Jawabnya pasti tidak boleh, kerana dalam Islam kita tidak boleh menggunakan kaedah “Matlamat menghalalkan cara”. Jika cara itu haram dan berdosa, maka Islam melarang kita menggunakan cara tersebut  walaupun matlamatnya baik .

Seorang mukmin akan sentiasa menjaga akhlak dan adab sopan dalam kehidupannya. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang yang bergelar mukmin. Justeru, dalam kempen pilihan raya bukanlah masa untuk kita menanggalkan akhlak dan adab sopan sehingga menelanjangkan sesama sendiri. Perkara negatif seperti ini wajib kita jauhkan demi menjaga ukhuwah yang telah terjalin, juga atas dasar saudara sesama Islam.

Apakah adab-adab dan akhlak yang perlu dijaga ketika hampir pilihan raya dan sewaktu menjalani pilihan raya. Di sini ada beberapa kaedah yang baik untuk kita jadikan panduan, antaranya:

1.   Bertanggungjawab iaitu menunaikan hak diri kita sesama muslim yang lain. Di dalam memahami konsep ini dengan situasi kita sekarang ialah dengan memberi sokongan serta dorongan kepada calon-calon yang bertanding di samping memberikan nasihat-nasihat yang berguna buat mereka supaya dapat difikirkan apabila di lantik ke dalam barisan kepimpinan kelak.

2.   Setiap penyokong atau pun calon yang membuat manifesto dan kempen, pastikan bahawa kita melaksanakannya dengan penuh akhlak seorang muslim. Ini sangat penting ketika saat-saat genting seperti ini, kerana pada waktu ini sangat mudah tercetusnya suasana yang tidak baik jika kita sama-sama tidak mengawalnya, mungkin boleh terjadinya pergaduhan, kutuk mengutuk, memfitnah, mendedahkan aib dan sebagainya.

Nabi SAW telah memberi nasihat kepada kita dengan sabdanya: “Sesiapa yang menutup aib saudaranya, Allah akan menutup aibnya di dunia dan hari akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

3.   Setiap pengundi yang hendak memilih calon-calon yang bertanding, pastikan kita memilih bukan atas dasar fanatik, populariti, kawan baik dan sebagainya. Tetapi pilihlah atas dasar ketokohan yang dipamerkan, idea yang bernas diberikan, dan ulasan-ulasan menarik sejajar dengan realiti semasa. Semua ini memainkan peranan yang sangat penting untuk masa depan sesebuah negara yang berjaya dan disegani dan bebas daripada rasuah, ketirisan dan penyelewengan pemimpin yang silam.

Ini bersesuaian dengan firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az-Zumar ayat 18)

4.   Setiap calon hendaklah memberi manifesto yang tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Memberi manifesto yang baik serta ulasan yang bagus kerana apa memilih gagasan yang sedemikian adalah sangat membantu untuk membuka mata pengundi sejurus membawa kejayaan kepada apa yang dipimpin kelak.

Selain itu, isi manifesto tersebut hendaklah releven untuk dilaksanakan dan rasa ada kemampuan untuk melaksanakannya, ini sangat penting untuk mengelakkan diri daripada difitnah kelak. Tidak menunaikan janji adalah salah satu sikap orang munafik, maka berhati-hatilah ketika memberi manifesto dan berkempen. Fikir dahulu sebelum bercakap.

5.   Tidak terlalu melampau sehingga melanggar batas-batas Islam ketika berjalannya sesi berkempen dan pilihan raya sehingga membawa kepada perbalahan dan pergaduhan sesama sendiri agar kita semua beroleh petunjuk dan rahmat, ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10)

Ketenteraman, kasih-sayang dan kedamaian adalah elemen-elemen yang sangat penting di dalam masyarakat Islam. Permusuhan dan pergaduhan pula adalah musuh yang paling besar dalam sesebuah komuniti. Maka di dalam kehangatan untuk kita menjalani tanggungjawab kita sesama insan, maka sikap dan akhlak itu sangat penting, agar segala tindak tanduk kita mendapat petunjuk daripada Allah SWT sejurus membawa komuniti kita menuju keredaan Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Umat Islam perlu bijak memilih calun dan tokoh pemimpin yang akan di diberi mandat untuk mentadbirkan negara. Carilah calun terbaik yang akan merubah keadaan negara kearah yang lebih baik. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang akan memertabatkan Islam dan hukum-hukum Islam dalam kehidupan harian demi kepentingan rakyat. Tolaklah pemimpin yang mempunyai sejarah  silam yang buruk seperti terlibat dengan rasauh, akhlak yang buruk,  pembaziran dan menindas rakyat dengan akta-akta yang zalim dan menyekat kebebasan bersuara dan menghalang demontrasi secara aman.

Perlu di ingatkan bahawa undi-undi kalian mengandungi nilai ibadah jika disalurkan ditempatnya yang betul dan akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, sebaliknya jika tersilap memilih semuanya akan disoal di akhirat nanti.










No comments: