Thursday, December 20, 2012

Istiqamah Amalan Yang Di Sukai Oleh Allah SWT


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya :  “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.” (Hadis Riwayatkan Bukhari dan Muslim dari Aisyah)

Huraiannya :

Amalan yang disukai oleh Allah SWT adalah suatu amalan yang dilakukan walaupun nampak sedikit tetapi ianya dibuat secara berterusan dan konsisten dan ditingkatkan sedikit demi sedikit semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

Orang yang beristiqamah bukan sahaja amalan dan perbuatannya istiqamah tetapi hati, jiwa dan keyakinannya kepada Allah SWT tetap istiqamah yakni tidak ragu-ragu.

Dalam riwayat yang lain daripada Sufyan bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu mengatakan, (maksudnya): “Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang Islam suatu ucapan yang aku tidak akan bertanya lagi mengenainya kepada seorang pun selainmu.’ Baginda bersabda: Katakanlah, “Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah!” (Hadis Riwayat Muslim)

Al-Qadhi Iyadh mengatakan bahawa, “Ini adalah salah satu (Jawami’al-Kalim) ucapan baginda Nabi SAW yang ringkas tetapi padat.

Menurut Saidina Umar ibn al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, sewaktu mendefinisikan maksud istiqamah ialah “Mereka yang beristiqamah, demi Allah dalam ketaatan kepada-Nya dan tidak bersuara dengan suara rubah. Ini bermaksud, mereka yang istiqamah adalah seimbang dari segi kuantiti ketaatan kepada Allah, baik keyakinan, ucapan mahupun perbuatan dan mereka tetap dalam keadaan demikian. Inilah makna pendapat kebanyakan ahli tafsir, dan inilah makna hadis yang dihuraikan tadi.

Sebenarnya istiqamah adalah suatu perkataan yang ringan di lidah namun amat berat untuk diterjemahkan. Ianya juga merupakan amalan yang paling sukar untuk dilakukan.

Hadis ini selaras dengan peringatan yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Hud ayat ke-112 yang bermaksudnya : "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum- hukum Allah sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."

Menurut Imam Ibn Daqiq al-’EId ketika mensyarahkan hadis ini, beliau mendatangkan kata-kata Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu dengan katanya:

“Tidak pernah turun kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam di semua al-Quran suatu ayat pun yang lebih berat baginya dibandingkan ayat ini. Ini kerana berdasarkan hadis Nabi Sallallahu ‘Alahi Wasallam dalam sahih Tirmizi dan al-Hakim (maksudnya): “Surah Hud dan sejawat dengannya telah membuat rambutku menjadi beruban.”

Besarnya persoalan istiqamah ini. Memang ianya sukar dipikul oleh orang yang sebarangan. Manakan tidaknya, sehinggakan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri pernah bersabdamaksudnya) : "Beristiqamahlah dan kamu tidak akan sampai pada hakikat istiqamah."

Itulah beratnya perkataan istiqamah. Kita sentiasa merindui gerak lenggok tangan dan seluruh tulang empat kerat kita agar sentiasa beristiqamah dalam ibu segala perbuatan kebaikan iaitu mempertahankan akidah Islam yang bersih sehinggalah kita dipanggil oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Kita juga merindui istiqamah seperti istiqamahnya para sahabat seperti Bilal bin Rabah yang terkenal dalam beristiqamah mempertahankan akidahnya dengan perkataan ‘Ahad’.

Begitu juga istiqamahnya Abu Talhah radhiyallahu ‘anhu dalam berjihad pada jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Seperti mana kisah beliau bersama anak-anaknya yang menghalangnya daripada keluar berperang pada jalan Allah ‘azza wajalla. Sedangkan di dalam hati Abu Talhah radhiyallahu ‘anhu terdapat keinginan dan istiqamah yang tinggi yang dimiliki oleh sahabat besar itu untuk berperang dan mati syahid.

Lalu Abu Talhah keluar berperang. Dan diriwayatkan bahawa beliau tidak sempat berperang dan mati sewaktu belayar. Juga dikhabarkan, bahawa jasad Abu Talhah kekal seperti asal walaupun hampir 9 hari belum disemadikan. Kisah ini dapat kita lihat dalam al-Asas fi Tafsir karangan Syeikh Said Hawwa.

Itulah mahar yang tinggi yang dibayar oleh Abu Talhah dalam membeli nilaian syurga. Istiqamah mereka tercatat dalam sejarah.

Begitu juga istiqamahnya keluarga Yaasir iaitu Sumaiyyah, Ammar dan Yaasir. Istiqamah mereka mempertahankan akidah dijanjikan syurga yang tidak ternilai

Sabda Nabi Sallallahu ‘Alahi Wasallam, “Shobran aali yaasir fainna mauídakumul jannah”(maksudnya): “Sabarlah keluarga Yaasir, kerana sesungguhnya telah dijanjikan bagi kamu syurga Allah!”

Sahabat yang dimuliakan,
Orang mukmin yang berilmu sentiasa istiqamah, ikhlas dan berani, ketegasan mereka didorong oleh kesungguhan untuk mempertahankan prinsip kebenaran.

Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Tuhan dan masyarakat. Al-Quran menggelarkan golongan ini dengan pelbagai gelaran mulia dan terhormat yang menggambarkan kemuliaan dan ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah SWT dan makhluk-Nya.
Ia sekaligus menunjukkan bahawa daya usaha untuk memperoleh ilmu melalui pelbagai saluran dan pancaindera yang dikurniakan Allah SWT membimbing seseorang ke arah mengenal dan mengakui ketauhidan Rabbul Jalil.
Ini memberi satu isyarat dan petunjuk yang penting bahawa ilmu mempunyai hubungkait yang amat erat dengan dasar akidah tauhid. Orang yang memiliki ilmu sentiasa istiqamah, tidak terhad kepada ilmu pengajian Islam semata-mata - sepatutnya mengenal dan mengakui keesaan Allah SWT dan keagungan-Nya.

Hasilnya, orang yang berilmu akan gerun, tunduk, kerdil dan hina berhadapan dengan kekuasaan dan keagungan Allah SWT dan sentiasa istiqamah. Ibn Mas’ud pernah berkata “bukanlah dinamakan berilmu dengan hanya banyaknya (meriwayatkan) hadis, tetapi berilmu yang sebenar ialah (melahirkan) banyaknya perasaan gerun (kepada keagungan Allah).
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita berpegang teguh dengan prinsip Islam dan beristiqamah dan tidak ragu-ragu berada di jalan yang hak sehingga kita kembali bertemu dengan  Allah SWT. Sesiapa yang sentiasa istiqamah maka dia akan sentiasa berada di dalam rahmat Allah SWT dan mendapat keredaan-Nya.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT menempatkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang kekal beristiqamah.


No comments: