skip to main |
skip to sidebar
Apakah Ciri-ciri Ulama Pewaris Nabi Berbanding Dengan Ulama Dunia?
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan perkataan alim yang bererti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami.
Perkataan ulama ini telah disebutkan pada beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis Nabi S.A.W. samaada secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan mendalam dan memiliki akhlak terpuji. Oleh itu ciri-ciri ulama ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama.
Para ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis Nabi S.A.W. dengan sempurna. Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka bersumberkan dari Rasulullah S.A.W.
Islam telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris para nabi sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis: Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. (Hadis Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
Terdapat beberapa ciri-ciri seorang itu layak menjadi ulama pewaris Nabi iaitu :
1. Sentiasa melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
2. Mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam berkenaan agama Islam di dalam segenap sudut.
3. Beramal dengan segala ilmu yang dimilikinya.
4. Berakhlak mulia.
5. Tidak gentar untuk menegur dan berkata benar kepada sesiapa sahaja.
6. Mempunyai sifat-sifat terpuji seperti: zuhud, warak, sabar, jujur, ikhlas dan sebagainya lagi.
7. Meninggalkan perkara-perkara mazmumah seperti riyak, takabur, sombong, angkuh dan sebagainya lagi.
8. Sentiasa menyampaikan ilmu pengetahuan dan menyeru manusia kepada Islam.
Terdapat beberapa adab-adab untuk menjadi seorang ulama :
Imam al-Ghazali di dalam Kitabnya Bidayah al-Hidayah telah menjelaskan beberapa adab-adab perlu dimiliki oleh seorang ulama atau seorang alim.
1. Mampu menanggung kesusahan.
2. Bersabar dengan kesulitan.
3. Duduk dengan rasa hormat serta berkelakuan tenang ketika bersama manusia.
4. Meninggalkan takbur di atas sekalian hambaNya kecuali terhadap orang yang zalim.
5. Mencegah daripada kezaliman.
6. Memilih tawaduk pada perhimpunan dan pada majlis orang ramai.
7. Meninggalkan gurau-senda dan bermain-main.
8. Melayan dengan baik pelajar yang kurang pandai.
9. Membimbing pelajar yang angkuh.
10. Memperbaiki pelajar yang bodoh dengan tunjuk ajar yang baik.
11. Tidak marah kepada pelajar yang bodoh.
12. Tidak malu daripada berkata ‘saya tidak tahu jika benar-benar tidak mengetahuinya’.
13. Memberikan perhatian kepada pertanyaan.
14. Memahami soalannya.
15. Menerima hujjah.
16. Tunduk kepada kebenaran dengan kembali kepadanya ketika bersalah.
17. Melarang pelajar daripada setiap ilmu merbahaya.
18. Melarang pelajar daripada menghendaki dengan ilmu selain dari Allah Taala.
19. Melarang pelajar daripada sibuk menuntut ilmu fardu kifayah sebelum selesai menuntut ilmu fardu ain. Ilmu fardu ain ialah berkenaan dengan memperbaiki zahir dan batin dengan bertakwa kepada Allah SWT.
20. Memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu dengan takwa, supaya dapat mencontohi amalannya dan mengambil manfaat daripada percakapannya.
Sahabat yang dimuliakan,
Setelah kita jelas ciri-ciri dan adab-adab seorang ulama yang ikhlas dan layak menjadi ulama pewaris Nabi seperti dinyatakan di atas maka perlulah kita mengetahui pula apakah ciri-ciri ulama dunia atau ulama jahat (suq)?
Di dalam kitab "Ulama al-Suq Ulama al-Dunya" karangan Ustaz Muhammad Ahmad beliau menyatakan terdapat 12 ciri-ciri ulama suq (jahat) atau ulama dunia.
Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :
1. Menyembunyikan ilmu dan kebenaran.
(Tidak ada rasa sensitif terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah seperti rasuah dan penindasan dan berdiam diri sahaja)
2. Cintakan dunia dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
(Melebihkan dunia sehingga mengabai tugas akhirat.)
3. Mengikut hawa nafsu.
(Tamak kepada dunia dan pangkat. )
4. Berkeinginan untuk mendampingi dan mendekati pemerintah.
(Pengampu kepada pemerintah yang tidak adil dan takut kepada manusia, tetapi tidak takut kepada Allah dan tidak merasa bimbang dengan apa yang mereka lakukan kepada Allah SWT.)
5. Berpura-pura di dalam masyarakat.
(Bijak bermadah punjangga untuk menarik perhatian orang ramai walaupun salah dari segi fakta.)
6. Menjanjikan akhirat dengan dunia mereka dan di dalam kehidupan mereka melebihkan perkara-perkara dunia serta lainnya.
(Keluarganya tidak menunjuk contoh suri teladan yang baik seperti anak isteri tidak memelihara aurat. Mengutamakan pembangunan fizikal walaupun akhlak dan akidah umat Islam telah rosak)
7. Mengkaji dan menyelidik dengan kesalahan dan kekurangan.
8. Fatwa dengan mengikut syahwat.
(Takbur dengan pandangannya walaupun tidak betul dari segi kaedah pengambilan hukum. Salah guna kaedah syarak dengan menamalkan matlamat menghalalkan cara)
9. Dengki dan benci serta tidak insaf.
(Tidak memaparkan akhlak Islam yang sepatut ada sebagai seorang yang ada ilmu agama. )
10. Berbeza amalannya dan kata-katanya.
(Bercakap tidak serupa dengan bikin.)
11. Berdolak-dalih dan berhelah.
(Takut memberi nasihat yang betul berdasarkan hukum agama, kerana kepentingan peribadi)
12. Menjawab sesuatu dengan akal dan mengingkari serta bongkak untuk menerima kebenaran.
(Mereka hanya memikirkan tentang kepentingan pangkatnya sahaja dan membiarkan agama dicerca.)
Ulama suq (jahat) atau ulama dunia boleh kita lihat peribadi mereka dan komen-komen mereka sering mempertikaikan keupayaan ulama besar yang diikhtiraf dunia seperti Prof Yusuf al-Qardawi dan menyatakan bahawa jihad di Palestin bukan jihad dalam Islam .
Mereka akan berat sebelah dalam membuat teguran, jika golongan yang mereka suka mereka akan membiarkan walaupun ianya mugkar tetapi bila nampak golongan lain mereka akan bersungguh-sungguh menegurnya dan suruh bertaubat. Ulama suq suka menerima berita orang fasik tanpa usul periksa dan membuat tuduhan pada orang lain tanpa bukti myang sahih. Sepatutnya ulama tidak boleh berat sebelah dalam memberi teguran atau fatwa dan seharusnya menyatakan kebenaran hukum kepada sesiapa sahaja yang bersalah tidak kita mereka itu pemerentah, ahli politik atau rakyat biasa. Perlu adil untuk menimbang pandangan ulama-ulama lain dan tidak boleh berpegang pada pendapat sendiri sahaja.
Sahabat yang dihormati,
Semenjak kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang daripada segolongan pihak yang cuba merendah-rendahkan keilmuan dan kemuliaan para ulama. Mereka ini berkata bahawa para ulama bukanlah maksum seperti Rasulullah S.A.W. Oleh itu, mereka menyarankan agar tidak perlu mengikut tunjuk ajar daripada ulama untuk memahami urusan agama Islam ini. Mereka berkata lagi bahawa boleh sahaja untuk mengambil terus daripada dalil-dalil al-Quran al-Karim dan al-Hadis Nabi S.A.W. dengan kefahaman sendiri. Adakah tindakan ini bertepatan dengan Islam?
Firman Allah Taala yang bermaksud: "Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Nahl ayat 43).
Allah SWT di dalam al-Quran menjelaskan bahawa orang yang takut kepada Allah SWT adalah para ulama : Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah Taala di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama." (Surah Faathir ayat 28).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka dari kalangan orang-orang yang jahil lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi).
Kita mesti mengakui bahawa para ulama bukannya maksum dan mereka tidak boleh lari dari melakukan kesilapan yang tidak disengajakan. Namun jika hendak dibandingkan dengan kita, sudah tentulah mereka lebih layak untuk mengeluarkan hukum-hakam kerana mereka telah memahami ilmu agama dengan mendalam. Oleh itu, kita sebagai masyarakat awam ini, tidak perlulah kita merasa diri terlalu hebat daripada para ulama yang sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah Taala. Hormatilah para ulama dengan sebaiknya. Berakhlaklah kita kepada mereka jikalaupun mereka telah tersalah di dalam mengeluarkan pandangan.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Bukan termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang dewasa kami, menyanyangi anak kecil kami dan menghormati ulama kami." (Hadis Riwayat Ahmad).
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kembali kepada Islam sebenarnya dengan mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya Nabi Muhammad SAW dan mengiktiraf para ulama yang jujur dan ikhlas sebagai ulama pewaris Nabi SAW dan jauhi diri kita daripada para ulama suq atau ulama dunia kerana ulama seperti ini akan menjauhkan diri kita daripada rahmat Allah SWT. Lihatlah hadis dibawah daripada Nabi SAW untuk panduan kita semua.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Ulama itu ada tiga jenis. (Pertama) orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. (Kedua) orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). (Ketiga) orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dari ilmunya." (Hadis Riwayat ad-Dailami).
No comments:
Post a Comment