Friday, November 16, 2012

Jagalah Lidah Kalian Supaya Terselamat Daripada Kemurkaan Allah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan sepert 'lidah tidak bertulang' atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.

Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW ditanya mengenai hal apakah yang paling menyebabkan banyak orang masuk syurga. Rasulullah menjawab : "Takwa dan akhlak yang baik." Kemudian Rasulullah ditanya mengenai apakah yang menyebabkan manusia ramai masuk neraka. Rasulullah SAW menjawab : "Dua lubang iaitu lubang mulut dan kemaluan." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

Bagi orang yang beriman, lidah yang dikurniakan Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.Oleh itu, Islam menganjurkan bagi manusia untuk berdiam daripada mengucap perkataan sia-sia.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai jalan selamat, ajaran Islam sejak mula lagi menganjurkan kepada kita agar tidak terlalu banyak bercakap kecuali percakapan yang jelas ada manfaatnya. Bahkan apabila berdiam diri itu sama saja manfaatnya dengan manfaat menutur percakapan, maka dalam kedudukan begini, adalah lebih utama bagi seseorang itu untuk diam sahaja. Sebab kadang-kadang apabila percakapan yang harus itu tidak dapat dikawal, ia boleh membawa kepada yang haram dan dilarang oleh ajaran Islam.

Manusia tidak dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam kerana ia dapat mengelakkan daripada perkataan yang sia-sia, mengumpat dan fitnah. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa nabi menyuruh umatnya memelihara lidah dari perkataan yang keji dan buruk.

Sabdanya yang bermaksud : “Simpanlah lidahmu kecuali untuk kebaikan. Sesungguhnya dengan demikian kamu dapat mengalahkan syaitan.” Di dalam percakapan terdapat bencana dan di dalam diam terdapat kebahagiaan kerana itulah keutamaan diam amat besar."

Firman Allah yang bermaksud : “Tiada suatu ucapan yang diucapkannya melainkan ada didekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir” (Surah Qaaf, ayat 18)

Antara bahaya lidah adalah berkata tentang sesuatu yang tidak penting kerana ia mensia-siakan waktu dan menyebabkan dirinya dihitung. Modal seorang manusia adalah waktu-waktunya. Apabila ia menggunakan untuk sesuatu yang tidak penting dan bernilai, nescaya ia telah mensia-siakan modal pokoknya. Kerana itulah

Rasulullah bersabda yang bermaksud : “ Termasuk dalam kebaikan Islamnya seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak penting baginya.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

Oleh kerana lidah boleh membawa kepada perkara yang baik dan buruk, maka kita hendaklah berhati-hati dalam menggunakan lidah. Dalam hubungan lain, kita hendaklah berhati-hati apabila bertutur. Kesan tersalah cakap boleh membawa sakit hati kepada orang lain. Tidak kurang pula yang membawa kesusahan dan kerugian.

Sebaik-baik cara mengawal diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini ialah dengan diam. Diam dalam erti kata tidak bercakap dalam perkara yang sia - sia dan tidak baik.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang buruk budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Di dunai ini terdapat tiga jenis manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.

Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.

Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.

Nabi SAW bersabda maksudnya :"Apabila kamu melihat orang mukmin itu pendiam dan mempunyai kehormatan diri, maka dekatilah dia! kerana ia akan mengajarkan ilmu-hikmah.’ (Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Ibnu Khallad.)

Nyatalah orang yang beriman akan menggunakan lidah dan bercakap hanya untuk perkara-perkara yang berfaedah. Setiap patah yang hendak diucapkan difikir semasak-masaknya supaya setiap patah yang ditutur itu berfaedah dan mendapat pahala. Kita juga dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya, Kerana, semakin banyak kita bercakap, semakin banyaklah kesilapan. Orang-orang munafik pula akan bercakap apa sahaja tanpa memikirkannya terlebih dahulu.

Sahabat ya ng dimuliakan,
Seorang ahli sufi yang terkenal, al-Hassan al-Basri pula pernah menyebutkan, orang yang tidak menjaga lidahnya ialah orang yang tidak memahami agamanya. Oleh itu, sebagai orang Islam, kita hendaklah menjaga lidah kita daripada bertutur perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah seperti mengumpat, mencaci dan berbohong.

Untuk menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat amatlah penting kira mengawal lidah agar tidak timbul perselisihan dan perbalahan. Sebuah masyarakat yang aman dan harmoni terbentuk kerana ahlinya hidup kasih mengasihi antara satu sama lain, tidak menghasut dan mempelagakan antara satu sama lain.

Luqmanul Hakim pernah ditanya: "Apakah falsafah hidupmu?" Beliau menjawab: "Aku tidak bertanya sesuatu yang telah memadai bagiku dan aku tidak memberatkan diriku akan sesuatu yang tidak penting bagiku."

Tidak syak lagi penyalahgunaan lidah dan percakapan itu bukan sahaja menjadikan seseorang itu menerima seksaan Allah malah kesannya amat buruk kepada masyarakat. Kesan percakapan yang tidak sihat dan tuduh menuduh, umpat mengumpat dan hasut menghasut menjadikan sebuah masyarakat huru hara dan porak peranda.

Tanda seseorang cenderung untuk memasuki neraka apabila hidupnya di dunia cukup suka buat fitnah, laman-laman sosialnya dipenuhi gosip dan berita fitnah,  maki hamun, menyebarkan vedio /gambar-gambar lucah, menuduh seseorang berzina atau liwath tanpa empat orang saksi, cepat membuat tafsiran seseorang itu sesat tanpa usul periksa. Perlu diingat apabila seseorang salah membuat tafsiran sesuatu ucapan tanpa dirujuk kepada ucapan sebenar apa yang dimaksudkan oleh seseorang maka ketika itu dia telah jatuh buat fitnah dan akan mendapat dosa besar.

Sebenarnya Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi kita umat Islam sebagai seorang muslim yang bertakwa menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah Al-Hujraat: ayat 6)

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan (Nauzubillah), banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu (Astagfirullah). Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan atau parti tertentu. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Oleh itu kita sebagai umat Islam hendaklah berhati-hati apabila bercakap. Sebelum berkata, fikirlah dulu buruk baiknya kerana jika tersilap kata buruk padahnya. Peribahasa kita ada menyebut: ":Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya."

Salah satu sebab seseorang akan menjadi muflis di hari akhirat adalah kerana  lidah yang tidak dikawal suka memfitnah, mengumpat, mengadu domba, mendedahkan aib orang lain dan suka berdusta dan menjadi saksi palsu.

Wallahu a'lam






No comments: