Monday, December 17, 2012

Cara-cara Merawat Penyakit Futur Dan Iman Yang Lemah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap para daie atau pendakwah yang bekerja dijalan Allah S.W.T dengan hati yang penuh ikhlas akan sentiasa mendapat rahmat dan pertolongan-Nya. Apabila kita tolong agama Allah S.W.T. maka Dia akan tolong kepada kita. Pertolongan Allah S.W.T akan datang dalam berbagai bentuk. Dia memberikan pertolongan dengan dikurniakan ketenangan hati, di permudahkan urusan mendidik isteri dan anak-anak hingga mereka menjadi insan soleh yang sentiasa taat kepada Allah S.W.T. Di berikan rezeki yang melimpah ruah di jalan yang tidak disangka-sangka dan di berinya kekuatan untuk menghayati Islam dan menyampaikannya.

Semua jalan-jalan keberkataan ini adalah tanda Allah cinta dan kasih kepadanya kerana hati dan jiwanya sentiasa meletakkan pengharapan dan reda dan mengharap kepada pertolongan dan bantuan daripada-Nya daripada sekecil-kecilnya hingga perkara-perkara besar. Alangkan bahagianya jika hati seorang daie dan murabbi sentiasa rasa takut (khauf), timbul pula rasa mengharap (rajaa') akan pengampunan-Nya dan rasa mengharapkan pertolongan ('inayah) dan rahmat-Nya

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang daie dan murabbi bukannya sentiasa berada di dalam keadaan selesa dengan iman yang mendalam dan jihad yang berterusan. Tetapi dia juga sering diuji dengan keduniaan, keseronokan dengan harta dan anak-anak yang melalaikan, kemalasan untuk bekerja dengan istiqamah dan suka berehat-rehat menghiburkan hati. Penyakit yang menyerang para daie ini dipanggil futur. Futur bererti berhenti setelah beramal atau diam setelah bergerak. Futur juga bererti malas bekerja dan rasa lemah.

Di dalam jemaah Islam atau harakah Islamiah, futur adalah penyakit yang menimpa para daie dan pekerja Islam. Paling minima futur yang menimpa daie dan pekerja Islam adalah perasaan malas dan paling parah ialah berhenti atau tidak aktif dalam amal Islami. Kerja-kerja amar makruf nahi mungkar  di pandang sepi dan seolah-olah tidak berminat lagi untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat.

Perlu diingat Nabi S.A.W. dan para sahabatnya tidak pernah berhenti bekerja menyampaikan dakwah Islam, walaupun diuji dengan berbagai dugaan begitu juga ulama-ulama yang muktabar sentiasa istiqamah walaupun terpaksa menanggung derita duduk didalam penjara kerana tidak disukai oleh pemerentah yang sentiasa mengikut hawa nafsu.

Futur ini perlu dirawat dan dicas semula, kerana futur ini datang dan berpunca daripada iman yang lemah kerana jika dibiarkan iman ini tidak dicas semula dikhuatiri iman ini akan  semakin lemah dan akan hilang di hati para daie dan pekerja Islam!

Sahabat yang dikasihi,
Apakah faktor utama yang menyebabkan boleh datang futur dan lemah iman? Faktor utama adalah disebabkan dosa-dosa kecil dan besar kita lakukan dengan sengaja atau tanpa disedari. Bila kita memandang mudah dosa-dosa  ini dan secara berterusan pula mengulanginya maka dosa ini umpama racun yang merosakkan hati-hati kita. Hati akan rasa lemah bila diganggu oleh racun-racun dosa. Titik-titik hitam dosa menutupi hati, hingga lama kelamaan hati menjadi hitam dan selaput hitam inilah yang menutup pintu hidayah dan taufik daripada Allah S.W.T.

 Untuk merawat futur dan lemah iman terdapat beberapa perkara yang boleh diamalkan dan dihayati untuk memulihkannya iaitu :

1. Menjauhkan diri daripada dosa-dosa kecil dan besar dan sentiasa perbanyakkan beristighfar dan bertaubat kepada Allah S.W.T.

2. Terus menerus melakukan amalan-amalan harian yang soleh. Amalan soleh bermula dengan yang wajib hingga yang sunat. Amalan ini terus dilakukan mengikut jadual.

3. Sentiasa merebut masa yang baik. Menghidupkan masa-masa tersebut dengan mentaati Allah S.W.T. seperti di waktu malam, hari Jumaat dan seumpamanya.

4. Membebaskan diri daripada melampau dalam deen (agama). Membuat sesuatu melebihi kemampuan fitrah. Dalam sirah , ada sahabat yang ingin berpuasa terus menerus . Ada yang ingin solat malam terus menerus tanpa tidur dan ada yang ingin membujang sampai mati. Tetapi Rasulullah S.A.W. tidak izinkan kerana amalan-amalan itu di anggap melampau dalam deen (agama).

5. Meletakkan diri teguh dalam jemaah Islamiah. Tidak meninggalkan jemaah kerana Nabi S.A.W bersabda maksudnya : "Tangan Allah bersama-sama jemaah."
Nabi S.A.W bersabda maksudnya : "Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

6. Memberi perhatian kepada sunnah Allah S.W.T. yang berlaku kepada dunia. Kita perlu mambaca kisah anbiya' dan mengetahui faktor-faktor kejatuhan sesuatu umat. Untuk menambahkan kesedaran dan keinsafan diri kita bahawa manusia yang menentang hukum Allah S.W.T akan mendapat azab dan seksaan daripada Allah S.W.T.

7. Bersedia dan sentiasa berhati-hati menghadapi halangan-halangan di jalan dakwah. Ingatlah bahawa ujian Allah S.W.T. akan datang apabila kita terlibat diatas jalan yang hak dan tidak perlu resah dan gelisah dan rasa kecewa apabila ujian dan dugaan datang, kerana ini adalah sunatullah.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan , kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut  ayat 2-3).

8. Bekerja mengikut keutamaan (Fiqh Awlawiyat). Mana yang dahulu di dahulukan dan mana yang kemudian perlu dikemudiankan. Kita jangan dibebankan dengan masalah-masaalah remeh-temeh dan khilafiah dan cabang-cabang.Jika mengutamakan suatu yang kurang penting daripada yang paling penting maka ianya boleh merugikan Islam.

9. Sentiasa bersahabat dengan orang-orang soleh dan sentiasa berjuang dijalan Allah.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)

Sahabat yang baik lagi soleh akan sentiasa mengingatkan kita  untuk bekerja di jalan Allah dan tidak mudah putus asa.

10. Memberi hak-hak badan seperti berehat. Rehat disini adalah rehat untuk membina kekuatan untuk bekerja seterusnya . Janganlah badan kita langsung tidak diberikan haknya untuk berehat. Makanan perlu seimbang, berzat dan berkualiti.

11. Memberikan peluang kepada diri untuk melakukan perkara-perkara yang harus seperti meraikan keluarga, membawa kepantai atau tempat bersantai dan rehlah dan beriadah. Namun ia tetap dalam rangka tarbiah.

12. Sentiasa melihat, membaca dan mengkaji buku-buku sirah dan sejarah pejuang-pejuang Islam. Kisah-kisah tokoh penting, mujahid dan ulama perlu di dalami agar memberikan dorongan kepada kita.

13. Mengingati mati dan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku selepas kematian. Di alam barzakh setiap orang akan di datangi dua malaikat. Malaikat akan menyoal dan bertindak  denga izin Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W ada menjelaskan bahawa di akhirat nanti , manusia akan dibangkitkan dalam tiga keadaan :

Pertama : Dalam keadaan menaiki kenderaan.
Kedua     : Dalam keadaan berjalan kaki.
Ketiga     : Dalam keadaan berjalan dengan muka.

Mendengan penjelasan itu, ada sahabat bertanyakan baginda, "Bagaimana berjalan dengan muka ya Rasulullah?". Jawab baginda, "Allah berkuasa menjadikan kamu berjalan dengan kaki, maka Allah juga berkuasa menjadikan kamu berjalan dengan muka."

Begitu juga mengingati peristiwa-peristiwa di Padang Mahsyar. Ada manusia yang berteduh di bawah bayangan Arasy, ada manusia yang lemas dalam peluh dan sebagainya. Kesukaran semasa timbangan amal dan meniti di titian sirat.

14. Mengingatkan syurga dan neraka. Akhirat adalah tempat yang kekal abadi. Syurga adalah tempat balasan yang paling baik disediakan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Begitu juga neraka disediakan Allah S.W.T kepada mereka -mereka yang ingkar dan derhaka kepada Allah S.W.T.

Tidak bersalah jika kita beramal dengan mengharapkan balasan syurga dan kita meninggalkan dosa kerana takut kepada azab neraka. Kerana Nabi SAW ada menyatakan bahawa jika kamu berdoa maka mintalah Syurga Firdaus (syurga yang paling tinggi)

15. Menghadiri majlis-majlis ilmu. Ilmu menghidupkan hati. Mendapatkan ilmu adalah sebahagian daripada tarbiah Islamiah. Islam memuliakan orang yang berilmu. Firman Allah S.W.T maksudnya : "Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama." (Surah Fatir ayat 28)

16. Mengambil dan menghayati Islam secara keseluruhannya bukannya secara serpihan atau juz'i.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-salam kita muhasabah diri kita adakah ciri-ciri futur atau iman lemah itu telah menguasai diri kita dan jika ada maka marilah kita perbaiki futur ini dengan kita mengamalkan perkara-perkara seperti yang dijelaskan di atas. Semoga Allah S.W.T memberi kekuatan pada diri kita untuk terus berjihad dijalan-Nya denga istiqamah dan yakin dengan janji-janji Allah. Ingatlah tidak ada balasan kepada para mujahid dan daie yang bertakwa melainkan syurga seluas langit dan bumi.

2 comments:

Fatin Yusof said...

salam wbt,
mohon copy artikel ini ye.
Saya teringin nak letak dekat blog sy.
InsyaAllah saya takkan ubah walaupun sedikit ayat-ayat tuan dan saya akan letakkan sumber asal yg sy dapat iaitu dari tuan.

jzkk,
wassalam wbt.

norhasiah82 said...

Assalamualaikum. Memang iman kita mudah pasang-surut...sekejap ada, sekejap takde. Sekejap menyala terang benderang, sekejap malap aje..tambah lagi apabila disebukkan dengan aktiviti dunia yang memang takkan habis. Susah nak setkan minda & hati supaya sentiasa ada cinta Ilahi & tak lari dari niat mencari redha Allah dalam apa jua perbuatan...Insya Allah tips yang diberi agak berguna dan boleh digunakan dalam kehidupan kita sehari-hari.

Mohon share ye dalam blog saya, hafiz-hafiza.blogspot.com.

Terima kasih pada ustaz, syukur Alhamdullilah...:-)